Showing posts with label Refleksi. Show all posts
Showing posts with label Refleksi. Show all posts

Monday, October 29

Sedekah: Rela vs Paksa?

"Bersedakahlah, kerana sedekah itu mencegahmu dari Musibah" - Al-Hadis


Hari itu saya menerima sms dari seorang adik. Kenalan dalam usrah.
Berhenti di lampu isyarat, saya mengambil peluang meneliti kandungannya.
 
Smsnya lebih kurang berbunyi, beliau mempunyai sedikit masalah kewangan dan mengharapkan agar diberikan sumbangan.

Entahlah mengapa tiba-tiba terdetik dalam hati, "Ish! Sumbangan lagi..". Hati mengeluh!

Jelas keluhan tersebut dari hati yang terbujuk syaitan.
Saya teruskan perjalanan sambil beristighfar panjang.

Dipendekkan cerita, juga secara tiba-tiba selepas membelok dari lampu isyarat tersebut, seorang polis trafik melambai-lambai agar saya memberhentikan kereta.

Saya berhenti.

"Ada apa encik?" Tanya saya.

"Awak tanya ada apa? Mana tali pinggang keledar?" Tanyanya kepada saya. Astaghfirullah! Saya menepuk dahi. Rupanya saya tak memakai tali keledar!

Ketika Encik Polis sibuk mencatatkan saman, saya membuat kira-kira sendiri dalam kepala. Apalah kesilapan saya hari ini hingga terlupa memakai tali keledar. Boleh pula saya tak nampak langsung kelibat polis tersebut walhal orang didepan dan dibelakang semuanya perasan akan kehadiran Encik Polis.

Inilah ketentuan Allah.

Ada dua perkara yang saya pelajari.

1. Harapnya itu tanda kasih-sayang Allah. 

Saman RM300 boleh tahan lagi. Tapi kalau kemalangan tanpa memasang tali keledar belum tentu nilainya semurah RM300 tersebut! Boleh jadi nyawa sebagai bayarannya.

2. Mungkin jua itu petanda teguran dari Allah.

Kadang ada masa hati kita mengeluh dan berasa bimbang untuk mengeluarkan sedikit infak dan sedekah. Sampai satu tahap sedekah yang sepatutnya Allah redha dikeluarkan secara rela bertukar menjadi paksa-rela. Saman itu terpaksa, sedakah itulah yang rela! 

Saya menasihati diri agar memilih amal yang rela.


Tuesday, October 23

Hadiah buat Ummi!

 Ya Allah jadikanlah zuriat dari tulang sulbi kami sebagai zuriat yang Soleh juga Solehah!

Sebulan lagi anak kami, Sheikh Ahmad Yassin Jr. akan menyambut setahun kelahirannya..

Maknanya, sudah hampir 2 tahun jugalah usia perkahwinan Abu Ahmad dan Ummu Ahmad jika dikira mengikut peredaran masa.

Bila dikenang, sungguh cepat masa beredar. Seolah baru semalam Ahmad lahir tapi kini dah pandai memberikan respon seperti orang dewasa. 

Bulan Oktober dan November antara bulan yang cukup bermakna.

Oktober untuk bulan lahir Ummu Ahmad.
Manakala November hari permata kesayangan kami Ahmad Yassin Nasrullah. :)

Puas saya fikir hadiah apa paling bermakna buat Ummu Ahmad. Nak bagi apa ye yang paling best? 
Jam tangan? Cincin emas? Ciuman kasih-sayang seorang suami? Atau apa ye..?

Tapi.. Sebenarnya hadiah yang paling istimewa buat para isteri ialah 'Suami yang Soleh'.
Betul tak?

Saya cuba menasihati diri, apapun hadiah yang nak kita berikan buat si isteri tercinta, jangan lupa juga hadiahkan diri kita buat mereka sebagai Suami yang Soleh.

Jadilah suami yang sentiasa menambah ketaatan kepada Allah.
Itulah hadiah yang paling bermakna buat si dia.. :)

Insha Allah!  

 

Thursday, January 26

Mahu kembali menulis



Saya kehilangan mood menulis.

Sudah beberapa bulan blog ini ‘sunyi sepi’.

Adaklanya saya berfikir bahawa adalah lebih baik blog ini ditutup sahaja daripada tidak diimarahkan.

Cuba anda bayangkan sebuah RnR yang tidak diuruskan. Mulanya, teringin untuk menyinggah bagi melepaskan lelah di sepanjang perjalanan. Tapi bila berhenti rehat sebentar ia amat menghampakan. Seolah-olah habuk, debu dan tanah kering sahaja yang terhidang…

Bagi saya, begitulah situasinya bagi blog yang tidak ada pengisian. Tandus dan kering…

Sekali-sekala saya meluahkan pada isteri. Baik tutup saja blog ini. Daripada dibiarkan bersawang. Tapi isteri sentiasa optimis. Katanya, insha Allah biarkan ia dibuka lebih baik dari ditutup.

“Siapa nak baca?” – Saya mengacah.

“Ummi lah yang nak baca!” – Jawabnya selamba. Saya senyum.. Itulah optimisnya wanita.

Saya akhirnya akur.

Tuntas, menulis itu adalah sebuah perjuangan! – Mahu kembali menulis.

Thursday, August 12

Pemimpin nombor satuku


“Dia pemimpin nombor satu aku...” Kata Ikal dalam Filem Sang Pemimpi.

Seorang ayah yang hanya bekerja sebagai pelombong menaiki basikal dengan memakai baju kebanggaan empat poket datang mengambil rekod anaknya di sekolah. Tiba-tiba si anak mengecewakan ayahnya.... Rekod tidak seperti yang diharapkan!

Sang Ayah balik tanpa berkata walau sepatah. Si anak seperti tersentak dari lamunan panjang terus berlari mengejar basikal ayahnya. Lalu mereka bertemu di atas jambatan...

Si anak memegang tangan ayah. Sang Ayah terkejut... Lantas tanpa diminta si anak berjanji untuk tidak mengecewakan lagi pemimpin nombor satunya!

A very touching moment there!

Kawan, itu cerita dalam filem. Tapi pernah tak kita rasa cerita tu dekat sangat dengan diri kita? Seolah-olah watak-watak yang dilakonkan pernah hidup di sisi kita?

Perhatikan kepada ayah Ikal...

Jika anda berasal dari keluarga mewah, mungkin ia amat sukar untuk menjiwai kehadiran watak ayah Ikal dalam filem ini. Mungkin... Saya hanya mengagak.

Ayah Ikal amat luar biasa. Dia ada daya menginspirasi walaupun digambarakan dalam filem ini beliau amat pendiam. Jarang bercakap dengan anaknya Ikal. Tapi ingat, kuasa menginspirasi yang paling besar datangnya dari gerak-geri peribadi seseorang bukannya kata-kata melangit yang diucapkan.

Begitulah ayah Ikal...

Setiap kayuhan basikalnya adalah inspirasi. Bunyi batuk sakitnya ada kuasa motivasi. Juga renungan matanya punya kuasa transformasi terpendam yang menyedarkan kelekaan Ikal.

Hebat bukan? Jarang ‘ayah-ayah moden’ dikurniakan daya inspirasi sepertinya....

Kita bicara pula sifat seorang Ibu.

Makhluk Allah yang bergelar ibu-ibu sebenarnya ada satu senjata yang paling istimewa. Senjata yang akan mencairkan kedegilan yang menggunung.

Itulah dia air mata seorang ibu... Hangat dan membasuh segala kotoran dari daging-daging hati setiap anak.

Air mata ibu akan mengalir dalam dua keadaan. Di kala suka ataupun duka.

Tatkala seorang ayah terbukti dengan daya menginspirasinya.. Ia akan bertambah sempurna bila bergabung dengan air mata merawat dari seorang ibu. Maka lahirlah anak yang penuh cita-cita dan berhati waja seperti Ikal...

Beruntung kau Ikal kerana ada pemimpin nombor satu dan dua!!

--------------------------------

Kawan,

Sempena ramadhan jangan lupa mendoakan pemimpin nombor satu dan dua kita.

Terima kasih ibu ayah........ Terima kasih! Meski ku tahu ia hanya sekadar ucapan yang tidak layak buatmu.....

Thursday, July 22

Nak jumpa Abi


Kenangan bercuti dengan Abi di G. Ledang.

[Yahoo Mesenger]

Saya : Rindu ngn Abi. Dah lama ana x ke Melaka.

Abi : Kalu ade masa dtg la sini. G. Ledang tgu enta tue (Abi berseloroh)

Saya : Insya Allah Abi. If Abi ade program bgt je.

Abi : Program byk. Enta tu je yg xnk dtg

Saya : (senyum). Betul kata Abi tu.

Abi : (senyum)

Saya : Insya Allah Abi. Ana usahakan ke sana...

Melaka bandaraya bersejarah. Teringin nak ke sana bukan kerana A Famosa. Apelah yang ada ngan A Famosa tue. Seketul batu tinggalan Portugis yang kaku berdiri. Barangkali A Famosa pun sudah bosan dengan orang yang asyik datang melawatnya...

Mahu ke sana kerana ingin membangun jiwa. Berjumpa dengan Abi yang telah 6 bulan saya tidak ketemu. Sejak Abi ke luar negara sebanyak 3 kali saya tak berkesempatan lagi untuk mengunjunginya. Apatah lagi untuk berpeluang menadah sedikit sebanyak mutiara dari X-Plorace Dakwah Abi yang panjang itu.

Bila bertandang ke Melaka sekaligus saya akan teringat seorang lagi Murabbi yang saya amat kasihi. Ayahanda Ust Dzul, Tok Guru pondok Baitul Qura’. Nostalgia menuntut kitab di sana amat saya rindui sehingga kini. Apalah khabar Tok guru saya itu sekarang?

“Enta lihat air tue...”

Abi mencuit bahu saya. Ketika itu kami hampir 3000 meter dari paras laut. Dalam perjalanan menakluk si Ledang.

“Wah! Ada air lah kat sini...”

“Enta nie.. Enta nampak benda yang zahir je. Ibrahnya enta taknak fikir pun.”

Saya tersentak.

Ketika itu saya sedar Abi sedang membetulkan saya. Membetulkan semangat anak muda saya yang sedang bergelora. Ketika itulah saya mengalami Tarbiyyah Alami. Juga Tarbiyyah Rabbani. Tarbiyyah dari Allah yang ditugaskannya kepada Alam. Dan Abi pula sebagai Tok Guru yang mengajar.

[Yahoo Messenger]

Saya : Abi... Ana sakit.

Abi : Ha? Sakit pe?

Saya : Jiwa ana sakit Abi.

Abi : ooo. Pegilah klinik jiwa (Abi berseloroh lagi)

Saya : Dah pegi Abi. Tapi skg ni ana nk Abi jg yg rawat

Abi : mmm. Bln 8 ni jupe kt G. Ledang. Ade prog U. Enta ikut skali. Stuju?

Saya : Syukran Abi.

Alhamdulillah. Offer yang sangat berharga dari Abi. Sahabat-sahabat kat Melaka tunggu kehadiran saya di sana... Insya Allah.

Khusus buat Abi:

-BISIKAN HATI SANG PENDAKI-

Abi...

Ketahuilah pendakian demi pendakian telahku lalui...

Walau puncak itu terlalu jauh, tapi aku tak kunjung henti...

Terus mendaki.

Sambil mengunyah pesan abi dengan geraham gigi...

Abi...

Aku sudah saksikan ramai pendaki berhenti...

Tapi alhamdulillah aku masih mendaki...

Ya, aku yakin yang aku masih mendaki...

Tapi Abi...

Entah kenapa setelah sekian lama mendaki..

Kini aku tiba di satu kaki...

Betul punca air ada lagi.

Betul arus air masih mengalir lagi..

Tapi... Penuh kelodak dan berdaki...

Abi...

Ku dah tak sanggup bertarung ujian ini.

Abi, pohon tunjukkan mata air yang lebih suci!


P/s:- Abi, terima Kasih krn 'ole-ole' ini-->[link]

Wednesday, June 16

Marilah menangis sesaat...


Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

Hati menangis sama bila melihat gambar ini. Kesedihan seorang ulama turut dirasai.

Ya, kalaulah Tok Guru tercinta menangis kerana takutkan mati dan bimbang tempat apa yang Allah sediakan di barzakh nanti, saya semestinya menangis lebih dari itu lagi. Apalah kiranya amalan yang cuma sekangkang bayi ini mampu menjamin dari diazab oleh Allah Ta’ala kelak??

Masanya pasti tiba...

Jantung yang berdegup ketika ini, pasti menemui saat ia berhenti untuk selama-lamanya. Ketika itulah Sakratul Maut datang menjemput. Malaikat maut tak perlu permit untuk memaksa roh kita keluar dari jasad kerana permit itu telah pun kita ‘tanda-tangani’ di hadapan Allah SWT dahulu!

“Marilah... Mari beriman sesaat”—Abdullah bin Rawahah RA

Itulah kata-kata penuh hikmah seorang pujangga besar Islam. Beliau memimpin tangan Abu Darda’ RA sambil berkata, “Marilah... Mari beriman sesaat”. Walaupun keduanya adalah orang yang selalu ingat kepada Allah, tetapi masih saling mengingatkan antara satu sama lain. Mudah-mudahan kita ‘berbudaya’ seperti mereka...

Imam Ahmad Ibn Hambal didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki itu pun berkata;

“Apakah hukum bersyair?”

“Syair tentang apa?”—Jawab Imam Ahmad

Lelaki tersebut mendendangkan sebuah syair:

“Apabila Tuhan bertanya kepadaku,

Apakah engkau tidak malu bermaksiat kepada-Ku?

Engkau cuba sembunyikan dosa dari makhluk-Ku,

Tapi akhirnya engkau datang jua kepada-Ku dengan maksiat tadi,

Apakah engkau tidak malu?”

Imam Ahamd tidak menjawab. Beliau terus lari masuk ke dalam rumah. Lelaki tadi terpinga-pinga. Apabila ia merapatkan diri ke rumah Imam Ahmad, ia terdengar sang Imam mengulang-ulang syair tadi sambil menangis...

Pernah tak merasa pelik? Kenapa ye orang-orang Soleh dahulu selalu asyik menangis. Bandingkan dengan kita sekarang, mana lagi banyak? Menangis ke ketawa?

Ya.. Kita lebih banyak ketawa daripada menangis. Kalau menangis sekalipun kerana sebab lain. Jarang sangat kita menangis kerana Allah SWT. Terlalu jarang!

Orang-orang Soleh dahulu menangis kerana takut apabila mereka melakukan maksiat walau sebesar zarah sekalipun bimbang-bimbang ia akan ‘mencalarkan’ hubungan cinta mereka dengan Allah SWT!

Hari ini... Saya menyeru pada diri, “Marilah... Mari menangis sesaat”.

Mari kita kenang dosa-dosa lampau dan berfikir sama apakah Allah SWT sudah menerima taubat yang telah kita buat? Kerana masanya pasti tiba... Maut tidak akan menunggu umur kita seperti Allahyarham Ustaz Hassan Shukri barulah ia datang menjengah ke rumah.

Sungguh! Amat rugi hidup seorang lelaki yang tidak pernah menangis kerana Allah SWT.