Zina. Ujian bagi makhluk yang ada nafsu
Apa respon anda bila didatangi seorang remaja lalu berkata;
“Saya telah berzina beberapa kali... Sudah lama saya ingin berubah. Saya nak berhenti berzina. Tapi, setiap kali dipujuk oleh rakan (boyfriend) di sekolah saya akhirnya kecundang. Akhirnya kami berzina bermula dari tingkatan 3 hinggalah ke tingkatan 5! Tamat SPM kami terpisah dan saya pula teringin untuk berhenti dari berzina. Bolehkah saya berhenti?? Masalah saya ialah saya ketagih untuk berzina lagi!”
Allahu Akbar! Terlopong mendengar ayatnya yang terakhir.....
Bagaimanapun ia adalah realiti yang boleh berlaku di keliling kita. Saya tabik pelajar ini kerana keberaniannya membuat pengakuan. Saya pasti ia adalah keinginan yang benar-benar ikhlas melalui cara penyampaiannya yang disertai oleh linangan air mata....
Jika anda seorang guru yang hanya meletakkan lingkungan tugas sebagai mengajar, maka ketika ini anda akan melihat pelajar tersebut sebagai bebanan masalah yang tidak akan kunjung selesai. Sudah pasti pelajar ini berkemungkinan menerima nasib dibuang sekolah atas ‘kesilapannya’ membuat pengakuan yang berani lagi Ikhlas itu!
Berbeza dengan yang kedua....
Seorang guru yang mempunyai paradigma hebat iaitu merasakan tugas guru bukan hanya mengajar semata-mata maka ketika itulah nasib sang pelajar tadi insya Allah boleh berubah. Pengakuan yang berani lagi ikhlas seperti tadi akan membuahkan hasil dan di situlah akan muncul titik tolak perubahan ‘cuaca’ hidupnya.
Saya tidak berminat untuk terus membandingkan dua guru di atas. Saya yakin lagi percaya jika ada majlis undian, guru kedua adalah pilihan kita semua.
Soalnya berapa ramai guru seperti itu SEKARANG INI?
Saya sebenarnya optimis walaupun sekali sekala bersikap pesimis!
Baik. Kita tinggalkan sebentar soal guru dan sekolah. Soal pelajar tadi dan soal sikap ibu dan ayahnya kepada kes yang dilakukan oleh anak mereka. Mari kita lihat sebentar ‘kawasan’ kita sendiri. Maksud saya benda yang kita boleh kawal dan ubah. Seperti kata Maxwell, mulakan dengan parameter yang kita boleh kawal.
Apa parameter yang kita boleh kawal?
Sudah pasti diri sendiri....
Siapa pun anda, anda bukanlah diri anda jika anda tidak mampu membuat keputusan dan kemudian bertindak melaksanakan keputusan yang dibuat oleh diri sendiri anda!
‘TAMRIN’ KESENANGAN
Semasa menjadi mahasiswa (walaupun sekarang masih bergelar mahasiswa), saya sering bertemu program-program latihan yang memupuk peserta untuk bertahan dengan ujian kesusahan. Tapi, amat jarang bertemu kem/program yang menguji peserta dengan ujian kemewahan atau kesenangan.
Realitinya, manusia boleh bertahan dengan kesusahan tapi jarang sekali berjaya melawan kesenangan yang melimpah ruah!
Hari ini anak-anak muda di dalam dan di luar universiti apatah lagi mereka yang punya kemampuan dari sudut kewangan akan bertemu dengan ujian NAFSU. Peluang untuk melakukan zina terlalu ‘mudah’ bahkan amat menggerunkan kerana ada yang sanggup memberikan service ‘free of charge’!
Itulah kedahsyatan ujian kesenangan buat muda-mudi kala ini...
Dalam konteks di universiti misalannya... Bagaimana anak perantau yang tidak diperhatikan oleh ibu atau ayahnya boleh menolak zina yang lebih mudah dilakukan berbanding jalan yang halal?
Kalau pelajar di peringkat sekolah melakukan zina kerana pemikiran mereka yang pendek dan terlalai dengan keseronokan yang bersifat sementara, maka jangan terkejut jika budaya zina di kalangan mereka yang ‘terpelajar’ adalah bersifat ‘eksklusif’ malah bertujuan mencipta keuntungan.
Mereka berpeluang menggunakan telefon bimbit yang mewah, kereta sebiji, dan paling menyedihkan, untuk lulus peperiksaan ada yang sanggup menawarkan aktiviti zina. Ini yang saya maksudkan sebagai tsunami yang dahsyat. Itu belum lagi ‘tsunami gelombang kedua’ di alam pekerjaan dengan cinta tiga segi dan bersegi-segi antara suami atau isteri orang.
BELAJAR DARI NABI YUSUF AS
Lalu apa sebenarnya yang perlu kita lakukan? Ya. Berbalik kepada ‘kawasan’ kita.
Kita singkap firman Allah SWT dalam Surah Yusuf:
“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh dan membujuk Yusuf untuk berkehendakkan dirinya dan perempuan itu menutup segala pintu seraya berkata: ‘Marilah ke mari, aku bersedia untukmu’. Yusuf menjawab: ‘Aku berlindung kepada Allah’. Sesungguhnya Tuhanku memelihara daku dengan sebaik-baiknya, sesungguhnya orang yang zalim tidak akan berjaya”. Surah Yusuf ayat 23.
Masya Allah! Itulah saat paling genting bagi seorang pemuda yang bernama Nabi Yusuf AS.
Marilah kita belajar kit Kombat dari Nabi Yusuf tatkala beliau diuji oleh Allah SWT dengan ‘tamrin’ (latihan) kesusahan dengan dihumbankan oleh adik-beradik sendiri ke dalam telaga seorang diri. Ketika itu baginda tetap memilih untuk bersama dengan Allah SWT.
Begitu juga tatkala baginda diuji dengan tamrin kesenangan iaitu tawaran berupa bujukan percuma dari seorang wanita yang teramat cantik, pun baginda tetap memilih Allah SWT!
Sebenarnya kit kombat ini terdasar dengan soal Iman.
Iman yang benar-benar yakin akan kewujudan Allah SWT seperti yang kita belajar dalam konsep ihsan, beribadatlah/berbuatlah kamu sebagaimana kamu melihat Allah SWT atau (jika kamu tidak mampu) kamu yakin bahawa Allah SWT melihat kamu. Dan tahap yang kedua ini adalah yang paling minimum!
Malangnya pembangunan Iman tidak dijadikan ‘projek’ utama bagi menangani virus-virus zina. Akhirnya lahirlah generasi yang lebih takutkan CCTV di dinding-dinding berbanding takutkan Allah SWT! Na’uzubillah......
Jangan tunggu diuji sehebat Nabi Yusuf baru nak memantapkan kit kombat di dada.
Sekarang juga tepuk dada tanya iman, sudahkah dia bersama dengan Allah........??
No comments:
Post a Comment