Friday, November 2

Jihad: Di saat kita lelah...

 
 Sorry. I am tired!

"Saya agak kecewalah.. Kita minta datang awal mesyuarat kadang-kadang tak datang." Keluh ketua.

"Jangan kata nak datang, langsung tak mesej makluman pun ada.." Tambah beliau.

"Macam manalah keadaan kita kalau begini...?" 

Semua senyap. 

"Kita buat sistem dendalah. Macam mana?" Saya mengajukan cadangan.

"Sistem denda ni dah banyak kali kita cadangkan. Dah diminitkan pun dalam mesyuarat"

"Tapi tak pernah jadi..." Balas ketua. 

"Erm... Saya rasalah ia bukan sebab perlu denda atau hukuman. Mereka ni pun bukan orang lain. Mereka sahabat-sahabat kita juga." Seorang rakan lain mencelah.

"Saya rasa ia faktor pengisian jiwa. Perjuangan ini ada pasang surutnya. Ada masa kita lelah. Ada masa kita mengah."

"Cuba kita fikirkan sejenak, sejauh mana pengisian yang kita buat, dan kita bandingkan dengan berapa banyak gerak kerja yang kita lakukan?" Tambahnya lagi. Kemas.

Lontaran yang baik. Lantunan yang memuhasabahkan.

Tatkala sibuk kita menghayunkan langkah, boleh jadi kita terlupa memperkemaskan kuda-kuda.

Di saat kita lelah dan mengah. Kita sebenarnya di ambang alpa.

Usrah. Mukhayyam. Ijtimak. Mahabbah!

Cantik dan tersusun dizikirkan dengan mulut. Tapi belum tentu seindah gubahannya pada 'real' suasana.

Salah siapa? Tepuk dada.. Mari bermuhasabah!

ANTARA: RASIONAL vs HAK vs JIHAD

Pernahkah kita renung seketika. 

Pelik rasanya bila kita lihat ada rakan lain yang bersungguh-sungguh dalam perjuangan. Atas nama sebuah rasional, atas nama sebuah kebebasan hak asasi manusia.

Mereka sanggup bergadai masa, tenaga, wang ringgit, dan kadang kala keintiman keluarga atas semangat ingin menatijahkan perjuangan yang mereka percaya. Malah, sayugia jauh lebih giat sebahagian mereka dari sebilangan kita.

Apakah tuntutan Rasional dan Hak itu jauh melebihi tuntutan Jihad dari sebuah kaca mata?

Atau... Apakah mereka tak pernah kenal erti lelah dan mengah sebagaimana seorang insan biasa?

Seorang Amilin yang percaya erti Jihad dalam kamus sebuah Risalah Ta'alim Al-Banna sebenarnya jauh lebih hebat momentumnya dari seorang penganut sosialis yang menghafal erti Hak dan Rasional dari kamus pustaka John Locke di Wrington.

Semestinya!

Kerana Jihad itu ia bersaudara dengan soal; Dosa atau Pahala. 

Salam Jumaat!


 

No comments: