Showing posts with label falsafah. Show all posts
Showing posts with label falsafah. Show all posts

Friday, March 19

Transform 'eureKa' kepada 'AlhamduLiLLah'!


2.00 am…

Masih tercongok di Makmal iVAT. Memerhati data-data masukan yang sungguh meragukan. Masakan nilai ‘Partial discharge’ sebegitu rupa? Terlalu tinggi dari nilai reference yang sepatutnya!

[Partial discharge=Cas separa. Rujuk--->(link)]

2.56 am…

Mengambil test cell (Cigre Method II). Menyentap wayar-wayar yang berlonggok di atas meja kerja lantas membuat keputusan untuk mencuba sekali lagi...

Data terlalu meragukan!

[Cigre Method II. Suatu kaedah EXPERIMENTAL untuk mengukur cas separa.]

Segala peralatan dipasang dan eksperimen ingin dimulakan... Tiba-tiba, “SWITCHING OFF”! Auto recovery system bertindak balas. Lintar pintas!—Something rong with the connection on aquisition circuit.

Hmmm...

Troubleshooting..

Troubleshooting...

and still Troubleshooting....

[Troubleshooting=kaedah untuk mengagak masalah litar. Mostly guna kaedah cuba jaya. Sangat memenatkan...]

(Baik balik rumah. Pegi tidur... Lagi ada faedah.. Fikiran mula DOWN)

3.42 am…

Tiit tiit tiit tiit...—Clampers berkelip-kelip tanda discharges mula masuk.

Alhamdullilah!!

(Hati bersorak. Lepas ni dah ada data baru untuk tukar data lama yang tak valid....)

Mata teruja melihat ribuan data yang masuk secara parrallel every one second.

Sambil-sambil itu mengelamun...

Teringat kisah Archimedes. Kenal Archimedes?? Saintis yang bersorak “EUREKA... EUREKA... EUREKA!” (saya dapat... Saya dapat... Saya dapat!) sambil berlari-lari dalam keadaan tanpa berpakaian kerana semata-mata suatu idea-Bagaimana untuk mengukur isipadu air....

Domenico Fetti Archimedes!

[Archimedes--->(link)]

Itu Archimedes. Kita, jangan begitu...

Apa-apa pun kejayaan, ucaplah nama Tuhan yang memberikan kejayaan... Ucaplah ‘Alhamdulillah’. Dan bukannya ‘eureka’.....

Menulis sedikit catatan tarbiyyah Khusus untuk para saintis MUSLIM.--->Catatan yang ini.

Terima kasih dan Selamat meneruskan Kajian anda!

4.00 am.

Sunday, January 17

'tuhan manusia'?

-Gambar Hiasan- Manusia mengangkat paradigma akalnya sehingga tahap bertuhan dengannya...

Manusia adalah makhluk yang suka menggunakan akal.. Sebab itu dipanggil manusia dan bukannya binatang.. Akal sememangnya satu bentuk nikmat yang tidak dikurniakan kepada makhluk lain selain dari manusia.. Akal tiada pada penguin, harimau, serigala ataupun pada pokok bunga yang disiram oleh ibu kita setiap hari..

Tapi, akal bukannya boleh digunakan secara wewenang.. Masih ada batas dan had peraturan dari Tuhan yang menciptakan.. Bukannya Allah SWT menzalimi makhlukNya dengan had dan batasan itu.. Tapi hakikatnya sifat maha Pengasih dan maha Pemurah Allah SWT itu tidak mahu membiarkan manusia menzalimi dirinya sendiri dengan akal yang dikurniakan padanya!

Lihat..

Kehidupan di dunia ini tidak lama.. Iya, mana ada orang zaman sekarang yang boleh hidup selama umur Nabi Nuh ‘alaihi salaam umpamanya.. Hidup selama 800 tahun! Bahkan, umat manusia sekarang ini purata paling lama pun boleh hidup selama 70-80 tahun. Itu pun sudah tua kerepot dan nyanyuk! Akal sudah tidak boleh berfungsi dengan baik.. Maka, kualiti hidup kita boleh katakan umur sehingga 60 tahun.

Oleh sebab itulah Allah SWT tidak mahu membiarkan manusia mengeksperimen dirinya sendiri.. Iaitu dengan erti kata, mencuba untuk mencari makna dan tujuan kehidupan berdasarkan akal semata-mata! Bayangkan, kalaulah Allah SWT tidak menurunkan wahyu untuk memberitahu tentang makna dan tujuan kehidupan.. Agak-agaklah berapa lama manusia akan mengambil tempoh masa untuk menjumpai jawaban yang sebenar?? Sehingga merugikan umur yang sesingkat 60 tahun itu..

Bahkan.. Allah SWT maha Tahu yang manusia tidak akan dapat menjumpai MAKNA dan TUJUAN sebenar kehidupan melainkan dengan panduan wahyu dari langit.. Biarpun sebijak mana akal manusia tadi.. Dan setinggi mana IQ manusia sekalipun dia tidak akan bertemu jawaban tentang makna dan tujuan kehidupan yang hakiki..

Kehidupan ini bukan hanya satu ruang dimensi sahaja.. Dimensi yang kita lihat sekarang adalah dimensi dunia yang boleh dipandang menggunakan mata kepala dan boleh ditafsir oleh akal yang sebesar ketulan kepal roti itu! Tapi, sedar ataupun tidak manusia sebenarnya akan hidup di alam dimensi yang satu lagi.. Iaitu dimensi akhirat yang tidak mampu diimiginasikan oleh akal. Atas sebab itulah, akan wujud dua golongan.. Pertama, golongan yang percaya (beriman). Dan kedua, golongan yang mendustakan dimensi akhirat tadi (golongan kufur).

Hasil tesis akaliyyah manusia yang digunakan untuk mengeksperimen kehidupan..

Karl Marx seorang tokoh pemikir sosialis-komunis menghabiskan masa bertahun-tahun di dalam sebuah perpustakaan di Eropah dengan menulis suatu ‘kitab kehidupan’ yang dipanggil Das Kapital.. Beliau membawa banyak idea pandang bagi mengurus tadbir manusia dengan idealisme dan pemerhatian akalnya.. Realitinya, pemikiran ini telah diadaptasi dan dianuti oleh manusia yang lahir selepasnya.. Sehingga berlakulah kezaliman kemanusiaan yang melampau oleh puak Nazi ketika perang Dunia II.

Lihat..

Berbaloikah usaha manusia untuk membuat eksperimentasi bagi menentukan makna dan kehidupan sehingga meragut jutaan nyawa yang tidak berdosa? Tafsiran akal tadi bukan hanya membunuh diri si pentafsir.. Bahkan ia menghancurkan tamadun kemanusiaan sejagat yang dibina bertahun-tahun lampau.. Apakah ia masih berbaloi untuk manusia menolak panduan wahyu dari Allah SWT dan masih terus cenderung membuat tafsiran bagi memaknakan kehidupan yang cuma sementara??

Islam tidak pernah ‘memenjara’ akal manusia.. Tuntas, islam agama yang suka akan umatnya untuk mencari dan mengorek idea-idea baharu bagi memperbaiki bingkai kehidupan yang lama dan seterusnya membina tamadun manusia dengan wajah yang baru. Apa buktinya?

Firman Allah SWT:

“Wahai golongan Jin dan Manusia! Jika kamu sanggup menembusi penjuru langit dan bumi, maka tembuslah.. Kamu tidak akan dapat menembusinya kecuali dengan sultaan (kekuatan)!” Ar-Rahman: 33

Lihat..

Islam tidak sesekali jumud! Bahkan, Islam menganjurkan kalaulah manusia boleh mencari akal dan idea baru sehingga mampu menembusi langit dan bumi.. Pergilah.. Tembusilah.. Carilah dan jelajahlah kesemuanya sehingga kamu tahu yang segalanya itu bukan mudah.. Hanya dengan kekuatan sultaan (ilmu pengetahuan luas dan kajian saintifik yang teliti) mampu merealisasikan impian akal manusia yang tiada batas itu!

Inilah buktinya bahawa agama Islam tidak pernah mengongkong akal manusia...

Cuma.. Perlu kita fahami Islam itu bukan hanya ilmu.. Islam bukan hanya kajian.. Dan Islam bukan setakat ibadah ritual yang tiada pertalian dengan orang keliling.. Islam adalah sistem kehidupan! Nizaam al-hayah.

Karl Marx dalam bukunya Das Kapital juga ingin mencadangkan suatu sistem kehidupan kepada manusia.. Begitu juga John Locke dan yang seangkatan dengannya.. Semuanya bercakap tentang sistem.. Sistem kehidupan yang dirasakan paling sesuai dan paling tepat untuk diguna pakai oleh manusia sejagat.. Tapi malangnya, ia masih berbentuk tesis idealisme akal manusia yang belum tahu kebenaran akan OUTPUTnya nanti.. Bahkan, ia terbukti oleh sejarah manusiawi yang tesis akal inilah yang menjadi pembinasa kepada tamadun manusia.

Sebesar-besar ciptaan dalam dunia ini mesti terikat dengan sistem.. Dari yang paling besar iaitu sistem suria, ia terdiri dari planet-planet yang tunduk dan patuh kepada sistem cakerawala sehingga alam ini menjadi stabil dan terkawal.. Planet-planet tadi mengelilingi matahari dengan tempoh masa dan jarak paksi orbit yang bersistematik..

Atom, sekerdil-kerdil makhluk dalam dunia yang turut tunduk dengan sistem universal Allah Swt..

Begitu juga ciptaan terkecil iaitu atom atau nama lainnya zarah.. Bukankah ia ada sistem orbitalnya yang tersendiri? Halaju elektron yang bergerak mengelilingi neutron dan proton kekal pada halaju malar dan tidak pernah sesekali ‘engkar’ dengan sistem yang diciptakan oleh Tuhan kepada mereka..

Manusia pun begitu..

Manusia perlukan satu sistem yang boleh mengawal selia kehidupan mereka di muka bumi ini.. Sistem yang boleh diterima secara universal oleh manusia.. Sistem yang bukan berbentuk eksperimentasi dan tesis idea oleh mana-mana manusia yang mengaku bijak.. Dan sistem ini mestilah benar dan sahih bukan sahaja dalam pada ketika dimensi dunia tapi lebih-lebih lagi dimensi akhirat yang tidak mampu dilukiskan oleh akal manusia.

Maka, dengan sistem inilah manusia pasti terpelihara dan terjaga dari perkara-perkara yang berunsurkan ‘kebinatangan’ dan ‘kesyaitanan’!

Kenapa sistem seperti ini tidak boleh dibuat oleh tesis akal manusia sendiri?

Sebabnya, setiap manusia punya variasi akal dan sudut pandang yang berbeza.. Tidak semestinya tesis Das Kapital tulisan Karl Marx akan diterima oleh John Locke yang juga menulis karya tesis akalnya sendiri yang dinamakan The Prince.. Begitu juga sebaliknya.. Kalau ada sejuta orang bijak, maka sejutalah hasil tesis akal mereka bahkan mungkin lebih lagi.. Jadi, yang mana satukah nak diguna pakai?

Jawabannya.. yang datang dari Allah SWT lah yang wajib diguna pakai kerana Allah SWT adalah Tuhan dan bukannya manusia. Back to the Basic! Manusia memang suka menggunakan akalnya walaupun sedar ia akan bertemu dengan suatu tembok yang dia tidak akan berjumpa jawabannya melainkan ‘back to the basic’..—Jangan mengaku ‘tuhan manusia’!

Pernah tak buat analisis kebarangkalian (probablity) menggunakan ‘tree diagram’ ? Bermula dengan 1, kita akan keluarkan kebarangkalian menjadi 2.. Dari 2 seterusnya dikembangkan menjadi 4.. Seterusnya 8 dan seterusnya berkembang lagi dan lagi.. Sehingga apabila kita teruskan pengembangan itu kita akan bertemu suatu keadaan yang terlalu kusut.. Serabut dan tersangat banyak..

Inilah analoginya apabila manusia berterusan mencari makna kehidupan tanpa bersandarkan dengan wahyu.. Pasti suatu masa ia akan mengalami kekusutan sama yang mana satu sahaja jalan penyelesaiannya ialah, ‘back to the basic’.. Mengapa perlu membazir umur untuk membuat analisis berterusan yang takkan berjumpa dengan jawaban..? Kembalilah pada perkara pokok pangkal tadi.. Iaitu Tuhan yang satu dan akhirnya terimalah akan sistem universal yang dicipta oleh Allah SWT.

Sudah pasti inilah manusia yang bijak menggunakan akalnya.. Manusia yang berTuhan dan bukan merasa akal itu tuhan!

Wednesday, January 6

Berfikir sambil makan Epal.

Makan Epal jangan tahu gigit saja.. Tapi hayati MAKNA disebaliknya..

Saya hairan..

Dua hari lepas saya perasaan yang enjin pencari Google asyik memaparkan gambar pokok epal dan sebiji buahnya yang jatuh ke bawah.. Bila saya halakan mouse pada gambar tadi, satu tulisan tertera yang berbunyi “Sir Isaac Newton’s Birthday”. Oh, ye ke?

Hari ini dengan bantuan WIKIPEDIA, saya cuba mencari sedikit sejarah hidup tentang Sir Isaac Newton. Saja nak tahu serba sedikit tokoh yang mendapat anugerah Nobel berkali-kali ini.. Dan dikatakan dia antara manusia yang telah mengubah Peradaban Dunia. Tahu dengan apa? Hanya dengan sebiji epal!

Newton dan epal..

William Stukeley (penulis yang pernah menemuramah Newton) menulis seuatu dalam bukunya, “Memoirs of Sir Isaac Newton’s Life”:

"..When formerly, the notion of gravitation came into his mind. It was occasioned by the fall of an apple, as he sat in contemplative mood. Why should that apple always descend perpendicularly to the ground, thought he to himself. Why should it not go sideways or upwards, but constantly to the Earth's centre?.."

Sir Isaac Newton born on 4 January 1643 (Gambar ketika beliau berusia 46 tahun)

Pokok epal. Tuntas, di sinilah Newton mendapat ideanya mengenai Hukum Graviti Bumi! Dan kalau nak tahu, pohon epal itu telah diabadikan sebagai kenangan sejarah manusia di Cambridge University Botanic Garden.

Maaf. Saya memang mengkagumi beliau tetapi tak berniat nak berkongsi banyak tentang Newton. Anda boleh membacanya sendiri di mana-mana sumber yang ada.. Apa yang cuba kita fokuskan ialah kalimat yang dipanggil sebagai IDEA!-Idea yang merubah Tamadun Insan.

Dari secebis idea boleh membentuk suatu TEORI.. Dan dari TEORI berkembang menjadi HUKUM@PRINSIP sejagat yang diguna pakai oleh segenap manusia!

Habis cerita tentang Sir Isaac Newton.

Kita dan pohon epal..

Pernah dengar ayat Quran ini tak?

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat perumpamaan kalimat yang baik (kalimat Tauhid) seperti pohon yang subur, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit.”—Ibrahim 24

Seterusnya..

“Pohon itu memberikan buahnya pada tiap musim dengan izin Tuhannya. Allah memberikan perumpamaan-perumpamaan seperti itu supaya manusia selalu beringat.”—Ibrahim 25

Pokok yang ranum dan rendang juga bermanfaat untuk menjadi teduhan manusia tatkala berlaku "hujan yang membadai"..

Ya! Sedar atau tidak ini pun membawa cerita yang sama... Hanya-sanya Allah SWT tidak ‘mention’ bahawa pohon yang dimaksudkan ialah pohon epal. Tetapi, matlamatnya adalah sama iaitu merubah Tamadun manusia supaya lebih baik dan lebih lestari!

Ini bukan teori orang. Ini bukan hukum dari manusia.. Tapi, ini adalah hukum MUTLAK Allah SWT!

Perhatikan...

Manusia yang memasakkan Kalimat Tauhid di dalam hati dan kemudian menyuburkannya dengan amal ibadah yang sempurna pasti akan melahirkan seorang individu yang dipandang mulia serta boleh menjadi contoh tauladan kepada semua orang..

Bahkan, ia memberi manfaat kepada manusia yang ‘kejahilan’ laksana pohon yang menabur buah ranum yang percuma di saat manusia kelaparan!

Saya selalu terfikir tatkala sebelum tidur..

Kalaulah kita berjalan di padang pasir yang tengah terik dengan kepanasan.. Ditambah-tambah pula dengan kelaparan yang menggigit usus perut, tiba-tiba terjumpa sepohon pokok epal yang penuh sifatnya seperti yang saya ceritakan di atas tadi.. Subhanallah.. Sukar nak digambarkan kondisi nikmatnya keadaan itu!

Begitulah..

Gambaran yang Allah SWT nak bawa dalam ayat itu bukan sekadar satu pohon pokok yang rimbun sahaja.. Bahkan, satu taman yang penuh dengan pohon-pohon rimbun yang sama... Nah! Itulah tamadun Islam yang kita pinginkan.. Tamadun yang dihuni oleh jutaan manusia-manusia 'rimbun' yang menguntungkan!

Jangan ambil hukum Newton sahaja.. tapi, hukum Allah SWT ditolak ketepi. Itu “TIDAK BERAKAL” namanya!

Friday, August 21

Warkah dari timur,,

Sahabatku,,

Banyak orang punya hobi.. Ada orang suka mengumpul syiling atau setem.. Ada yang suka menghias rumah atau memasak.. Ada pula yang suka memblogging atau bermain Facebook.. Tidak kurang yang menghabiskan masa dengan bersukan.

Banyak orang suka membaca.. Tetapi minat membaca mereka berbeza-beza.. Sesestengah orang hanya membaca surat khabar atau komik, ada yang suka membaca novel, dan ada yang minat buku astronomi, haiwan liar, atau penemuan tekonologi..

Kalau saya minat membaca buku-buku sastera dan karya-karya silam, saya tidak boleh mengharap orang lain juga mesti mempunyai minat yang sama.. Apatah lagi mahu memaksa! Kalaulah umpamanya saya seronok dan gembira menonton kesemua rancangan sukan di kaca TV, saya juga MESTI menerima hakikat bahawa ada orang lain yang bertanggapan sukan adalah sangat membosankan!

Apakah tidak ada benda di dunia ini yang boleh menarik minat semua orang??

Apakah juga tidak ada perkara di dunia yang boleh melibatkan kesemua orang untuk mengambil bahagian??? –Tidak kira siapakah mereka dan di mana mereka berada..

Ya sahabatku.. Memang ada perkara yang SEPATUTNYA menarik minat semua orang.. Inilah jawaban awal kepada persoalan yang saya lemparkan..

PERSOALAN lahir dari rasa INGIN TAHU.

Sahabatku,,

Kalau kita bertanya atau bermonolog.. Apakah perkara yang PALING PENTING dalam hidup kita? Lantas, soalan ini jika kita ajukan kepada orang yang kebulur.. Jawabannya pastilah ‘makanan’.. Kalau kita tanya soalan yang serupa kepada orang yang tengah kesejukan di kutub.. Jawabannya sudah pasti, ‘kehangatan’.. Dia mahukan kehangatan, kerana dia sedang berdepan dengan kedinginan yang membunuh.

Akan tetapi bilamana keinginan manusia seperti itu sudah dipenuhi..

Apakah akan ada lagi sesuatu yang dituntut oleh manusia? Apakah akan ada lagi benda yang dipingin oleh orang? Ahli falsafah silam berpendapat; Ya, pastinya ada! Mereka menyimpulkan melalui logika akal bahawa manusia tidak boleh hidup dengan makanan sahaja.. Manusia perlu lebih dari itu.. Manusia perlukan layanan dan kasih sayang.. Dan tuntas, tiap-tiap orang perlukan layanan dan juga kasih-sayang sekeliling!

Tetapi sahabatku.. Ada sesuatu lagi yang sepatutnya diperlukan dan dipingin oleh tiap-tiap orang yang duduk di alam ini.. Benda yang kadang-kadang tidak diendah mahupun dipeduli oleh orang.. Perkara itu ialah; meneroka jawaban kepada persoalan: “Siapakah kita dan mengapa kita berada di sini..? Iaitu dunia yang fana ini.”

Minat untuk mengetahui mengapa kita berada di sini bukanlah seperti minat mengumpul setem.. Bukan.. Orang yang meletakkan minat kepada soalan itu samalah seperti meletakkan diri kepada pentas perdebatan yang telah berlangsung selama manusia wujud di muka bumi ini.

Bagaimanakah alam ini, bumi ini, dan kehidupan dunia ini wujud? Sudah pasti soalan ini jauh lebih PENTING daripada soalan, Siapakah yang memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik tahun lepas!

***

Ada orang kata.. Cara paling baik untuk mendekati dunia falsafah ialah,, menanyakan beberapa soalan falsafah:

Bagaimana dunia tercipta?

Apakah ada KEHENDAK atau KEMAHUAN di sebalik apa yang diciptakan?

Dan.. Apakah ada KEHIDUPAN selepas KEMATIAN?

Bahkan.. Persoalan yang ‘maha’ penting.. Bagaimana kita SEPATUTNYA hidup??

Saya tidak pasti kalau ada zaman atau tamadun manusia sepanjang kewujudannya di dunia ini yang memperlekeh persoalan yang sangat besar ini.. Sedangkan jawaban bagi soalan inilah yang akan menentukan bagaimana corak dan orientasi mereka menjalankan kehidupan sehari-hari.

Sejarah yang tertampil menunjukkan banyak jawaban yang berbeza terhadap kesemua persoalan tadi. Sehinggalah kini tiap-tiap orang masih sibuk mencari jawabannya sendiri kepada soalan-soalan tadi.. Sedangkan hakikatnya, kita tidak akan berjumpa jawaban samada Tuhan itu wujud atau tidak dengan hanya membelek buku ensiklopedia! Bahkan, ensiklopedia itu tidak akan memberitahu langsung pun bagaimana kita seharusnya hidup di dunia ini.

Sahabatku,,

Usaha ahli falsafah untuk mencari KEBENARAN samalah dengan cerita “CSI”. Ada detektif yang percaya bahawa pembunuh ialah Anderson. Ada pula yang yakin pembunuh yang sebenar ialah Nielsen, atau Jensen. Mereka kadangkala boleh meneyelesaikan jenayah.. Tetapi ada masa mereka tidak akan sampai ke akar umbinya.. Walaupun penyelesaiannya ada, tapi jawaban itu tidak ditemui. Upaya manusia itu terbatas!

Yakinlah sahabatku bahawa, jawaban yang tidak ditemui bukan bermakna jawaban itu TIADA ataupun TIDAK WUJUD! Pastinya ada jawaban.. Bahkan banyak jawaban.. Tetapi, hanya SATU jawaban yang BENAR dikalangan jawaban-jawaban!

Usaha ahli falsafah untuk mencari jawaban mungkin boleh saja untuk dihargai.. Tapi, bukan sampai untuk diimani!

Sahabatku,,

Hari ini banyak keanehan dan masalah silam sudah dijelaskan oleh sains. Bagaimanakah rupa sebelah bulan yang gelap? –Suatu ketika dulu soalan ini dipenuhi oleh misteri.. Misteri seperti itu tidak boleh diselesaikan melalui kuasa daya imaginasi sahaja.. Tetapi hari ini, kita sudah meneroka jawaban kepada mesteri itu, dan tiada siapa lagi yang percaya bulan itu diperbuat dari keju (dongeng barat).

Seorang ahli falsafah Yunani yang lahir dua ribu tahun dulu percaya bahawa PERSOALAN bermula dari perasaan ingin tahu manusia.. Samalah seperti menonton pertunjukkan silap mata.. Kita tidak memahami bagaimana silap mata itu dilakukan.. Kita bertanya; bagaimana ahli silap mata boleh menukarkana beberapa helai skarf putih menjadi seekor arnab putih yang hidup?

Berhubung kes arnab itu, kita tahu ahli silap mata memang mengelirukan mata kita.. Tetapi kita masih juga ingin tahu.. Kita tetap nak tahu bagaimana dia dapat melakukannya?? Tetapi, bila berdepan persoalan dunia pula.. Kita tahu bahawa dunia ini bukan hasil silap mata, kerana kita berada dalam dunia ini dan kita sebahagian dari dunia ini. Malangnya, tiba-tiba rasa ingin tahu manusia itu tiba-tiba berubah.. Tak nak pula rasa penting untuk mengambil tahu.. Pelik bukan??

Tuntas, kitalah arnab putih sebenarnya yang dikeluarkan dari helaian skarf putih.. Cuma bezanya ialah kita berada dalam keadaan SEDAR sedangkan si arnab tidak sedar langsung yang ia sedang mengambil bahagian dalam pertunjukkan silap mata! Justeru, mengapa kita yang sedar ini masih bertangguh untuk berfikir lalu bertindak?

Sahabatku,,

Apakah kamu masih di situ? Masih setia membaca warkah ini.. Takpelah, saya kira mata kamu sudah kepenatan dan kebetulan tangan saya pun sudah lenguh-lenguh ‘menconteng’.. Kita sambung bicara ini dilain hari..

Terima kasih kerana masih setia!