Sudah berzaman lamanya penjara AUKU menjadi senjata pembunuh kepada Mahasiswa. AUKU dijadikan alat untuk memandulkan Mahasiswa sehingga hari ini kita melihat kesan sumpahannya terhadap Gerakan Mahasiswa dalam Negara. Apatah lagi kepada masyarakat Mahasiswa yang lain, sehingga hari ini Mahasiswa seolah-olah diminta bertindak seperti 'anak-anak tadika'. Termasuk mereka yang bergelar Perwakilan Pelajar tidak lebih dari dikenali seperti 'Pengawas Sekolah'. Masakan tidak, semua hak-hak Mahasiswa dirancang dan ditentukan oleh campur-tangan pihak pentadbiran seolah-olah Mahasiswa tidak ada krediabiliti untuk mewacanakan Idealisme masing-masing. Rapat umum Mahasiswa menunujukkan protes kepada AUKU
Perjuangan Mahasiswa adalah hak mereka
Mahasiswa sewajarnya mempunyai hak untuk menentukan hala-tuju ideologi perjuangan mereka di kampus. Bukan sahaja dalam konteks mengetengahkan soal kebajikan mereka tetapi sehinggalah dalam konteks memberikan pandangan dan kritikan semasa terhadap senario politik negara. Janganlah kerana pendirian mereka kadang-kadang tidak selari dengan kita, maka kita menggunakan AUKU sebagai penutup mulut Mahasiswa! Ya.. mungkin kita berjaya menutup mulut Mahasiswa. Tetapi, belum tentu kita dapat menggari tangan mahupun kaki mereka dan jauh sekali untuk memenjara fikiran Mahasiswa.
Adakah dikatakan AMAN apabila kita berjaya memenjara Mahasiswa dengan rantai AUKU? Adakah dikatakan AMAN apabila kita berjaya memenjara Rakyat dengan jaring ISA? Adakah itu yang dikatakan negara yang AMAN dan juga STABIL?
Ketahuilah bahawa Mahasiswa tetap dengan pendiriannya agar AUKU dimansuhkan supaya hak-hak mereka sebagai Mahasiswa yang sebenar dikembalikan. Walau apa juga ugutan yang diberikan terhadap Mahasiswa, perjuangan untuk menuntut kemerdekaan kampus ini tetap akan diteruskan. Biarlah kemerdekaan negara yang disambut saban tahun turut dapat dikecapi oleh Gerakan Mahasiswa di seluruh peringkat kampus.
Pindaan AUKU--Sejauh mana ketelusannya?
Meskipun ada ura-ura yang cuba menjanjikan bahawa satu pindaan dibuat terhadap AUKU, tetapi ketelusan janji ini masih ditagih oleh Mahasiswa. Malah, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) turut mempertikaikan beberapa bahagian pindaan-pindaan akta yang kini dalam proses untuk perbahasan di Dewan Rakyat.
Adakah kita benar-benar ikhlas menjadikan AUKU sebagai pelan tindakan berguna bagi melahirkan Mahasiswa bumiputera khasnya yang berjaya dalam akademik dan terhindar dari pengaruh politik luar sebagaimana yang dijelaskan oleh Tun Dr. Mahathtir (ketika AUKU diaktakan,beliau adalah Menteri Pendidikan Malaysia) sendiri. Itukah yang sebenarnya? Ataupun kita memang mahu menyekat suara Front Mahasiswa yang lantang menegur sehingga kita merasakan jika gelombang Mahasiswa ini tidak disekat maka ia akan menjejaskan kedudukan kita!
mayat Mahasiswa yang dibunuh oleh AUKU
Mahasiswa semakin matang...
Ya, saya meyakini bahawa Mahasiswa hari ini semakin matang selari dengan kematangan rakyat dalam menilai sebarang isu serta rasional mereka terhadap senario politik semasa dalam negara. Walaupun hari ini Mahasiswa sering dilemparkan dengan tuduhan seperti budak yes-man asbab kegerunan mereka terhadap AUKU, tetapi dalam aspek pemikiran mereka tetap seperti Mahasiswa dahulu cuma bezanya Mahasiswa kini agak ketinggalan dari aspek tindakan.
Kita optimis bahawa Mahasiswa pasti akan mengembalikan wajah dan identiti sebenar yang melayakkannya dipanggil sebagai Mahasiswa sehingga setiap rentak dan juga isyaratnya diambil dan diikuti oleh rakyat. Didalam kancah kemuraman rakyat yang dibelenggu dengan kesan inflasi teruk negara, maka Mahasiswa tidak kira dia Melayu,Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya haruslah bangkit dan bersatu bagi mendepani isu ini serta menjadi agen perobah dalam negara. Biarlah sejarah mencatatkan bahawa Mahasiswa hari ini berani dan berjaya mentongsampahkan AUKU yang selama ini dianggap sebagai jeriji besi yang memenjara Mahasiswa!!