Wednesday, October 12

Kembali menulis..

Assalamualaikum warga maya.

Telah lama berlalu tanpa menulis.
Kaku jari saya mengatur ayat.
Posting terakhir saya pada 2014 dan kini sudah 2016.
Hampir 2 tahun.
Pelbagai peristiwa berlaku dan pengalaman terhimpun sepanjang itu yang memungkinkan untuk ditulis.
Malang, masa sering mencemburui kita.


Kembali menulis..

Saya teringin untuk kembali menulis.
Teruja untuk berkongsi.
Walaupun zaman sekarang laman seperti blogspot atau wordpress sudah tidak menjadi trendy.. tetapi saya selesa dengannya.
Biarlah saya kekal dengan cara ini.


Apa yang nak ditulis?

 30,000-year-old cave hyena painting found in the Chauvet Cave, France (Sumber: Wikipedia)

Guru saya ajar, tulislah apa saja.
Tidak rugi seseorang yang rajin menulis. :)
Samada makalah ilmiah, jurnal akademik atau laman pendapat seperti blog, rahsianya tulis lah apa sahaja!
Bahkan coretan purba sekalipun punya nilaian harga tak terbanding.

Kuala Lumpur
12 Okt 2016








Sunday, October 26

Pena tumpul?

Sudah begitu lama jemari ini tidak menginjak keyboard.

Posting yang terakhir pada 28 Disember 2012. Sudah hampir 2 tahun!

Banyak yang ingin dikongsi sepanjang tempoh itu. Tetapi masa membatasinya. Kesibukan harian membelit tangan akhirnya pena menjadi tumpul buat sementara.

Apapun, teruskan perjuangan!

Salam Maal Hijrah 1436h!

 

Friday, December 28

Membina sistem kepercayaan anak

"Ahmad, sebut Allah.." Ujar saya kepada anak kecil yang baru usianya setahun.

"Aallaaah, Allaaah, Allaaaah.." 

Menyebut kalimat 'Allah' agak panjang, jelas, dan menggayakan mulut agar dia boleh menangkap bunyi serta aksi mulut saya. 

Allah, Allah, Allah.

Alhamdulillah dia boleh berzikir dengan kalimat Allah tersebut. Cuma yang lucunya kadang-kadang tersasul dengan perkataan. 'Abah', 'Apa', dll. :) Ada juga ketikanya, dalam tandas pun nak sebut kalimat suci itu walhal makruh kalau ikut hukumnya.

Itulah dia keletah anak.

Anak kecil yang baru nak mengenal alam yang penuh cabaran  ini.

Bila merenung air muka mereka, sebagai ibu bapa, akan terbit dua jenis perasaan. Yang pertama, gembira dan nikmat akan pemberian Allah yang tiada tolok bandingnya. Yang kedua, akan ada perasaan gerun. Apakah kita sebagai ibu dan ayah mampu mendidik mereka hingga ke titian Jannah?

Saya pernah menulis kebimbangan ini sewaktu bujang dahulu. Anak, Amanah yang akan di tanya.. (link)

MEMBINA SISTEM KEPERCAYAAN ANAK.



Membina sebuah bongkah ais yang hebat dan gagah memerlukan sebuah proses yang panjang. Begitu juga sistem kepercayaan anak. Yang menjadi bekalan iman di hari dewasa kelak.

Ia bermula sejak dari anak itu memberikan respon terhadap alam. Sejak dia mengenal bunyi, cahaya, dan perasaan.

Kadang ada perasaan ragu, mengajar mereka sebutan seperti Allah dan sebagainya, betulkah dia faham sebutan tersebut seperti mana kita memahaminya dan mengimaninya?
 

Sudah tentu jawabannya tidak.

Tetapi percayalah bahawa ia merupakan sebahagian daripada permulaan sebuah proses pembinaan sistem kepercayaan anak. Bongkah ais yang hari ini kita nampak gah, sebenarnya terbit dari sebuah proses yang pada suatu ketika dulu hanyalah gumpalan-gumpalan kecil yang orang menganggapnya remeh.

Sebab itulah setiap elemen penerapan sistem kepercayaan anak (keimanan) jangan dipandang ringan.

Apa yang mereka tutur.

Apa yang mereka lihat.

Dan apa yang mereka dengar..

Mestilah diupayakan untuk menjurus kepada objektif pembinaan sistem kepercayaan yang berlandaskan pegangan Quran dan Sunnah.

VIRUS DAJJAL


"Keputusan-keputusan harian kita, merupakan jelmaan perisian dalaman diri yang menjadi sasaran serangan Dajjal, dan Surah al-Kahf pula melindungi perisian itu daripada serangan tersebut."-Abu SaiF

Membaca tulisan Abu Saif dalam laman sesawangnya tentang 'serangan Dajjal terhadap perisian iman' membawa kita berfikir sejenak, apakah virus itu berkemungkinan wujud di dalam rumah kita sendiri?

Ini yang menggusarkan.

Bukan bermaksud mengambil keputusan menghumbankannya ke laut. Cuma berusaha memberi perhatian terhadap kandungan dan moral yang ingin di sampaikan oleh salah sebuah alat media tersebut. 

Kerana ketika mana sang anak melalui proses pembinaan sistem kepercayaan kritikal seawal usia mereka yang mana  upaya pertimbangan baik-buruknya hanya 'sekepal' tangan,  bimbang-bimbang ketika itulah virus Dajjal mencurahkan asidnya tanpa sedar.

Alhamdulillah. Hari ini nursery, pusat-pusat asuhan dll. telah mempunyai modul islamik tanpa hanya mengharapkan sang televisyen menghiburkan anak-anak semakin mudah untuk didapati.

Tinggal lagi pilihan di tangan kita sebagai ibu bapa.

Ya Allah, kami tiada upaya mendidik melainkan dengan wahyuMu dan ketentuanMu. 

Bantulah kami ya Allah. 

Bimbinglah kami agar kami jua dapat membimbing anak-anak kami ke jalanMu yang lurus.

Wednesday, November 7

Bumi sakura: My 2nd visit



Kemenangan Obama mengiringi persiapan saya ke negara matahari terbit.

Tahun ini sahaja dua kali saya ke sana, bezanya pemergian kali ini adalah undangan khas dari Universiti Kyushu bagi sesi latihan intensif di Kyudai. Empat orang peserta dari Vietnam, Malaysia, Filipina dan Thailand akan berkampung selama 11 hari.

Alhamdulillah urusan persiapan berjalan dengan lancar termasuk urusan mendapatkan Visa. Pengalaman lepas mengajar saya bagaimana berurusan dengan Konsular Jepun yang agak ketat soal kemasukan orang asing ke negara mereka.

Cuma apa yang agak terkilan, saya tidak berkesempatan mengucup pipi anak tersayang sebelum melangkah ke perut kapal terbang. Sedikit sebanyak perasaan itu hilang bila melihat videonya yang dihantar oleh isteri tercinta.

Ya, abi amat berbangga dengan kamu sayang! Ahmad sudah boleh berdiri dan berjalan beberapa langkah. 1 kejayaan yang menginspirasi sang Ayah...

Pemergian kali ini banyak agenda yang ingin dilangsaikan.

Selain membuat latihan, saya juga diamanahkan oleh universiti untuk merealisasikan impian kerjasama dua hala antara universiti dari Borneo ini dengan Universiti Kyushu. Saya mengharapkan 'green light' yang baik dari KU dan ia pastinya akan membantu merancakkan lagi penyelidikan UMS dalam bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan.

Dunia penyelidikan tidak boleh lari dari soal human resource. Pelajarlah sumber utama kemanusiaan yang akan memastikan penyelidikan tersebut berjalan. Penyelia seorang tidak akan mampu membuat semua kerja. Mujurlah jawatankuasa projek menganugerahkan saya bebearpa orang pelajar untuk membantu.

Terima kasih..

Akhir kalam doakan pemergian yang sementara ini membuahkan kebaikan untuk ummah. 

Flight saya akan transit ke Kuala Lumpur, kemudian Bangkok, dan insha Allah dijadualkan tiba di Fukouka airport pada sebelah pagi hari Ahad.

Assalamualaikum! 
 

Tuesday, November 6

Mantanani: Harapan anak Pulau



Sepatutnya program korban pada hari kedua Aidil Adha itu berlangsung di Pulau Banggi, Kudat.

Saya (wakil PSS) dan rakan-rakan Yayasan Amal dijadualkan untuk bermalam di sana dan menyembelih 2 ekor lembu korban yang akan disedekahkan kepada para fakir miskin.



Tapi, Allah lebih mengetahui yang terbaik. Jadual berubah, dari Pulau Banggi, Kudat, saya menuju ke Pulau Mantanani, Kota Belud. Kali ini bersama dengan rakan-rakan Muslim Care dan juga pegawai JAKIM serta JHEAINS. 


Turut serta dalam rombongan ini beberapa orang anak muda Persatuan Siswazah Sabah (PSS).


Dengar kata (sebelum ke pulau), kami akan menumbangkan 3 ekor lembu untuk program yang julung-julung kali diadakan di situ. 

Saya membuat congakan, kalau 3 ekor lembu, campur waktu untuk melapah daging dan membuat edaran, sekuang-kurangnya kami hanya akan dapat berlepas pulang dari pulau sebelum pukul 6 petang. Silap haribulan, kena tidur dekat Pulau!

Alhamdulillah perjalanan ke Pulau pada pagi tersebut sedikit teruji dengan bot yang mengalami kerosakan enjin. Terpaksa menunggu bot alternatif dari pulau beberapa jam, sebelum kembali semula ke jeti perlepasan.

Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan masa menunggu tersebut untuk berjumpa dengan orang-orang kampung. Sarapan bersama di warung dan seterusnya berbincang isu-isu dakwah serta lokal yang berkaitan.

Ya. Ziarah santai sebenarnya punya kesan yang lebih mendalam berbanding program formal yang dianjurkan. 

Pukul 10.30 pagi, kami mula bertolak dari jeti ke pulau. Bot yang dinaiki agak besar dan kebimbangan saya dengan lambungan ombak lenyap begitu sahaja. Turut serta dalam bot beberapa orang kampung yang ingin menunaikan hajat ke pulau. Anak kecil mereka (sekitar umur anak saya, Ahmad Yassin) dibiarkan sahaja kepanasan dibawah terik mentari yang menggigit kulit. Kagum! Anak-anak mereka seolah sudah kebal dengan cahaya terik suria tengah hari tersebut... Kalau anak bandar, demamlah jawabnya.

Bunyi deru bot yang memecah keheningan lautan biru sekali-sekala dipecahkan dengan bunyi rakan-rakan bersembang sesama mereka. Saya ambil kesempatan itu untuk berbual dengan pegawai JHEAINS yang sudah 5 tahun menginfakkan masanya berulang-alik dari tanah besar ke pulau.

"Wah... Kira laut ni mainan hidup abang lah kan.." Puji saya. Menghargai usahanya.

"Ndak lah bah.. Sikit-sikit saja." Dia menidakkan dengan loghat Sabah sambil menggeleng-geleng kepala. Merendah diri benar abang ini.

Kami berbual sambil mata dilemparkan pada pulau yang sayup-sayup semakin membesar di hadapan.

Antara masalah di pulau yang memerlukan NGO Islam turun ialah, masalah pembelajaran. Anak-anak pulau memerlukan motivasi untuk mereka bersemangat dalam meraih kejayaan terutamanya di alam persekolahan rendah. Ibu-bapa juga perlu diberikan suntikan motivasi kerana merekalah sumber inspirasi utama anak-anak di rumah. Ujarnya pada saya panjang lebar.

Alhamdulillah... Saya doakan abang ini sentiasa dapat diberi kemudahan untuk meneruskan khidmat. Kita sebagai NGO, sekerap mana sahaja yang kita boleh lakukan untuk turun padang. Itu fakta pahit yang tetap kena telan.

15 minit sebelum tiba di Pulau, beberapa kawanan ikan yang 'terbang' melayang-layang sdi sekeliling bot seolah-olah menyambut ketibaan rombongan kami dengan riang. Saya terkejut! Ini pengalaman pertama saya melihat ikan terbang. Boleh rasanya team National Geographic datang membuat kajian!

"Masya Allah! Jernihnya air..." Jerit beberapa ahli rombongan.

Saya melihat ke bawah. Kelihatan air laut yang tenang dan jernih hingga menampakkan dasarnya. Pemandangan hidrologi yang belum terusik dengan tangan kasar pembangunan. 

Bot kami berlabuh.

Seluruh penduduk kampung berbaris ditepi jeti menyambut ketibaan rombongan kami. Macam sambut YB lah pula!

Tentatif kami di pulau ini dimulakan dengan taklimat sepanjang sehari program dan sedikit sumbangan kepada fakir misikin. Sejurus selepas itu, 2 ekor lembu ditumbangkan sebagai ibadah korban yang mana seekor lagi terlepas dan masih dicari oleh penduduk kampung. Ini adalah program korban yang pertama di pulau ini! Kata seorang penduduk kampung.

Ya. Anak-anak muda mereka tidak pernah melihat sendiri apa itu ibadah korban sebenarnya? Mereka hanya mendengar dari lidah para pendakwah yang datang. Jadi program seperti ini sekurang-kurangnya memberi pengalaman kepada anak-anak muda pulau menghayati syiar ibadah korban tesebut. Selain kaum ibu dan bapa mempertautkan lagi ukhuwwah dengan melaksanakan ibadah ini bersama-sama.

Selesai semuanya, kami selamat pulang semula ke tanah besar sebelum maghrib menjelang.

Suara anak pulau yang mengharap kedatangan kami semula ke sana masih terngiang-ngiang...


Insha Allah adik!

P/s-Gambar-gambar penuh di Pulau boleh lawati album Fb saya. Syukran