Tuesday, July 27

Tinggalkan HAri Semalam


Kita takkan berjumpa dengan hari semalam.

Tanggal 26 Julai 2010 selama-lamanya takkan muncul untuk kali yang kedua. Betapa pun indah apa yang berlaku semalam ia akan tinggal sebagai kenangan. Begitu juga betapa duka sekalipun yang berlaku semalam ia bukannya suatu yang kekal. Peluang dan harapan masih ada di depan sana...

Dalam sejarah kehidupan, semalam akan pegi buat selama-lamanya sebagai catatan diari. Mungkin ada signifikannya untuk direnung semula tetapi ia bukannya penyebab untuk anda tidak berani melangkah semula. Atau meneruskan langkah kedepan. Perjalanan ini mesti ditempuh...

Sungguh Hebat dan Adilnya Allah SWT kerana menciptakan hari esok sebagai ganti kepada semalam. Kerana dengan itulah para hambaNya akan sentiasa meletakkan Tawakkal. Orang yang berjaya semalam belum tentu ia Berjaya esok. Dan orang yang Gagal semalam tidak semestinya sentiasa Gagal keesokan hari...

Benarlah implementasi Tawakkal dengan menyerah diri serta urusan hidup samada SEBELUM, SEMASA, dan SELEPAS. Bukannya seperti yang selalu difahami orang bahawa Tawakkal hanya berlaku ‘selepas’.

Dalam hidup ini saya dan anda wajar menjanjikan suatu wawasan esok hari yang indah sebagai motivasi untuk terus melangkah. Melangkah pula bukan sebarang langkah tetapi perlu dengan gaya yang gagah.

Ingat tak bagaimana motivasi Rasulullah SAW kepada para sahabat? Dikala mereka berasa lemah menggali parit Khandaq beserta terik mentari. Rasulullah SAW tiba-tiba mengucapkan suatu ayat yang terlalu luar biasa:

“Akan dibukalah Kota Konstantinople......”

Allahu Akbar! Terlalu jauh dari logik akal manusia.... Apakah mampu dengan berapa kerat tenaga sahabat yang ada untuk membuka Kota Konstantinople yang menjadi titik peradaban Byzantine ketika itu? Walhal Madinah yang ada belum tentu selamat dek serangan Musyrikin Mekah.

Tapi... Itulah dia keistimewaan generasi para sahabat. Mereka bekerja bukan kerana bukti yang terpampang di depan mata. Tetapi prinsip kerja mereka ialah bekerja atas apa yang mereka percaya.

Kita hari ini bagaimana?

Cuba kita perhatikan... Kita terlalu sibuk berbicara soal semalam. Bahkan kadang-kadang sampai bertelingkah mencari siapa yang menang atau siapa yang kalah. Hingga terlupa yang esok belum tentu awak menang atau saya yang akan kalah.

Nah! Inilah yang dikatakan fenomena dimana sejarah semalam merantai kejayaan esok hari.

Semalam bukan tidak boleh untuk diceritakan semula. Bahkan tradisi Al-Quran sekalipun sering menceritakan kisah semalam kepada Rasulullah SAW. Kerana semalam sering berulang buat kali kedua mahupun kali ketiga dalam roda sejarah manusia. Berceritalah soal semalam dengan mengambil ibrah serta pengajaran sebagai bekal esok hari.

Jadikan teguran Allah SWT sebagai adab sempadan:

“Nanti (ada orang) berkata: Jumlah mereka tiga (orang).... lima... tujuh.... Katakanlah Muhammad: Tuhanku lebih mengetahui bilangan mereka!.......”-->Sedutan ayat 22 Surah Al-KahFi

Bagi mereka yang sedang bekerja, teruslah istiqamah.

Semalam sudah pergi dan esok pasti akan tiba. Biarlah esok lebih baik dari semalam. Kita mungkin belum berjaya semalam tapi kebarangkalian untuk berjaya esok akan muncul untuk kesekian kalinya.

Semalam sudah pergi dan esok datang menjelmakan semula peluang.

Moga kita menjadi generasi yang bekerja atas apa yang kita percaya. Bahawa di depan sana menanti samada Syurga mahupun Neraka buat selama-lamanya...


No comments: