Thursday, July 15

kunang-kunang di Tanah Suci


Subhanallah walhamdulillah wala ilahaillallah!

(Pemandangan yang terlalu menakjubkan di sini. Manusia dan burung menjadi tetamuNya serentak...)

Sementalah menunggu waktu maghrib di Lab, saya ambil peluang untuk menulis…

Waktu senja begini lab sudah lenggang. Sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi deruan aircond yang setia menyejukkan penghuni di dalam bangunan 3 tingkat ini.

Bila berseorangan begini saya diulit kerinduan. Rindu dengan bumi timur tengah yang sudah genap sebulan ditinggalkan.

Semalam universiti khususnya Pusat Islam menganjurkan program himpunan bagi meraikan peserta-peserta kembara Timur Tengah. Tapi dukacita saya tidak dapat hadir sama kerana sibuk menguruskan program Malam Kesenian Islam yang akan dihadiri oleh Ustaz Nazrey.

Saya dengar himpunan itu dimeriahkan dengan hidangan nasi beriani!

Apapun saya doakan semuanya selamat dan sekali lagi diberikan peluang oleh Allah Taala untuk datang ke sana. Melengkapkan haji yang tertangguh.. Insya Allah.

Sahabat-sahabat sering bertanya bila saya nak upload gambar-gambar ketika siri kembara ke Makkiyah setelah siri kembara Madaniyyah. Asif jiddan! Gambarnya ada... Cuma tak sempat nak upload. Insya Allah akan saya usahakan...

Selain bumi Makkah serta Madinah, saya juga teringin untuk menjejakkan kaki ke Kaherah, Amman, Istanbul dan semestinya Baitul-Maqdis di Palestina. Mudah-mudahan kita semua dijemput oleh Allah ke sana...

Ya Allah...

Berilah kami peluang untuk menjadi tetamuMu lagi...

Kurniakanlah kami kesempatan untuk menatap rumahMu...

Sempatkanlah kami untuk mengunjungi kekasihMu, baginda Rasulullah...

Saya tutup bicara ringkas ini untuk mendoakan ibu... Moga-moga keberangkatan ke tanah suci tahun ini dikabulkan oleh Allah Ta’ala... Mudahan-mudahan juga diberikan kesihatan yang secukupnya untuk menyempurnakan ibadah nanti!

***

Saya rasa tak salah untuk berkongsi beberapa pengalaman menakjubkan ketika berada di bumi suci. Moga ia menjadi sentuhan pada hati kita untuk mempercepatkan kehadiran di sana...

Hajarul Aswad. Sungguh! Allah mentarbiyyah secara khusus hambaNya apabila berada di sini...

Petang khamis.

Di Hotel Hajjej, 300 meter dari Masjidil Haram.

“Eh, enta tahu tak... Tadi ada sahabat-sahabat kita dah kucup Hajarul Aswad.” Yazif menyapa saya ketika berbaris mengambil makanan.

“Ye? Alhamdulillah.. Beruntungnya!”. Enta bila plak? Tanya saya kepada Yazif. Dalam hati berdoa mudah-mudahan Allah bagi peluang.

“Cium Hajarul Aswad tak wajib kan?” Tanyanya semula. Saya mengangguk.

“Iya.. Tapi kalau ada kesempatan.. Itukan bonus.”

“Insya Allah. Esok kot..” Esok? Esok hari jumaat. Tak terbayang bagaimana hebatnya suasana hari jumaat nanti.

“Amin...” Perbualan kami terhenti.

Malam jumaat itu saya dan sahabat-sahabat berada di masjidil Haram.

Kami memakai ihram dan keadaan di masjidil haram terlalu penuh dengan ribuan bahkan jutaan manusia. Malam jumaat adalah malam minggu buat penduduk Makkah dan mereka mengambil peluang kebesaran Sayyidul Ayyam (penghulu segala hari) untuk menunaikan umrah. Kami juga tidak ketinggalan.

“Bang.. Ramainya orang. Subhanallah!” Ucap Faizuwan. Dia adalah salah seorang ‘anak buah’ saya. Kami dibahagikan kepada 3 kumpulan ketika berada di tanah suci. Saya mengetuai kumpulan ke-3.

Kami seramai 11 orang tadi berbaris di hadapan pintu Safa bersedia untuk melakukan Sa’ie. Ruang antara Safa hingga ke Marwa’ sampaikan tidak kelihatan langsung kerana dipenuhi oleh Tetamu Allah!

“eh.. Mana cermin mata enta?” baru sedar Faizuwan sudah tidak berkaca mata.

“Pecah bang.. Pecah masa nak bersesak kat hajarul Aswad”

“Allahu Akbar... Habis.. Dapat cium tak?”

“Tak dapat juga...” Agak sedih nada suaranya.

“Insya Allah esok lusa dapatlah tu.”

Kami menyegerakan ibadah Sa’ie. Tidak mahu berlama-lama dalam keadaan ihram. Teringat risiko-risko yang mungkin berlaku. Malam ini memang tak berpeluang untuk mendekati apatah lagi menyentuh Kaabah. Bilangan manusia amat luar biasa..

Keesokan harinya selepas solat Dhuha, saya bersiap-siap untuk ke masjidil Haram seorang diri. Kebetulan pagi itu adalah program bebas. Jadi tak terikat untuk berada dalam kumpulan. Antara misi saya ialah mengucup hajarul Aswad! Insya Allah....

-->Bersambung....

p/s:- 2 minit lagi azan maghrib. Tak sempat nak habiskan tulisan. Insya Allah saya akan sambung nanti. Semasa menulis tadi saya dapat sms dari sahabat di KL bahawa harga petrol telah naik!

Betulkah?

No comments: