Showing posts with label usrah. Show all posts
Showing posts with label usrah. Show all posts

Friday, November 2

Jihad: Di saat kita lelah...

 
 Sorry. I am tired!

"Saya agak kecewalah.. Kita minta datang awal mesyuarat kadang-kadang tak datang." Keluh ketua.

"Jangan kata nak datang, langsung tak mesej makluman pun ada.." Tambah beliau.

"Macam manalah keadaan kita kalau begini...?" 

Semua senyap. 

"Kita buat sistem dendalah. Macam mana?" Saya mengajukan cadangan.

"Sistem denda ni dah banyak kali kita cadangkan. Dah diminitkan pun dalam mesyuarat"

"Tapi tak pernah jadi..." Balas ketua. 

"Erm... Saya rasalah ia bukan sebab perlu denda atau hukuman. Mereka ni pun bukan orang lain. Mereka sahabat-sahabat kita juga." Seorang rakan lain mencelah.

"Saya rasa ia faktor pengisian jiwa. Perjuangan ini ada pasang surutnya. Ada masa kita lelah. Ada masa kita mengah."

"Cuba kita fikirkan sejenak, sejauh mana pengisian yang kita buat, dan kita bandingkan dengan berapa banyak gerak kerja yang kita lakukan?" Tambahnya lagi. Kemas.

Lontaran yang baik. Lantunan yang memuhasabahkan.

Tatkala sibuk kita menghayunkan langkah, boleh jadi kita terlupa memperkemaskan kuda-kuda.

Di saat kita lelah dan mengah. Kita sebenarnya di ambang alpa.

Usrah. Mukhayyam. Ijtimak. Mahabbah!

Cantik dan tersusun dizikirkan dengan mulut. Tapi belum tentu seindah gubahannya pada 'real' suasana.

Salah siapa? Tepuk dada.. Mari bermuhasabah!

ANTARA: RASIONAL vs HAK vs JIHAD

Pernahkah kita renung seketika. 

Pelik rasanya bila kita lihat ada rakan lain yang bersungguh-sungguh dalam perjuangan. Atas nama sebuah rasional, atas nama sebuah kebebasan hak asasi manusia.

Mereka sanggup bergadai masa, tenaga, wang ringgit, dan kadang kala keintiman keluarga atas semangat ingin menatijahkan perjuangan yang mereka percaya. Malah, sayugia jauh lebih giat sebahagian mereka dari sebilangan kita.

Apakah tuntutan Rasional dan Hak itu jauh melebihi tuntutan Jihad dari sebuah kaca mata?

Atau... Apakah mereka tak pernah kenal erti lelah dan mengah sebagaimana seorang insan biasa?

Seorang Amilin yang percaya erti Jihad dalam kamus sebuah Risalah Ta'alim Al-Banna sebenarnya jauh lebih hebat momentumnya dari seorang penganut sosialis yang menghafal erti Hak dan Rasional dari kamus pustaka John Locke di Wrington.

Semestinya!

Kerana Jihad itu ia bersaudara dengan soal; Dosa atau Pahala. 

Salam Jumaat!


 

Tuesday, May 4

panah lekat di leher...


3 Mei 2010, usrah kampung Ladang berjalan seperti biasa..

Malam ini adalah malam terakhir khulasah buku AMAL JAMA’I tulisan ‘sang Murabbi kecil yang berjiwa besar’, Al-Fadhil Ustaz Yahya Othman. Tajuk yang menyentuh soal budaya kerja cemerlang..

Dakwah cemerlang.

Tarbiyyah yang cemerlang..

Gerak siasah yang juga semestinya cemerlang...

“Berjuang sudah semestinya kita mahukan Islam menang. Kerana dengan kemenangan itulah kita tegakkan Islam”. Komentar awal dari Ustaz Zaifiddin selaku Naqib Usrah.

“Tahwiilul mabadi wannazariyyat wal afkar ila mustawa al-amali wal fi’li”. Inilah sebabnya mengapa kita dambakan sebuah kemenangan. Maknanya, kita sebarkan dasar serta prinsip kebenaran hinggalah ke peringkat amalan dan perlaksanaan!

Insya Allah.... Akhirnya nanti tegaklah sebuah: “Baldatun tayyibatun warabbun ghafuur biiznillahi ta’ala.” Ameen.

Nakkan kejayaan yang sebesar ini, semestinya dengan usaha yang cemerlang. Cemerlang yang bagaimana? Jawabannya, cemerlang apabila memenuhi dua syarat ini, iaitu Itqan dan juga Ihsan.

‘ASAAMUH HA HUNA’

|GAMBAR SEKADAR HIASAN|

Ada seorang arab Badwi datang berjumpa dengan Nabi SAW...

“Ya Nabiallah. Saya ingin berjuang bukan kerana harta rampasan. Bahkan saya berjuang kerana saya mahukan ‘asaamuh ha huna’(anak panah lekat di sini-sambil menunjukkan pangkal lehernya)”.

Nabi jawab, “Insya Allah... Apa yang kamu cita kamu akan dapat.”

Selepas dari peperangan, para sahabat mengkhabarkan kepada Nabi yang si Badwi telah syahid kerana sebutir panah yang tembus di lehernya! Masya Allah....

Begitulah kita dalam perjuangan ini... Hakikatnya, apa yang kita citakan itulah yang kita dapat. Itulah yang Allah bagi!

Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain...

Ada orang duduk dalam kelompok yang berjuang kerana sekadar mahu disebut orang, ‘inilah mereka yang berjuang’... Dan banyak lagi asbab yang lain. Hanya Allah SWT yang tahu bicara hati hambaNya.

Oh! Sampai bilakah kita hanya duduk status ‘sekadar’?

ITQAN dan IHSAN

Amali ibadah dalam Islam tak boleh tidak lari dari dua perkara. Unsur dalaman dan luaran.

Itqan, semangat kesungguhan yang boleh dilihat oleh mata. Disaksikan secara zahiri oleh semua orang. Rajin, cermat, sistematik, cekap, dan seumpamanya itu adalah unsur yang berbentuk luaran.

Adapun ihsan, ia adalah rahsia antara Allah dan sang hambaNya... Mana mungkin kita boleh saksikan keikhlasan seseorang dengan mata kasar. Itu sebab pengertian ihsan adalah, kamu saksikan Allah atau kamu yakin Allah menyaksikan kamu. Terlalu rahsia...

Insya Allah... Bila dua unsur ini bergabung di dalam diri seorang Kader dakwah, maka inilah yang dikatakan cemerlang! Saat ini saksikanlah bahawa kemenangan yang dicita tadi sudah terlalu hampir!

................

Terasa menyirap darah ke muka apabila Naqib menyebut ayat ini sebagai penutup usrah;

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang beriman akan menjadi saksi akan pekerjaan kamu itu. Dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang maha mengetahui akan ghaib dan yang nyata. Lalu diberitakanNya kepada kamu tentang apa yang telah kamu kerjakan.”—Taubah: 105

Mampukah kita menjawab segala pertanyaan Allah di Mizan nanti?

Layakkah kita mendapat hadiah syafaat Nabi di Mahsyar nanti?

Sebelum Allah SWT dan RasulNya menilai kita, marilah kita sendiri menilai amal kita... Ibadah kita... Dakwah kita... Gerka kerja kita... Tanggungjawab kita..... Mari menghisab segalanya sebelum dihisab di sana nanti.

Moga Allah SWT tambahkan Itqan dan sinarkan lagi Ihsan...

-myikhwanfiideen. 1 pagi, 4hb Mei 2010-

Tuesday, April 13

'sense of humor'


Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah bersabda:

“Aku pun bergurau senda, tetapi tidak akan mengucapkan melainkan yang hak.”—Riwayat Imam Tabrani.

Namun, gurauan nabi tidaklah melalaikan. Bahkan mempunyai mesej pengajaran disebaliknya. Tambah As-Syiekh Abdul Fattah Abu Guddah; baginda juga tidak bergurau melainkan dalam perkara yang benar sahaja.

Ada beberapa kisah. Seperti dalam satu Hadis riwayat Imam Tarmizi:

Suatu hari seorang wanita datang ke majlis Rasulullah SAW kerana mahu mencari suaminya. Melihat wanita itu datang, Nabi pun bertanya,

“Siapakah yang engkau cari?”

“Suami saya ya Rasulullah”

Kemudian Rasulullah SAW bertanya,

“Apakah suamimu yang dimatanya ada putih-putih itu?”

Mendengar soalan Rasulullah SAW, wanita itu terdiam sejenak. Tidak lama kemudian setelah suaminya balik ke rumah, wanita tadi tidak berhenti-henti memandang wajah suaminya sambil memeriksa kedua biji matanya.

Si suami berasa hairan. Lalu bertanya,

“Apakah yang engkau cari?”

“Saya sedang memerhatikan apakah di matamu ada putih-putih atau tidak?”

Suaminya terkejut.

“Ah, engkau ini. Bukankah semua mata manusia memang ada putih-putihnya?”

Kemudian, barulah wanita tadi sedar yang pertanyaan Rasulullah SAW itu sebenarnya hanyalah senda gurau baginda semata-mata.

As-Syiekh Abdul Fattah Abu Guddah dalam bukunya, ‘Nabi Muhammad: Guru dan Pendidik Terulung’ menyimpulkan bahawa banyak teknik bergurau senda atau ‘kecindan’ (Dewan Bahasa dan Pustaka) digunakan oleh Nabi untuk berhadapan dan bermesra dengan umatnya.

Kita hari ini.

Kita perlu ingat, tidak semua orang boleh menerima mesej yang disampaikan secara serius dan kaku. Kerana sifat manusia sangat pelbagai. Kata orang, “Demo tak perlu nak bekeng Sokmo!”.

Sekali-sekala dalam berdakwah cubalah untuk selitkan ‘sense of humor’. Asalkan tidak berlebih-lebihan dan membawa mesej yang baik.

Senda gurau sesama sahabat kadang-kadang itulah yang menjadi ramuan yang akan memaniskan lagi ikatan ukhuwwah. Hingga menjadi memoir yang takkan dilupakan sampai bila-bila.

Insya Allah.

Sunday, February 14

Risalah Familia 2: USRAH.


Intipati Usrah

Usrah itu keluarga.. Dimulakan Oleh Rasullulah selama 23 tahun. 3 tahun di Makkah secara sembunyi2 di rumah Al-Arqam. Kemudian, Rasullulah meneruskan dakwah secara terang-terangan selama 20 Tahun di Makkah dan Madinah. Hikmah dakwah secara sembunyi2:

USRAH ataupun nama lainnya 'THe CiRcLE' (bulatan)

1. Untuk menyediakan "core group" atau kelompok yang boleh memudahkan lagi usaha dakwah.

2. Kita disarankan untuk bergerak secara berjemaah.

Strategi: buat Usrah untuk memantapkan diri penggerak. Ikatan Usrah berdasarkan pegangan akidah Islamiyyah. Niat: Untuk mencari keredhaan Allah. Matlamat: Untuk mewujudkan Biah Solehah yakni "Islamic Environment" atau persekitaran yang kondusif untuk perkembangan Islam di Sekolah.

Rukun Usrah

1. Taaruf (berkenal-kenalan)

2. Tafahum (berkesefahaman)

3. Takaful ( mengambil berat atau "emphaty"). Beza antara "symphaty" dan "emphaty"..

"symphaty" hanyalah berasa sedih diatas kekurangan seseorang

"emphaty" adalah perasaan sedih dengan kesusahan orang lain yang mendorong kita untuk melakukan sesuatu untuk meringankan bebanan seseorang itu. Dengan erti kata lain, kita mengambil berat terhadap orang lain.

Analogi Usrah

Usrah(sebuah rumah) terdiri kepada 3 komponen:

Akidah sebagai tapak rumah

Ibadah sebagai tiang, dinding dan atap rumah

Akhlak sebagai isi rumah i.e peti ais, periuk nasi dll.

Beza antara Usrah dan ceramah

1. Usrah berjalan sepanjang kehidupan kita kerana antara ahli2 Usrah diibaratkan sebagai sebuah keluarga, saling mengambil berat antara satu sama yang lain.

2. Ceramah pula hanya mampu mendatangkan keinsafan kepada seseorang itu tanpa ada susulan.

3. Usrah mampu memberi kekuatan kepada seseorang itu untuk melakukan “amar maaruf, nahi mungkar”

Tambahan:

Ya Rabbana.... Jadikanlah kami ketumbukan yang mampu menggalas beban Dakwah ini.

Setiap manusia memikul amanah untuk melakukan amar maaruf nahi mungkar.

Cegahlah kemungkaran melalui tiga cara:

1. Tangan(Kuasa): Gunakanlah kuasa yang kita ada jika perlu

2. Lisan: Nasihat menasihati antara satu sama yang lain

3. Hati: membenci perbuatan mungkar dan berusaha untuk menjauhkan diri daripada kemungkaran

Adab Menuntut Ilmu

Buat-buat tidak tahu: Bagaikan sebuah cawan, jika ia telah penuh dengan air, maka ia tidak lagi boleh menerima:

“Air itu ibarat urusan yang tidak penting atau urusan duniawi yang masih berada di dalam minda kita. Oleh itu, kita disaran untuk mengosongkan yakni melupakan sebentar urusan duniawi dan urusan2 yang tidak penting agar kita mudah untuk memahami dan menyerap ilmu yang bakal dikongsi oleh Naqib.”

Bersedia untuk menerima:

“Bersedia dengan erti kata mempersiapkan diri kita untuk menuntut ilmu. Ia termasuklah menyediakan nota kecil dan pen untuk merekod ilmu yang akan disampaikan oleh Naqib. Selain itu, dengan membaca modul sebelum perjumpaan, ia akan memberi sedikit sebanyak gambaran tentang ilmu yang akan dikongsi oleh Naqib. Ia juga akan membolehkan kita untuk menyediakan soalan perbincangan semasa perjumpaan.”

InsyaAllah.

Wednesday, January 27

Risalah Familia 1: IslaM


Bismillahi la Quwwata Illa Billah..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

1. Islam agama yang syumul (lengkap menyeluruh). Melengkapi segala aspek kehidupan. Sebab itulah Islam dinamakan “the way of life” kerana segala aktivitas yang dilakukan oleh manusia ada terkandung panduannya dalam Islam. Islam ada di rumah, ada di masjid, ada di pasar, ada di makmal, bahkan Islam sepatutnya diamalkan di setiap penjuru dan bucu kehidupan.

2. Asasnya Islam tadi ialah Akidah. Iaitu dari segi bahasa bermaksud ‘ikatan yang kukuh’. Istilahnya pula boleh kita fahami sebagai ikatan yang mengikat manusia dan seluruh umat pada suatu sumber yang satu iaitu Iman. Beriman kepada Allah ‘azzawajalla. Konotasi dari inilah, manusia yang beriman akan bertemu pada suatu punca keyakinan yang hanya satu. Iaitu Allah SWT.

3. Mengapa asas ini penting? Sebab akidah serta keimananlah sumber yang akan mempertemukan manusia. Walaubagaimanpun cara manusia itu berfikir, ia akan berasas dari sumber yang satu iaitu akidah. Atau apapun bangsa dan warna kulit manusia tadi, ia tetap disatukan pada satu rantaian yang kukuh iaitu akidah Islamiyyah jua.

4. Kalau bukan dengan Islam, mana mungkin persaudaraan sejagat antara manusia bisa tercapai. Cuba perhatikan, bolehkah seorang lelaki berbangsa ‘bajau’ umpamanya masuk ke bangsa ‘kadazan’? Begitu juga bangsa ‘murut’ menukar bangsanya kepada ‘bugis’? Tidak sesekali! Maka, pemikiran yang cuba menggariskan manusia pada semangat kebangsaan pasti tidak akan sampai ke mana. Bahkan satu masa ia pasti tertolak!

5. Dimensi berfikir bagi orang yang beriman akan menjadi luas. Berbeza dengan orang yang menolak Islam. Kerana hakikat ruang hidup bagi manusia menurut tasawwur (kerangka berfikir) Islam adalah tidak terbatas pada dunia sahaja. Ada lagi dimensi kedua yang terlampau luas dan takkan berakhir iaitu ‘kampung akhirat yang kekal abadi’.

6. Memang sudah terbukti. Orang yang tidak beriman apabila ia mendapat musibah, senang-senang sahaja mereka menghabiskan riwayat hidup dengan kaedah membunuh diri. Inilah bukti sempitnya ‘aqliyyah mereka. Tapi, bagi orang yang beriman. Tidak! Bukan itu penyelesaiannya. Membunuh diri tidakkan menyelesaikan suatu perkara kerana dimensi hidup yang hakiki bukan di dunia tapi di sana.. Akhirat.

7. Nah! Di sinilah kekuatan Islam. Juga kekuatan bagi mereka yang bernama Muslim. Dimensi berfikir yang luas dan tak terbatas pada dunia. Dimensi berfikir yang meneroka jauh ke hadapan meninggalkan isme-isme dan ideologi songsang yang terkebelakang. Tapi sayang seribu kali sayang. Umat Islam hanya pada nama sahaja. Tinggal pada pakaian sahaja. Yang lelaki hanya tinggal dengan nama Islamnya. Yang perempuan hanya tinggal pada secarik kain di kepalanya..

"Kemusnahan suatu tamadun berlaku bilamana dasarnya tidak lagi bersumberkan espitimologi teragung iaitu Quran al-Karim"

8. Islam tidak lagi dianuti secara ‘kaaffah’ (keseluruhan). Islam diambil secara serba-serbi. Mana yang ‘best’ diambil dan mana yang ‘tak best’ ditolak ketepi. Nikah kahwin diambil kerana ia memang ‘best’ tapi soal solat, puasa dan zakat yang dirasakan ‘tak best’ serta memenatkan dibuang dan tak dihiraukan. Jadilah suatu umat yang serba-serbi. Serba tak kena. Hingga memberikan kesan pada tamadun Muslim. Tamadun menjadi jatuh berantakan kerana tamadun meninggalkan asas keunggulannya iaitu Islam.

9. Islam adalah agama samawi yang takkan musnah. Sebab ia sudah dijanjikan oleh Allah SWT bahawa agama ini akan dipelihara olehNya sampai bila-bila. Sampai kiamat! Yang musnah sebenarnya ialah Muslim. Iaitu apabila Muslim (orang Islam) tidak lagi mengamalkan Islam secara keseluruhan maka ia pasti punah dan ditimpa dengan kehinaan.

10. Sekali lagi saya tegaskan, Islam adalah ‘addiin’ yang tiada tolok bandingnya lagi. Sejarah kegelapan manusia di Eropah suatu ketika dahulu berubah menjadi gemilang pada satu kurun selepasnya apabila mereka menerima ‘tempias’ Islam. Itu baru ‘tempias’. Apatah lagi kalau kita sendiri yang menerima sistem Islam secara terus. Bukankah ia pasti lebih gemilang? Yakinlah, Islam penyelesai segala perkara...

Wallahu a’lam.

(Tangguh dengan tasbih Kaffarah)