Wednesday, July 29

monolog 7 lapis..

Tarbiyyah, penting.. Bukan sahaja penting malah teramat penting.. Laksana akar pokok yang membumi.. Di saat kesulitan, tuntas sahaja tarbiyyah diperlukan.. Pun di saat kemenangan, tuntas juga ia amat diperlukan!

Daku teringat suatu hadis nabi..

“Al-ilmu imaamul 'amal wal 'amal taabi’uhu..”

Mafhum dengan izin; “Ilmu itu imam kepada amal, dan amal akan mengikutinya (ilmu)..”

Bagaimana nak menjadikan segala peri amal yang dilakukan saban hari ini akan diterima oleh Allah SWT disisiNya nanti? Bisa sahaja daku tidak punya ‘termometer’ atau semaksud dengannnya untuk membuat ukuran? Hakikat.. Allah sahaja yang empunya tahu akan hal itu..

Jadi kapan bila daku tahu..? Atau bolehkah daku bermonolog pada diri.. Kamu buat aja amal-amal itu.. Niat saja untuk Tuhan.. Nanti bisa diterima disisiNya.. Boleh begitu? Tidak.. Jangan berkelakuan sebegitu.. Kerana itu hanya layak bagi orang yang jahil. Lantas atas kejahilannya dan kedegilannya untuk tidak menuntut, dia hanyut dibawa oleh arus taklid!

Belajar.. Belajar.. Dan belajarlah..

Menuntut.. Menuntut.. Dan menuntutlah..

Bersedialah ditarbiyyah.. Walau engkau sudah merasakan ilmumu sudah cukup di dada.. Jangan sesekali menyombong diri lagak seperti Bani israil kerana kelak kamu akan binasa! Ingat.. Sepatah mutiara yang keluar dari bibir Naqib, walaupun dia hanya seorang bani ‘ajam insya Allah pasti ada hikmah yang tersembunyi.. Jika daku ikhlas, Allah tetap akan buka hatiku kepada nuur yang maha seni..

Tidak lama lagi daku akan menyambut ‘pesta’..

Ini bukan pesta konvokesyen atau sure heboh.. Tidak! Ini pesta para ahli sufi yang mahu mengghairahkan cinta suci kepada kekasih mereka iaitu Allah ‘azzawajalla.. Hei manusia yang bergelumang dosa! Bersihkan dan sucikan dirimu.. Jangan lalai sekali lagi dengan peluang jual-beli dalam pesta ini.. Kerana esok lusa Izrail akan datang mencabut nyawamu dari tulang ghargharak.

Bertaubatlah wahai pendosa!

Berpestalah wahai pencinta kudus!

Di mana kedudukanku??

Menghampiri bulan mulia, daku tiba-tiba diulit mimpi di suatu pertiga malam.. Dalam mimpi indah itu, daku didatangi seorang wanita muda yang teramat cantik.. Tidak pernah rasanya daku melihat wanita secantiknya di dunia kini.. Bergetar hatiku seketika melihat kecantikannya. Kemudian, wanita muda itu mengaku kononnya dia dari syurga na’iim. Dihantar khas atas perintah oleh Tuhan!

Mari datangi aku... Dengan tangannya yang lemah gemalai memanggil dari kejauhan sambil tersenyum manja.

Aduh! Ya Tuhanku.. Ujian apakah yang menimpa daku ini?

Selamatkanlah aku ya Allah.. Selamatkanlah ya Allah.. Jangan engkau timpakan aku dengan kebinasan.. Tolonglah ya Allah..

Engkau syaitan!!! Tempikku berkali-kali.. Jangan hampiri aku syaitan!!! Nyah kau dari sini!!! Daku berteriak sangat kuat hinggalah seorang sahabat menggerakkan daku dari mimpi puaka itu.. Asalnya indah tapi hujungnya daku anggap puaka.. Kata orang sabah, ‘palis-palis’ tak terkena godaan.

Nah! Alhamdulillah.. Mujur daku ditarbiyyah.. Syukur padaMu ya Allah kerana memilih daku dari kalangan hambamu yang ramai itu untuk masih duduk dalam gerakan tarbiyyah.. Tarbiyyah mendidik nafsu jahat, jiwa binatang, akal songsang, dan segala keinginan serakah yang ada supaya tunduk dan patuh kepada ketetapan serta keredhaanMu.. Dalam bahasa analoginya, laksana memasang kekang pada si kuda.. Agar bisa nafsu itu DIJINAKKAN lantas ia dapat DIKAWAL!

Nafsu ibarat 'kuda liar'.. Jika tidak ditarbiyyah, boleh jadi kuda lebih besar dari tuannya!

Daku teringat seketika pesan seorang Mursyid dalam kitabnya.. Minhaj ‘Abidin;

Kata mursyid:

“Nafsu itu ibarat kenderaan.. Ia perlu dijinakkan dahulu sebelum bisa dikawal untuk manfaat tuan punya badan.”

Ya.. Bayangkan sahaja seekor kuda liar di padang rumput.. Bagaimana mahu daku kawal untuk ditunggangi jikalau ia masih liar? Mesti sahaja kerja pertama yang perlu dibuat ialah, jinakkan kuda itu..

Nak jinakkan kuda liar bukan kerja mudah! Ditendang,disepak,digigit malah diberak pun ada.. Itu semua proses sukar ketika mana menjinakkan nafsu. Mujahadah tinggi! Kadang-kadang sindiran orang tidak kurang pedasnya menjejak di telinga.. Eleh! Tak payahlah nak jinakkan kuda tue.. Memang spesies liar pun.. Buat susah je!!

Tidak apa wahai diri.. Teruskan mujahadah kamu kerana kamu jinakkan kuda kerana Allah.. Bukan kerana ‘mereka-mereka’.

Selepas dari menjinakkan si kuda liar tadi. Daku sekali lagi berdepan dengan ujian terjatuh,terhumban, hinggalah tersepak pun ada ketika belajar untuk mengawal si kuda jinak. Memang jinak tapi awas dengan kejinakkan itu.. Jangan tertipu dan ditipu! Mujahadah peringkat kedua..

Lalu apakah semua ini??

Tarbiyyah.. Hakikat, inilah proses yang berlaku. Inilah kitar yang berpusing dari buaian hinggalah ke liang lahad. Tarbiyyah itu ibarat motor yang menggerakkan tali sawat.. Tali sawat pula berpusing lalu menggerakkan gear.. Gear pula berpusing dan menggerakkan aci.. Aci pula berputar dan menggerakkan engkol.. dan akhirnya engkol tadi menggerakkan mata pemotong.

Dan bagi daku.. Tarbiyyah bukan hanya motor. Itu skop pandang yang sempit! Bahkan tarbiyyah itu kesemua proses bermula dari motor hinggalah ke mata pemotong!

'Tarbiyyah' adalah keseluruhan sistem sempurna yang wujud..

Cuma bekalan mestilah ada.. Iaitu minyak. Dan minyak itu ibarat kepada ilmu. Tanpa ilmu apalah nilai sebuah tarbiyyah.. Kerana tanpa minyak ‘regular’, apalah makna sebuah mesin pemotong rumput!

Daku akhiri dengan satu pesan Nabi tersayang:

“Al-‘ilmu bi ta’allum la bi tabarruK!”

Ya Allah.. Selamatkanlah daku dari godaan-godaan yang sentiasa mendatang.. Janganlah hidup ini terputar 180 darjah.. Ku pinta padamu wahai Khaliq yang maha perkasa lagi maha Bijaksana!

Ameen.


P/s-alhamdulillah baru boleh lelapkan mata..

Monday, July 27

Intelektualisme: Satu kritikan!

Bacalah, bagi mereka yang berminat untuk meruncing minda!

Berapa ramai lagikah golongan intelektual yang masih ada pada hari ini? Intelektual maksud saya, mereka yang mempunyai idea pandang jauh ke depan melewati batas fikir dan bukan merakiti idea orang lain semata-mata.. Intelektual juga bagi saya, bukan sekadar punyai fikir yang punya kejelasan bahkan dia berani untuk mewacanakannya demi survival umat... Tidak gentar dan ragu dengan kecaman sesiapa.

Dewasa kini.. Para ilmuwan semasa berpendapat bahawa tahap literasi serta pelajaran orang awam adalah lebih baik berbanding awal kemerdekaan yang lalu.. Orang sekarang mungkin sudah ramai yang bertaraf profesional dalam disiplin ilmu masing-masing. Mungkin idea ini didasarkan dengan membawakan bukti yang berupa statistik semasa iaitu dapatan seperti bilangan DOKTOR, JURUTERA, PENSYARAH, dan lain-lain lagi.. Ya.. memang dari skop statistiknya, ia suatu yang sungguh menggembirakan kita..

Saya sendiri pun cukup setuju akan hal ini!

Masakan tidak.. Banding saja dengan situasi zaman atuk nenek kita yang terdahulu, nak cari orang yang berkelulusan SRP itupun sudah amat payah.. Apatah lagi profesion seperti doktor atau setaraf dengannya! Hari ini.. Sebut saja nak cari apa.. Bahkan golongan profesional seperti doktor sekalipun sudah teramat ramai atau dengan bahasa kasarnya, “bersepah”!

Untuk memahami akan senario ini dengan lebih terang lagi.. Maka satu perkara yang semestinya perlu difahami ialah, BERPELAJARAN tinggi tidak semestinya anda dianggap seorang intelektual! Hakikat ini bukan hanya dibenarkan oleh pandangan para intelektual terdahulu bahkan tuntas juga ia kebenaran yang disepakati massa..

Misalnya.. Seorang pensyarah elektrik contohnya, beliau cukup berpelajaran tinggi dan abresiasi telah pun diberikan kepadanya sehingga tahap doktor falsafah tapi malangnya ia hanya mahir dengan ilmu elektrikanya sahaja.. Ilmu-ilmu lain yang melayakkannya untuk duduk sebangku para intelektual seperti ilmu falsafah, sains politik, kemasyarakatan, antripologi dan sebagainya tidak ada.. Bahkan, maaf cakap; ada yang tidak tahu menahu langsung!

Oleh sebab itu.. Walaupun orang seperti ini layak dikurniakan abresiasi akan ketinggian ilmunya dalam elektrik.. Tapi, itu cuma tahapan INTELIGENSIA semata.. Bukan sesekali INTELEKTUAL! Golongan intelektual sepatutnya bukan sekadar ilmunya mencakup luar dari bidang yang diceburi, bahkan dengan ilmunya itu tadi beliau mampu berinteraksi dengan masyarakat keliling sehingga segala nilai yang ada dapat dialirkan kepada komuniti sosial.

Kita TIADA intelektual!

Cemuhan ini bukan saya yang lemparkan.. Tetapi kalau nak tahu, cemuhan dan cacian ini dilemparkan oleh penjajah sejak dari zaman Belanda dan Portugis lagi.. Alam Melayu kata mereka, adalah umat pemalas yang tidak punyai apa-apa nilai keintelektualan! Apakah ini benar? Buka mata.. dan tengok keliling.. Jawaban ada di keliling anda bahkan diri kita masing-masing turut terkandung jawabannya!

Atas sebab itulah, bangun seorang anak muda yang saya cukup kagumi walaupun tidak pernah bersentuh secara jasadi dengannya.. Jose Rizal! Beliau seorang doktor yang mahir dalam falsafah, juga seorang sasterawan yang hebat dan seorang REVOLUSIONEER! Berbulan-bulan beliau menghabiskan masa untuk menjawab segala makian dan cacian penjajah itu tadi. Lantas, lahirlah buku beliau yang bertajuk; ‘The Indolence of the Filipinos’.

Jose Rizal.. Anak muda intelektual Asia yang sangat tersohor!

Jika kita baca buku ini.. Kita akan dapati betapa bahayanya sebuah tamadun bangsa yang keruncingan golongan intelektual sebagaimana yang diakui oleh Rizal yang juga seorang intelektual Asia.. Tema yang cuba disampaikan oleh Rizal dalam bukunya ini, saya kira masih amat relevan untuk kita teliti sesuai dengan perkembangan zaman kita pada hari ini.. Mungkin cemuhan ‘kita TIADA intelektual’ itu seperti satu tuduhan yang meliar tapi jika umat ini tidak bangun dari tidur, maka kita akan dibutakan oleh dasar kapitalisme yang menular dalam dunia intelek!

Hari ini.. Amat payah untuk kita menuding jari kepada tokoh yang boleh diberikan abresasi selayak sebagai intelektual.. Kalaupun ada, mungkin seputar ruang lingkup yang terbatas seperti; sekitar universiti, negeri, atau mungkin cemerlang hanya di sekitar negara.. Kita semakin hari semakin menjauh dari prestasi intelektual tulen sebagaimana mereka yang terdahulu seperti; Prof Naquib Al-Attas, Prof Hussien Al-Attas, Pak Hamka, Pak Natsir dan yang lain..

Mereka ini bukan hanya pemikir dan penyumbang idea kepada negara sahaja bahkan idea dan sumbang saran mereka dirujuk oleh seluruh umat melewati batas kenegaraan dan kebangsaan. Karya mereka sangat bernilai dan saya pasti setiap dari pencinta ilmu sangat merinduinya!

Saya mengkritik dasar!

Tidak salah untuk kita mengkritik kerana itulah pun dasar yang kita lalui semenjak berkecimpung ke alam sekolah dan bersekolah. Tegas saya katakan, tidak ada petanda yang jelas bahawa dasar pelajaran negara pada hari ini menunjukkan suatu keseriusan untuk menghasilkan produk selayak intelektual! Ini suatu hal yang sangat mengecewakan..

Tinggal beberapa hari lagi majlis konvokesyen akan berlangsung.. Dan pastinya pada hari itu, sekelompok besar mahasiswa dan mahasiswi dianugerahkan dengan segulung ijazah sebagai tanda abresiasi bahawa kononnya mereka sudah pun layak bergelar intelektual! Saya salah seorang daripadanya.. Dan serius untuk saya katakan; saya menangis tidak sudah-sudah dengan penghinaan ini!

Apakah kita mahu mengaburi masyarakat umumi yang meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa lahirnya produk intelektual ketika majlis konvokesyen itu maka ia sama seperti lahirnya para golongan intelektual yang tulen senama dengannya seperti tokoh-tokoh yang saya sebutkan dalam entry saya ini?? Bukankah imej intelektual yang disarungkan pada jasad dan fikir para graduan sekarang hanyalah memantulkan suatu penghinaan yang teramat dahsyat jika mereka mengerti?

Itulah sebabnya kita jangan berlagak sombong serta angkuh dengan gulungan sijil konvokesyen itu kerana hakikat nilai intelektualisme bukan tertakluk padanya! Biarpun universiti dipanggil dengan jolokan ‘puncak menara gading’, tapi intelektual yang tulen serta menjadi pelita umat seperti Herbert Spencer bukanlah lahir dari situ!

Tambah menakutkan lagi.. Apabila menara gading yang dipuji-puji itu kadangkala hanya melahirkan “ROBOT MANUSIA” yang berotak chip dan berakal computer programming serta berjiwa kosong iaitu null value!

Inilah sebabnya apabila pendidikan didasarkan bukan pada nilai intelektualisme tapi kapitalisme!

Hari ini.. Apa yang dikejar ialah prasarana kerja.. Apa yang dikejar ialah tangga gaji.. Apa yang dikejar ialah duit.. Pernah satu hari saya pernah ditegur oleh seorang profesor ketika mana saya ajukan pendapat untuk menyambung master dalam bidang falsafah pendidikan.. Katanya; “Apa yang you dapat kalau sambung master bahagian tue.. Bukan ada gunanya pun sekarang.. You sambung master electrical and then you kerja sebagai lecturer.. Ada masa nanti bolehlah sambung pHd untuk dapatkan gaji yang lebih besar..”

Saya terkejut dengan paradigma seperti ini.. Bukti yang jelas akan bahana kapitalisme sudah menepu dalam dasar pendidikan negara kita. Sehingga mereka yang bertaraf pHD sekalipun bisa dikaburkan dan dibutakannya!

Apakah proses ini yang berlaku di 'menara gading'?? Argh.. Sangat menakutkan!

Hari ini saya kira kita menyaksikan di depan mata.. Para pelajar diasak dengan kemahiran teknikal.. Samada kemahiran yang menjurus bidang sains ataupun kemahiran teknikal kepada teknologi yang lain. Kerana nilai manusia yang berkemahiran dalam dunia kapitalisme adalah sangat tinggi.. Oleh sebab penumpuan yang menggila kepada kemahiran ditambah pula dengan permintaan tinggi prasarana kerja, maka semakin banyak institusi pengajian tinggi yang didirikan hanya menyediakan kursus yang mengarah kepada penyediaan produk manusiawi yang berkemahiran.

Lantas, kursus serta program pendidikan yang mengarah kepada penyediaan modal insaniah yang boleh berfikir pelbagai dimensi dan perspektif diabaikan. Bahkan! Ada yang memansuhkan langsung.

Disinilah punca dan titik tolaknya kelahiran besar-besaran produk yang dipanggil “ROBOT BERWAJAH MANUSIA”! Malang sekali.. Walaupun dasar tadi dapat mencanai ia sehingga menjadi robot, tapi nafsunya tetap ada. Itu sebab, gejala rasuah dan salah guna kuasa tetap berlaku sepanjang masa!


Insya Allah.. Bersambung untuk siri intelektualisme 2.


Thursday, July 23

Khas buatmu lelaki..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Sekadar mahu berkongsi beberapa kisah.

Kisah 1 :

“Ustaz, saya ingin bertanya.. Saya menjaga ibu saya yang uzur… Saya membasuh kemaluan ibu saya.. Bagaimana dengan puasa saya…”

Ustaz bertanya “Adakah saudara sudah berkahwin?”

Pemanggil menjawab “Belum Ustaz”..

Ustaz menjawab “Palingkan muka kearah lain semasa membasuh kemaluan ibu saudara”…

Setelah talian putus, kedua-dua Ustaz dan DJ radio memuji-muji kesabaran jejaka pemanggil itu. Saya menitiskan airmata mendengar perbualan itu dan berfikir sungguh beruntunglah si ibu yang melahirkan jejaka itu. Dan, alangkah bertuahnya perempuan yang mendapat jejaka itu sebagai suaminya..

Kisah 2 :

Kisah ini berlaku hampir 1 tahun yang lalu, seorang ibu tua dibawa oleh anak lelakinya yang tinggal di bandar menziarahi ahli keluarga di sebuah kampung. Sekembali dari tempat ziarah, si ibu kelihatan terkocoh-kocoh, pantas berlari keluar dari kereta.

Langkahnya agak tergopoh-gopoh menaiki anak tangga rumah. Fikir si anak yang masih belum sempat menarik handbrake keretanya, pasti si ibu bergegas untuk segera menunaikan solat maghrib kerana azan telah berkumandang di surau yang berdekatan. Tapi, bila dia mula menjejaki anak tangga, ‘Subhanallah!‘ Si anak terkejut melihat najis berjejeran di anak tangga dan di laman rumah. ‘Mak sakit perut rupanya,’ bisik hatinya.

Tanpa berlengah segera disinsingnya lengan baju dan kaki seluar. Najis disodok dan dibuangkan. Getah paip ditarik lalu dialirkan air menuruni anak tangga.

Ibu yang sudah selesai membersihkan diri dan solat maghrib terkocoh-kocoh sekali lagi menanggalkan telekung, mencapai baldi dan gayung dalam langkah yang terhencut-hencut cuba menuruni anak tangga. Terpana si ibu di muka pintu melihat anak-anak tangga sudah dimop bersih, seperti hilang akal sejenak.

“Tak sembahyang Maghrib ke?’ Tanya ibu kepada si anak dalam keadaan serba-salah. Tak apalah mak, saya musafir, Maghrib tu di jamak ta’khir dengan Isyak nanti.’

Si ibu tak terkata apa. Tangan kanan masih memegang baldi. Tangan kiri pula memaut grill pintu. Matanya terus memerhatikan si anak, dalam hati penuh sebak dan keharuan, mengucap puji syukur pada Allah kerana anak yang diasuh dari sebesar dua tapak jari, dicucikan najisnya setiap hari itu, buat pertama kalinya menyucikan najis ibunya pula hari ini!

‘Ya Allah! begini mulia rahmatmu mengurniakan hamba mu ini anak yang soleh, dia mengenang jasa Ya Allah! dan membalas budi, aku bersyukur padamu….. aku bersyukur pada mu Ya Allah!’ sempat si ibu memanjatkan doa dalam hati.

Terasa benar maruahnya dihargai, tawadhuk sungguh mengecapi nikmat kasih.. Rentetan dari peristiwa itu, dapat dilihat keberkatan dalam hidup si anak kerana apa saja kerja yang dibuat terasa dipermudahkan oleh Allah.

Inilah yang dikatakan keberkatan memuliakan insan yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Hadis Nabi saw: ‘Hinalah umatku, hinalah umatku, dimana dalam sisa usia orang tua mereka, tidak dimanfaatkan apa-apa untuk meraih rahmat dari Allah SWT’

"Manusia memang selalu lalai memperhitungkannya bahawa dia bersalah. Setelah datang malapetaka dengan tiba-tiba dia menjadi bingung, lalu menyalahkan orang lain atau menyalahkan takdir."-Hukama’.

Kiriman: Adek Amiratul Mumtazah Binti Razak..


KOMEN:

Firstly.. Terima kasih kpd adek yg emailkn cerita pkongsian ini.. Moga Allah berikan kebaikan buat anda.

Scr jujurnya.. Lps baca cerita pendek nie, hati ‘lelaki’ cair seketika n terasa ada air suam-suam kuku yg mengalir dari pelupuk mata.. Subhanallah.. Tersentuh jg! Bukan sy seorg.. Housemate pun mcm tue jg.. Bila sy bg baca, semua tersentuh seketika..

Hmm.. Apa yg bole sy kata ialah, mari kita “MULIAKAN” ibu ayah msg2 tak kira mrk masih ada@dah takde.. Belajarlah dr pemuda ini, betapa beliau memuliakan ibunya bkn stkt muliakan prsn@jasad ibu bahkan smpi ke thp “memuliakan najis” ibunya sndiri.. Kt sggup ke?

"Ya Allah.. Jadikanlah kami anak-anak yg soleh serta kurniakanlah kami zuriat yg soleh mahupun solehah. Ameen.."