Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Friday, November 2

Jihad: Di saat kita lelah...

 
 Sorry. I am tired!

"Saya agak kecewalah.. Kita minta datang awal mesyuarat kadang-kadang tak datang." Keluh ketua.

"Jangan kata nak datang, langsung tak mesej makluman pun ada.." Tambah beliau.

"Macam manalah keadaan kita kalau begini...?" 

Semua senyap. 

"Kita buat sistem dendalah. Macam mana?" Saya mengajukan cadangan.

"Sistem denda ni dah banyak kali kita cadangkan. Dah diminitkan pun dalam mesyuarat"

"Tapi tak pernah jadi..." Balas ketua. 

"Erm... Saya rasalah ia bukan sebab perlu denda atau hukuman. Mereka ni pun bukan orang lain. Mereka sahabat-sahabat kita juga." Seorang rakan lain mencelah.

"Saya rasa ia faktor pengisian jiwa. Perjuangan ini ada pasang surutnya. Ada masa kita lelah. Ada masa kita mengah."

"Cuba kita fikirkan sejenak, sejauh mana pengisian yang kita buat, dan kita bandingkan dengan berapa banyak gerak kerja yang kita lakukan?" Tambahnya lagi. Kemas.

Lontaran yang baik. Lantunan yang memuhasabahkan.

Tatkala sibuk kita menghayunkan langkah, boleh jadi kita terlupa memperkemaskan kuda-kuda.

Di saat kita lelah dan mengah. Kita sebenarnya di ambang alpa.

Usrah. Mukhayyam. Ijtimak. Mahabbah!

Cantik dan tersusun dizikirkan dengan mulut. Tapi belum tentu seindah gubahannya pada 'real' suasana.

Salah siapa? Tepuk dada.. Mari bermuhasabah!

ANTARA: RASIONAL vs HAK vs JIHAD

Pernahkah kita renung seketika. 

Pelik rasanya bila kita lihat ada rakan lain yang bersungguh-sungguh dalam perjuangan. Atas nama sebuah rasional, atas nama sebuah kebebasan hak asasi manusia.

Mereka sanggup bergadai masa, tenaga, wang ringgit, dan kadang kala keintiman keluarga atas semangat ingin menatijahkan perjuangan yang mereka percaya. Malah, sayugia jauh lebih giat sebahagian mereka dari sebilangan kita.

Apakah tuntutan Rasional dan Hak itu jauh melebihi tuntutan Jihad dari sebuah kaca mata?

Atau... Apakah mereka tak pernah kenal erti lelah dan mengah sebagaimana seorang insan biasa?

Seorang Amilin yang percaya erti Jihad dalam kamus sebuah Risalah Ta'alim Al-Banna sebenarnya jauh lebih hebat momentumnya dari seorang penganut sosialis yang menghafal erti Hak dan Rasional dari kamus pustaka John Locke di Wrington.

Semestinya!

Kerana Jihad itu ia bersaudara dengan soal; Dosa atau Pahala. 

Salam Jumaat!


 

Tuesday, August 31

Saat-saat genting seorang hamba!


Separuh masa Ketiga piala TAKWA!

Pusingan ketiga bermula!

Hari ini adalah hari ke-21 Ramadhan. Kalau dianalogikan dalam permainan bola, pusingan ini adalah pusingan yang ketiga. ‘Extra time’ setelah 1st half dan 2nd half berakhir.

Pusingan inilah dimana Rasulullah SAW langsung tidak berbuka puasa melainkan ketika waktu sahur.

Ketika ditanya oleh para sahabat;

“Wahai Rasulullah... Apakah ini satu perintah dari Allah?”

Jawab baginda, “Ini adalah khusus untuk daku sahaja”.

Gentingnya seorang kekasih Allah mengejar keredhaan dan keampunan Allah SWT walhal baginda sudahpun mendapat jaminan Syurga!

Sehingga Saidatina Aisyah Radhiallahu’anha mengungkapkan;

“Aku tidak pernah melihat kesungguhan baginda Nabi SAW beribadah melainkan ketika waktu ini (malam-malam terakhir Ramadhan).”

Bayangkanlah..... Rasulullah SAW seorang yang luar biasa ketekunan ibadahnya sehingga dicatitkan di dalam kitab-kitab sirah. Salah satunya, baginda bersolat sehingga kaki beliau bengkak dan pecah.

Kita ingatkan itulah ibadah yang paling maksima dibuat oleh Rasulullah!

Rupa-rupanya ada lagi yang lebih ‘hyper-maksimum’ daripada itu. Iaitu ketika malam-malam akhir bulan Ramadhan! Itulah yang disaksikan oleh ummul Mukminun Saidatina Aisyah sendiri.

Kenapa?

Kerana pusingan ketiga ini adalah saat-saat genting bagi seorang hamba yang sangat mendambakan keampunan serta keredhaan Tuhannya...

HARI-HARI MENUJU KEMENANGAN!

Masa terus berdetik.

Setiap saat yang ada sangat berharga bagi seorang Mukmin.

Setiap amalan dilipat kali ganda pahalanya oleh Allah SWT sebanyak 70 kali.

Bayangkan seorang hamba yang menapak ke masjid di bulan Ramadhan dengan hati yang ikhlas lalu mengerjakan solat berjemaah.

Satu langkah dapat 1 pahala. Katakan jarak rumahnya ke masjid adalah 50 langkah, maka pahalanya adalah 50x70 kali di bulan Ramadhan. Jumlahnya ialah 3500 pahala!

Kemudian hamba ini solat berjemaah. 1 pahala solat x 27 solat berjemaah x 70 di bulan Ramadhan, jumlahnya 1890 pahala.

Itu tidak termasuk pahala bacaan di dalam solat iaitu satu huruf Al-Quran akan mendapat 10 ganjaran dan didarabkan dengan 70 kali di bulan Ramadhan. Pahala ‘iktikaf, mendengar bacaan imam, pahala saf solat, dan pelbagai lagi... Terlalu banyak jumlahnya!

Subhanallah... Luasnya kurnia Allah SWT bagi mereka yang menilai dengan iman.....

Pusingan ke-3 ini adalah hari-hari terakhir menuju kemenangan.

Bagi hati-hati yang mengerti, mereka akan teruja berlumba-lumba membuat kebajikan sehingga ke tahap yang paling maksima.

Padanlah ketika akhir Ramadhan inilah Tariq bin Ziyad menawan kota keagungan Eropah di Sepanyol!

-Gambar Hiasan-

Tanggal 27 Ramadhan.

Sejarah dunia mencatatkan peristiwa tatkala kuda perkasa tunggangan seorang ‘hanya biasa’ berketurunan hamba dari Parsi iaitu Tariq bin Ziyad mendarat di pesisir pantai Selat Gibraltar.

Tiba-tiba panglima yang ‘hanya biasa’ ini membuat satu arahan yang terlalu ‘luar biasa’! Beliau meminta kapal-kapal yang digunakan tadi dibakar kesemuanya. Tanpa ada sebuah pun yang ditinggalkan.

Jackson J. Spielvogel menulis dalam bukunya, Western Civilization:

“After sweeping across North Africa, the muslims crossed the Straits of Gibraltar and moved into Spain around 7100 people.”

Mendengar berita ini, Raja Roderick mengetuai tentera seramai 100 000 orang untuk berdepan dengan tentera Islam yang hanya berjumlah 12 000 orang termasuk tentera bantuan yang baru sampai.

Tapi sungguh!

Raja Roderick telah melakukan kesilapan besar kerana menentang tentera Islam di saat ‘hari-hari GENTING mereka menuju kemenangan’.

Raja Roderick tersilap membuat percaturan kerana jahil menilai. Dia tidak tahu bahawa hari-hari terakhir Ramadhan adalah saat-saat genting seorang hamba ‘bermati-matian’ menyahut seruan Tuhannya.

Ekoran dari itulah tentera Sepanyol tewas dan Raja Roderick terbunuh dalam pertempuran yang berlangsung di dalam Wilayah Cadiz.

Mari kita selami apa yang diucapkan oleh panglima Tariq bin Ziyad tatkala beliau berpidato selepas membakar kapal-kapalnya:

“Wahai sekalian Tenteraku, kemana kalian mahu melarikan diri?? Laut di belakang kamu dan musuh ada di hadapan kamu. Demi Allah yang Maha Kuasa! Tiada lagi yang tinggal melainkan Keberanian dan juga Kesabaran!”

Hari-hari akhir Ramadhan... Ketahuilah bahawa ia adalah detik dimana seorang hamba akan mencapai ‘klimaks’ dalam ibadahnya!

Insya Allah, kita buktikan!! Tapi hanya pada Allah dan bukan pada manusia.

Thursday, August 12

Pemimpin nombor satuku


“Dia pemimpin nombor satu aku...” Kata Ikal dalam Filem Sang Pemimpi.

Seorang ayah yang hanya bekerja sebagai pelombong menaiki basikal dengan memakai baju kebanggaan empat poket datang mengambil rekod anaknya di sekolah. Tiba-tiba si anak mengecewakan ayahnya.... Rekod tidak seperti yang diharapkan!

Sang Ayah balik tanpa berkata walau sepatah. Si anak seperti tersentak dari lamunan panjang terus berlari mengejar basikal ayahnya. Lalu mereka bertemu di atas jambatan...

Si anak memegang tangan ayah. Sang Ayah terkejut... Lantas tanpa diminta si anak berjanji untuk tidak mengecewakan lagi pemimpin nombor satunya!

A very touching moment there!

Kawan, itu cerita dalam filem. Tapi pernah tak kita rasa cerita tu dekat sangat dengan diri kita? Seolah-olah watak-watak yang dilakonkan pernah hidup di sisi kita?

Perhatikan kepada ayah Ikal...

Jika anda berasal dari keluarga mewah, mungkin ia amat sukar untuk menjiwai kehadiran watak ayah Ikal dalam filem ini. Mungkin... Saya hanya mengagak.

Ayah Ikal amat luar biasa. Dia ada daya menginspirasi walaupun digambarakan dalam filem ini beliau amat pendiam. Jarang bercakap dengan anaknya Ikal. Tapi ingat, kuasa menginspirasi yang paling besar datangnya dari gerak-geri peribadi seseorang bukannya kata-kata melangit yang diucapkan.

Begitulah ayah Ikal...

Setiap kayuhan basikalnya adalah inspirasi. Bunyi batuk sakitnya ada kuasa motivasi. Juga renungan matanya punya kuasa transformasi terpendam yang menyedarkan kelekaan Ikal.

Hebat bukan? Jarang ‘ayah-ayah moden’ dikurniakan daya inspirasi sepertinya....

Kita bicara pula sifat seorang Ibu.

Makhluk Allah yang bergelar ibu-ibu sebenarnya ada satu senjata yang paling istimewa. Senjata yang akan mencairkan kedegilan yang menggunung.

Itulah dia air mata seorang ibu... Hangat dan membasuh segala kotoran dari daging-daging hati setiap anak.

Air mata ibu akan mengalir dalam dua keadaan. Di kala suka ataupun duka.

Tatkala seorang ayah terbukti dengan daya menginspirasinya.. Ia akan bertambah sempurna bila bergabung dengan air mata merawat dari seorang ibu. Maka lahirlah anak yang penuh cita-cita dan berhati waja seperti Ikal...

Beruntung kau Ikal kerana ada pemimpin nombor satu dan dua!!

--------------------------------

Kawan,

Sempena ramadhan jangan lupa mendoakan pemimpin nombor satu dan dua kita.

Terima kasih ibu ayah........ Terima kasih! Meski ku tahu ia hanya sekadar ucapan yang tidak layak buatmu.....

Tuesday, August 10

Ramadhan is welcoming you!


La'allakum tattaquun.... Moga Kamu menjadi Siswazah Takwa.

“Ahlan ya Muslimuun…” Sapa Ramadhan kepada para mahasiswa yang hadir.

Ya... Universiti Ramadhan kembali dibuka untuk tempoh masa yang singkat. Hanya sebulan sahaja untuk mahasiswa menghabiskan pengajian bagi meraih ijazah masing-masing.

La’allakum tattaquun!

Begitulah kata-kata hikmah yang terpampang meliputi seluruh kampus Ramadhan. Promosi besar-besaran agar mahasiswa yang melangkah ke universiti ini akan ghairah untuk menyempurnakan segulung ijazah.

Hakikatnya ada yang datang ke universiti ini untuk meraih ijazah taqwa yang pertama. Ada pula yang ingin melengkapkan diri menjadi graduan sarjana taqwa ataupun ijazah kehormat taqwa. Dan tidak kurang juga yang melangkah ke universiti ini dalam kedaan yang ‘terpaksa’. Itulah warna-warni mahasiswa dalam universiti ulung ini.

Sebenarnya universiti Ramadhan ini teramat istimewa. Sepanjang pengajian di dalamnya selama sebulan, penilaian untuk seorang mahasiswa tidak tertakluk kepada kuliah, bahkan ia berbentuk amali.

Segala kerja-kerja amali wajib yang dibuat sebelum memasuki alam universiti ramadhan digandakan dengan kerja-kerja lapangan yang berbentuk sunat. Bezanya cuma ketika berada dalam universiti ini, para mahasiswa akan ditambah dengan suatu kerja kursus wajib iaitu puasa sepanjang hari.

Apa yang membezakan universiti Ramadhan dengan 11 lagi universiti yang lain ialah bilangan merit yang diberikan kepada setiap amali wajib dan sunat serta kerja kursus mahasiswa. Meritnya berganda-ganda beberapa kali ganda. Dan amat rugilah seorang mahasiswa yang mensia-siakan setiap amali dan kerja kursus yang diarahkan.

Satu lagi ganjaran teristimewa bagi para mahasiswa yang memasuki universiti Ramadhan ialah mereka akan berpeluang untuk bertemu karnival LailatulQadr. Karnival ini hanya akan berlangsung pada satu malam yang tiada siapa pun tahu akan tarikhnya.

Bonus seribu bulan!!

Tahukah anda bonus karnival seperti ini hanya ditawarkan kepada mahasiswa dari umat Muhammad sahaja?

Beruntunglah mahasiswa yang sentiasa waspada dan cakna menunggu Karnival LailatulQadr tadi. Dan betapa rugilah mahasiswa yang tidak punya keinginan langsung untuk berusaha meraih manfaat yang ditawarkan ketika karnival satu malam itu berlangsung nanti.

Ketika sesi semester yang pendek di universiti Ramadhan ini sampai ke penghujungnya nanti, pelbagai reaksi mahasiswa akan kelihatan di sana-sini.

Ada mahasiswa yang mula tidak mempeduli amali serta praktikal kerana sibuk membuat persediaan sambutan apabila keluar dari universiti. Mahasiswa seperti ini sudah tertunggu-tunggu di pintu pagar kerana merasakan hidup sebagai mahasiswa ramadhan sepanjang sebulan adalah suatu yang amat ‘menyeksakan’.

Ketahuilah mereka adalah mahasiswa yang melangkah ke universiti ketika hari pertama pendaftaran dalam keadaan yang terpaksa!

Adapun mahasiswa yang pada hari pertama melangkah ke alam universiti ini dengan semangat yang membara untuk meraih ijazah takwa, ketika tiba di penghujung sesi semester mereka akan berasa sedih dan hiba.

Sedih untuk meninggalkan perkarangan universiti. Merasa tidak puas untuk melakukan merit demi merit sepanjang berada di alam kampus Ramadhan. Mahasiswa seperti inilah yang nantinya akan bergelar siswazah Takwa!

Hari ini. Kita mungkin sudah masuk kali yang ke-25 untuk sekali lagi bergelar mahasiswa universiti Ramadhan....

Maka terpulanglah kepada kita samada Konvokesyen nanti kita meningkat menjadi siswazah kehormat atau sarjana takwa ataupun mungkin masih mencuba untuk segulung ijzah Takwa. Mudah-mudahan kita berjaya dan jauh sekali dari hanya menjadi siswazah yang cuma bergelar ‘lapar dan dahaga’.

SELAMAT MENJADI MAHASISWA UNIVERSITI RAMADHAN!

Friday, July 30

Wahai hati, Tenanglah!


Ada seorang sahabat datang mengadu dan bercerita beberapa masalah yang dia hadapi. Saya mendengar dan mengajaknya untuk mencari penyelesaian yang terbaik. Alhamdulillah hasil diskusi kami sedikit sebanyak dapat melegakan beliau...

Saya kongsikan kepada sahabat tadi beberapa bait tulisan Sheikh Muhammad Ali-Hashimi dalam kitabnya Syakhsiyyahtul Muslim:

Terkadang jiwa seorang mukmin terkena sifat lalai, sehingga kakinya tergelincir, atau terjatuh dalam kealpaaan. Tapi, tidak lama setelah itu ia kembali ingat dan sedar lantas serta merta meninggalkan kesalahannya lalu kembali kepada Tuhannya! Seperti mana Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka akan ingat Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”-->Al-A’raf ayat 201

Mudah-mudahan Allah SWT kurniakan kita sifat seperti mana yang disebutkanNya tadi....

KENAPA KITA KECEWA?

Pengalaman mengajar bila kita mengejar sesuatu bukan kerana Allah SWT dan apabila kita diuji dengan kegagalan ketika itulah kita akan berasa kecewa. Jiwa kita akan rasa lemah longlai. Sebab apa? Sebab kita tidak ikhlas...

Kalaupun kita dapat apa yang kita kejar oleh kerana kita tidak ikhlas hati kecil ini tetap tidak akan tenang. Kerana ketenangan atau sakinah itu hanya akan diperoleh dari Allah SWT. Bagaimana pula Allah berikan ketenangan jika kita membuat sesuatu bukan keranaNya??

Awas! Ketika inilah syaitan akan datang lalu menggoda anak adam yang sedang alpa agar bertindak di luar keredhaan Allah SWT.

Tetapi indahnya jika hati kita Ikhlas kerana Allah SWT.... Tak kiralah kita dapat apa yang kita nak atau kita gagal sekalipun hati ini akan sentiasa tenang. Aman dan berhenti dari berdegup kencang.

Kita yakin bahawa itulah anugerah yang terbaik dari Allah SWT.

‘DIAL’LAH ALLAH SELALU

Saat hati kita gundah-gulana, cuba ambil masa untuk mengadu dengan Allah SWT. Berbicaralah denganNya melalui dua perantaraan iaitu Solat atau Zikir.

Saya suka menggambarkan solat sebagai ‘talian formal’ manakala zikir pula ‘talian un-formal’ untuk berhubung dengan Maha Pencipta.

Tidak mungkin kita dapat menggunakan ‘talian formal’ sepanjang hari kerana solat menuntut beberapa ‘terma&syarat’ yang perlu dipatuhi seperti adanya wudhu dan sebagainya. Tetapi zikir, ia boleh dilakukan di mana sahaja dan bila-bila masa.

Anywhere and Anytime you can connected to Allah via Zikrullah!

Jadi, mengapa masih tidak mahu men’dial’ Allah??

Ulama Tasawwuf mengajarkan beberapa cara untuk mendapatkan ‘line’ terbaik untuk berhubung dengan Allah SWT secara zikrullah. Antaranya ialah kita berkeadaan duduk seperti bayi di dalam rahim ibu.

Subhanallah.... Ketahuilah mereka sedang berzikir kepada Allah SWT.

Duduk tawarru’-->(kepala menghadap perut sambil tangan memaut kaki). Cubalah....

-------------------------------

myikhwanfiideen.

“Salam Jumaat. Hargailah hari ini kerana Esok belum pasti milik Kita.”