As-Syahid Imam Hasan Al-Banna
Beberapa hari lalu, saya sempat menelaah sebuah buku yang menceritakan latar belakang seorang tokoh iaitu Sheikh Sa’id Ramadan Al-Buti. Kebetulan saya memang ingin membaca profil tokoh ini kerana pengajian Sirah di rumah setiap minggu menggunakan kitab hasil tulisan beliau.
Apa yang menarik dan baru saya ketahui rupa-rupanya Sheikh Ramadan Al-Buti ini adalah menantu kepada tokoh gerakan reformis Islam yang terkenal abad ini iaitu Imam Hasan Al-Banna. Subhanallah...
Mengapa saya terlepas info hebat ini? Bahkan ramai yang tidak sedar bahawa Imam Hasan Al-Banna punya menantu yang unggul di gelanggang dakwah sehingga menjadi buruan pihak berkuasa Mesir.
Jadi tekad saya hari ini untuk menulis sedikit bagi berkongsi maklumat kepada sahabat-sahabat yang belum tahu. Bagi yang dah lama tahu ambillah sebagai kisah teladan untuk meneruskan pelayaran hidup di dunia ini.
Ingatlah generasi yang hebat tidakkan terhasil melainkan dari benih yang hebat!
KISAH SI MENANTU
Sheikh Sa'id Ramadan Al-Buti
Legasi Imam Hasan Al-Banna cukup luar biasa... Sudah tentu orang yang menjadi pilihan hati beliau bagi mengahwini putrinya semestinya juga luar biasa. Orang tersebut mestilah mewakafkan seluruh hidupnya untuk dakwah serta berjihad demi melihat kemenangan Islam.
Dialah Sa’id Ramadan!
Beliau masih seorang remaja ketika berkenalan dengan Al-Banna. Tetapi komitmennya untuk kerja-kerja dakwah sudah terserlah diawal umur semuda itu. Sehinggakan Imam As-Syahid Al-Banna melantik beliau untuk menjadi setiausaha khas ketika usianya baru menjangkau 20 tahun.
Said Ramadan juga merupakan graduan termuda dalam bidang perundangan di Fakulti Undang-undang Universiti King Foud Kaherah. Pada masa yang sama menjadi penulis tetap dalam ruangan majalah pertama Ikhwanul Muslimin, as-Syihab.
Ketika krisis Palestina berkecamuk pada 1948, Sheikh Sa’id Ramadan diberikan kepercayaan oleh Imam Al-Banna untuk mengetuai misi jihad ke Palestin dengan dibantu oleh mufti Palestina ketika itu, Syeikh Amin Al-Husaini. Namun amat menyedihkan kerana ketika itulah perdana menteri Mesir mengkhianati jemaah Ikhwanul Muslimin dan Sa’id Ramadan terpaksa meninggalkan bumi Mesir.
Beliau bersama keluarga pernah duduk menetap di bumi Lubnan, Pakistan, Baghdad, serta berakhir di Switzerland.
KISAH PARA CUCU
Dr Tareq Ramadan
Benarlah kata orang benih yang baik dibuang ke laut menjadi pulau dan bila dibuang ke darat menjadi gunung.
Begitulah juga apa yang berlaku dengan Sheikh Sa’id Ramadan. Beliau bukan sahaja berjaya mengembangkan fikrah ke serata bumi yang dijejaki bahkan melahirkan dua orang lagi tokoh dakwah kontemporari yang terkenal iaitu Dr Tareq Ramadan dan Dr Hani Ramadan!
Dan cucu Imam Al-Banna ini turut digelar ‘Penyala Obor Islam’ di Eropah hasil dari komitmen dakwah mereka di sana...
-------------------------------------------------------
Moga-moga Allah SWT mengurniakan kepada kita generasi keturunan yang mengungguli kerja-kerja dakwah. Kalau tidak sampai ke tahap itu kita pohon moga Allah kurniakan sekurang-kurangnya generasi yang sentiasa Istiqamah membuat kerja dakwah... Insya Allah.
3 comments:
Assalamualaikum,encik telah menulis fakta yang salah. Betul ke Syeikh Ramadan Al Butti tu menantu hasan Al-Banna?? :-)
Maklumat salah. Sila buat research. Kesian kat anak2 dia, yg anda telah tukar bapanya.
nama sama...said ramadhan al buti menantu imam hassan al banna tiada dr...
Menurut buku "Mereka yang telah pergi" tulisan Abdullah Al-'Aqil, menantu Hassan Al-Banna adalah bernama Dr. Said Ramadhan (Abu Aiman) dan bukannya Syeikh Sa'id Ramadhan Al-Buthi. Nama seakan sama, tapi mereka adalah individu yang berbeza.
Post a Comment