Thursday, January 29

Selamat berprogram !

________________________________

"KEM TAUTAN UKHUWWAH & INDUKSI"

ALUMNI 'IRFAAN, KML

30/31 Jan 2009

HuLu LanGaT, SeLanGoR

________________________________


Assalamualaikum wbkth...


Segala puja dan syukur kita panjatkan ke-hadrat Allah SWT selaku yang maha Esa.Tidak lupa juga selawat dan salam kita titipkan buat Habibullah (kekasih Allah) iaitu Rasul SAW tercinta. Begitu juga buat para Sahabat Baginda,ahli keluarga, dan seterusnya buat para anbiya, syuhadah, dan seluruh kaum muslimin dan muslimat yang masih terus berjuang bagi menegakkan kalimah tahuhid di muka bumi Allah ini..


Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum..


Selamat datang dan selamat bertemu saya ucapkan buat sahabat-sahabat mantan 'Irfaan yang sudi meluangkan masa anda semata-mata untuk menghadirkan diri ke program kita pada hari ini. Saya sangat bersyukur dan gembira dengan nikmat pertemuan yang dikurniakan oleh Allah SWT pada kita semua hari ini. Ini kerana untuk pengetahuan sahabat-sahabat semua, program seperti ini sebenarnya sudah lama kita rancang untuk dibuat.. Cuma Allah belum lagi memberikan keizinan mahupun kesempatan sebelum ini.


Kita adalah satu keluarga


Adik-beradikku dalam Islam,

Izinkan untuk saya mengutip sekuntum firman Allah SWT yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang mukmin (lelaki dan perempuan) itu bersaudara maka perbaikilah hubungan (silahturrahmi) antara keduanya.”

Inilah asas ikatan kita sebagai suatu keluarga besar iaitu asas akidah melalui terjemahan landasan taqwa dan hiasan akhlak. Apatah lagi kita yang diterapkan dengan fikrah perjuangan dan diikat dengan prinsip wehdatul fikri wa wehdatul ‘amal. Oleh yang demikian dalam alumni Irfaan ini, saya ingin mengingatkan semula bahawa tidak kira siapa kita, batch yang keberapa, atau apa kelayakan yang kita ada, semuanya WAJIB memelihara ikatan ukhuwwah agar agenda gerak kerja bagi menjayakan misi Alumni ini dapat dicapai.. Insya Allah

Berbicara tentang the bond of Family ini, saya suka untuk mengajak sahabat-sahabat yang ada agar melakukan flashback semula suasana dahulu iaitu semasa kita masih berada di alam Matrikulasi. Banyak agenda yang kita jayakan bersama bak kata orang kita senang senyum bersama dan kita susah menangis bersama. Tuntasnya ketika itu kita semua laksana ibarat keluarga yang besar yang melakukan misi dakwah dan islah peringkat lokaliti di mana kita berada iaitu sekitar ruang lingkup Matrikulasi. Maka,ikatan serta semangat yang disemai suatu masa dahulu sewajibnya terus diteruskan apatah lagi cabaran yang mendatang serta tanggungjawab yang terbeban bila berada di alam kampus adalah lebih besar dan berat sebenarnya.


Menjayakan Misi Alumni


Adik-beradikku keluarga Irfaan,

Berbicara sekitar apa itu Alumni kemungkinan kadang-kadang mengundang banyak persoalan-persoalan di peringkat anda semua.. Mungkin, itu hanya andaian saya. Kenapa perlu ada Alumni? Apa fungsi Alumni? Apa beza pula Alumni Irfaan dengan Alumni KML?

Sebenarnya adik-beradikku semua, persoalan-persoalan seperti ini tidak salah kerana ia sememangnya dituntut agar kita yang duduk dalam organisasi seperti ini boleh mendapat suatu tasawwur (overview) yang jelas. Ini penting kerana ia laksana batu asas bagi memastikan setiap anggota keluarga yang ada boleh menjayakan misi-misi yang menjadi matlamat bagi Alumni Irfaan ini.

Adik-beradikku semua,

Sebagaimana Luqman Al-Hakim pernah menuturkan suatu rangkap nasihat buat anaknya, maka izinkan untuk saya mengutip mutiara nasihat dari beliau tersebut buat mencerahkan lagi hala-tuju kita semua. Firman Allah,

“(maka berkata Luqman) Wahai anakku dirikanlah solat dan suruhlah orang (memperbuat) yang ma’aruf, dan laranglah yang munkar, serta sabarlah atas cubaan yang menimpa engkau. Sesungguhnya demikian itulah pekerjaan yang diperintahkan” Surah Luqman: 17

Lantaran itulah sebenarnya matlamat utama organisasi Alumni Irfaan ini ditubuhkan. Berdirinya ia adalah semata-mata atas tuntutan keperluan dakwah dan islah mahupun Tarbiyyah bagi melahirkan kader-kader bukan sahaja bermula di alam kampus tapi sewajarnya sudah bermula di alam Matrikulasi itu sendiri. Sebab itu fungsi alumni amat penting bagi membantu adik-adik di sana dalam apa jua bentuk sokongan samaada bantuan material ataupun tenaga insaniah yang kita ada.

Alhamdulillah walaupun dalam keadaan organisasi yang masih belum stabil sepenuhnya, kita sudah memulakan beberapa peringkat perancangan seperti penyusunan bahan-bahan tarbiyyah dan juga pemantauan kebajikan adik-adik yang berada di IPTA/IPTS mahupun adik-adik yang berada di Matrikulasi.


Aktifkan budaya PEDULISME


Adik-beradikku,

Sesungguhnya saya amat takut kepada suatu petaka senyap tapi amat berbahaya iaitu apabila matinya budaya pedulisme dalam diri setiap mantan penggerak Irfaan. Kalau dulu bukan main lagi kita bersemangat dan bertindak dalam apa jua agenda mahupun program surau yang diadakan. Tapi, kini semuanya hanyalah tinggal kenangan seolah-olah misi dakwah yang kita jalankan ketika di matrik dulu hanyalah pelengkap kepada takwim. Buktinya kerana kita tidak mampu menjawab persoalan-persoalan seperti ini;

Sejauh mana proses follow-up saudara baru yang telah masuk Islam ketika di KML dahulu?

Sejauh mana kita peduli akan situasi rakan-rakan seperjuangan dalam Irfaan dahulu?

Dan jauh sekali saya kira untuk menjawab persoalan ini...

Sejauh mana sumbangan kita untuk proses dakwah adik-adik di Matrik sekarang?

Ya. Saya sendiri tidak mempunyai jawaban yang kukuh untuk persoalan-persoalan di atas. Lalu, apakah kita mahu tunggu dan lihat sahaja tanpa ada susulan tindakan yang konkrit bagi menjawab persoalan tadi? Tidak, wahai adik beradikku sekalian.. Kita tidak akan tunggu dan lihat sebab masakan sagu hadir sendiri tanpa dipecahkan kulitnya! Oleh yang demikian, itu sebab kita semua hadir ke sini kerana saya melihat program liqo’ (pertemuan) seperti ini insya Allah sebagai langkah pertama bagi menekan punat untuk mengaktifkan budaya pedulisme di kalangan kita semua. Tuntasnya, jika budaya pedulisme ini tidak aktif dalam diri setiap kita maka sudah pasti perancangan hanya tinggal di atas kertas dan misi hanya berkubur dalam mimpi!


Selamat berprogram, moga kita bersua kembali...


Abang, akak, dan adik-adik yang dikasihi,

Sebelum saya sampai kepada noktah kata-kata, maka sekali lagi saya mewakili jawatankuasa penganjur program mengucapkan SELAMAT BERPROGRAM kepada semua ahli keluarga Irfaan yang hadir dari seluruh pelusuk semenanjung. Begitu juga buat ahli-ahli alumni Irfaan yang berada di Sabah dan Sarawak yang tidak dapat bersama kita secara jasadnya pada hari ini tetapi saya yakin ruh mereka sedang bersama kita.

Kepada penyumbang dana mahu pun tenaga bagi menjayakan program ini, saya hanya mampu mengalunkan sepotong ayat quran buat penghargaan kepada anda semua;

“Sesungguhnya Allah membeli daripada Mukminin akan jiwa raga mereka dan harta benda mereka dengan bayaran syurga buat mereka. Mereka berperang di jalan Allah; mereka membunuh dan juga mereka terbunuh...” Surah Taubah: 111

Akhir kalam, ingatlah bahawa perbezaan antara seorang muslim dengan seorang kafir itu bukanlah kerana seorang itu bernama Abdullah dan seorang lagi bernama Johnny, ataupun seorang itu berkhitan dan seorang lagi tidak, atau seorang itu memakan babi dan seorang lagi tidak.. Tapi, sesungguhnya beza antara keduanya tadi ialah seorang muslim bermakna ia adalah individu yang mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangannya manakala seorang kafir pula adalah individu yang engkar akan perintahNya bahkan melanggar segala batas larangan Allah..

Moga kita semua menjadi muslim yang sebenar lalu bersedia menerima segala taklifan yang diwariskan kepada kita melalui nabiNya yang tercinta.. Insya Allah..


Wallahu a’lam.. Siiru ‘ala barokatillah!


myikhwanfiideen
JK Koordinasi Alumni 'Irfaan
Sesi 2008/2009

Tuesday, January 27

Tahniah buat GAMIS Johor!

Pada 26 Januari 2009 bersamaan dengan 29 Muharam 1430H, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia cawangan Johor (GAMIS) telah mengadakan program ziarah dan dakwah ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bersempena dengan Tahun Baru Cina. Program ini diketuai oleh saudara Mohd. Zulhilmey Makmud selaku Pengerusi GAMIS Johor yang turut disertai oleh 3 buah kampus yang terletak di cawangan selatan iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Politeknik Johor Bahru dan Universiti Tun Hussein Onn. Seramai 86 orang peserta iaitu 70 orang peserta dari UTM dengan diketuai oleh saudara Mohd. Amin bin Hamami selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam, UTM, 11 orang peserta dari UTHM dengan diketuai oleh Saudara Hazufi dan 5 orang peserta dari Politeknik JB.

Tepat jam 12.00 tengahari, semua peserta telah berkumpul di hadapan hospital untuk sesi pembahagian kumpulan dan seterusnya mendengar sedikit taklimat daripada saudara Mohd. Wafi sebelum memulakan aktiviti ziarah dan dakwah kepada pesakit-pesakit di Hospital Sultanah Aminah.

Program yang bertujuan untuk menziarah para pesakit dan seterusnya membawa agenda dakwah tidak kira kaum, agama dan usia ini menjadi salah satu “platform” yang baik untuk kita selaku penggerak dakwah Islam khususnya di Johor ini bagi memulakan langkah untuk mendekati masyarakat. Salah satu agenda yang dilaksanakan ialah pengagihan buah limau kepada setiap pesakit di situ. Disamping itu, semua peserta tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dan membina hubungan silaturrahim bersama pesakit-pesakit seterusnya menyelitkan unsur-unsur dakwah seperti menunjukkan akhlak yang baik kepada pesakit serta kepada keluarga pesakit yang ada.

Selain itu, program ini juga merupakan kerja lapangan kepada mahasiswa/i untuk mempraktikkan segala teori dakwah yang telah diperolehi di kampus masing-masing. Melalui kerja lapangan ini, mereka dapat menghayati serta merasai keperitan dan kesakitan yang ditanggung oleh pesakit. Justeru itu, para peserta dapat bermuhasabah dan bersyukur atas segala nikmat kesihatan yang masih lagi dikecapi dan dirasai disamping berasa beruntung kerana dapat melaksanakan ibadah kepada Allah dengan mudah dan selesa tanpa sebarang kesakitan. Program ini berjalan dengan lebih lancar lagi dengan bantuan beberapa orang pegawai keselamatan yang bekerja di hospital tersebut dengan bertindak sebagai pemandu arah untuk menunjukkan wad-wad pesakit untuk dilawati.

Pada jam 1.30 petang, para peserta telah berkumpul semula di hadapan Hospital Sultanah Aminah untuk mendengar ucapan daripada setiap wakil kampus. Dimulakan dengan ucapan daripada wakil kampus UTHM iaitu saudara Hazufi, diikuti pula wakil daripada Politeknik JB, seterusnya ucapan daripada muslimat yang diwakili oleh saudari Anis Afidah binti Mohd. Azli. Ucapan terakhir telah diberikan oleh saudara Mohd. Amin Bin Hamami selaku wakil daripada GAMIS Johor.

Program ziarah dan dakwah ini disudahi dengan bacaan doa daripada Mohd. Firdaus bin Ab Rahman dan sesi mengambil gambar. Tepat jam 2.05 petang, program telah berakhir dan para peserta pulang ke kampus bagi meneruskan semula agenda dakwah di tempat masing-masing. Semoga perkara yang sedikit ini besar nilai ganjarannya di sisi Allah Ta’ala dan juga menjadi salah satu wadah untuk masyarakat menerima Islam. Amiin.

Laporan Oleh:

SITI NAZIRAH BINTI BUTAI
TAHUN 2 SAINS FIZIK KESIHATAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA, SKUDAI JB

Saturday, January 24

Change!

Sebelum Syarikat Hindia Timur milik perkongsian Belanda dan Inggeris meneroka lalu memonopoli perdagangan rempah ratus di kepulauan Malukku serta selat Melaka, bangsa Portugis dan Sepanyol ketika itu lebih mendominasi segalanya... Ibu kota Lisbon ketika itu menjadi terkenal dengan kesibukan urusan perdagangan seharian sehingga melingkupkan ibukota Eropah barat selaku pesaing mereka seperti kota Venice mahupun Napoli..

Kejayaan yang ditempa oleh bangsa Portugis dan Sepanyol ketika itu bukanlah berlaku secara kebetulan. Bahkan, tuntasnya ia bermula dengan kata sakti ini iaitu change!.. Bermula dengan kesedaran untuk melakukan perubahan bagi kemaslahatan tamadun bangsanya, Vasco Da Gama telah membuat ekspedisi berani mati sehingga mempertemukan beliau dengan kepulaun Melayu yang kaya dengan sumber rempah ratus. Saya panggil ekspedisi berani mati kerana ketika itu bangsa Eropah berpegang dengan kefahaman Bumi berbentuk flat!

Lalu... kesedaran tamadun berambut perang ini (tamadun Eropah) akan kepentingan sebuah change (perubahan), maka mereka mula keluar dari dunia kepompong hidup selesa kemudian mengorak langkah serta mengeksplorasi Dunia sehingga mampu menawan bangsa-bangsa lain. Buktinya, Sepanyol telah menjajah tanah besar Amerika, Perancis pula menawan Afrika, Portugis dengan Indianya, dan tidak ketinggalan akan Belanda memperkosa kepulauan melayu Indonesia! Renaissance sudah tiba kata mereka!


Saudara...
Ketika 200 tahun lampau. Seorang tokoh Eropah bernama Robert Malthus menggemparkan Eropah dengan suatu kajian bahawa kuasa penduduk Dunia bakal melebihi kuasa dalam Bumi! Ini bermaksud bumi tidak akan mampu menghasilkan sumber makanan lagi buat jutaan penduduk Eropah ketika itu.. Tapi apa yang berlaku ialah, hipotesis Malthus tidak menjadi kenyataan kerana masyarakat Eropah telah mencipta suatu zaman kegemilangan yang dipanggil sebagai Renaissance! Sungguh, mereka sebenarnya telah berjaya keluar dari ancaman kebuluran melalui suatu jendela kata kunci iaitu change!

Change or changed?

Berubah ataupun diubah..? Suatu pertanyaan yang membawa maksud mendalam untuk direnungi bersama. Saudara, sejarah telah membuktikan.. Bangsa yang dijajah ialah bangsa yang tidak melakukan perubahan dalam piramid kehidupan mereka. Mereka adalah bangsa yang sentiasa ketinggalan dalam skop kualiti walhal kuantitinya mereka lebih ramai.. Itu sebab kita tidak hairan bagaimana Portugis boleh menawan Melaka walaupun bilangan mereka lagi sedikit..

Ya, dunia hari ini menuntut kepada Kualiti... Bahkan Islam sendiri mengajarkan kita akan peri-pentingnya sebuah kualiti.. Dan, kualiti inilah yang sebenarnya penentu kepada kejayaan suatu perubahan yang cuba dilakarkan.. Ini kerana, apabila kita tidak berubah pasti kita akan diubah jua.. Apa yang merugikan ialah, berada pada situasi diubah selalunya membawa natijah yang berpihak kepada orang lain!

Bagi menikmati perubahan, manusia sebenarnya perlu melompat dari satu lengkok ke lengkok lain seperti yang dipaparkan oleh lengkuk sigmoid.. Ini bermaksud, manusia perlu keluar dari zon kebiasaannya menuku ke zon tidak selesanya.. Apa yang paling penting untuk merealisasikan perubahan ini, manusia perlu melawan naluri-nalurinya serta melawan sejarah lampau yang sering membunuh impiannya! Jika tidak, perubahan tersebut tidak akan berhasil lalu bangsa tersebut hanya mampu menunggu masa untuk diubah tanpa ada kekuatan untuk berubah!

Kita ambil iktibar dari bangsa Sepanyol.. Bagaimana mereka melawan naluri yang mengatakan bumi ini flat? Nakhoda Columbus dengan restu Raja Isabel; beliau menjadi wakil bangsanya meneroka dunia melalui pelayaran sulung menuju ke bahagian barat sehingga merentas lautan Atlantik dan menjajah tanah Amerika! Inilah usaha serta kuasa kesedaran untuk berubah sehingga mereka mampu melepaskan diri dari zon selesa pada lengkok Sigmoid tadi lalu membuka peluang kepada mereka untuk merealisasikan sebuah impian bangsa...

The key of a change!

Mereka yang mampu bertahan lama bukanlah mereka yang KUAT tetapi mereka yang mampu BERADAPTASI--Charles Darwin

PERUBAHAN tidak boleh lari dari PENGORBANAN--Rhenald Kasali

Memang betul.. Survival manusia ataupun suatu bangsa tidak diukur dengan kekuatannya tetapi sejauh manakah ia mampu beradaptasi dengan perubahan zaman.. Bangsa China misalannya antara tamadun terawal manusia sehingga ke hari ini masih utuh berdiri sebagai sebuah tamadun bahkan sebagai kuasa besar layaknya! Keupayaan yang ada padanya hari ini sebenarnya adalah hasil kemampuan dan kebolehannya beradaptasi dengan perubahan zaman.. Inilah kunci sebenar survival iaitu berubah sesuai pada masa sekitarannya..

Kalau dulu semasa era Dinastinya, China terkenal dengan kemegahan tembok besar serta bilangan tenteranya yang ramai dan mampu menakluki negara, tetapi hari ini China disegani dek kerana kemantapan perkembangan ekonominya yang mampu menguasai pasaran mana-mana negara! Inilah proses adaptasi untuk mengekalkan kemandirian bangsa kerana kekuatan anda dahulu tidak semestinya kekuatan anda sekarang.. Jadi anda perlu berubah sesuai dengan peredaran zaman..

Bukan bangsa ataupun negara yang berubah bahkan sebenarnya manusia yang ada padanya yang berubah!

Ya, jika kita mahu berubah kita perlukan kelompok manusia yang menjadi agen kepada perubahan seterusnya berupaya untuk berkorban bagi merintis jalan perubahan.. Kita mahu kelompok ini berubah secara anticipatory change iaitu melakukan perubahan atas dasar kemampuan membaca apa yang berlaku pada masa akan datang.. Bukannya berubah setelah berlakunya krisis iaitu perubahan yang dipanggil sebagai crisis change. Bak kata bapa Revolusi Perancis;



Seorang pemimpin adalah seorang yang mampu memberikan harapan perubahan--Napoleon Bonarparte

myikhwanfiideen,
Honolulu...

Tuesday, January 20

Akhirnya... Kota 'Constantinople' ditawan

Kemenangan besar UM. Pro-M telah berjaya merampas 8/9 kerusi UMUM dan 16/32 kerusi FAKULTI. Selepas itu, semua calon muslim pro-M bersujud syukur di depan dataran DTC. Allahu Akbar!! -Ust Dzulkhairi


Ringkas sahaja sms yanga saya terima awal pagi tadi.. Alhamdulillah, secara automatik sms tadi mampu menggerakkan diri saya untuk sama-sama membuat sujud kesyukuran atas kurnia yang tidak di sangka dariNya..


Ya, tidak dapat dinafikan Universiti Malaya boleh diibaratkan seperti seorang Ibu kepada IPTA-IPTA lain.. Maknanya, menawan UM seolah bermaksud mahasiswa berjaya menawan si Ibu walaupun anak-anaknya yang lain masih dalam bentuk Kerajaan Campuran.. Insya Allah kita harapkan ia mampu menjadi sumber Inspirasi buat rakan-rakan seperjuangan di kampus-kampus lain..


Apa-pun apa yang paling penting ialah, lapangan kemenangan ini pasti menjanjikan suatu tugas yang berat untuk dikotakan.. Ya, inilah peluang bagi kita untuk membuktikan akan harga sebuah kemenangan yang sebenar buat seluruh masyarakat kampus!

TakbiR!!

Wednesday, January 14

Kapankah lagi dilema ini berakhir?

|Bismillahi la quwwata Illa BillaH|

Alhamdulillah.. Proses pilihan raya kampus bagi sesi 2009 telah berjalan seperti tahun-tahun yang sudah. Dan hari ini adalah tarikh keramat penentu kepada kerajaan kampus yang bakal diumumkan nanti.. Dan harapnya juga setiap warga kampus khasnya mahasiswa telah menjalankan kewajipan masing-masing.. Ya, memilih pemimpin adalah tanggungjawab dan amanah yang wajib dilaksanakan oleh setiap komuniti yang bernama manusia apatah lagi jika konteks kewajipan itu dipandang dari skop agama (cara hidup)!

|Islam dan Politik|

Dua kalimah ini meskipun saya datangkan dengan konotasi perkataan ‘dan’ bukanlah bermakna ia terpisah dan terasing antara satu sama lain. Bahkan! saya menyangkal sama-sekali idea dan lidah golongan sekular yang meracuni pemikiran umat islam sehingga kita sendiri terpengaruh untuk menerima pakai ideologi pengasingan ini!

Bila kita jejaki secara halus akan strategi dan kaedah licik yang diguna pakai oleh para orientalis barat dalam menggagaskan idea sesat ini, maka kita akan lihat bahawa mereka dengan sengaja membubuhkan perencah-perencah tambahan kepada Islam seperti Islam Siasi (politik), Islam Sufi, Islam radikal dan bermacam-macam lagi agihan-agihan yang mereka datangkan seolah-olah Islam ini terbahagi kepada berbagai-bagai pecahan! Sedangkan apa yang kita terima daripada Nabi tercinta hanyalah agama yang satu dan ianya agama yang mencakupi seluruh aspek kehidupan (syumul) mahupun tindakan manusiawi dan juga dipanggil dengan nama yang satu iaitu Islam!

Tuntasnya setiap kali kita membaca Quran, maka sudah pasti kita akan bertemu dengan lautan ayat-ayat Politik samada kita sedar ataupun kita jahil akan maqasid (tujuan) ayat tersebut.. Lihat sahajalah untaian firman Allah dalam Surah al-Ma’idah seperti berikut:

Al-Ma’idah 5:44 ;

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang engkar.

Ayat seterusnya, Al-Ma’idah 5:45 ;

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Dan lagi ayat seterusnya, Al-Ma’idah 5:47 ;

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Lalu atas alasan dan kelayakan apa yang kita ada untuk memisahkan antara politik dengan deen (agama) yang syumul ini iaitu Islam?? Sedangkan tidak akan terlaksana suatu hukum melainkan dengan institusi Kerajaan. Dan Kerajaan tidak akan bergolek secara percuma melainkan dengan kemenangan kuasa politik!

Izinkan saya menguntumkan semula kata-kata Hujjatul Islam iaitu Al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang masyhur iaitu Ihya’ ‘Ulum al-Din;

Sesungguhnya dunia merupakan ladang bagi akhirat. Agama tidak akan sempurna kecuali dengan dunia. Kerajaan dan agama adalah saudara kembar. Agama merupakan asas, pemerintahan adalah pengawalnya. Perkara yang tiada asas pasti akan runtuh dan perkara yang tidak mempunyai pengawal pasti akan binasa!

|Politik sihat, pastinya politikal akan matang|

Selepas bicara panjang kita tadi yang seputar akan perkara fundamental (asas) bagi seorang muslim untuk menjawab persoalan mengapa kita perlu berpolitik... Maka selaku Mahasiswa, saya berpendapat bahawa PRK adalah medan tamrin (latihan) bagi setiap ‘Mahasiswa’ ataupun ‘kelompok Mahasiswa’ yang ada untuk menguji sejauh mana kemampuan mereka bagi mengetengahkan Idealisme serta wacana masing-masing agar dapat meraih kedudukan di dalam kerajaan kampus dan seterusnya memimpin warga kampus yang lain.

Proses PRK juga merupakan pentas pertandingan yang sewajarnya dapat mengasah potensi dan juga bakat yang ada kerana Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah landasan terbaik untuk tujuan penggalakkan dan penyemaian semangat leadershipme, activisme, serta budaya kesukarelawanan.

Saudara,

Kita hidup dalam dunia yang mengamalkan sistem demokrasi.. Dan persoalan adakah demokrasi boleh diterima pakai dalam Islam sering menjadi perbahasan umum para cendikiawan serta cerdik pandai Dunia Islam. Dan, saya tidaklah juga bermaksud untuk meneruskan perbahasan dalam entry kali ini kerana jawaban terhadap persoalan tersebut bisa saudara ketemu sendiri dalam buku karangan Al-Fadhil Shiekh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (Buku beliau yang bertajuk Fiqh Daulah (bernegara) dalam bab Islam dan Demokrasi).

Saya cuma mahu berkongsi rasa dan kecewa...

Saya adalah Mahasiswa tahun empat dan sinonimnya saya juga antara mahasiswa yang telah melalui proses PRK sebanyak 4 kali. Maknanya saya pernah menjadi saksi kepada PRK yang berlangsung di kampus sepanjang empat tahun pengajian di Universiti atau gedung Ilmu yang menempatkan cerdik pandai yang mana mereka sepatutnya berfikir lalu bertindak berdasarkan asas keilmuan serta keintelektualan yang ada pada diri masing-masing.

Malangnya..

Saban tahun bila tiba musim PRK, apa yang berlaku adalah sebaliknya! PRK adalah medan ‘ketakutan’ sesetengah Mahasiswa. Medan ‘memburu’ bagi sesetengah pihak.. Medan ‘menghukum’ bagi sesetengah orang! Saya bertanya.. Di mana sebenarnya entiti demokrasi yang anda laung-laungkan?? Layakkah anda menjenamakan diri anda sebagai pengamal demokrasi yang sejati ataupun mengguna pakai nama intelek Universiti jika ugutan tak berasas seperti “Aku buang engkau dari kolej!” keluar dari mulut anda?? Dan berapa ramai si tukang pengintip dihantar dalam setiap rapat umum yang dianjurkan oleh Mahasiswa??

Saya berani berdebat jika ada yang mengatakan bahawa benda ini adalah tuduhan liar! Dan, Insya Allah saya boleh bawakan juga bukti-bukti pasti dalam bentuk audio dan seumpamanya!!

Kesannya...

Lahirlah golongan politikal-politikal muda dari dunia kampus yang hanya ‘dicaturkan’ dan tiada daya mampu ‘mencaturkan’.. Jauh sekali untuk menegakkan Idealisme kemahasiswaan apatah lagi kenegaraan! Bahkan! Mereka mendokong aspirasi tanpa ada kemampuan membuat inspirasi sendiri.. Lihat sahajalah sejak demokrasi kampus dicabuli, kita boleh bilang dengan jari berapa ramai ahli MPP dulu yang hari ini menerajui kepimpinan peringkat negara ataupun menjadi sarjana rujukan ummah!

Inilah kesannya apabila ada golongan dalam dunia varsiti yang menunjukkan peri-laku kencing berdiri dan sudah semestinya tabiat buruk ini menular sehinggalah ramai anak buahnya yang lain kencing berlari.. Masakan tidak, budaya ampuisme dan lobisme berakar umbi sehingga usaha murni penggubal-penggubal dasar KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) untuk melahirkan modal Insan tidak kesampaian asbab si pelaksananya yang mabuk kepinginkan jawatan!

Saya yakin dan cukup percaya bahawa modal Insan yang berminda kelas pertama serta mempunyai kematangan berpolitik tidak akan terbentuk dalam suasana sedemikian rupa! Dan, kita jangan menangisi apa yang kita perbuat pada hari ini.. Mencantas dan bukannya memotivasi.. Memenjara dan bukannya membebaskan.. Jika ini amalan kita, maka jangan impikan satu hari nanti kita akan ada lagi pemimpin yang mempunyai idealisme baru, wacana yang segar, ketrampilan unggul, mahupun keberanian mengetengahkan pendapat!

|Together to be a first class University|

Ya... Kita dalam rangka usaha melakar suatu impian yang sudah semestinya memerlukan komitmen setiap warga kampus yang ada bermula dari Majlis Canselerinya, para pensyarah, Mahasiswa dan staff-staff sokongan yang ada..

Bila kita perincikan kerangka idea unggul ini, kita akan dipertemukan dengan suatu titik kefahaman dimana kata kunci first class university tidaklah hanya merangkumi penarafan nilai akademia, pengiktirafan akreditasi, mahupun penganugerahan standard ISO dan seumpamanya.. Sebenarnya apa yang paling mustahak dari yang mustahak ialah sejauh mana kualiti para graduan yang dilahirkan dari Universiti.. Kualiti yang dimaksudkan pula bukan hanya keupayaan utnuk memenuhi keperluan pasaran kerjaya bahkan kualiti yang kita inginkan ialah kemahiran Insaniah dan nilai keintelektualan!

Maka disinilah sepatutnya nilai martabat perbezaan produk Universiti dengan bukan Universiti.. Intelektual bukan hanya Inteligensia!

Saya tertarik dengan cetusan pandangan dari tokoh tersohor alam Melayu, Syed Muhammad Naquib al-Attas mengenai gagasan sebenar Universiti;

“...Universiti bukan hanya pada bangunannya, bukan hanya kenyataan zahirnya. Sesungguhnya, dalam sejarah Universiti manapun pengajar atau gurunya dan yang belajar daripada mereka adalah unsur utama kewujudan Universiti...”

Maknanya disini, untuk menghasilkan para graduan yang berkualitas semestinya perlu bermula dengan seorang pendidik yang matang dari segi ilmunya serta bersikap praktisme akan nilai keilmuan yang ada padanya dan seterusnya mewariskan kepada para mahasiswa yang ada melalui proses transaksi tradisi keilmuan...

Alhamdulillah Universiti kita dikurniakan seorang Naib Canselor yang baru pada tahun lepas.. Dan, bila membaca karya-karya penulisan beliau samada yang berbentuk buku ataupun blog, maka ia cukup menyenangkan kerana idea dan anjakan paradigma yang cuba dibawa melalui pengamatan saya amat bertepatan dengan manifestasi sebenar gagasan sesebuah Universiti yang semakin hari semakin dipinggirkan...

Pilihan raya kampus misalannya turut memainkan peranan dan justisfikasi nilaian taraf kemajuan sebenar sesebuah Universiti.. Ini kerana kemajuan ilmu yang sebenar ataupun dalam erti kata yang lain iaitu first class standard adalah tersurat menerusi kualiti jiwa, daya minda, aspirasi mahupun inspirasi, cara hidup dinamika dan integriti kemahiran yang dibangunkan dalam komuniti akademik termasuklah para Mahasiswa.. Apa yang kita harapkan ialah, bermula dari pacuan orang nombor satu Universiti iaitu Ayahanda NC sendiri akan dapat mengembalikan semula sinar kewibawaan sumur ilmu ini di semua peringkat samada peringkat lokal mahupun global!

|Suburkan demokrasi Kampus|

Diperingkat kami pula sebagai anak-anak kepada keluarga besar Varsiti, apa yang diharapkan ialah agar hak kemahasiswaan diberikan ruang dan nafas yang secukupnya..

Kalau boleh budaya berwacana, debat ilmiah, dan kebebasan beridealisme dirancakkan serta disuburkan lagi. Dan, konotasi negatif yang sering membunuh potensi Mahasiswa seperti ugutan mahupun ancaman yang datang dari kelompok un-behaviour sepatutnya tidak lagi kedengaran pada era millenium ketiga ini! Apatah lagi dalam suasana kita ingin mengagendakan produksi Modal Insan seperti yang diseru oleh kerajaan..

PRK yang berlansung pada tahun ini menyaksikan lahirnya kelompok pro-MAHASISWA yang memperjuangkan kebebasan bersuara, keberanian berwacana dan ianya menjadi trigger penting dalam usaha memurnikan semula demokrasi kampus yang sudah mati. Dan, sepatutnya langkah ini dibanggakan oleh semua pihak termasukah pentadbiran Universiti kerana bagi saya usaha menghidupkan demokrasi kampus adalah lebih utama berbanding kemenangan menduduki legasi kepimpinan Mahasiswa!

Apalah kiranya kemenangan kalau para pengundi buta terhadap manifiesto yang dibawa..

Apalah kiranya kemenangan kalau mengundi hanya atas dasar nilaian muka dan wajah..

Apalah kiranya kemenangan kalau rakyat mahasiswa rasa mengundi tiada apa.. Tidak mengundi pun tiada apa.. Dan MPP itu sendiri tiada apa..

Sedangkan nenek saya dikampung yang tidak tahu membaca pun tahu mengapa dia perlu mengundi si fulan?, apa matlamat dia mengundi?, dan kenapa si fulan mesti menang? Tapi sayangnya kelompok yang kononnya terdiri dari para intelek iaitu Mahasiswa tidak dapat menjawab persoalan-persoalan seperti ini setiap kali PRK! Inilah kemelut yang berpanjangan dan tidak akan berakhir jikalau tiada inisiatif dari pihak yang rasa bertanggungjawab!

Pagi tadi semasa proses membuang undi, terkejut juga dengan kehadiran orang nombor satu Fakulti iaitu Prof Dekan! Kelihatan Prof Dekan ke hulu dan ke hilir berkempen agar Mahasiswa turun mengundi supaya peratusan angka bilangan yang mengundi meningkat selepas rekod buruk tahun lepas dimana fakulti Elektrik menduduki tempat kedua tercorot!

Nah! Janganlah menuding jari lagi kepada Mahasiswa bila berdepan isu seperti ini.. Seperti yang saya katakan tadi.. Mahasiswa rasa mengundi tiada apa.. Tidak mengundi pun tiada apa.. Dan MPP itu sendiri tiada apa.. Itulah penyebab utama barah sikap yang tercanai akibat didikan sistem kerana masalah pukal ini berpunca dari satu virus iaitu sistem yang berpenyakit! Dan apa yang menggerunkan ialah barah sikap ini jika tidak diubati secepat mungkin pasti akan melahirkan sebuah masyarakat yang berorientasikan fahaman pragmatisme (keindividualistikan) selepas suatu tempoh evolusi yang panjang!

|Citra Mahasiswa abad Millenium|

Rasa sedih meninggalkan kampus tanpa ada kejayaan merungkai cengkaman birokrasi dan belenggu kepartisan seolah merenggut jiwa dan semangat kemahasiswaan.. Kapankah lagi? Kapankah lagi? Kapankah lagi?

Cuma apa yang saya ingin kongsikan ialah, Mahasiswa abad millenium adalah amat berbeza berbanding sebelumnya samada dari sudut latar akademianya, sosio budayanya, dan pengaruh persekitaran yang ada.. Oleh sebab itu golongan senior (golongan dewasa kini) perlu melayan dan memahami secara terperinci kehendak dan gelojak emosi serta potensi bakat yang mereka ada untuk dibangunkan..

Ini bukan suatu tuntutan citra yang bersandarkan faham liberalisme.. Ini kerana liberalisme dari perspektif barat adalah kebebasan mutlak tanpa sempadan dan melampaui etika norma insan sehinggakan atas nama hak kemanusiaan mereka sanggup telanjang di khalayak umum! Tetapi kebebasan yang kita mahukan ialah berlandaskan nilaian hamba kepada tuhan yang esa serta dipandu oleh kebenaran wahyuNya sebagaimana taatnya matahari pada paksinya, dan patuhnya bintang pada orbitnya...

Firman Tuhan;

"Matahari tidak akan mengejar bulan, dan tidak pula malam mendahului siang. Masing-masing beredar (patuh) pada garis peredarannya." (Yasin:40)

Al-Faqir ila Rabbihi...

myikhwanfiideen, 1430H

Wednesday, January 7

Himpunan 1000 Mahasiswa: Together with Palestina!


MAHASISWA PRIHATIN DERITA PALESTIN


Kenyataan rasmi dari GAMIS JOHOR:

Mohamad Zul Hilmey Bin Makmud,

GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS),

Cawangan Negeri JOHOR.



Peluru demi peluru dibedil ke arah penduduk Gaza oleh puak rejim zionis. Liga Arab sibuk mahukan pertemuan damai antara kumpulan Hamas dan Fatah. OIC diam seribu bahasa, memandang tanpa rasa simpati. PBB apatah lagi. Amerika Syarikat dengan gahnya menyokong tindakan Israel ke atas Gaza dengan syarat sasaran hanya diletakkan pada pejuang-pejuang kumpulan Hamas, tetapi hakikatnya keseluruhan penduduk Gaza, para remaja, orang tua, kanak-kanak, dan kaum wanita menjadi mangsa hamburan mortar. Israel dengan bongkaknya, bersama peralatan perang yang tercanggih terus mengganas ke atas penduduk Gaza yang hanya mempertahankan diri dan menyerang balas dengan bersenjatakan roket buatan sendiri! Satu pertempuran yang tidak adil, tetapi dunia hanya membisu. Begitulah situasi semasa yang berlaku ke atas penduduk Gaza di atas kekejaman puak Zionis. Persoalannya, di manakah peranan kita dalam membantu rakyat Palestin, terutamanya penduduk Gaza yang jelas tertindas dan teraniaya di tanah air sendiri?

Malang sungguh rakyat Palestin. Di mana harga nyawa mereka? Darah mereka begitu murah untuk tumpah di bumi sendiri. Sayu hati apabila melihat mayat-mayat yang bergelimpangan di merata tempat. Amat memalukan, apabila akhbar berbahasa Arab bertarikh 20 November 2008 telah melaporkan Majlis Kesatuan Ekonomi Arab di bawah Liga Arab sibuk membelanjakan 50 juta dolar semata-mata untuk projek membela penyu laut, sedangkan rakyat Palestin di Gaza kebuluran, dihimpit kesengsaraan serta penderitaan. Adakah nyawa penyu laut tersebut lebih bernilai dari nyawa saudara mereka di bumi Gaza? Siapakah yang harus bertanggungjawab?

Oleh itu, kami mahasiswa yang cakna terhadap isu ini merakam sepenuh rasa simpati terhadap musibah yang menimpa rakyat Palestin. Kami sekeras-kerasnya membantah kekejaman regim haram Zionis Israel yang meragut nyawa saudara-saudara kita di tanah Gaza sekaligus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan gerakan Hamas bagi menentang regim haram Zionis Israel laknatullah!

Sebagai membantah kezaliman Israel itu, mahasiswa menyeru OIC bangkit daripada hanya berpeluk tubuh memandang kekejaman. Bangkitlah negara-negara Islam daripada hanya menyaksikan kesengsaraan mereka. Bangkitlah Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu daripada tunduk kepada Amerika Syarikat dan Israel. Sedarlah, sehingga ke hari ini, lebih dari 1900 orang rakyat Palestin cedera parah dan lebih 400 orang telah meninggal dunia akibat daripada penindasan kejam Zionis Israel. Ayuh, bangkitlah pejuang-pejuang Allah! Berangkatlah ke medan jihad, bersama-sama kita membantu saudara-saudara Palestin yang kini diseksa oleh tentera Yahudi.

Selain itu, mahasiswa sebulat suara menggesa kerajaan Malaysia untuk mengemukakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap kekejaman ini dengan segera membawa isu ini ke peringkat Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM). Mahasiswa mendesak agar isu ini dipandang serius serta tindakan drastik harus diambil bagi mengecam kekejaman Zionis Israel laknatullah dari terus berlarutan.

Mahasiswa juga menyeru kerajaan Malaysia agar segera mengadakan perbincangan damai dengan Duta Amerika Syarikat bagi menyatakan bantahan seluruh rakyat Malaysia terhadap kekejaman Israel. Mahasiswa membantah sokongan membuta tuli Amerika terhadap jenayah kemanusiaan Zionis Israel. Selain itu, mahasiswa turut membantah sepenuhnya sokongan yang diberikan oleh kerajaan Mesir terhadap kekejaman ini. Sedarlah bahawa telah banyak nyawa terkorban melibatkan insan-insan lemah, kanak-kanak dan orang-orang yang tidak berdosa. Salurkanlah bantuan dari luar kepada penduduk Gaza. Janganlah menyeksa mereka lagi, hentikan kekejaman!

Dengan lantang, mahasiswa memohon seluruh rakyat Malaysia, khususnya kerajaan Malaysia, agar prihatin terhadap isu penindasan rakyat Palestin ini. Mahasiswa turut menyarankan agar kerajaan Malaysia dan ahli parlimen bersidang bagi merungkai penyelesaian untuk segera menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan bagi mengurangkan penderitaan umat Islam di Gaza. Sebagai rakyat Malaysia yang amat sensitif terhadap keganasan serta prihatin akan isu Palestin ini, marilah kita bersama-sama memboikot barang-barang yang menjurus kepada keuntungan Yahudi. Ayuhlah kita bersama-sama berganding bahu membantu saudara-saudara kita yang amat memerlukan bantuan di saat ini. Jika bukan kita yang membantu mereka, siapa lagi?

Firman Allah : “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat ”

(al-Hujurat: 10)


HIDUP KEAMANAN! HANCUR KEZALIMAN!

sumber:http://gamisjohor.blogspot.com/