Monday, October 29

Sedekah: Rela vs Paksa?

"Bersedakahlah, kerana sedekah itu mencegahmu dari Musibah" - Al-Hadis


Hari itu saya menerima sms dari seorang adik. Kenalan dalam usrah.
Berhenti di lampu isyarat, saya mengambil peluang meneliti kandungannya.
 
Smsnya lebih kurang berbunyi, beliau mempunyai sedikit masalah kewangan dan mengharapkan agar diberikan sumbangan.

Entahlah mengapa tiba-tiba terdetik dalam hati, "Ish! Sumbangan lagi..". Hati mengeluh!

Jelas keluhan tersebut dari hati yang terbujuk syaitan.
Saya teruskan perjalanan sambil beristighfar panjang.

Dipendekkan cerita, juga secara tiba-tiba selepas membelok dari lampu isyarat tersebut, seorang polis trafik melambai-lambai agar saya memberhentikan kereta.

Saya berhenti.

"Ada apa encik?" Tanya saya.

"Awak tanya ada apa? Mana tali pinggang keledar?" Tanyanya kepada saya. Astaghfirullah! Saya menepuk dahi. Rupanya saya tak memakai tali keledar!

Ketika Encik Polis sibuk mencatatkan saman, saya membuat kira-kira sendiri dalam kepala. Apalah kesilapan saya hari ini hingga terlupa memakai tali keledar. Boleh pula saya tak nampak langsung kelibat polis tersebut walhal orang didepan dan dibelakang semuanya perasan akan kehadiran Encik Polis.

Inilah ketentuan Allah.

Ada dua perkara yang saya pelajari.

1. Harapnya itu tanda kasih-sayang Allah. 

Saman RM300 boleh tahan lagi. Tapi kalau kemalangan tanpa memasang tali keledar belum tentu nilainya semurah RM300 tersebut! Boleh jadi nyawa sebagai bayarannya.

2. Mungkin jua itu petanda teguran dari Allah.

Kadang ada masa hati kita mengeluh dan berasa bimbang untuk mengeluarkan sedikit infak dan sedekah. Sampai satu tahap sedekah yang sepatutnya Allah redha dikeluarkan secara rela bertukar menjadi paksa-rela. Saman itu terpaksa, sedakah itulah yang rela! 

Saya menasihati diri agar memilih amal yang rela.


Tuesday, October 23

Hadiah buat Ummi!

 Ya Allah jadikanlah zuriat dari tulang sulbi kami sebagai zuriat yang Soleh juga Solehah!

Sebulan lagi anak kami, Sheikh Ahmad Yassin Jr. akan menyambut setahun kelahirannya..

Maknanya, sudah hampir 2 tahun jugalah usia perkahwinan Abu Ahmad dan Ummu Ahmad jika dikira mengikut peredaran masa.

Bila dikenang, sungguh cepat masa beredar. Seolah baru semalam Ahmad lahir tapi kini dah pandai memberikan respon seperti orang dewasa. 

Bulan Oktober dan November antara bulan yang cukup bermakna.

Oktober untuk bulan lahir Ummu Ahmad.
Manakala November hari permata kesayangan kami Ahmad Yassin Nasrullah. :)

Puas saya fikir hadiah apa paling bermakna buat Ummu Ahmad. Nak bagi apa ye yang paling best? 
Jam tangan? Cincin emas? Ciuman kasih-sayang seorang suami? Atau apa ye..?

Tapi.. Sebenarnya hadiah yang paling istimewa buat para isteri ialah 'Suami yang Soleh'.
Betul tak?

Saya cuba menasihati diri, apapun hadiah yang nak kita berikan buat si isteri tercinta, jangan lupa juga hadiahkan diri kita buat mereka sebagai Suami yang Soleh.

Jadilah suami yang sentiasa menambah ketaatan kepada Allah.
Itulah hadiah yang paling bermakna buat si dia.. :)

Insha Allah!  

 

Thursday, October 11

Ahmad dan 2 taringnya! :)

Assalamualaikum wr!

Ya Allah, lamanya tidak menulis di kertas maya ini. 
Sibuk? Tak lah terlalu sibuk. Sekurang-kurangnya masih punya masa untuk tidur dan lepak bersama sahabat-sahabat..

Mungkin sebab bila rasa nak menulis, saya memikirkan idea-idea yang 'tinggi'. Jadi, nak terjemah idea tersebut ia perlukan masa berjam-jam untuk mencari kata paling sesuai sebelum ditaip pada papan maya ini...

Mungkin sebab itulah jari-jemari menjadi kejang bila nak pegang keyboard. Akhirnya, terbantut!

So, nak sembang apa sekarang?

Saya post gambar putra kami, Ahmad Yassin Nasrullah! 


Moga ia juga syuhadah seperti namanya... Ameen

Alhamdulillah dah tumbuh gigi. Cuma, lucu juga bila gigi taringnya yang lebih menonjol.

Dengar-dengar ada mitos tentang gigi taring tumbuh dua ni... Saya cari kat internet tak jumpa. hehe

Ok la..

Jumpa lagi.


Friday, May 18

Ibrah dari Bumi Sakura 1


Pesawat Airbus D7 536 ke Kansai International Airport, Osaka

Saya meneliti jam pada paparan ‘smartphone’. Jam baru menunjukkan pukul 4 petang.

‘Hmmm. Baru 2 jam penerbangan. Ada 4 jam lagi!’. – Hati kecil berbicara seorang diri.

Rasa ingin mencari teman untuk berbual. Saya pusing ke kiri. Pemuda Jepun disebelah saya sudah lentok dibuai mimpi. Kebanyakan penumpang melayan lena dalam penerbangan ini.
Kepala saya menerawang jauh ke bumi Sakura. 

Debaran semakin terasa. 

Beberapa jam lagi akan sampai ke bumi matahri terbit itu. Walhal minda saya sedikit pun masih belum faham selok-belok nanti di sana. Tambah pula bermusafir seorang diri!

Saya membuka aplikasi dalam ‘smartphone’. ‘Smartphone’ ini baru dibeli beberapa hari.

“Beli lah ‘smartphone’. Nanti boleh buka GPS dekat sana. Insha Allah banyak membantu” – Teringat kata-kata adik saya. Atas sebab itulah dengan berat hati saya membeli ‘gadget’ ini. Keperluan bukannya sebagai perhiasan.

Saya membelek beberapa laman sesawang yang diminta oleh kenalan di sana untuk ditandakan ‘bookmark’.

‘Umeda Sky Building!’. Di sinilah nanti saya akan cari bas untuk ke Bandar Kitakyushu yang lebih kurang beberapa ratus kilometer dari Bandar Osaka, bandar yang kedua terbesar di Jepun.

***

Hikikomori?

Entah berapa lama saya terlelap.

Bunyi tangisan kanak-kanak yang duduk di bahagian tengah pesawat Airbus tersebut menyelinap dalam mimpi lalu membangunkan saya dari tidur.

Saya memandang kearah keluarga tiga beranak itu.

Si anak berguling-guling dibawah tempat duduk seperti meminta sesuatu. Si Ibu memegang buku komik berusaha memujuk. Manakala yang peliknya si ayah langsung tidak peduli akan aksi anaknya. Sibuk mencoret sesuatu pada ‘gadget’ ipad nya!

Lama saya memerhati.

Selama itulah sang ayah tidak mempeduli.

Kepala saya sukar menerima situasi itu.

Apakah ini salah satu contoh budaya ‘Hikikomori’ yang pernah ditulis oleh Ustaz Hasrizal? Hikikomori dalam alam perkahwinan! Mungkin ya, mungkin juga tidak.

Rata-rata penumpang yang memenuhi penerbangan Kuala Lumpur – Kansai, Osaka pada petang itu terdiri dari orang Jepun yang berkemungkinan datang melawat Malaysia. Dan kebanyakan mereka melayan ‘gadget’ masing-masing termasuklah seorang nenek tua yang berada di tempat duduk barisan hadapan.

Fikiran saya tentang ‘Hikikomori’ lesap bila Juruterbang mengumumkan pesawat sudah memasuki ruangan udara Kansai.

Saya menjenguk di tingkap. Kerlipan lampu seluas mata memandang ‘berpesta’ menyambut ketibaan kami ke bumi Sakura.

Saya semakin bimbang. 

Satu benda yang menggusarkan hati saya ialah pepatah, ‘sesat mencari jalan pulang!’.



-Insha Allah bersambung-

Monolog sebatang Pena


Gugusan bunga di Kota Kitakyushu


Rasa ingin kembali menulis terpendam begitu lama. Catatan terakhir di helaian kembarasanghamba sudah terlalu usang. Saya kehilangan kuasa untuk menulis buat beberapa ketika…

Sibuk? Masya Allah, berapa ramai yang lebih sibuk dari saya. Tapi mereka membuktikan bahawa kesibukan bukan penghalang kepada pena untuk berdiri dan mencoret sesuatu buat ummah.

Semalam, cerita saudara Azizul tentang buku terbaru Ust. Zaharuddin yang mencatitkan pengalaman-pengalaman berharga beliau dalam siri-siri kembara dibeberapa kota raya dunia. Saya kagum walaupun belum membacanya. Ya, penulisan mampu menginspirasi siapa saja!

Ya Allah, kurniakanlah kami mata pena yang tajam dan dakwat idea yang bernas. Hindarkanlah dari hati yang mudah beralasan. Jiwa yang kusut dalam kekelaman. 

Moga ada nafas baru.

Bangsa yang menulis adalah bangsa yang berkuasa.