Sunday, October 26

Pena tumpul?

Sudah begitu lama jemari ini tidak menginjak keyboard.

Posting yang terakhir pada 28 Disember 2012. Sudah hampir 2 tahun!

Banyak yang ingin dikongsi sepanjang tempoh itu. Tetapi masa membatasinya. Kesibukan harian membelit tangan akhirnya pena menjadi tumpul buat sementara.

Apapun, teruskan perjuangan!

Salam Maal Hijrah 1436h!

 

Friday, December 28

Membina sistem kepercayaan anak

"Ahmad, sebut Allah.." Ujar saya kepada anak kecil yang baru usianya setahun.

"Aallaaah, Allaaah, Allaaaah.." 

Menyebut kalimat 'Allah' agak panjang, jelas, dan menggayakan mulut agar dia boleh menangkap bunyi serta aksi mulut saya. 

Allah, Allah, Allah.

Alhamdulillah dia boleh berzikir dengan kalimat Allah tersebut. Cuma yang lucunya kadang-kadang tersasul dengan perkataan. 'Abah', 'Apa', dll. :) Ada juga ketikanya, dalam tandas pun nak sebut kalimat suci itu walhal makruh kalau ikut hukumnya.

Itulah dia keletah anak.

Anak kecil yang baru nak mengenal alam yang penuh cabaran  ini.

Bila merenung air muka mereka, sebagai ibu bapa, akan terbit dua jenis perasaan. Yang pertama, gembira dan nikmat akan pemberian Allah yang tiada tolok bandingnya. Yang kedua, akan ada perasaan gerun. Apakah kita sebagai ibu dan ayah mampu mendidik mereka hingga ke titian Jannah?

Saya pernah menulis kebimbangan ini sewaktu bujang dahulu. Anak, Amanah yang akan di tanya.. (link)

MEMBINA SISTEM KEPERCAYAAN ANAK.



Membina sebuah bongkah ais yang hebat dan gagah memerlukan sebuah proses yang panjang. Begitu juga sistem kepercayaan anak. Yang menjadi bekalan iman di hari dewasa kelak.

Ia bermula sejak dari anak itu memberikan respon terhadap alam. Sejak dia mengenal bunyi, cahaya, dan perasaan.

Kadang ada perasaan ragu, mengajar mereka sebutan seperti Allah dan sebagainya, betulkah dia faham sebutan tersebut seperti mana kita memahaminya dan mengimaninya?
 

Sudah tentu jawabannya tidak.

Tetapi percayalah bahawa ia merupakan sebahagian daripada permulaan sebuah proses pembinaan sistem kepercayaan anak. Bongkah ais yang hari ini kita nampak gah, sebenarnya terbit dari sebuah proses yang pada suatu ketika dulu hanyalah gumpalan-gumpalan kecil yang orang menganggapnya remeh.

Sebab itulah setiap elemen penerapan sistem kepercayaan anak (keimanan) jangan dipandang ringan.

Apa yang mereka tutur.

Apa yang mereka lihat.

Dan apa yang mereka dengar..

Mestilah diupayakan untuk menjurus kepada objektif pembinaan sistem kepercayaan yang berlandaskan pegangan Quran dan Sunnah.

VIRUS DAJJAL


"Keputusan-keputusan harian kita, merupakan jelmaan perisian dalaman diri yang menjadi sasaran serangan Dajjal, dan Surah al-Kahf pula melindungi perisian itu daripada serangan tersebut."-Abu SaiF

Membaca tulisan Abu Saif dalam laman sesawangnya tentang 'serangan Dajjal terhadap perisian iman' membawa kita berfikir sejenak, apakah virus itu berkemungkinan wujud di dalam rumah kita sendiri?

Ini yang menggusarkan.

Bukan bermaksud mengambil keputusan menghumbankannya ke laut. Cuma berusaha memberi perhatian terhadap kandungan dan moral yang ingin di sampaikan oleh salah sebuah alat media tersebut. 

Kerana ketika mana sang anak melalui proses pembinaan sistem kepercayaan kritikal seawal usia mereka yang mana  upaya pertimbangan baik-buruknya hanya 'sekepal' tangan,  bimbang-bimbang ketika itulah virus Dajjal mencurahkan asidnya tanpa sedar.

Alhamdulillah. Hari ini nursery, pusat-pusat asuhan dll. telah mempunyai modul islamik tanpa hanya mengharapkan sang televisyen menghiburkan anak-anak semakin mudah untuk didapati.

Tinggal lagi pilihan di tangan kita sebagai ibu bapa.

Ya Allah, kami tiada upaya mendidik melainkan dengan wahyuMu dan ketentuanMu. 

Bantulah kami ya Allah. 

Bimbinglah kami agar kami jua dapat membimbing anak-anak kami ke jalanMu yang lurus.