Showing posts with label remaja. Show all posts
Showing posts with label remaja. Show all posts

Friday, August 6

Zina: Kit kombat Nabi Yusuf AS


Zina. Ujian bagi makhluk yang ada nafsu

Apa respon anda bila didatangi seorang remaja lalu berkata;

“Saya telah berzina beberapa kali... Sudah lama saya ingin berubah. Saya nak berhenti berzina. Tapi, setiap kali dipujuk oleh rakan (boyfriend) di sekolah saya akhirnya kecundang. Akhirnya kami berzina bermula dari tingkatan 3 hinggalah ke tingkatan 5! Tamat SPM kami terpisah dan saya pula teringin untuk berhenti dari berzina. Bolehkah saya berhenti?? Masalah saya ialah saya ketagih untuk berzina lagi!”

Allahu Akbar! Terlopong mendengar ayatnya yang terakhir.....

Bagaimanapun ia adalah realiti yang boleh berlaku di keliling kita. Saya tabik pelajar ini kerana keberaniannya membuat pengakuan. Saya pasti ia adalah keinginan yang benar-benar ikhlas melalui cara penyampaiannya yang disertai oleh linangan air mata....

Jika anda seorang guru yang hanya meletakkan lingkungan tugas sebagai mengajar, maka ketika ini anda akan melihat pelajar tersebut sebagai bebanan masalah yang tidak akan kunjung selesai. Sudah pasti pelajar ini berkemungkinan menerima nasib dibuang sekolah atas ‘kesilapannya’ membuat pengakuan yang berani lagi Ikhlas itu!

Berbeza dengan yang kedua....

Seorang guru yang mempunyai paradigma hebat iaitu merasakan tugas guru bukan hanya mengajar semata-mata maka ketika itulah nasib sang pelajar tadi insya Allah boleh berubah. Pengakuan yang berani lagi ikhlas seperti tadi akan membuahkan hasil dan di situlah akan muncul titik tolak perubahan ‘cuaca’ hidupnya.

Saya tidak berminat untuk terus membandingkan dua guru di atas. Saya yakin lagi percaya jika ada majlis undian, guru kedua adalah pilihan kita semua.

Soalnya berapa ramai guru seperti itu SEKARANG INI?

Saya sebenarnya optimis walaupun sekali sekala bersikap pesimis!

Baik. Kita tinggalkan sebentar soal guru dan sekolah. Soal pelajar tadi dan soal sikap ibu dan ayahnya kepada kes yang dilakukan oleh anak mereka. Mari kita lihat sebentar ‘kawasan’ kita sendiri. Maksud saya benda yang kita boleh kawal dan ubah. Seperti kata Maxwell, mulakan dengan parameter yang kita boleh kawal.

Apa parameter yang kita boleh kawal?

Sudah pasti diri sendiri....

Siapa pun anda, anda bukanlah diri anda jika anda tidak mampu membuat keputusan dan kemudian bertindak melaksanakan keputusan yang dibuat oleh diri sendiri anda!

‘TAMRIN’ KESENANGAN

Semasa menjadi mahasiswa (walaupun sekarang masih bergelar mahasiswa), saya sering bertemu program-program latihan yang memupuk peserta untuk bertahan dengan ujian kesusahan. Tapi, amat jarang bertemu kem/program yang menguji peserta dengan ujian kemewahan atau kesenangan.

Realitinya, manusia boleh bertahan dengan kesusahan tapi jarang sekali berjaya melawan kesenangan yang melimpah ruah!

Hari ini anak-anak muda di dalam dan di luar universiti apatah lagi mereka yang punya kemampuan dari sudut kewangan akan bertemu dengan ujian NAFSU. Peluang untuk melakukan zina terlalu ‘mudah’ bahkan amat menggerunkan kerana ada yang sanggup memberikan service ‘free of charge’!

Itulah kedahsyatan ujian kesenangan buat muda-mudi kala ini...

Dalam konteks di universiti misalannya... Bagaimana anak perantau yang tidak diperhatikan oleh ibu atau ayahnya boleh menolak zina yang lebih mudah dilakukan berbanding jalan yang halal?

Kalau pelajar di peringkat sekolah melakukan zina kerana pemikiran mereka yang pendek dan terlalai dengan keseronokan yang bersifat sementara, maka jangan terkejut jika budaya zina di kalangan mereka yang ‘terpelajar’ adalah bersifat ‘eksklusif’ malah bertujuan mencipta keuntungan.

Mereka berpeluang menggunakan telefon bimbit yang mewah, kereta sebiji, dan paling menyedihkan, untuk lulus peperiksaan ada yang sanggup menawarkan aktiviti zina. Ini yang saya maksudkan sebagai tsunami yang dahsyat. Itu belum lagi ‘tsunami gelombang kedua’ di alam pekerjaan dengan cinta tiga segi dan bersegi-segi antara suami atau isteri orang.

BELAJAR DARI NABI YUSUF AS

Lalu apa sebenarnya yang perlu kita lakukan? Ya. Berbalik kepada ‘kawasan’ kita.

Kita singkap firman Allah SWT dalam Surah Yusuf:

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh dan membujuk Yusuf untuk berkehendakkan dirinya dan perempuan itu menutup segala pintu seraya berkata: ‘Marilah ke mari, aku bersedia untukmu’. Yusuf menjawab: ‘Aku berlindung kepada Allah’. Sesungguhnya Tuhanku memelihara daku dengan sebaik-baiknya, sesungguhnya orang yang zalim tidak akan berjaya”. Surah Yusuf ayat 23.

Masya Allah! Itulah saat paling genting bagi seorang pemuda yang bernama Nabi Yusuf AS.

Marilah kita belajar kit Kombat dari Nabi Yusuf tatkala beliau diuji oleh Allah SWT dengan ‘tamrin’ (latihan) kesusahan dengan dihumbankan oleh adik-beradik sendiri ke dalam telaga seorang diri. Ketika itu baginda tetap memilih untuk bersama dengan Allah SWT.

Begitu juga tatkala baginda diuji dengan tamrin kesenangan iaitu tawaran berupa bujukan percuma dari seorang wanita yang teramat cantik, pun baginda tetap memilih Allah SWT!

Sebenarnya kit kombat ini terdasar dengan soal Iman.

Iman yang benar-benar yakin akan kewujudan Allah SWT seperti yang kita belajar dalam konsep ihsan, beribadatlah/berbuatlah kamu sebagaimana kamu melihat Allah SWT atau (jika kamu tidak mampu) kamu yakin bahawa Allah SWT melihat kamu. Dan tahap yang kedua ini adalah yang paling minimum!

Malangnya pembangunan Iman tidak dijadikan ‘projek’ utama bagi menangani virus-virus zina. Akhirnya lahirlah generasi yang lebih takutkan CCTV di dinding-dinding berbanding takutkan Allah SWT! Na’uzubillah......

Jangan tunggu diuji sehebat Nabi Yusuf baru nak memantapkan kit kombat di dada.

Sekarang juga tepuk dada tanya iman, sudahkah dia bersama dengan Allah........??

Saturday, June 12

kerana dia ku tolak syurga??


KERANA CINTA ORANG SANGGUP BERBUAT APA SAJA

Sudah lama saya tidak menulis. Ada saja kesibukan yang menghambat. Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT kerana dengan sibuk itulah kita akan mampu mengurus masa dengan baik.

Pagi ini saya ke library untuk mencari network internet yang baik. Saya perlu memuat turun sejumlah software yang dibeli dari National Instrument di USA secara online. Kesempatan inilah yang saya guna untuk menulis seketika..

Kelmarin saya amat terkilan.

Setiap pagi bila saya tiba ke office for Post-Garduate Student, seperti biasa saya akan switch ON notebook. Selepas itu barulah saya akan membancuh air serta menyapu planta ke roti untuk sarapan pagi. Sementara mengambil sarapan, sudah menjadi rutin saya untuk membaca news secara online dan melihat info status rakan-rakan melalui laman Facebook.

Terkejut!

Pagi kelmarin saya terlihat satu gambar yang sangat-sangat tidak menyenangkan hati. Gambar itu dipaparkan secara sukarela oleh tuan punya diri di laman sosial yang jutaan ramai penggunanya. Gambar seorang bekas pelajar SMK (A) yang tidak menutup aurat. Sudahlah tidak menutup aurat, dia ‘mengucup’ (maaf saya sebutkan perkataan yang kurang senonoh) kekasihnya tanpa segan silu!

Amat mendukacitakan... Wanita ini adalah pelajar junior yang saya kenali sejak sekian lama. Wanita yang ketika menjadi pelajar, terkenal dengan budi bicara yang baik. Terpancar kesantunan akhlak melalui pakaian, gaya penampilan, dan sebagainya. Bukan dia seorang yang saya maksudkan, tetapi ada segelintir putra-putri yang pernah duduk di sekolah itu. Trademark yang hanya tinggal kenangan...

Pagi itu saya tidak dapat menahan sabar.

Kalau sebelum ini saya hanya mengetap bibir apabila melihat gambar-gambar profile tanpa hijab di kepala ditayangkan sesuka hati.. Tapi, pagi kelmarin lain ceritanya. Saya dengan keras meminta adik junior ini ‘delete’ gambar yang kurang senonoh itu. Bagi saya, masing-masing ada hak. Jika sesuatu perkara sudah ditayangkan secara umum, maka orang umum juga punya hak untuk menegur. Ketika itu sudah tiada isu peribadi atau tidak.

Alhamdulillah... Gambar itu lesap di sebelah petangnya.

Saya menarik nafas panjang... Kerana cinta, orang boleh berubah sekelip mata!

“Awak memanglah... Orang baik. Orang baik takkan jatuh cinta.”

“Kami ni macam nilah. Dah tak boleh nak tinggal... Bila dah sayang..”

Saya masih ingat. Pelbagai alasan diucapkan oleh beberapa orang rakan apabila ditanya kenapa memilih untuk ber-couple. Dah lah couple, ke hulu dan ke hilir membonceng di atas motosikal. Bayangkan, nak ke supermarket berdua, ke kedai makan untuk tengah hari berdua, beli barang nak berdua, tengok wayang berdua, nak isi borang biasiswa pun nak berdua, kira dah jadi macam suami-isteri lah. Cuma tak akad nikah sahaja!

Siapa kata ada manusia yang tak jatuh cinta?

Allah SWT sudah menciptakan manusia sebegitu rupa. Boleh jatuh cinta. Kerana dengan tarikan cinta itulah manusia akan mencari pasangan hidupnya dan seterusnya berkembang biak di dunia ini. Maka cinta itu sebenarnya rahmat! Tapi perlu diingat, Allah SWT juga mengizinkan kepada Iblis Laknatullah supaya cinta itu menjadi bahan ujian kepada manusia. Dan ketika manusia berjaya diperdaya oleh Iblis, maka saksikanlah cinta itu sudah tidak menjadi rahmat bahkan ia bertukar menjadi azab!

Isunya sekarang bukan kerana saya orang baik. Atau sesiapa sahaja yang menolak couple itu sudah menjadi ukuran yang dia seorang yang baik. Sebaliknya yang bercouple itu ‘jahat’... Tidak.. Jauh sekali dari itu.

Tetapi apa yang kita inginkan ialah ‘budaya bercinta’ yang penuh integriti. Integriti dalam konteks amanah pada Allah dan ikut sunnah Rasulullah. Iaitu bercinta hanya setelah selesai melafazkan nikah!

“Macam mana pula tu.. Habis kita tak akan kenal lah bakal pasangan kita?”

Sebelum kita jawab soalan ini. Pernah tak kita lontarkan dalam diri kita, sudahkah kita jatuh cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya? Pernah tak kita serius untuk berusaha megenali Allah dan Rasul-Nya agar cinta kita kepada kedua-Nya semakin bertambah-tambah? Muhasabah pada diri masing-masing termasuklah saya.

Perlu kita ingat, ‘budaya cinta’ yang ada integriti ialah, cinta kepada makhluk datang setelah cinta pada yang Khaliq! Bukan cinta pada makhluk dahulu, barulah selepas itu kita nak kejar cinta Khaliq... Kalau ‘budaya cinta’ yang kedua inilah yang kita pilih, maka cinta kita tidak akan ke mana.. Rasa cinta tadi akan saban hari pudar dan menjadi kusam. Sehingga satu masa kebosanan sudah ke maksima maka ketika itulah cinta yang pada mulanya dulu ibaratkan bunga tetapi kini sudah menjadi sampah. Masa itulah cinta dikeronyokkan, dihina, diludah, dan kemudian dicampakkan di tong sampah! Lihatlah contoh yang berlaku kepada para artisan.

Kita nak jadi begitu? Tidak... Nau’zubillah.

Kita kena yakin... Ikatan cinta ini adalah anugerah Allah SWT. Dialah yang akan meniupkan rasa zauk (perasaan tak berbelah bagi) kepada setiap pasangan yang dah berkahwin untuk saling cinta mencintai. Begitu juga cinta seorang anak kepada kedua ibu-bapa, adalah kerana anugerah istimewa dari Allah SWT. Usaha manusia untuk saling bertukar hadiah, sms kata-kata cinta atau sebagainya, itu hanya usaha makhluk. Yang hakikat sebenarnya Allah lah yang akan menentukan degup jantung serta hitam putih hati para hambaNya.

Cuba kita guna logik akal sebentar...

Jika anda seorang majikan, mahukah anda memberikan bonus kepada seorang pekerja anda walhal dia tidak mematuhi budaya kerja yang anda tetapkan? Tentu tidak bukan? Begitu juga logik yang seterusnya. Padankah Allah mengurniakan cinta kepada dua orang pasangan yang berkahwin tanpa melalui syariat yang diredhaiNya? Juga tidak bukan? Walaupun Allah itu maha Pemberi dan Pengasih, tetapi kewajiban kita sebagai hambaNya untuk terus berusaha menurut apa yang diperintahkanNya...

Saya teringat kata-kata Ustaz Saiful Islam dalam salah satu tulisannya, anak muda hari ini termasuk saya tidak akan dapat faham bahasa yang berbunga-bunga. Bila kita nak menegur sesuatu atau nak menerangkan sesuatu, kita perlu menyebutkan satu-persatu. Biar jelas dan terang. Dengan itu barulah mereka akan faham.

Baik...

Bagi pendapat saya, ada beberapa perkara yang perlu untuk kita nilai bersama ketika berdepan dengan namanya cinta. Samada yang kita pilih cinta yang akhirnya membawa kepada rahmat ataupun cinta yang menuju kepada azab!

1. Muhasabah cinta Khaliq sebelum mencintai makhluq

Itulah maksud yang saya nak bawa. Iaitu sebelum kita ‘berani’ untuk mencintai makhluq, biarlah kita koreksi sejauh mana cinta kita pada yang Khaliq (Sang Pencipta) sejujur-jujurnya. Mengapa? Kerana nilai cinta kepada makhluq itu nanti akan bergantung kepada nilai cinta kita kepada Allah SWT.

Cinta kepada Khaliq ini juga akan membantu kita untuk mendefinasi siapa sebenarnya yang kita boleh cintai nanti. Layakkah lelaki ini mencintai kita atau sebaliknya layakkah wanita itu menerima cinta kita?

2. Cinta tidak bersalah, tetapi salahnya pada manusia yang bercinta

Cinta itu fitrah dari Allah SWT. Terpulang kepada penerimanya untuk bagaimana menguruskan cinta. Sedangkan budaya cinta yang ada integriti ialah mereka yang hanya bercinta setelah lafaz halal melalui nikah. Ini sahaja jalan yang ada. Dan, tiada jalan pintas atau jalan ‘kecemasan’ yang boleh digunakan selain dari bernikah.

“Habis kalau tak kenal bagaimana untuk bernikah?”—Saya pernah diajukan soalan ini untuk yang ke berapa kali. Dah tak ingat... Terlalu banyak kebimbangan barangkali.

“Apakah hanya jalan bercouple yang ada untuk kita nak kenal seseorang?” Skema yang sering saya gunakan sebagai jawaban.

Nak kenal lebih rapat untuk mengetahui keserasian?Atau sekadar ingin menguji kesetiaan dan sebagainya? Yakinlah bila anda sudah melakukan muhasabah cinta kepada Khaliq sebelum itu, anda tidak perlu bimbang semuanya tadi. Cara berfikir, sifat manusia, tindakan, respon, kata-kata yang diungkapkan serta 90% dari hal-ehwal dalaman manusia adalah semuanya terzahir daripada sejauh mana seseorang mencintai Khaliqnya.

Cukuplah dengan itu...

3. Jangan dek kerana cinta, sangup menolak syurga

Orang yang yakin kepada janji Allah SWT tidak perlu membujuk rayu agar diberikan peluang cinta dari mana-mana makhluk. Kerana bagi mereka, apalah ertinya mendapat cinta manusia sedangkan cinta Allah terpaksa dikorbankan. Dalam diri mereka tiada rasa kecewa, gundah-gulana, atau perasaan takut kehilangan jodoh kerana nikmat bercinta dengan Allah itu lebih indah dari segala-galanya.

Mereka bercinta kepada makhluk sekalipun adalah dek kerana itu adalah perintah Allah SWT dan sunnah rasulNya.

Jadi, amatlah sedih tak terhingga jika ada yang sanggup membuang hijab yang menutupi tubuh kerana ingin meraih cinta manusia. Bukan hanya membuang hijab, bahkan ada yang sanggup megorbankan maruah kerana semata-mata mahu membuktikan sebuah cinta makhluk yang penuh dengan ilusi dan tipu daya syaitan.

Apakah hanya kerana dia, kita sanggup menolak syurga?

Renung dan fikir-fikirkan... Juga saya tujukan untuk diri sendiri!

p/s-Khusus kepada adik-adik yang masih belajar di bangku sekolah. Tumpukanlah cinta anda sepenuh hati kepada alam di mana anda berada. Cintailah Allah, cintailah Nabi, buku-buku pelajaran, guru-guru anda, serta seterusnya kejayaan anda dalam setiap siri peperiksaan. Jangan sekali-kali mencuba-cuba untuk jatuh cinta kerana ia akan menggagalkan anda untuk terus maju ke hadapan. Jika anda cinta seseorang dan anda dicintai sekalipun anda tidak layak lagi untuk bercinta kerana anda masih ada tugas serta misi yang besar. Maka, mengapa perlu membazir masa?? Sudah banyak kali pengalaman saya saksikan orang jatuh cinta, tapi akhirnya tidak sampai ke mana. Hilang fokus pelajaran dan si dia hilang sekaligus. Bila dewasa barulah sesal datang... Ketika itu nasi sudah menjadi bubur. Wallahu a’lam.

Wednesday, April 14

Remaja, bila sudah cinta..


Saya kehilangan kata-kata. Tidak tahu apa lagi yang boleh diucapkan kerana nasi sudah menjadi bubur. Mujurlah pintu taubat Allah SWT itu terbuka luas. Maka, biarlah Dia yang menentukannya.

“Pada mulanya dia seorang yang baik. Caring. Ambil berat.”

“Saya tak sangka pula dia tergamak buat begini.” Tambahnya sambil diselang-seli dengan bunyi tangisan.

Ah lelaki! Spontan mulut saya berkata. Maaf, saya tidak berniat tujukan kepada semua lelaki.

Sering berlaku perempuan tertipu dengan menafsir secara salah akan ambil berat, caring, dan sebagainya lantas saat itulah seorang lelaki mengambil peluang yang tidak sepatutnya. Itu tak termasuk lagi yang ‘suka sama suka’.

Ah remaja! Bila sudah cinta... Segala-galanya sanggup diserahkan walau sudah tahu bahawa maruah itu tiada galang gantinya!

Wahai golongan yang bernama wanita, sedarlah bahawa ukuran baik bagi seorang lelaki itu bukan pada berapa kali bilangan mulutnya menguntum senyuman kepada anda, atau berapa kali ulang-alik ke meja anda kononnya bertanya apa masalah yang boleh dibantu.

Berhati-hatilah kerana ketika itu mungkin ‘ada udang di sebalik mee’!

Sang lelaki memasang jerangkap cinta. Andalah nanti mangsanya.

Anda perlu tahu hakikatnya bila anda sudah terkena perangkap cinta tadi dan berlaku yang tidak sepatutnya, si lelaki berfikir bahawa dia tidak rugi apa-apa. Katanya, yang rugi secara zahirnya pastilah orang yang bernama wanita. Memang itulah niatnya! Saat itu air mata darah sekalipun takkan mampu menyucikan anda!

Dulu ada seorang adik sekolah menengah datang bertanya.

“Bang, salahkah saya bila jatuh cinta?” Tanyanya bersungguh.

“Tak. Tapi, saat anda tidak bangun dari jatuh itulah kesalahan yang pertama!” Jawab saya.

Cinta. Bukankah ia fitrah? Ia boleh datang bila-bila masa meskipun tidak diundang.

Cinta amat luas tafsiran dan maksud. Kasih-sayang boleh dianggap cinta. Tertarik kepada kebaikan orang boleh jadi ia juga cinta. Kalau begitu, mampukah kita tepis perasaan cinta? Tidak. Kerana ia fitrah.

Fitrah yang diujikan oleh Allah SWT kepada hati para hambaNya. Bergantung kepada kita. Samada mahu jadikan ia rahmat yang penuh kebaikan ataupun bala yang membinasakan!

Fitrah cinta jangan dilayan dengan Bercinta. Kerana bercinta membawa maksud anda tidak bangun-bangun setelah jatuh cinta tadi.

“Habis? Bila boleh bercinta?” Tanyanya lagi. Lagak hilang sabar.

“Nikahlah. Itukan yang Islam anjurkan. Tapi, mampukah?” Saya merenung matanya dalam-dalam. Sepintas lalu mengimbas dari hujung kaki ke hujung rambut. Lagak seorang penemuduga.

Budak sekolah menengah kita anjurkan bernikah? Ya, tidaklah salah. Jawaban itu mungkin benar tetapi realitinya tidak tepat kerana nikah secara keseluruhannya adalah beban Tanggungjawab. Bukan pintu nafsu yang halal semata-mata.

“Awak kena ingat satu sifir cinta.” Ucap saya. Mencari solusi.

“Sifir cinta?”

“Ya. Awak kena kenal pasti dengan apa sepatutnya awak bercinta.”

Remaja, cinta dan perasaan anda sepatutnya dicurahkan kepada dunia di mana kaki anda berpijak.

Di hadapan anda terbentang hutan menghijau dunia akademik yang belum anda teroka. PMR, SPM, STPM, Universiti, semuanya itu alam yang wajib untuk anda jelajahi. Semuanya itu memerlukan kekuatan fizikal, minda, bahkan perasaan cinta anda sekaligus. Bukankah sepatutnya anda tumpukan cinta anda ke situ? Bukankah lebih bermanfaat untuk bercinta dengan alam yang akan menentukan siapa anda suatu hari nanti?

Insya Allah. Selepas anda berjaya meneroka alam tadi, saat itulah saya yakin anda sudah mampu menerima taklifan cinta!

Maksud saya, ketika itu BERNIKAH DAHULU dan kemudian bercintalah sepuas hati anda!

Berita terkini tentang pelajar pintar bernama Halimaton [link].

Dek kerana cinta, Halimaton nyaris-nyaris bergelar 'Hamilton'! 1 daripada 1001 kes yang serupa...

Monday, April 12

Cerita pasal matang

-sekadar hiasan-

Usai solat isyak. Saya mengambil angin di beranda masjid. Saja nak merehatkan minda sambil-sambil berbual dengan orang tua yang ada.

“Kalau zaman kami dulu, umur 12 tahun dah turun ke bendang. Dah berpanas bermandi hujan. Kalau anak lelaki tu, dah macam bapa dalam rumah. Tambah-tambah pula bila anak yatim.”

Saya sekadar memasang telinga. Mendengar buah bicara dari mereka yang lebih dahulu makan garam. Seronok juga bersembang sekali-sekala.

“Tapi sekarang ni budak-budak dah tak macam dulu.”

“Kenapa pula pakcik?” Tanya saya.

“Yelah. Sekarang ni umur 12 tahun ibaratkan masih ‘menyusu’ lagi. Usahkan turun ke bendang, cuci baju sendiri pun belum tentu pandai!” Semacam ada keluhan kecil.

“Kami dulu, balighnya lambat. Tapi matangnya cepat.”

“Budak sekarang, balighnya cepat. Tapi sayang, matangnya lambat.”

Saya terdiam. Dalam sungguh makna kata-kata pakcik ini.

“Itu sebab kalau kamu tengok, orang dulu-dulu kahwin awal tak jadi masalah. Insya Allah boleh kekal sampai ke tua. Sekarang ni... Nak bagi kahwin awal, hmm... pakcik tak yakin. Tak matang lagi.”

“Pakcik, matang tu kat mana sebenarnya?” Tanya saya lagi.

Matang pada tanggungjawab dan bukan pada nafsu”. Terangnya. Ringkas lagi padat.

Perbualan kami terhenti. Saya mengambil motosikal dari parking masjid dan balik ke rumah. Dalam perjalanan, terserempak beberapa pasangan keluar dari pagar kampus.

Bonceng lagi!

Terdetik satu persoalan di hati.

“Ni baligh memang confirm... Tapi matang??”

Pakcik, saya tambah sedikit ye... Betullah, 'matang pada tanggungjawab' tadi bukan untuk keluarga sahaja, tapi untuk agama juga. Sekian, terima kasih!

Lihat Utusan Malaysia hari ini: 'Tidurkan' bayi dalam tong sampah [LINK]