Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah bersabda:
“Aku pun bergurau senda, tetapi tidak akan mengucapkan melainkan yang hak.”—Riwayat Imam Tabrani.
Namun, gurauan nabi tidaklah melalaikan. Bahkan mempunyai mesej pengajaran disebaliknya. Tambah As-Syiekh Abdul Fattah Abu Guddah; baginda juga tidak bergurau melainkan dalam perkara yang benar sahaja.
Ada beberapa kisah. Seperti dalam satu Hadis riwayat Imam Tarmizi:
Suatu hari seorang wanita datang ke majlis Rasulullah SAW kerana mahu mencari suaminya. Melihat wanita itu datang, Nabi pun bertanya,
“Siapakah yang engkau cari?”
“Suami saya ya Rasulullah”
Kemudian Rasulullah SAW bertanya,
“Apakah suamimu yang dimatanya ada putih-putih itu?”
Mendengar soalan Rasulullah SAW, wanita itu terdiam sejenak. Tidak lama kemudian setelah suaminya balik ke rumah, wanita tadi tidak berhenti-henti memandang wajah suaminya sambil memeriksa kedua biji matanya.
Si suami berasa hairan. Lalu bertanya,
“Apakah yang engkau cari?”
“Saya sedang memerhatikan apakah di matamu ada putih-putih atau tidak?”
Suaminya terkejut.
“Ah, engkau ini. Bukankah semua mata manusia memang ada putih-putihnya?”
Kemudian, barulah wanita tadi sedar yang pertanyaan Rasulullah SAW itu sebenarnya hanyalah senda gurau baginda semata-mata.
As-Syiekh Abdul Fattah Abu Guddah dalam bukunya, ‘Nabi Muhammad: Guru dan Pendidik Terulung’ menyimpulkan bahawa banyak teknik bergurau senda atau ‘kecindan’ (Dewan Bahasa dan Pustaka) digunakan oleh Nabi untuk berhadapan dan bermesra dengan umatnya.
Kita hari ini.
Kita perlu ingat, tidak semua orang boleh menerima mesej yang disampaikan secara serius dan kaku. Kerana sifat manusia sangat pelbagai. Kata orang, “Demo tak perlu nak bekeng Sokmo!”.
Sekali-sekala dalam berdakwah cubalah untuk selitkan ‘sense of humor’. Asalkan tidak berlebih-lebihan dan membawa mesej yang baik.
Senda gurau sesama sahabat kadang-kadang itulah yang menjadi ramuan yang akan memaniskan lagi ikatan ukhuwwah. Hingga menjadi memoir yang takkan dilupakan sampai bila-bila.
Insya Allah.
No comments:
Post a Comment