Showing posts with label santai minda. Show all posts
Showing posts with label santai minda. Show all posts

Wednesday, October 12

Kembali menulis..

Assalamualaikum warga maya.

Telah lama berlalu tanpa menulis.
Kaku jari saya mengatur ayat.
Posting terakhir saya pada 2014 dan kini sudah 2016.
Hampir 2 tahun.
Pelbagai peristiwa berlaku dan pengalaman terhimpun sepanjang itu yang memungkinkan untuk ditulis.
Malang, masa sering mencemburui kita.


Kembali menulis..

Saya teringin untuk kembali menulis.
Teruja untuk berkongsi.
Walaupun zaman sekarang laman seperti blogspot atau wordpress sudah tidak menjadi trendy.. tetapi saya selesa dengannya.
Biarlah saya kekal dengan cara ini.


Apa yang nak ditulis?

 30,000-year-old cave hyena painting found in the Chauvet Cave, France (Sumber: Wikipedia)

Guru saya ajar, tulislah apa saja.
Tidak rugi seseorang yang rajin menulis. :)
Samada makalah ilmiah, jurnal akademik atau laman pendapat seperti blog, rahsianya tulis lah apa sahaja!
Bahkan coretan purba sekalipun punya nilaian harga tak terbanding.

Kuala Lumpur
12 Okt 2016








Friday, September 17

Raja adil, Raja 'disembah'


BIARKAN GAMBAR MENCERITAKAN SEGALANYA….

SUMBER: ‘Topeng Perak Unmasked’

Photo 1: Tuanku Faris berada dihadapan sebelah kanan Tuan Guru Menteri Besar ketika para makmum mula bersalaman dengan Tuanku dan para pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan sebaik selesai solat sunat selepas solat Jumaat...

Photo 2: Menyedari Tuan Guru Menteri Besar berada agak terkebelakang, dengan segera Tuanku Faris memanggil Tuan Guru Menteri Besar agar bersama dengan Baginda dihadapan agar mudah para makmum bersalaman dengan mereka... “Tok Guru mari dok sebeloh kito sini”, kata Tuanku Faris kepada Tuan Guru Menteri Besar...

*Tuan Guru pada mulanya memberi laluan kepada Tuanku Faris kerana menghormati Baginda Sultan.

Photo 3: Tuanku Faris memberikan laluan kepada Tuan Guru Menteri Besar supaya berada bersama Baginda di hadapan...

Photo 4: “Sebeloh ni Tok Guru”, kata Tuanku Faris kepada Tuan Guru Menteri Besar sambil Baginda Tuanku Faris dan yang lainnya mempersilakan Tuan Guru kehadapan…

Photo 5: Gabungan 3 posisi penting dalam pentadbiran Negeri Kelantan... Tuanku Sultan Kelantan Tengku Faris Petra, Imam Besar Masjid Muhammadi dan juga Tuan Guru Menteri Besar Kelantan...



Gabungan terbaik yang wajib dijadikan contoh di Negara Malaysia... Sultan yang berjiwa rakyat & mementingkan agama dalam urusan harian dan juga Ulama yang menjadikan Al-Qur'an dan Sunnah sebagai rujukan dalam pentadbiran Negeri dan kehidupan harian..

Photo 6: Para makmum beratur mengikut giliran untuk beramah mesra dengan 3 orang penting dalam Negeri Kelantan...

p/s:-RAJA, ULAMA, dan UMARA’ adalah Trio peneraju yang akan memandu rakyat menuju kecemerlangan Akhirat dan Dunia.

Moga keserasian Fikrah yang terjalin akan sentiasa kekal sampai bila-bila… Ameen!

-Tahniah buat seluruh rakyat Kelantan atas pemasyhuran Sultan yang baharu-

Wednesday, September 15

Kuasa inspirasiku


Setiap orang punya ekspresi tentang sesuatu….

KINABALU,

Ekstensi yang sentiasa menjadi Inspirasi dalam hidup….

Terima kasih buat Photographer-Violet Biru atas ihsan gambar ini.

Potret yang membawa seribu satu makna terpendam yang tidak dapat diluahkan oleh gugusan kertas-kertas putih berserta tinta hitam.

Kinabalu, dari jauh tampak kebiruan. Tapi bila mendaki rupanya ia hanya sekujur tubuh yang legam kehitaman.

Mampukah ia dirobah kepada hijau yang segar?

Insya Allah…. ‘Al-Fathu’ itu pasti akan tiba!

Sambung membaca di sini [link: Bicara dari jendela rumah]

Thursday, August 26

Barakallahu lakuma...


Barangsiapa yang bernikah maka ia telah sempurnakan separuh dari agamanya.

“You all already married?” Tanya pelajar PHD dari negara Pakistan itu.

Zafar memang sering mengusik kami. Dia pelajar paling senior di kalangan group researcher yang ada di IVAT.

Hafizi panggil ia Bapa!

“Not yet. That’s why we can stay on the lab until night…” Jawab rakan sepengajian saya itu. Separuh melawak.

“Why?? Why so late for married?” ‘Bapa’ kami ini membuat provokasi.

“You said that we are late?” Berkerut dahi Hafizi.

“Yeah… I am 21 years old when I got married. Then now I have six children!” Bangga benar dia bercerita. Kami cuma tersenyum. Wow! Great story…

“Yup. Recently you are in Pakistan. But for Malaysian, we have a different story. Maybe because of different culture…” Saya pula menyampuk. Sekadar menambah ‘perencah’ barangkali.

“What you mean?” Dia menggaru-garu kepala. Kali ini tampak serius.

“Because here only one season. Khatulistiwa… Not four season like in Pakistan!”

Saya dan Hafizi ketawa. Zafar ikut ketawa sekali. Tahu benar dia yang kami hanya ‘menggoreng’. Sekadar mahu merancakkan bual-bual petang. Sekali-sekala terasa riang juga di makmal ini. Hilang seketika ketegangan yang ditinggalkan oleh ‘misai-misai lentik’ para Profesor penyelia...

“Have you heard a short story from Bernard Sha?” Aik? Tak habis lagi ‘bapa’ kami ni dengan ceritanya…

Saya memandang dia yang galak bercakap sambil memantau tangannya agar tidak menyentuh transformer yang sedang beroperasi setinggi 12 000 Volt! Hati-hati Bapa… Kami tidak mahu ada cerita dari makmal ini disunting oleh Harian Metro nanti!

Bernard Sha. Seorang Ahli Falsafah Inggeris. Katanya;

Suatu hari, ada seorang wanita datang melamar Bernard Sha. “Sudikah Tuan berkahwin dengan saya?” mohon wanita muda ini.

Jawab Bernard Sha, “mengapa awak sanggup berkahwin dengan saya? Sedangkan saya tidak punya rupa paras yang menarik?”

“Sebab Tuan punya pengetahuan tinggi. Sudah pasti anak saya nanti akan mewarisi kebijaksanaan Tuan.” Wanita tadi menjawab dengan yakin.

“Iyakah? Kalau begitu jika anak tadi berwajah seperti saya dan kemudian mewarisi kebijaksanaan anda, maka sudah tentu ia tidak punya apa-apa!” Ujar Bernard Sha.

***

Zafar tersenyum memandang kami berdua.

‘Ya Allah, orang tua ni kalau dah berfalsafah’… Saya dan Hafizi termangu. Lama memerah fikiran. What the moral of this story? We wonder….

Jika anda di luar sana punya ‘hikmah’ di balik cerita ini, simpanlah ia untuk kenang-kenangan!

------------------

Entri kali ini saya ambil kesempatan untuk mengucapkan:

Selamat untuk bakal-bakal Pengantin Baru;

Sahabat baikku ‘Sham Pepe’ & ukhti Jawahir.

Sahabat baikku Dzulhusmie & pasangan..

Kakak tersayangku, Dr June & bakal Abang iparku…

-Barakallahu lakuma wa’alaikuma wa jami’a bainakuma fii Khier-

Moga kalian bertaut dengan ikatan cinta hingga ke syurga!

Mudah-mudahan makin kukuhlah langkah kalian menapak di jalan dakwah ini!

Ameen ya Allah………..

Wednesday, August 11

Mencari yang sedap!



Anak siapa ni? A real Imam Muda

“Eh.. Awalnya bazaar Ramadhan kat Taman kita ni.” Kata Sham.

Sahabat saya yang juga tutor UNIMAS itu terkejut. Apa tidaknya pukul 11 pagi bazaar dah mula beroperasi di sekitar perumahan tempat kami berenam tinggal.

Apa yang menariknya ketika waktu seawal itu sudah ada pelanggan yang mula berkeliaran mencari juadah! Demam bazaar barangkali.

“Jadi petang ni nak pergi bazaar mana?” Uji Faiz.

“Enta ni.... Zuhur pun belum tapi hati dah teringat waktu berbuka.” Kata Sham dengan nada mengusik.

“Betul. Baru nak cakap.” Saya menambah. Faiz tersengih.

Di sana-sini bazaar tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Pemandangan biasa setiap kali bulan ramadhan bertandang. Cuma agak mendukacitakan kadang-kadang pesta makanan lebih mendapat tempat di hati orang berbanding pesta ibadah.

Semalam...

“Enta nak tarawih mana malam ni?” Tanya Sham pendek.

“Kat masjid taman jelah. Ustaz Khairul dah takde.” Jawabku.

Teringat kepada ustaz Khairul Zaman. Imam muda di Masjid Sultan Ismail UTM suatu ketika dahulu yang juga berkelulusan qiraat di Kaherah, Mesir. Ketika ramadhan lepas kami serumah antara makmum beliau yang setia walaupun jarak antara rumah sewa dengan masjid universiti agak jauh.

“Alhamdulillah... Yang ni pun sedap juga.” Hatiku berbisik selepas solat tarawih.

“Malam esok kita solat di Taman U pula..” Cadang Sham.

“Dengar-dengar bacaan imamnya pun sedap.” Tambahnya lagi.

Mencari yang sedap! Eh. Macam juadah pula.

Macam-macam gelagat orang di bulan ramadhan. Macam-macam keinginan manusia di bulan yang mulia ini.

Kalau kita berpuasa dengan perut maka apa yang kita dapat ialah hanya nikmat sedap pada perut ketika berbuka.

Tapi kalau kita tambahkan lagi level puasa ke seluruh anggota tubuh badan termasuk pancaindera dan hati maka pelbagai nikmat akan kita rasai saat berbuka puasa.

Bukan hanya perut yang mahu meminta juadah yang sedap-sedap tetapi telinga turut teringin untuk ‘berbuka’ denggan alunan bacaan yang indah-indah...

Selamat berbuka....