Wednesday, January 27

Risalah Familia 1: IslaM


Bismillahi la Quwwata Illa Billah..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

1. Islam agama yang syumul (lengkap menyeluruh). Melengkapi segala aspek kehidupan. Sebab itulah Islam dinamakan “the way of life” kerana segala aktivitas yang dilakukan oleh manusia ada terkandung panduannya dalam Islam. Islam ada di rumah, ada di masjid, ada di pasar, ada di makmal, bahkan Islam sepatutnya diamalkan di setiap penjuru dan bucu kehidupan.

2. Asasnya Islam tadi ialah Akidah. Iaitu dari segi bahasa bermaksud ‘ikatan yang kukuh’. Istilahnya pula boleh kita fahami sebagai ikatan yang mengikat manusia dan seluruh umat pada suatu sumber yang satu iaitu Iman. Beriman kepada Allah ‘azzawajalla. Konotasi dari inilah, manusia yang beriman akan bertemu pada suatu punca keyakinan yang hanya satu. Iaitu Allah SWT.

3. Mengapa asas ini penting? Sebab akidah serta keimananlah sumber yang akan mempertemukan manusia. Walaubagaimanpun cara manusia itu berfikir, ia akan berasas dari sumber yang satu iaitu akidah. Atau apapun bangsa dan warna kulit manusia tadi, ia tetap disatukan pada satu rantaian yang kukuh iaitu akidah Islamiyyah jua.

4. Kalau bukan dengan Islam, mana mungkin persaudaraan sejagat antara manusia bisa tercapai. Cuba perhatikan, bolehkah seorang lelaki berbangsa ‘bajau’ umpamanya masuk ke bangsa ‘kadazan’? Begitu juga bangsa ‘murut’ menukar bangsanya kepada ‘bugis’? Tidak sesekali! Maka, pemikiran yang cuba menggariskan manusia pada semangat kebangsaan pasti tidak akan sampai ke mana. Bahkan satu masa ia pasti tertolak!

5. Dimensi berfikir bagi orang yang beriman akan menjadi luas. Berbeza dengan orang yang menolak Islam. Kerana hakikat ruang hidup bagi manusia menurut tasawwur (kerangka berfikir) Islam adalah tidak terbatas pada dunia sahaja. Ada lagi dimensi kedua yang terlampau luas dan takkan berakhir iaitu ‘kampung akhirat yang kekal abadi’.

6. Memang sudah terbukti. Orang yang tidak beriman apabila ia mendapat musibah, senang-senang sahaja mereka menghabiskan riwayat hidup dengan kaedah membunuh diri. Inilah bukti sempitnya ‘aqliyyah mereka. Tapi, bagi orang yang beriman. Tidak! Bukan itu penyelesaiannya. Membunuh diri tidakkan menyelesaikan suatu perkara kerana dimensi hidup yang hakiki bukan di dunia tapi di sana.. Akhirat.

7. Nah! Di sinilah kekuatan Islam. Juga kekuatan bagi mereka yang bernama Muslim. Dimensi berfikir yang luas dan tak terbatas pada dunia. Dimensi berfikir yang meneroka jauh ke hadapan meninggalkan isme-isme dan ideologi songsang yang terkebelakang. Tapi sayang seribu kali sayang. Umat Islam hanya pada nama sahaja. Tinggal pada pakaian sahaja. Yang lelaki hanya tinggal dengan nama Islamnya. Yang perempuan hanya tinggal pada secarik kain di kepalanya..

"Kemusnahan suatu tamadun berlaku bilamana dasarnya tidak lagi bersumberkan espitimologi teragung iaitu Quran al-Karim"

8. Islam tidak lagi dianuti secara ‘kaaffah’ (keseluruhan). Islam diambil secara serba-serbi. Mana yang ‘best’ diambil dan mana yang ‘tak best’ ditolak ketepi. Nikah kahwin diambil kerana ia memang ‘best’ tapi soal solat, puasa dan zakat yang dirasakan ‘tak best’ serta memenatkan dibuang dan tak dihiraukan. Jadilah suatu umat yang serba-serbi. Serba tak kena. Hingga memberikan kesan pada tamadun Muslim. Tamadun menjadi jatuh berantakan kerana tamadun meninggalkan asas keunggulannya iaitu Islam.

9. Islam adalah agama samawi yang takkan musnah. Sebab ia sudah dijanjikan oleh Allah SWT bahawa agama ini akan dipelihara olehNya sampai bila-bila. Sampai kiamat! Yang musnah sebenarnya ialah Muslim. Iaitu apabila Muslim (orang Islam) tidak lagi mengamalkan Islam secara keseluruhan maka ia pasti punah dan ditimpa dengan kehinaan.

10. Sekali lagi saya tegaskan, Islam adalah ‘addiin’ yang tiada tolok bandingnya lagi. Sejarah kegelapan manusia di Eropah suatu ketika dahulu berubah menjadi gemilang pada satu kurun selepasnya apabila mereka menerima ‘tempias’ Islam. Itu baru ‘tempias’. Apatah lagi kalau kita sendiri yang menerima sistem Islam secara terus. Bukankah ia pasti lebih gemilang? Yakinlah, Islam penyelesai segala perkara...

Wallahu a’lam.

(Tangguh dengan tasbih Kaffarah)

No comments: