Thursday, February 4

Antara alasan @ penyelesaian.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Alhamdulillah, dalam segenap kesibukan, Allah SWT masih beri izin untuk tangan ini mencuit beberapa punat keyboard.

Ok. Sedikit sahaja coretan pagi ini…

Antara dua pilihan yang mana satu? Atau, antara pilihan yang banyak-banyak, yang mana satu paling utama (aulawiyyat). Perkara biasa yang kita selalu temui di sepanjang perjalanan menuju Redha Allah SWT.

Ok. Secara teorinya, Imam Ibnu Taimiyyah memberikan tiga kerangka asas untuk membuat suatu penilaian dalam memilih keputusan:

1. Buat perbandingan, antara kemaslahatan atau kemanfaatan. Maslahat ni apa pula? Bagi saya, untuk mudah nak faham.. Maslahat ni boleh kita definisikan sebagai keperluan. So, penilaian pertama, antara keperluan ataupun kemanfaatan.

Analoginya begini.. Antara pilihan A atau pilihan B. Kedua-duanya pun baik. Pilih A natijahnya baik dan begitu juga bila memilih B. So, mana satu yang kita nak pilih? Pilihlah yang paaaling baik. Bukan baik saja. Buat pilihan berdasarkan yang paling kita perlu dan paling baik!

2. Perbandingan antara al-Mafasid iaitu kerosakan dengan al-Madar, kemudaratan. Ini senario yang mana semua pilihan di depan mata akan memberikan impak yang buruk. Tapi, dalam masa yang sama, mahu tak mahu kita kena juga buat keputusan. Terpaksa buat keputusan!

Orang yang dalam keadaan begini jangan sedih.. Pandangan saya, kalau anda boleh tangguh keputusan tadi sehinggalah ada pilihan yang baik, maka tangguhlah. Tapi kalau tak boleh juga, teruskan buat keputusan berdasarkan pertimbangan iaitu memilih yang paling ringan kerosakan atau kemudaratannya. Moga dipermudahkan.

3. Yang ketiga, antara kemanfaatan dengan kemudaratan. Yang ini, tak perlu dihurai panjang. Semua tahu bahawa kemanfaatanlah kita kena ambil. Kalau ada orang pilih kemudaratan juga, takut-takut jatuh sebagai orang yang zalim.

Hmmm. Ini teori semua..

Selalu ada orang cakap macam tu. Ya, saya akui bahawa ini teori. Sebab, praktikalnya andalah yang kena buat. Masakan pula orang lain yang tentukan keputusan untuk anda. Andalah yang paling tahu diri anda. Hakikatnya, itulah ilmu aulawiyyat. Ilmu yang jatuh pada diri dan situasi terkini seseorang individu. Bukan hukuman berdasarkan situasi orang lain.

Sirah menunjukkan bagaimana jawaban Nabi yang pelbagai pada setiap pertanyaan yang diajukan oleh individu yang berbeza. Ini salah satu contoh. Dan, banyak lagi sebenarnya..

Cuma..

Dr. Yusuf Al-Qaradawi menyatakan dalam kitabnya Fiqh keutamaan:

Fardhu Kifayah; boleh berubah menjadi Fardhu Ain bagi seseorang individu pada sesuatu masa dan keadaan. Contohnya, untuk suatu tugas hanya dia sahaja yang memiliki kemahiran tersebut dan tidak ada sebarang halangan baginya.

Itu sebab, sirah tadi tak boleh diambil secara umumi begitu sahaja. Dengan erti kata lain, membuat keputusan ‘selamba’ kononnya ada hujah hadis mahupun sirah. Ya, kita tak nafikan sirah dan hadis tadi. Memang ada pun. Cuma, yang meragukan kita ialah kaedah pengambilan atau penyandaran yang terlalu ‘selamba’.. Kata orang, melepas batuk di tangga.

Dalam konteks ini, saya suka bagi satu persoalan..

Kita ni macam mana sebenarnya..?

Mahu mencari penyelesaian ataupun alasan?

-Inna maal yusri Yusran!-

Penyelesaian atau Alasan?

Kalau kita nak penyelesaian, insya Allah kita akan jumpa walaupun di depan sana ada berjuta halangan. Kalau kita orang yang memang suka bagi alasan, bagilah berjuta jambatan.. Kita tak akan lalu. Sebab, kita memang suka beralasan!

So. Fikir balik. Muhasabah balik. Alasan atau penyelesaian?

Dia akan berbalik kepada soal iman. Iman yang menyuluhi pandangan dan kerangka berfikir manusia. Benda ni tak sama. Seperti iman juga, setiap orang tak sama makamnya. Kalau kita rasa jihad yang tengah kita buat ini jatuh Fardhu Ain. Maka, kita akan cuba buat juga. Walau apa keadaan sekalipun. Macam orang yang tak pernah tinggal solat. Dalam tandas sekalipun ia dikurung insya Allah imannya pasti memerintahkan untuk solat juga. Sampai macam tu sekali!

Tapi kalau iman kita sudah surut. Hmmm. Takpelah. Adelah orang buat tu. Saya tak datang takpelah. Mesti ada orang lain. Inilah jawaban ‘standard’ yang kita akan jumpa. Memang ada orang yang buat, tapi kalau orang yang buat itu berfikir seperti anda juga bagaimana? Sudah pasti tiada orang buat. So, kalau semua tak nak buat? Itu jawab sendiri..

Alasan atau penyelesaian? Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan melorongkan sesuatu yang tidak mampu didepani oleh hamba-hambaNya. Pasti, Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Ini sudah pasti!

Selingan..

Dulu saya ada seorang sahabat. Teringin sangat nak datang usrah. Tapi, parents selalu sahaja tak bagi. Dia cuba juga. Datang juga. Bagi dia, ini Hak Allah dan RasulNya yang perlu dilaksana. Bila berlanggar hak Allah dengan hak ibu bapa, kena utamakan hak Allah dulu. Lagipun, mak ayah tak bagi datang usrah bukan ada sebab yang kukuh.

Alhamdulillah.. Berkat pertolongan Allah dan kesabarannya, hari ini kalau dia tak datang usrah, parents dia pula yang marah. 360 darjah!

Ingat pesan Allah SWT..

Inna maal yusri yusran. (Dalam kesusahan itu ada kemudahan). Allah ulang lagi untuk kali kedua. Fainna maal yusri Yusran! (Sungguh, dalam kesusahan itu ada kemudahan). Maka, yakinlah dan ikhlaskanlah niat. Moga apapun keputusan yang dibuat semuanya diterima di sisi Allah SWT. Ameen.

Wallahu a’lam.

myikhwanfiideen:-

Nak rehatkan blog untuk sementara waktu. Tapi, macam susah je. Pagi tadi ada sahabat sms. Kenapa nak rehatkan blog? Saya jawab, adelah masalah sikit. Lepas tu dia bagi ‘buah’, mana ade rehat dalam perjuangan.. Ya tak ya juga. Kalau kita rasa blog satu perjuangan, so tak boleh nak rehat.. Saya senyum seorang. Pandai juga sahabat ni berhujah.

Busy? Satu orang sahabat lain tanya.. Saya jawab, adelah sikit. Minggu ni kebetulan muktamar GAMIS Johor. Dan saya pula belum siapkan apa-apa untuk ucapan dasar. Hmm, tok guru yang dah lanjut usia tu lagi busy dari enta. Aduh, kena lagi. Syukran ya sentiasa bagi peringatan. Manusia akan lalai jika tiada ingatan lagi dan lagi.

Betul ke aku busy? Betul ke masa tak cukup. Selalu bertanya soalan macam tu dalam diri. Teringat pesan Murabbi yang dah lama saya tak ketemu. Orang yang benar dalam perjuangan, dia takkan bertemu pengurangan taklifan bahkan apa yang berlaku penambahan taklifan. Bukan kita yang nak. Tapi, orang bagi. Hari ini kita kena bagi masa kita.. Esok lusa, Allah akan minta darah kita.. Allahu Akbar! Senyap saya dibuatnya.

3 comments:

adibpujangga said...

Allahuakbar..tersentuh jiwa dgn peringatan di perenggan2 terakhir...sob3..(T-T)

daeimuslimah said...

Salam..

Istighfar bebanyak dlm hati bilamana baca catatan dibhgn akhir skali. Kerna hati sndiri jg tlh berniat sedemikian rupa "nk rehat sekejap" dr menulis dlm blog ni dssbbkan "kekangan" dan "taklifan" yg "banyak"..Ya Allah,benarlah peringatan itu perlu senantiasa diberikan dan dlm perjuangan tidak pernah kenal erti rehat.
Biarpun terkadang diuji diri sendiri terasa seperti tidak mampu lagi menanggung beban dan ujian yg melanda...gugur jua air mata walaupun diri selalu menegahnya.
Fitrah manusia, di saat gugurnya air mata dan diseka...di saat keluhan demi keluhan saja yg bisa nyata...di saat terasa kerdilnya diri berhadapan segala cubaaNya...barulah tersedar hubungan diri dengan Sang Pencipta.
Semoga para pejuang Allah diberi keampunan dan kasih sayangnyaNYA.

myikhwanfiideen said...

Salam'alayK buat shbt2..

Kuatkan doa teguhkan tawakkal kekalkan Istiqamah.. Insya Allah perencah mujarab utk melawan sgl fenomena dan mehnah yg berada didepan mahupun yg masih mengekor dibelakang. Ameen.