CANTIK. Yang bagaimana?
Untuk kelihatan lebih cantik, bukan sedikit orang yang sanggup melakukan apa saja…
Kerana mahu kelihatan cantiklah, ada orang sanggup merungkai tudung yang bertahun-tahun diikat pada kepala kerana menyangka rambut hitam itulah yang akan menyerlahkan kecantikan.
Itulah bahayanya bila definisi kecantikan hanya tertakluk pada luaran. Tidak disertakan bersama formula kecantikan dalaman.
Cantik. Yang bagaimana sebenarnya?
Ramai orang hanya menilai dengan mata. Tidak disertakan dengan mata hati.
Kerana itulah ramai orang juga tertipu dek mata kepala sendiri.
Indahnya suatu penilaian yang disertakan dengan mata hati. Kerana mata hati tidak pernah menipu. Apatah lagi mata hati yang diselimuti oleh gebar keimanan dan ketakwaan!
Pastinya yang lebih cantik itu ialah yang cantik dalaman. Bukan luaran semata-mata.
Kecantikan luaran hanyalah pada kulit yang akan berkedut. Pada pipi yang akan keronyok. Pada gigi yang akan tertanggal. Dan serba-serbi luaran fizikal manusia yang akan membusuk dan kemudian dimakan jua oleh tanah dan ulat.
Tapi kecantikan dalaman ia terletak pada PRINSIP, GAYA BERFIKIR, dan AKHLAK. Ia sesekali tidak akan menua bahkan semakin menawan dengan lanjutnya suatu usia.
Kecantikan dalaman hanya boleh disedari oleh mata hati yang melihat dengan iman. Tidak pada mata kepala yang hanya menilai dengan nafsu.
Kecantikan yang asli adalah kecantikan dalaman.
Manakala kecantikan luaran hanyalah ‘bonus’ yang DIUJIKAN oleh Allah SWT.
Awaslah para wanita yang punya kecantikan luaran. Ia boleh jadi ujian yang melekakan ataupun untung yang menambahkan lagi keinsafan.
Allah SWT sudah memberi peringatan akannya;
“Jika kamu bersyukur maka Aku akan tambahkan lagi nikmat padamu. Tapi jika kamu engkar, sesungguhnya azabKu amatlah pedih!”
Dan bersyukurlah para wanita yang tidak diuji dengan kecantikan luaran.
Kuranglah beban ujian untuk anda. Bersyukurlah kerana anda sudah ada kecantikan dalaman. Manakala kecantikan luaran itu tidak akan membawa apa-apa makna disisi Allah SWT jika tidak hadirnya akan kecantikan dalaman.
Allah ‘menilai’ yang dalam dan bukannya pada yang luar.
Bagi wanita yang hanya ada kecantikan luaran;
Andalah manusia yang paling hodoh tanpa sedar. Berhentilah menipu mata yang menonton secara percuma lakonan wajah yang tidak akan ke mana...
Kecantikan luaran yang tidak dihiasi dengan kecantikan dalaman ibaratkan sebuah cawan emas yang tidak boleh berfungsi sebagai alat kepada empunyanya untuk meminum air. Hanya menjadi perhiasan rumah yang menunggu masa untuk dihuni sawang!
Bagi wanita yang merasa cuma ada kecantikan dalaman;
Usahlah merendah diri. Antara Allah dan manusia, siapakah yang kita mahu jadikan sebagai Panel ‘penilai prestasi kecantikan diri’? Tentulah Allah!
Ayuh bangunkan lagi kecantikan dalaman agar ia sekaligus menghiasi penampilan luaran.
Bagi wanita yang punya kecantikan luaran dan sekaligus dalaman;
Sentiasalah bermuhasabah dengan ayat di atas tadi. Teruslah bermujahadah moga-moga ‘ujian’ kecantikan yang diberikan oleh Allah itu juga akan menjadi salah-satu untung pelaburan di akhirat sana...
Ingatlah, mereka yang selamat di negeri dunia dan negara akhirat ialah mereka-mereka yang membungkus rapi kecantikan dan tidak memperagakan secara percuma kepada para mata-mata Syaitan!
No comments:
Post a Comment