Tuesday, August 24

Kita diambang merdeka?


Siapa anak Malaysia yang sebenarnya?

Tanggal 31 bulan 8 Tahun 1957…

Sukar dilupakan detik bersejarah ini kerana sering sahaja ia dialunkan bersama rentak lagu popular karya oleh Allahyarham Dato’ Sudirman. Terima kasih buat Dato’...

Tarikh yang penuh makna dan catitan bersejarah buat bangsa yang dahulunya merempat dibawah cengkaman kuasa orang lain. Juga simbolik bersembamnya sebuah kuasa asing penjajah.

Dan kini sudah 53 tahun kita merdeka.

Berbumbungkan langit dan berpijak bumi sendiri.

Tapi amat malang lagi menyedihkan, kita generasi yang kononnya sudah merdeka dari belenggu penjajah rupanya masih dicengkam budaya Jahiliyyah.

Bukan 50 tahun atau 100 tahun yang lampau. Budaya ‘membuang anak’ adalah warisan Arab Jahiliyyah ribuan tahun yang lalu lamanya. Dan ia sudahpun ‘pupus’ ditelan masa dan tiupan akhlak Islamiyyah.

Tapi mengapa?

Kini... Di atas tanah yang gah dengan menara berkembar tertinggi dunia miliknya, seorang demi seorang bayi dibuang begitu sahaja. Malah ada yang siap dibungkus jalur gemilang!

Bumi ini bukan gurun Sahara. Yang dengannya mungkin boleh beralasan dek kerana tiada air minuman atau bekal makanan. Maha kering lagi kontang. Maka wajarlah membuang bayi!

Beginikah kita diambang Merdeka???

Angkara siapakah ini? (link)

Apalah makna sebuah kemerdekaan jika di sana masih ada manusia bernyawa ‘kerdil’ yang masih melekat dengan urinya disangkut di pagar Hospital. Atau dibuang di pusat pelupusan sampah-sarap.

Harganya terlalu murah!

Lebih murah dari seekor ayam di pasar yang berharga RM 6 sekilo!

Saya merasa pelik.

Tidak pernah pula diceritakan dalam mana-mana buku sejarah atau dicatatkan dalam Tuhfat al-Nafis tentang hijrahnya seorang arab badwi tika jahiliyyah ke kepulauan ini. Lalu dialah yang mengajar kepada bangsa ini bagaimana untuk membuang bayi!

Saya juga merasa jijik!

Maaf kerana saya jijik kepada manusia-manusia yang punya pengaruh lagi terpelajar. Tetapi tidak pernah merasa terpanggil untuk sama-sama menyelesaikan barah ini. Kalau ada pun sekadar cadangan penubuhan tabung bayi, tabung DNA, dan macam-macam lagi tabung... Nasib baiklah tidak termasuk tabung uji.

Kenapa ya? Mengapa kita suka solusi yang ‘sudah terantuk baru tengadah’??

Paling menghairankan, cadangan sekolah hamil!

Apakah sebenarnya?? Sampai sekarang saya masih berfikir signifikan disebalik cadangan itu.

Apakah kita mahu pelajar-pelajar sekolah yang telah berzina melaungkan sama slogan ‘merdeka’ dek kerana cadangan amat ‘terpelajar’ itu??

Tahun lepas saya berkunjung ke sebuah pusat penjagaan kanak-kanak cacat.

Saya dihadiahkan dengan sebuah novel kisah benar. Tulisan puan Norzailina Nordin.

‘Untukmu Permata Hatiku’. Sebuah kisah suka-duka pasangan suami isteri yang kepingin menimang cahaya mata. Setelah beberapa tahun menunggu akhirnya Allah menguji mereka dengan anugerah yang lahir dalam keadaan cacat.

Namun segalanya diterima dengan pasrah.

Anugerah itu tetap ditatang dengan penuh kasih sayang. Tidak pernah dipandang ‘cacat’. Ia tetap sempurna di hati mereka. Bahkan tidak pernah terfikir langsung untuk menghumbankannya ke tong sampah!

Saya juga terkesan dengan satu dokumentari.

Di Sudan. Tatkala musim kemarau teruk menyapa negara miskin itu.

Seorang ibu yang tengah nazak tapi masih berusaha memerah titisan-titisan akhir air susunya demi memastikan si kecil terus hidup. Biarlah dia yang mati namun si kecil jangan sekali...

Kita di bumi Malaysia?

Jauhi zina, bernikahlah secara halal, dan sayangilah bayi anda!!

Mungkinkah ia kempen wajib diambang Merdeka?

2 comments:

lagenda pejuang islam said...

salam. jadi cadangannya?

myikhwanfiideen said...

Wa'alaikumussalam..

Tuan lagenda, solution itu juga ada dlm diri anda....