Friday, May 18

Ibrah dari Bumi Sakura 1


Pesawat Airbus D7 536 ke Kansai International Airport, Osaka

Saya meneliti jam pada paparan ‘smartphone’. Jam baru menunjukkan pukul 4 petang.

‘Hmmm. Baru 2 jam penerbangan. Ada 4 jam lagi!’. – Hati kecil berbicara seorang diri.

Rasa ingin mencari teman untuk berbual. Saya pusing ke kiri. Pemuda Jepun disebelah saya sudah lentok dibuai mimpi. Kebanyakan penumpang melayan lena dalam penerbangan ini.
Kepala saya menerawang jauh ke bumi Sakura. 

Debaran semakin terasa. 

Beberapa jam lagi akan sampai ke bumi matahri terbit itu. Walhal minda saya sedikit pun masih belum faham selok-belok nanti di sana. Tambah pula bermusafir seorang diri!

Saya membuka aplikasi dalam ‘smartphone’. ‘Smartphone’ ini baru dibeli beberapa hari.

“Beli lah ‘smartphone’. Nanti boleh buka GPS dekat sana. Insha Allah banyak membantu” – Teringat kata-kata adik saya. Atas sebab itulah dengan berat hati saya membeli ‘gadget’ ini. Keperluan bukannya sebagai perhiasan.

Saya membelek beberapa laman sesawang yang diminta oleh kenalan di sana untuk ditandakan ‘bookmark’.

‘Umeda Sky Building!’. Di sinilah nanti saya akan cari bas untuk ke Bandar Kitakyushu yang lebih kurang beberapa ratus kilometer dari Bandar Osaka, bandar yang kedua terbesar di Jepun.

***

Hikikomori?

Entah berapa lama saya terlelap.

Bunyi tangisan kanak-kanak yang duduk di bahagian tengah pesawat Airbus tersebut menyelinap dalam mimpi lalu membangunkan saya dari tidur.

Saya memandang kearah keluarga tiga beranak itu.

Si anak berguling-guling dibawah tempat duduk seperti meminta sesuatu. Si Ibu memegang buku komik berusaha memujuk. Manakala yang peliknya si ayah langsung tidak peduli akan aksi anaknya. Sibuk mencoret sesuatu pada ‘gadget’ ipad nya!

Lama saya memerhati.

Selama itulah sang ayah tidak mempeduli.

Kepala saya sukar menerima situasi itu.

Apakah ini salah satu contoh budaya ‘Hikikomori’ yang pernah ditulis oleh Ustaz Hasrizal? Hikikomori dalam alam perkahwinan! Mungkin ya, mungkin juga tidak.

Rata-rata penumpang yang memenuhi penerbangan Kuala Lumpur – Kansai, Osaka pada petang itu terdiri dari orang Jepun yang berkemungkinan datang melawat Malaysia. Dan kebanyakan mereka melayan ‘gadget’ masing-masing termasuklah seorang nenek tua yang berada di tempat duduk barisan hadapan.

Fikiran saya tentang ‘Hikikomori’ lesap bila Juruterbang mengumumkan pesawat sudah memasuki ruangan udara Kansai.

Saya menjenguk di tingkap. Kerlipan lampu seluas mata memandang ‘berpesta’ menyambut ketibaan kami ke bumi Sakura.

Saya semakin bimbang. 

Satu benda yang menggusarkan hati saya ialah pepatah, ‘sesat mencari jalan pulang!’.



-Insha Allah bersambung-

Monolog sebatang Pena


Gugusan bunga di Kota Kitakyushu


Rasa ingin kembali menulis terpendam begitu lama. Catatan terakhir di helaian kembarasanghamba sudah terlalu usang. Saya kehilangan kuasa untuk menulis buat beberapa ketika…

Sibuk? Masya Allah, berapa ramai yang lebih sibuk dari saya. Tapi mereka membuktikan bahawa kesibukan bukan penghalang kepada pena untuk berdiri dan mencoret sesuatu buat ummah.

Semalam, cerita saudara Azizul tentang buku terbaru Ust. Zaharuddin yang mencatitkan pengalaman-pengalaman berharga beliau dalam siri-siri kembara dibeberapa kota raya dunia. Saya kagum walaupun belum membacanya. Ya, penulisan mampu menginspirasi siapa saja!

Ya Allah, kurniakanlah kami mata pena yang tajam dan dakwat idea yang bernas. Hindarkanlah dari hati yang mudah beralasan. Jiwa yang kusut dalam kekelaman. 

Moga ada nafas baru.

Bangsa yang menulis adalah bangsa yang berkuasa.