Thursday, September 10

Karya itu Rahsia!

Sejarah persuratan mempertontonkan kepada kita bagaimana ahli bahasa merahsiakan dan menyulitkan maksud kata mereka dengan pelbagai lentur wadah berkarya.. Kerahsiaan karya kadang terlalu jauh tersembunyi sehingga orang khalayak perlukan nilai tambah kreativiti, dan sensitiviti untuk membaca.. Dan, seterusnya terhibur olehnya..

Itu sebab, perlu diulang bahawa karya ‘contengan’ yang sebenar hanya untuk orang-orang yang suka BERFIKIR dan bukan untuk orang-orang yang PASIF mindanya.. Terutama bagi orang yang suka berfikir akan keanehan hidup dan bukannya sekadar memikir keseronokan atau kenikmatan yang fana..

Kadang-kadang suatu karya ‘contengan’ itu terlalu sukar untuk difahami kerana dipenuhi oleh jutaan kerahsiaan yang membingungkan.. Bahkan disulami komposisi cerita yang kaya pula dengan pelbagai liku melalui berbagai gaya bahasa figura yang tidak punya empunya..

Bagi mereka yang tidak gemar mengasah kepala, tidak suka berfikir lama-lama, atau cuma berminat dengan benda yang mendatang secara bolos, karya ‘contengan’ sebegini pasti akan ditolak mentah-mentah.. Iya, sudah sinonim dunia begini.. Mahu semuanya cepat belaka!

Kita bukan sengajakan!

Sulit dan rahsianya sebuah karya itu bukan benda yang dibuat-buat.. Tetapi itulah pun MAKNA kehidupan yang wujud di sekeliling jasad kita.. Masih terlalu banyak persoalan yang tersirat dan berselirat.. Rahsia itu tergambar dan terhidang melalui pelbagai corak dan variasi fenomena alam, ataupun dilalukan secara semulajadi oleh Tuhan dalam bentuk realiti atau non-realiti yang cuma mampu dipandang kerdil serta remeh-temeh oleh insan.

Tapi, remeh-temeh itulah yang kebanyakannya berdaya menyarankan suatu makna hidup yang signifikan!

Hakikat,,

Kebolosan dan ‘ketelanjangan’ menghidangkan suatu karya ‘contengan’ akan sendirinya membodohkan serta menjijikan kehidupan manusia.. Kerana, hakikat sekali lagi banyak aspek kemanusiaan yang menuntut kerahsiaan. Dari hal seperti inilah maksud sebuah karya itu perlu disirat, di”tapuk” (bahasa sabah), dan dipersulit demi untuk menjaga martabat dan maruah manusia!

Ya, ada orang yang mengunjungi teratak buruk ini untuk ‘mengunyah’ karya ‘contengan’ yang ada secara rahsia.. Kemudian dengan gelojoh membuat kesimpulan dangkal sehingga lari dari makna sebenar yang cuba dihidangkan. Apakah mereka ini tidak cukup melihat wahyu sebagai bandingan?

Allah banyak merahsiakan keberihalan kemanusiaan supaya manusia yang lemah tidak gelojoh mencari “makna yang mudah”. Semuanya mesti ditilik dengan rencam nilai kewibawaan dan keilmuan.. Bahkan, Allah jua menyarankan pemahaman melalui citra lewat fenomena alam kerana menduduki suatu tempat itu akan mendatangkan kejelasan yang lebih terhadap benda tersirat yang terkandung dalamnya.

Nah! Upaya semacam itulah yang kita mahukan sebati dalam setiap karya ‘contengan’.. Keindahan yang bukan semata untuk disantap oleh si mata dan telinga, tetapi keindahan tersirat yang hanya mampu diterjemah oleh uslub-uslub tertentu.. Sehingga mentampakkan lagi betapa luasnya dan indahnya rahsia yang terkandung pada satu karya ‘contengan’!

Kepada “pengunyah curi”..

Sebelum mempersoal nilaian abresiasi terhadap mana-mana hasil ‘contengan’, eloklah dipertajam dulu daya takwilan rahsia yang tersirat.. Berlakulah adil dengan mengaplikasi segala uslub yang ada tanpa cenderung obsesi kepada selera dan nafsu-nafsi sendiri.

Wallahu a’lam!

No comments: