Tuesday, August 10

Ramadhan is welcoming you!


La'allakum tattaquun.... Moga Kamu menjadi Siswazah Takwa.

“Ahlan ya Muslimuun…” Sapa Ramadhan kepada para mahasiswa yang hadir.

Ya... Universiti Ramadhan kembali dibuka untuk tempoh masa yang singkat. Hanya sebulan sahaja untuk mahasiswa menghabiskan pengajian bagi meraih ijazah masing-masing.

La’allakum tattaquun!

Begitulah kata-kata hikmah yang terpampang meliputi seluruh kampus Ramadhan. Promosi besar-besaran agar mahasiswa yang melangkah ke universiti ini akan ghairah untuk menyempurnakan segulung ijazah.

Hakikatnya ada yang datang ke universiti ini untuk meraih ijazah taqwa yang pertama. Ada pula yang ingin melengkapkan diri menjadi graduan sarjana taqwa ataupun ijazah kehormat taqwa. Dan tidak kurang juga yang melangkah ke universiti ini dalam kedaan yang ‘terpaksa’. Itulah warna-warni mahasiswa dalam universiti ulung ini.

Sebenarnya universiti Ramadhan ini teramat istimewa. Sepanjang pengajian di dalamnya selama sebulan, penilaian untuk seorang mahasiswa tidak tertakluk kepada kuliah, bahkan ia berbentuk amali.

Segala kerja-kerja amali wajib yang dibuat sebelum memasuki alam universiti ramadhan digandakan dengan kerja-kerja lapangan yang berbentuk sunat. Bezanya cuma ketika berada dalam universiti ini, para mahasiswa akan ditambah dengan suatu kerja kursus wajib iaitu puasa sepanjang hari.

Apa yang membezakan universiti Ramadhan dengan 11 lagi universiti yang lain ialah bilangan merit yang diberikan kepada setiap amali wajib dan sunat serta kerja kursus mahasiswa. Meritnya berganda-ganda beberapa kali ganda. Dan amat rugilah seorang mahasiswa yang mensia-siakan setiap amali dan kerja kursus yang diarahkan.

Satu lagi ganjaran teristimewa bagi para mahasiswa yang memasuki universiti Ramadhan ialah mereka akan berpeluang untuk bertemu karnival LailatulQadr. Karnival ini hanya akan berlangsung pada satu malam yang tiada siapa pun tahu akan tarikhnya.

Bonus seribu bulan!!

Tahukah anda bonus karnival seperti ini hanya ditawarkan kepada mahasiswa dari umat Muhammad sahaja?

Beruntunglah mahasiswa yang sentiasa waspada dan cakna menunggu Karnival LailatulQadr tadi. Dan betapa rugilah mahasiswa yang tidak punya keinginan langsung untuk berusaha meraih manfaat yang ditawarkan ketika karnival satu malam itu berlangsung nanti.

Ketika sesi semester yang pendek di universiti Ramadhan ini sampai ke penghujungnya nanti, pelbagai reaksi mahasiswa akan kelihatan di sana-sini.

Ada mahasiswa yang mula tidak mempeduli amali serta praktikal kerana sibuk membuat persediaan sambutan apabila keluar dari universiti. Mahasiswa seperti ini sudah tertunggu-tunggu di pintu pagar kerana merasakan hidup sebagai mahasiswa ramadhan sepanjang sebulan adalah suatu yang amat ‘menyeksakan’.

Ketahuilah mereka adalah mahasiswa yang melangkah ke universiti ketika hari pertama pendaftaran dalam keadaan yang terpaksa!

Adapun mahasiswa yang pada hari pertama melangkah ke alam universiti ini dengan semangat yang membara untuk meraih ijazah takwa, ketika tiba di penghujung sesi semester mereka akan berasa sedih dan hiba.

Sedih untuk meninggalkan perkarangan universiti. Merasa tidak puas untuk melakukan merit demi merit sepanjang berada di alam kampus Ramadhan. Mahasiswa seperti inilah yang nantinya akan bergelar siswazah Takwa!

Hari ini. Kita mungkin sudah masuk kali yang ke-25 untuk sekali lagi bergelar mahasiswa universiti Ramadhan....

Maka terpulanglah kepada kita samada Konvokesyen nanti kita meningkat menjadi siswazah kehormat atau sarjana takwa ataupun mungkin masih mencuba untuk segulung ijzah Takwa. Mudah-mudahan kita berjaya dan jauh sekali dari hanya menjadi siswazah yang cuma bergelar ‘lapar dan dahaga’.

SELAMAT MENJADI MAHASISWA UNIVERSITI RAMADHAN!

No comments: