Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Friday, September 17

CANTIK. Antara yang luar dan dalam


CANTIK. Yang bagaimana?

Untuk kelihatan lebih cantik, bukan sedikit orang yang sanggup melakukan apa saja…

Kerana mahu kelihatan cantiklah, ada orang sanggup merungkai tudung yang bertahun-tahun diikat pada kepala kerana menyangka rambut hitam itulah yang akan menyerlahkan kecantikan.

Itulah bahayanya bila definisi kecantikan hanya tertakluk pada luaran. Tidak disertakan bersama formula kecantikan dalaman.

Cantik. Yang bagaimana sebenarnya?

Ramai orang hanya menilai dengan mata. Tidak disertakan dengan mata hati.

Kerana itulah ramai orang juga tertipu dek mata kepala sendiri.

Indahnya suatu penilaian yang disertakan dengan mata hati. Kerana mata hati tidak pernah menipu. Apatah lagi mata hati yang diselimuti oleh gebar keimanan dan ketakwaan!

Pastinya yang lebih cantik itu ialah yang cantik dalaman. Bukan luaran semata-mata.

Kecantikan luaran hanyalah pada kulit yang akan berkedut. Pada pipi yang akan keronyok. Pada gigi yang akan tertanggal. Dan serba-serbi luaran fizikal manusia yang akan membusuk dan kemudian dimakan jua oleh tanah dan ulat.

Tapi kecantikan dalaman ia terletak pada PRINSIP, GAYA BERFIKIR, dan AKHLAK. Ia sesekali tidak akan menua bahkan semakin menawan dengan lanjutnya suatu usia.

Kecantikan dalaman hanya boleh disedari oleh mata hati yang melihat dengan iman. Tidak pada mata kepala yang hanya menilai dengan nafsu.

Kecantikan yang asli adalah kecantikan dalaman.

Manakala kecantikan luaran hanyalah ‘bonus’ yang DIUJIKAN oleh Allah SWT.

Awaslah para wanita yang punya kecantikan luaran. Ia boleh jadi ujian yang melekakan ataupun untung yang menambahkan lagi keinsafan.

Allah SWT sudah memberi peringatan akannya;

“Jika kamu bersyukur maka Aku akan tambahkan lagi nikmat padamu. Tapi jika kamu engkar, sesungguhnya azabKu amatlah pedih!”

Dan bersyukurlah para wanita yang tidak diuji dengan kecantikan luaran.

Kuranglah beban ujian untuk anda. Bersyukurlah kerana anda sudah ada kecantikan dalaman. Manakala kecantikan luaran itu tidak akan membawa apa-apa makna disisi Allah SWT jika tidak hadirnya akan kecantikan dalaman.

Allah ‘menilai’ yang dalam dan bukannya pada yang luar.

Bagi wanita yang hanya ada kecantikan luaran;

Andalah manusia yang paling hodoh tanpa sedar. Berhentilah menipu mata yang menonton secara percuma lakonan wajah yang tidak akan ke mana...

Kecantikan luaran yang tidak dihiasi dengan kecantikan dalaman ibaratkan sebuah cawan emas yang tidak boleh berfungsi sebagai alat kepada empunyanya untuk meminum air. Hanya menjadi perhiasan rumah yang menunggu masa untuk dihuni sawang!

Bagi wanita yang merasa cuma ada kecantikan dalaman;

Usahlah merendah diri. Antara Allah dan manusia, siapakah yang kita mahu jadikan sebagai Panel ‘penilai prestasi kecantikan diri’? Tentulah Allah!

Ayuh bangunkan lagi kecantikan dalaman agar ia sekaligus menghiasi penampilan luaran.

Bagi wanita yang punya kecantikan luaran dan sekaligus dalaman;

Sentiasalah bermuhasabah dengan ayat di atas tadi. Teruslah bermujahadah moga-moga ‘ujian’ kecantikan yang diberikan oleh Allah itu juga akan menjadi salah-satu untung pelaburan di akhirat sana...

Ingatlah, mereka yang selamat di negeri dunia dan negara akhirat ialah mereka-mereka yang membungkus rapi kecantikan dan tidak memperagakan secara percuma kepada para mata-mata Syaitan!

Tuesday, August 31

Saat-saat genting seorang hamba!


Separuh masa Ketiga piala TAKWA!

Pusingan ketiga bermula!

Hari ini adalah hari ke-21 Ramadhan. Kalau dianalogikan dalam permainan bola, pusingan ini adalah pusingan yang ketiga. ‘Extra time’ setelah 1st half dan 2nd half berakhir.

Pusingan inilah dimana Rasulullah SAW langsung tidak berbuka puasa melainkan ketika waktu sahur.

Ketika ditanya oleh para sahabat;

“Wahai Rasulullah... Apakah ini satu perintah dari Allah?”

Jawab baginda, “Ini adalah khusus untuk daku sahaja”.

Gentingnya seorang kekasih Allah mengejar keredhaan dan keampunan Allah SWT walhal baginda sudahpun mendapat jaminan Syurga!

Sehingga Saidatina Aisyah Radhiallahu’anha mengungkapkan;

“Aku tidak pernah melihat kesungguhan baginda Nabi SAW beribadah melainkan ketika waktu ini (malam-malam terakhir Ramadhan).”

Bayangkanlah..... Rasulullah SAW seorang yang luar biasa ketekunan ibadahnya sehingga dicatitkan di dalam kitab-kitab sirah. Salah satunya, baginda bersolat sehingga kaki beliau bengkak dan pecah.

Kita ingatkan itulah ibadah yang paling maksima dibuat oleh Rasulullah!

Rupa-rupanya ada lagi yang lebih ‘hyper-maksimum’ daripada itu. Iaitu ketika malam-malam akhir bulan Ramadhan! Itulah yang disaksikan oleh ummul Mukminun Saidatina Aisyah sendiri.

Kenapa?

Kerana pusingan ketiga ini adalah saat-saat genting bagi seorang hamba yang sangat mendambakan keampunan serta keredhaan Tuhannya...

HARI-HARI MENUJU KEMENANGAN!

Masa terus berdetik.

Setiap saat yang ada sangat berharga bagi seorang Mukmin.

Setiap amalan dilipat kali ganda pahalanya oleh Allah SWT sebanyak 70 kali.

Bayangkan seorang hamba yang menapak ke masjid di bulan Ramadhan dengan hati yang ikhlas lalu mengerjakan solat berjemaah.

Satu langkah dapat 1 pahala. Katakan jarak rumahnya ke masjid adalah 50 langkah, maka pahalanya adalah 50x70 kali di bulan Ramadhan. Jumlahnya ialah 3500 pahala!

Kemudian hamba ini solat berjemaah. 1 pahala solat x 27 solat berjemaah x 70 di bulan Ramadhan, jumlahnya 1890 pahala.

Itu tidak termasuk pahala bacaan di dalam solat iaitu satu huruf Al-Quran akan mendapat 10 ganjaran dan didarabkan dengan 70 kali di bulan Ramadhan. Pahala ‘iktikaf, mendengar bacaan imam, pahala saf solat, dan pelbagai lagi... Terlalu banyak jumlahnya!

Subhanallah... Luasnya kurnia Allah SWT bagi mereka yang menilai dengan iman.....

Pusingan ke-3 ini adalah hari-hari terakhir menuju kemenangan.

Bagi hati-hati yang mengerti, mereka akan teruja berlumba-lumba membuat kebajikan sehingga ke tahap yang paling maksima.

Padanlah ketika akhir Ramadhan inilah Tariq bin Ziyad menawan kota keagungan Eropah di Sepanyol!

-Gambar Hiasan-

Tanggal 27 Ramadhan.

Sejarah dunia mencatatkan peristiwa tatkala kuda perkasa tunggangan seorang ‘hanya biasa’ berketurunan hamba dari Parsi iaitu Tariq bin Ziyad mendarat di pesisir pantai Selat Gibraltar.

Tiba-tiba panglima yang ‘hanya biasa’ ini membuat satu arahan yang terlalu ‘luar biasa’! Beliau meminta kapal-kapal yang digunakan tadi dibakar kesemuanya. Tanpa ada sebuah pun yang ditinggalkan.

Jackson J. Spielvogel menulis dalam bukunya, Western Civilization:

“After sweeping across North Africa, the muslims crossed the Straits of Gibraltar and moved into Spain around 7100 people.”

Mendengar berita ini, Raja Roderick mengetuai tentera seramai 100 000 orang untuk berdepan dengan tentera Islam yang hanya berjumlah 12 000 orang termasuk tentera bantuan yang baru sampai.

Tapi sungguh!

Raja Roderick telah melakukan kesilapan besar kerana menentang tentera Islam di saat ‘hari-hari GENTING mereka menuju kemenangan’.

Raja Roderick tersilap membuat percaturan kerana jahil menilai. Dia tidak tahu bahawa hari-hari terakhir Ramadhan adalah saat-saat genting seorang hamba ‘bermati-matian’ menyahut seruan Tuhannya.

Ekoran dari itulah tentera Sepanyol tewas dan Raja Roderick terbunuh dalam pertempuran yang berlangsung di dalam Wilayah Cadiz.

Mari kita selami apa yang diucapkan oleh panglima Tariq bin Ziyad tatkala beliau berpidato selepas membakar kapal-kapalnya:

“Wahai sekalian Tenteraku, kemana kalian mahu melarikan diri?? Laut di belakang kamu dan musuh ada di hadapan kamu. Demi Allah yang Maha Kuasa! Tiada lagi yang tinggal melainkan Keberanian dan juga Kesabaran!”

Hari-hari akhir Ramadhan... Ketahuilah bahawa ia adalah detik dimana seorang hamba akan mencapai ‘klimaks’ dalam ibadahnya!

Insya Allah, kita buktikan!! Tapi hanya pada Allah dan bukan pada manusia.

Saturday, August 28

Kita diambang merdeka? (2)



Menanti.... Bilakah kemerdekaan yang sebenar?

Kita diambang merdeka (1) -->[link]

Yang masih empunya hati perimanusia kan terasa dirobek.

Dan pastinya yang punya iman kan menggigil dengan luapan amarah.

‘Industri pelacuran’ yang memerangkap makhluk Tuhan bernama wanita!

Mengapa gejala ini kian membarah?

Sekali lagi soalnya, diambang merdeka haruskah kita terus-menerus begini??

Tidakkah kita malu mengaku sebagai sebuah negara yang merdeka tapi walhal di sana masih ada kes penjualan dan pemasaran manusia?

Bukannya sedikit... Bahkan mengikut perangkaan PBB (Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu), tahun lepas negara kita tersenarai dalam tangga ‘top-ten list’! Saya fikir amat peliklah mereka yang tidak berasa akan dahsyatnya.

Pagi tadi siapa yang berkesempatan membuka Buletin Pagi TV3, tersedia sebuah laporan khusus gadis bawah umur yang dipaksa menjadi ‘pelacur kelas pertengahan’. Malaysia pun sudah mempunyai kelas-kelas tersendiri untuk pelacur sekarang ini. Dahsyat!

Aishah (bukan nama sebenar), tampil dengan imej (sensored) bertudung litup.

Pertama kali melihatnya, saya tersentak.

Masakan gadis sebaik ini juga menjual diri??

(Maaf. Saya tidak tahu apakah imejnya sebelum dan selepas peristiwa itu sama. Itu tidak pasti)

Apa yang pastinya ialah Aishah antara gadis yang diperangkap menjadi pelacur. Dia adalah gadis yang berkelahiran darah Malaysia serta beragama Islam. Anak kandung jati dan tulen negara ini. Bukannya warga Indonesia atau warga Nepal!

Menurut Aishah, mereka dipelawa bekerja di suatu tempat yang hanya dikenali sebagai firma perkhidmatan. Oleh kerana desakan kewangan, dia dan seorang temannya menerima tawaran kerja tersebut.

Malangnya sesampai di tempat yang dijanjikan, rupanya pekerjaan yang dijanjikan oleh firma palsu tersebut adalah khidmat seksual! Maka bermulalah titik hitam dua orang gadis bawah umur tadi dan seangkatan dengannya yang lain.

Menurut Aishah lagi, mereka tidak punya peluang melarikan diri.

Sendikit itu mengawal setiap pergerakan wanita-wanita yang mereka ‘bela’.

Mujurlah OPS dari Unit Jenayah Polis Bukit Aman menyelamatkan Aishah dan rakannya.

‘Aishah, bukan mereka yang menyelamatkan kamu. Tapi Allahlah sebenarnya yang mengeluarkan kamu dari lembah hina itu...’

Nastaghfirullah al’aziim.... Terlalu tragis!

Ya... Diambang merdeka kini, itulah tragedi benar yang sedang berlaku.

WANITA. BERERTIKAH KEMERDEKAAN INI BUATNYA?

Sebelum kebangkitan manusia agung iaitu Nabi Muhammad SAW, masyarakat di seluruh pelosok dunia ketika itu memberi pelbagai nilaian yang salah buat makhluk Allah bernama wanita.

Wanita dizalimi dan diperdagangkan sewenang-wenangnya.

Di negara India umpamanya pernah berlaku, wanita dibakar hidup-hidup setelah kematian suami kerana menganggap hak hidup bagi seorang isteri telah pun tamat. Berdasarkan catatan sejarah, sehingga tahun 1885, sebanyak 8000 nyawa anak-anak perempuan India dibunuh setiap tahun dek kerana kepercayaan karut ini.

“Perempuan Hindu tidak boleh bersuami lain setelah kematian suaminya. Kalau suaminya mati dibakar, maka isterinya harus turut dibakar hidup-hidup.”—Catatan kitab Manu.

Sarjawan Kong Hu Tju, turut mencatitkan perihal wanita Tionghua suatu ketika dulu.

Di tanah besar Tiongkok iaitu 580 SM, para isteri orang-orang besar ketika itu akan dipakaikan celana daripada besi di celah pahanya hingga ke pusat dan kemudian dikunci dengan besi oleh suaminya sepanjang ditinggalkan.

Bayangkanlah keadaan para wanita bila diperlakukan sedemikian rupa!

Begitu juga di Parsi, tanah Arab semasa Jahiliyyah dan tanah Eropah, wanita hanya layak menjadi tempat melempiaskan hawa nafsu sang lelaki.

Ketika Arab Jahiliyyah, seorang bayi perempuan yang lahir akan di tanam hidup-hidup dan tidak layak hidup di dunia. Perempuan yang ada dijadikan tempat pemuas nafsu. Dan perempuan yang ditinggalkan oleh suaminya akan diasingkan dari kelompok manusia dan mesti memakai pakaian yang paling buruk.

Setelah setahun, seekor kambing atau keldai akan dibawa kepada wanita ini dan barulah ia dianggap ‘suci’ selepas itu.

Harga diri wanita terlalu rendah dan kadang-kala ia lebih rendah dari maruah seekor binatang.

Sehingga akhirnya datanglah Islam membawa cahaya pembebasan lantas menyuluhi para wanita yang mendambakan ‘kemerdekaan’!

Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan dengan tidak ada sesuatu apa yang mereka kerjakan, maka sungguh mereka menanggung dosa derhaka yang nyata!”—Surah Al-Ahzab ayat 58

Baginda Nabi SAW mendidik manusia terutamanya kaum lelaki akan nilai ‘sebenar’ bagi seorang wanita.

Sejarah dunia turut mengiktiraf bahawa Islamlah yang akhirnya berjaya melenyapkan mitos ‘kuno’ dahulu kala yang menyebabkan penderitaan kepada kaum wanita selama ribuan tahun.

Pesan Nabi SAW:

“Bahawa sesungguhnya orang-orang perempuan itu adalah saudara bagi orang-orang lelaki.”—Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, dan Tarmizi.

Pernah dengar tak satu untaian sirah?

Datang seorang Arab Badwi berkata kepada Rasulullah. “Ya Rasulullah... Izinkan daku berzina.” Nabi menegahnya. Dia meminta semula dan berkeras ingin melaksanakan maksiat tersebut. Berkali-kali Nabi menegah. Arab Badwi terebut berkeras juga.

Akhirnya Nabi SAW berkata, “Mahukah anda jika ada orang lain berzina dengan saudara perempuan kandung anda??”. Pertanyaan Rasulullah yang mengandungi tegahan psikologi itu menyebabkan si Arab Badwi terdiam. Lantas dia membatalkan niat jahatnya.

Subhanallah.... Indahnya Islam. Setiap wanita yang ada adalah bagaikan saudara sekandung kita. Sanggupkah jika mereka dizalimi didepan mata??

Wanita. Peliharalah kesucian dan harga dirinya

Saya tertarik dengan madah pujangga seorang sasterawan berbangsa Jerman yang mengakui ‘kemerdekaan’ maruah wanita setelah datangnya naungan Islam. Ungkapnya;

Di tengah-tengah gelap kebodohan Eropah....

Tiba-tiba kita dikejutkan,

Penghulu Islam (Nabi Muhammad) pertama-tama manusia yang berkata....

Syurga di bawah telapak kaki ibu!

***

Sempena ambang kemerdekaan. Ingin saya bertanya;

Wahai kaum ibu dan wahai kaum putriku....

Merdekakah kalian jikalau di sana masih ada kaum namanya wanita dibelenggu ‘hina’??

-----------------------------------------

Saya juga sering diserbu rasa pelik dan musykil.

Sering kelihatan di kaca tv akan peristiwa serbuan rumah-rumah urut, balai-balai pelacuran, disko-daska, dan segala macam.

Tapi...

Hanya gadis-gadis dan wanita-wanita itu sahaja yang sering tertangkap.

Pengurus? Tauke? Dalang? Dan yang sekaki dengannya sering ke mana menghilang?

Terlepas atau dilepaskan..???

Wallahu a’lam!!

p/s:- Minta maaf. Saya gerammm.