Showing posts with label Biografi tokoh. Show all posts
Showing posts with label Biografi tokoh. Show all posts

Thursday, July 29

Mertua, Menantu, Cucu


As-Syahid Imam Hasan Al-Banna

Beberapa hari lalu, saya sempat menelaah sebuah buku yang menceritakan latar belakang seorang tokoh iaitu Sheikh Sa’id Ramadan Al-Buti. Kebetulan saya memang ingin membaca profil tokoh ini kerana pengajian Sirah di rumah setiap minggu menggunakan kitab hasil tulisan beliau.

Apa yang menarik dan baru saya ketahui rupa-rupanya Sheikh Ramadan Al-Buti ini adalah menantu kepada tokoh gerakan reformis Islam yang terkenal abad ini iaitu Imam Hasan Al-Banna. Subhanallah...

Mengapa saya terlepas info hebat ini? Bahkan ramai yang tidak sedar bahawa Imam Hasan Al-Banna punya menantu yang unggul di gelanggang dakwah sehingga menjadi buruan pihak berkuasa Mesir.

Jadi tekad saya hari ini untuk menulis sedikit bagi berkongsi maklumat kepada sahabat-sahabat yang belum tahu. Bagi yang dah lama tahu ambillah sebagai kisah teladan untuk meneruskan pelayaran hidup di dunia ini.

Ingatlah generasi yang hebat tidakkan terhasil melainkan dari benih yang hebat!

KISAH SI MENANTU

Sheikh Sa'id Ramadan Al-Buti

Legasi Imam Hasan Al-Banna cukup luar biasa... Sudah tentu orang yang menjadi pilihan hati beliau bagi mengahwini putrinya semestinya juga luar biasa. Orang tersebut mestilah mewakafkan seluruh hidupnya untuk dakwah serta berjihad demi melihat kemenangan Islam.

Dialah Sa’id Ramadan!

Beliau masih seorang remaja ketika berkenalan dengan Al-Banna. Tetapi komitmennya untuk kerja-kerja dakwah sudah terserlah diawal umur semuda itu. Sehinggakan Imam As-Syahid Al-Banna melantik beliau untuk menjadi setiausaha khas ketika usianya baru menjangkau 20 tahun.

Said Ramadan juga merupakan graduan termuda dalam bidang perundangan di Fakulti Undang-undang Universiti King Foud Kaherah. Pada masa yang sama menjadi penulis tetap dalam ruangan majalah pertama Ikhwanul Muslimin, as-Syihab.

Ketika krisis Palestina berkecamuk pada 1948, Sheikh Sa’id Ramadan diberikan kepercayaan oleh Imam Al-Banna untuk mengetuai misi jihad ke Palestin dengan dibantu oleh mufti Palestina ketika itu, Syeikh Amin Al-Husaini. Namun amat menyedihkan kerana ketika itulah perdana menteri Mesir mengkhianati jemaah Ikhwanul Muslimin dan Sa’id Ramadan terpaksa meninggalkan bumi Mesir.

Beliau bersama keluarga pernah duduk menetap di bumi Lubnan, Pakistan, Baghdad, serta berakhir di Switzerland.

KISAH PARA CUCU

Dr Tareq Ramadan

Dr Hani Ramadan

Benarlah kata orang benih yang baik dibuang ke laut menjadi pulau dan bila dibuang ke darat menjadi gunung.

Begitulah juga apa yang berlaku dengan Sheikh Sa’id Ramadan. Beliau bukan sahaja berjaya mengembangkan fikrah ke serata bumi yang dijejaki bahkan melahirkan dua orang lagi tokoh dakwah kontemporari yang terkenal iaitu Dr Tareq Ramadan dan Dr Hani Ramadan!

Dan cucu Imam Al-Banna ini turut digelar ‘Penyala Obor Islam’ di Eropah hasil dari komitmen dakwah mereka di sana...

-------------------------------------------------------

Moga-moga Allah SWT mengurniakan kepada kita generasi keturunan yang mengungguli kerja-kerja dakwah. Kalau tidak sampai ke tahap itu kita pohon moga Allah kurniakan sekurang-kurangnya generasi yang sentiasa Istiqamah membuat kerja dakwah... Insya Allah.


Sunday, April 18

Tak nak seperti dia?


Assalamualaikum Warahmatullah…

Bertemu kembali dalam ruangan maya. Moga setiap titik yang dicatitkan ini semuanya kerana Allah SWT. Insya Allah...

Sudah lama tidak menulis tentang tokoh.

Kesempatan kali ini, terasa terpanggil untuk memperkenalkan kepada kalian biografi seorang lagi tokoh kontemporari Islam. Beliau ialah Dr Zakir Naik!

Dr Zakir Abdul Karim Naik

SIAPA DIA DR ZAKIR NAIK?

Dalam terbitan Indian Express bertarikh 22 Februari 2009, Dr Zakir disenaraikan dalam “100 orang Paling berpengaruh” di India. Beliau menduduki tangga yang ke-82. Kemudian dalam senarai “10 Guru Spiritual Terbaik India”, beliau dipilih sebagai orang yang ke-3. Satu-satunya Muslim dalam senarai ini!

Berlatar-belakang bidang kedoktoran, Dr Zakir Abdul Karim Naik adalah seorang pakar perbandingan agama di peringkat antarabangsa. Dr Zakir sangat terkenal dengan ketajaman hujahnya serta kepetahan beliau berdebat serta mengingati segala isi kitab agama lain.

Beliau menghafal ayat-ayat Quran, hadis, serta beberapa kitab agama lain seperti Bible, Kitab Veda, dan lain-lain lagi.

Dr Zakir dilahirkan di Mumbai. Dibesarkan di St Peter High School, kemudian ke National Medical College, dan akhirnya menerima ijazah Kedoktoran M.B.B.S (Bachelor of Medicine and Bachelor Surgery) di University of Mumbai, India.

GENIUS SEPERTI SIR AHMAD DEEDAT

Anda kenal Ahmad Deedat? Tokoh perbandingan agama abad ini.

Dr Zakir mengikuti jejak langkah beliau. Bahkan lebih hebat lagi. Kegeniusannya ini diakui sendiri oleh Sir Ahmad Deedat dengan mengirimkan satu anugerah plag yang tertulis,

“Son, what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish. Alhamdulillah”

Maksud: Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa 4 tahun mencapai apa yang saya telah dapat dalam tempoh 40 tahun. Alhamdulillah!

Beliau meninggalkan kariernya sebagai doktor perubatan untuk menumpukan kerjaya sepenuhnya dalam lapangan dakwah Islamiyyah.

Antara hasil karya yang beliau telah karang ialah:

Replies To The Most Common Question Asked by Non-Muslim, Quran And Modern Science – Compatible Or Incompatible, Concept Of God In Major Religions, Islam And Terrorism, Women’s Right In Islam – Protected Or Subjugated?, Al-Quran – Should It Be Read With Understanding?, Is The Qur’an God’s Word?

Dan banyak lagi!

Selain itu juga, Dr Zakir Naik sudah diundang beratus kali dalam siri-siri perdebatan dan ceramah umum yang membicarakan konsep Teologi. Sehinggalah beliau sendiri mengasaskan Islamic Research Foundation (IRF) di Mumbai.

ISLAMIC RESEARCH FOUNDATION

IRF adalah satu pertubuhan rasmi yang bertujuan untuk menyebarluaskan dakwah Islam ke seluruh dunia. Ia bukan satu pertubuhan yang berasaskan keuntungan.

IRF yang dinaungi sendiri oleh Dr Zakir telah pun menghasilkan jutaan buku-buku, dokumentari, video-video ke serata dunia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Rakan-rakan pembaca boleh melayari sendiri laman web IRF di pautan ini--->[link].

Setakat ini, IRF sudah menganjurkan beberapa siri dialog agama dan salah satu dialog yang dirakamkan secara LIVE di Peace TV memaparkan seorang wanita Hindu memeluk Islam sejurus mendengar penjelasan mantap dari Dr Zakir. Allahu Akbar!

Lihatlah Video di bawah ini:


Dr Zakir, Mudah-mudahan dengan kebaikan seperti ini, Allah SWT melancarkan lidah kamu tatkala ditanya olehNya di Mahsyar nanti..

MARI MENGGILAP MUTIARA

Ada satu pujangga hukama menyebutkan,

“Berjuanglah kamu di mana-mana sahaja. Pastikan kamu menangkan Islam pada bucu yang kamu jaga”

Setiap manusia mempunyai potensi dan bakat. Potensi dan bakat amat diperlukan untuk memperkasakan gerakan dakwah di mana sahaja ruang yang sesuai dengannya. Ia bagaikan mutiara yang perlu digilap sehingga benar-benar tampak sinarnya.

Moga kita boleh bangunkan setiap potensi anak-anak Muslim yang ada sehingga menjadi seperti beliau, Dr Karim Naik. Tak kiralah di lapangan mana sekalipun. Amin...

Wallahu a’lam.

Friday, February 26

'Hadiah' sempena MaulidurrasuL


Salam Maulidurrasul 1431 Hijrah!

Selalunya bila tiba sambutan Maulidurrasul, di sana-sini akan diadakan program dan sambutan sebagai tanda meraikannya. Tidak ketinggalan juga penganugerahan tokoh Maulidurrasul sebagai pelengkap kepada acara sambutan tahunan..

Dan saya mencadangkan Dr. Najmuddin (dalam bahasa Turki; Necmettin) Erbakan sebagai tokoh Maulidurrasul sesi 1431 H!

Beliau antara tokoh yang saya kagumi abad ini.—Tokoh "JURUTERA MANUSIAWI" yang hebat!

-Dr Najmuddin (Necmettin) Erbakan-

Dr Najmuddin Erbakan dilahirkan pada 29 Oktober 1926 di bandar Sinop berdekatan dengan Laut Hitam. Beliau berasal dari keluarga yang cintakan Islam serta mengambil berat soal pendidikan Islam kepada anak-anak.

Tahun 1948, beliau belajar di peringkat pengajian tinggi di Universiti Istanbul dalam jurusan Kejuruteraan. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (master) dan doktor Falsafah (pHD) di University of Applied Sciences, Germany. Bidang pemfokusan beliau ialah Termodynamic dan Atom.

Sejurus menamatkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan, beliau bertanding atas tiket Parti ‘Nizam al-Watani’ di Bandar Quwineh. Beliau menang dan menjadi ahli parlimen termuda ketika itu!

Malangnya, oleh kerana sistem sekularisme yang melampau di Turki, beliau telah dihalang untuk berpolitik serta terlibat dengan kerajaan campuran. Beliau dituduh sebagai penentang keras sistem Sekularisme. Ini menyebabkan beliau menubuhkan satu parti baharu yang benar-benar berteraskan ajaran Islam yang dianamakan Parti as-Salaamat.

Tahun 1971, pihak rejim kuasa tentera Turki mula mengenal pasti beberapa tokoh Islamik yang terkenal dan mereka semua dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya umum dan Parti ‘Nizam al-Watani’ turut diharamkan!

Tahun 1973...

Parti as-Salaamat yang baru telah bergabung dengan Parti Rakyat Turki dan kemudian menang pilihan raya pada tahun tersebut. Kerajaan campuran dibentuk dan Dr Najmuddin Erbakan menjawat Naib Perdana Menteri dan merangkap portfolio di tujuh buah kementerian; Kementerian Dalam Negeri, Undang-Undang, Perdagangan, Kastam, Pertanian, Perindustrian dan Pemakanan.

Malangnya sekali lagi kerajaan campuran ini hanya dapat bertahan selama 7 bulan. Ia digulingkan oleh kuasa tentera yang terlalu taksub dengan fahaman Sekularis.

Ketabahan beliau tidak pernah padam...

Pada 1977, Dr Najmuddin Erbakan sekali lagi muncul dalam pilhan raya. Kali ini parti beliau bergabung dengan Parti Gerakan serta Parti Keadilan dan kemudiannya memenangi pilihan raya umum buat kali yang ketiga. Namun, kedengkian kuasa tentera tetap seperti sebelum ini. Beliau dituduh sebagai penentang dasar-dasar Kamal Attartuk yang dianggap oleh kebanyakan rakyat sebagai Bapa Permodenan Turki!

Kali ini nasib beliau semakin teruk. Bukan sekadar dibatalkan kemenangan, bahkan beliau dipenjara selama empat tahun iaitu bermula pada 1981 hinggalah akhir 1985.

Dr Najmuddin yang bersemangat kental tidak pernah kenal erti putus asa dalam perjuangan... 1986, sejurus keluar dari penjara beliau kemudiannya menubuhkan parti Refah. Parti ini pantas menarik golongan anak-anak muda terpelajar yang terdiri dari Mahasiswa dan Mahasiswi di pusat-pusat pengajian tinggi. Anak-anak muda yang berkesedaran bahawa sistem Sekular gagal menangani isu-isu umat Islam memilih Parti Refah sebagai medium baru untuk melaksanakan Islam di tengah-tengah masyarakat.

Perlembagaaan Turki yang tidak membenarkan sekali-kali terma politik Islam menyebabkan Refah memilih metodologi wajah gerakan cakna rakyat dan gerakan kebajikan. Natijahnya sangat baik. Refah diterima secara meluas di bumi Turki!

Antara aktiviti Parti Refah ialah:

1. Berimejkan progresif dengan menentang rasuah serta penyelewengan

2. Pembasmian buta huruf serta pelancaran kempen celik Quran

3. Bantuan berterusan kepada rumah-rumah anak yatim serta ibu tunggal

4. Menyediakan generasi pelapis kepimpinan di seluruh kampus-kampus yang ada

5. Mengutip zakat dan kemudian menyalurkannya kepada sekolah-sekolah Islam

6. Meniupkan kembali nostalgia kejayaan silam Khilafah Uthmaniyyah

Selama 10 tahun membina kekuatan... Akhirnya beliau nekad untuk bertanding sekali lagi dalam pilihan raya umum Turki. Parti Refah tanpa sokongan kekuatan dari parti-parti lain telah menang besar dalam pilhan raya tersebut dan Dr Najmuddin Erbakan dipilih sebagai Perdana Menteri Turki!

Walaubagaimanapun, kebencian golongan sekularisme yang ditaja oleh dunia Eropah tidak pernah berhenti. Sembilan bulan selepas kemenangan, beliau sekali lagi digulingkan secara paksa untuk kali yang ke-3!

Tapi, apa yang membanggakan ialah... Dalam tempoh sesingkat itu, Erbakan mampu menjayakan beberapa agenda besar antaranya ialah:

1. Gagasan ekonomi yang praktis. Buktinya KDNK negara Turki meningkat di sepanjang kepimpinannya sehingga masyarakat Turki ternanti-nanti pemimpin sepertinya selepas itu.

2. Proses Islamisasi masyarakat. Kemunculan beliau dalam arena politik membuka mata rakyat Turki yang selama ini dibutakan dengan dasar-dasar Sekularis ciptaan Attartuk.

Bahkan, kemenangan AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan Turki) yang memerintah sekarang ini sedikit sebanyak hasil dari cetusan perjuangan Dr Najmuddin Erabakan.

Selepas penggulingan itu, beliau dikenakan hukuman penjara dan sekaligus parti Refah diharamkan!

Kesimpulannya... Dr Najmuddin Erbakan:

1. Pelajar Kejuruteraan

2. Pensyarah Kejuruteraan

3. Saintis dan Pengkaji

4. Tokoh masyarakat serta Pemikir Umat

5. Daie iaitu Pendakwah

6. Menteri di Tujuh Kementerian

7. Pernah menjawat Naib Perdana Menteri

8. Perdana Menteri (1996)

9. Meringkuk di penjara selama 4 tahun + 2 tahun

10. Revolusioneer dan Intelektual sekaligus!


myikhwanfiideen:-

Insya Allah... Nantikan sekali lagi ‘Prof. Ir Dr Najmuddin Erbakan’ yang kedua. Untuk pusingan abad 2010!

Monday, January 18

Qurrata a'yun.

Semalam saya membeli sebuah CD yang bertajuk, BUDAK AJAIB: MUKJIZAT AL-QURAN ABAD INI.. Dia Dr. Husein Tabataba’i.. Budak berumur 5 tahun kelahiran Iran yang hafal, hafaz, dan sekaligus faham akan Al-Quran!

Teruja menonton aksinya yang dirakamkan di Makkah Al-Mukarramah, saya teringin sangat untuk berkongsi sesuatu akan anak ajaib ini.. Mudah-mudahan kita terinspirasi untuk memilikinya.. Maksud saya, jika hari ini kita seorang ayah, biarlah kita upayakan agar anak-anak kita menjadi sepertinya..

Menjadi mukjizat Al-Quran secilik Husein Tabataba’i.

"Ya Allah.. Beruntungnya sepasang Ibu dan Ayah yang dianugerahkan 'PILDACIL' sepertinya."

Pada umur 7 tahun, Husien telah meraih gelaran ‘Doktor Kehormat’ dari College Islamic University kerana hafaz dan faham Al-Quran.. Beliau telah melepasi beberapa siri ujian yang telah ditetapkan oleh pihak Universiti.. Ujian itu berlangsung selama 210 minit dan sebanyak 2 kali yang meliputi hal-ehwal berikut:

1. Menghafal Quran dan menterjemahkannya

2. Menerangkan topik Al-Quran

3. Mentafsirkan dan menerangkan maksud setiap ayat

4. Bercakap-cakap menggunakan ayat Quran

5. Menerangkan maksud ayat menggunakan metod isyarat tangan

Setelah ujian selesai, didapati adik Husien ini mencapai markah sebanyak 93 peratus.. Dan menurut ‘standard’ penganugerahan yang ditetapkan oleh badan universiti adalah seperti berikut:

:: 60-70 (Diploma)

:: 70-80 (Sarjana)

:: 80-90 (Sarjana Kehormat)

:: 90-100 (Doktor Kehormat)

Subhanallah... Tepat tanggal 1998, Dr. Husien yang baru berumur 7 tahun ketika itu dengan rasminya menerima Doktor Kehormat dalam bidang “Science of the Retention of The Holy Qoran”. What an amazing boy!

Ini temu-bual beliau dengan wartawan setelah menerima anugerah hebat tersebut:

[W, wartawan.. dan H untuk Husien..]—Semua soalan dijawab oleh Husien dengan ayat-ayat Quran yang berkaitan.. Masya Allah!

( W ) : Bagaimana ujian yang kamu lalui di Universiti?
( H ) : “ Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” ( Quran 94:6 )
( W ) : Apa tanggapan para panel dalam setiap siri ujian Quranmu?
( H ) : “ Mereka Tertawa ” (Quran 83:34) [Maksud Husein para panelis merasa senang/bahagia]
(W ) : Jika kamu ditanya orang, ‘ buat apa engkau ke sana? apa jawabanmu?
( H ) : “ Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu “ (Quran 5:67 )
[ yang dimaksud Husein adalah dia ke sana untuk menyampaikan ayat-ayat al-Quran ].
( W ) : Engkau belum lulus sekolah, bagaimana mungkin mendapat gelar doktor ?
( H ) : “ Mereka dalam keadaan gembira disebabkan karunia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka “ ( Quran 3:170 ). [ maksudnya, semua itu adalah karunia Allah ]
( W ) : Bagaimana Ilmu itu diajarkan ?
( H ) : “ Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh ( berjihad ) untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. “ (Quran 29:69) [maksud Husein, bila manusia berusaha mencari dengan bersungguh2x, maka Allah akan membuka jalan ilmu baginya. ]
( W ) : Bila engkau akan menikah ?
( H ) : ( sambil tersenyum ) “ Dan apabila anak-anak telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin. “ ( Quran 24:59) [maksud Husein akan menikah jika umurnya sudah baligh]

Dan masih banyak lagi dialog yang dijawab oleh Husein menggunakan ayat-ayat Qur’an, antaranya:

( W ) : Apa khabarmu..?
( H ) : “ Dan penutup doa mereka ialah Alhamdulillahi Rabbil ’aalamin “ ( Quran 10:10). [ Maksud Husein, khabarnya baik2x saja, dan untuk itu, segala puji bagi Allah Pemilik Semesta Alam. ]
( W ) : Di manakah Tuhan ?
( H ) : “ Maka ke mana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah. “ ( Quran 2 : 115 )
(W ) : Ayat mana dalam Al-Quran yag paling engkau sukai ?
( H ) : “ Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya deritaanmu, sangat menginginkan ( Keimanan dan Keselamatan ) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. “ (Quran 9:128)

Walaupun sudah merai gelaran Doktor Kehormat.. Tapi perangainya masih seperti kanak-kanak riang yang sebaya dengannya. Kadangkala ia bertengkar dengan rakan sepermainannya.. Namun uniknya, sekalipun bertengkar ia tetap menuturkan ayat-ayat yang bersumberkan Al-Quran.. Ketika saat rakannya mahu memukul Husien, Husien berteriak dengan:

“Selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim" (Quran 66 At Tahrim:11)”!

(n_n), Masya Allah…. Subhanallah…..


Bagaimana ia bisa tercetak??

Kedua orang tua Dr. Husien menikah ketika umur 17 tahun.. Ayahnya seorang Hafiz Quran dan Ibunya juga Hafizah Quran.. Maknanya kedua-dua hafal seluruh isi Quran.. Kita? Setakat hafal ‘inna ‘aithoina’ je.. huhu.

Ketika mengandungkan Husien, ibunya mempraktiskan untuk membaca sekurang-kurangnya 1 juz Al-Quran untuk bayi yang dikandung di dalam perut.. Subahanallah.. Dari alam janin lagi Husien sudah mendengar dodoian yang berisikan ayat-ayat mukjizat Al-Quran!

Setiap hari ibu ayahnya mengajar kelas Quran kepada anak-anak penduduk sekitar.. Dan Husien ketika itu dibawa ke kelas sejak dari bayi lagi.. Meskipun di kelas Husien hanya duduk mendengar, ternyata otaknya menyerap segala yang diajar oleh orang tuanya.. Maka, ketika usia 2 tahun 4 bulan, Husien sudah dapat menghafal seluruh juz ‘amma (juz 30) secara sendiri (self learning).. Tanpa diajar. Hebat bukan?

Melihat bakat istimewa anaknya, ayah Husien mula mengajar beliau secara intensif untuk menghafal juz 29 dan keseterusnya.. Ayah Husien juga membuat metod pengajaran Quran yang lebih mudah untuk diingati iaitu, metod isyarat tangan.. Seperti; menunjuk jari ke atas bermaksud merujuk akan Allah.. Isyarat tangan bersalaman adalah merujuk ayat Quran yang bercerita tentang kedamaian.. dll.

Itulah serba-sedikit kisah tentang adinda Dr. Husien Tabataba’i.. Ikon remaja bagi seluruh umat Islam di seluruh Dunia..

Moga-moga kita kepingin mencetak anak seperti ini.. Zuriat penyejuk mata!

Ingatlah, seorang Hafiz Quran ia mampu memberikan ‘syafaat Quran’ buat 10 orang ahli keluarganya.. Tidakkah kita teringin?

"Rabbana hablana min azwaajina wa zurriyyatina qurrata a'yun waja'alna lil muttaqiina imaama.."--Tuhanku, kurniakanlah dari kami isteri-isteri (solehah) dan zuriat (anak-anak) yang menjadi 'PENYEJUK MATA' dan jadikanlah kami pemimpin di kalangan orang-orang yang bertakwa!..