Tuesday, November 6

Mantanani: Harapan anak Pulau



Sepatutnya program korban pada hari kedua Aidil Adha itu berlangsung di Pulau Banggi, Kudat.

Saya (wakil PSS) dan rakan-rakan Yayasan Amal dijadualkan untuk bermalam di sana dan menyembelih 2 ekor lembu korban yang akan disedekahkan kepada para fakir miskin.



Tapi, Allah lebih mengetahui yang terbaik. Jadual berubah, dari Pulau Banggi, Kudat, saya menuju ke Pulau Mantanani, Kota Belud. Kali ini bersama dengan rakan-rakan Muslim Care dan juga pegawai JAKIM serta JHEAINS. 


Turut serta dalam rombongan ini beberapa orang anak muda Persatuan Siswazah Sabah (PSS).


Dengar kata (sebelum ke pulau), kami akan menumbangkan 3 ekor lembu untuk program yang julung-julung kali diadakan di situ. 

Saya membuat congakan, kalau 3 ekor lembu, campur waktu untuk melapah daging dan membuat edaran, sekuang-kurangnya kami hanya akan dapat berlepas pulang dari pulau sebelum pukul 6 petang. Silap haribulan, kena tidur dekat Pulau!

Alhamdulillah perjalanan ke Pulau pada pagi tersebut sedikit teruji dengan bot yang mengalami kerosakan enjin. Terpaksa menunggu bot alternatif dari pulau beberapa jam, sebelum kembali semula ke jeti perlepasan.

Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan masa menunggu tersebut untuk berjumpa dengan orang-orang kampung. Sarapan bersama di warung dan seterusnya berbincang isu-isu dakwah serta lokal yang berkaitan.

Ya. Ziarah santai sebenarnya punya kesan yang lebih mendalam berbanding program formal yang dianjurkan. 

Pukul 10.30 pagi, kami mula bertolak dari jeti ke pulau. Bot yang dinaiki agak besar dan kebimbangan saya dengan lambungan ombak lenyap begitu sahaja. Turut serta dalam bot beberapa orang kampung yang ingin menunaikan hajat ke pulau. Anak kecil mereka (sekitar umur anak saya, Ahmad Yassin) dibiarkan sahaja kepanasan dibawah terik mentari yang menggigit kulit. Kagum! Anak-anak mereka seolah sudah kebal dengan cahaya terik suria tengah hari tersebut... Kalau anak bandar, demamlah jawabnya.

Bunyi deru bot yang memecah keheningan lautan biru sekali-sekala dipecahkan dengan bunyi rakan-rakan bersembang sesama mereka. Saya ambil kesempatan itu untuk berbual dengan pegawai JHEAINS yang sudah 5 tahun menginfakkan masanya berulang-alik dari tanah besar ke pulau.

"Wah... Kira laut ni mainan hidup abang lah kan.." Puji saya. Menghargai usahanya.

"Ndak lah bah.. Sikit-sikit saja." Dia menidakkan dengan loghat Sabah sambil menggeleng-geleng kepala. Merendah diri benar abang ini.

Kami berbual sambil mata dilemparkan pada pulau yang sayup-sayup semakin membesar di hadapan.

Antara masalah di pulau yang memerlukan NGO Islam turun ialah, masalah pembelajaran. Anak-anak pulau memerlukan motivasi untuk mereka bersemangat dalam meraih kejayaan terutamanya di alam persekolahan rendah. Ibu-bapa juga perlu diberikan suntikan motivasi kerana merekalah sumber inspirasi utama anak-anak di rumah. Ujarnya pada saya panjang lebar.

Alhamdulillah... Saya doakan abang ini sentiasa dapat diberi kemudahan untuk meneruskan khidmat. Kita sebagai NGO, sekerap mana sahaja yang kita boleh lakukan untuk turun padang. Itu fakta pahit yang tetap kena telan.

15 minit sebelum tiba di Pulau, beberapa kawanan ikan yang 'terbang' melayang-layang sdi sekeliling bot seolah-olah menyambut ketibaan rombongan kami dengan riang. Saya terkejut! Ini pengalaman pertama saya melihat ikan terbang. Boleh rasanya team National Geographic datang membuat kajian!

"Masya Allah! Jernihnya air..." Jerit beberapa ahli rombongan.

Saya melihat ke bawah. Kelihatan air laut yang tenang dan jernih hingga menampakkan dasarnya. Pemandangan hidrologi yang belum terusik dengan tangan kasar pembangunan. 

Bot kami berlabuh.

Seluruh penduduk kampung berbaris ditepi jeti menyambut ketibaan rombongan kami. Macam sambut YB lah pula!

Tentatif kami di pulau ini dimulakan dengan taklimat sepanjang sehari program dan sedikit sumbangan kepada fakir misikin. Sejurus selepas itu, 2 ekor lembu ditumbangkan sebagai ibadah korban yang mana seekor lagi terlepas dan masih dicari oleh penduduk kampung. Ini adalah program korban yang pertama di pulau ini! Kata seorang penduduk kampung.

Ya. Anak-anak muda mereka tidak pernah melihat sendiri apa itu ibadah korban sebenarnya? Mereka hanya mendengar dari lidah para pendakwah yang datang. Jadi program seperti ini sekurang-kurangnya memberi pengalaman kepada anak-anak muda pulau menghayati syiar ibadah korban tesebut. Selain kaum ibu dan bapa mempertautkan lagi ukhuwwah dengan melaksanakan ibadah ini bersama-sama.

Selesai semuanya, kami selamat pulang semula ke tanah besar sebelum maghrib menjelang.

Suara anak pulau yang mengharap kedatangan kami semula ke sana masih terngiang-ngiang...


Insha Allah adik!

P/s-Gambar-gambar penuh di Pulau boleh lawati album Fb saya. Syukran

No comments: