UCAPAN DASAR MANTAN PENGERUSI GAMIS JOHOR
MUKTAMAR GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA
(Peringkat Negeri Johor)
Kali yang Pertama
“Bersama GAMIS Memimpin Ummah”
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta-benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan keimanannya)—Surah Al-Hujurat: 15
Wahai saudara-saudaraku, anak-anak muda Islam yang beriman! Wahai orang-orang yang ingin lepas dari ikatan! Wahai orang-orang yang ingin memecahkan belenggu, yang memasung kaki dunia Islam, dari hujung ke hujung, dari barat ke timur!
Wahai keluarga yang punya soldadu dan srikandi yang sarat dengan buah pemikiran, yang penuh keinginan, citra keazaman, bunga kasih sayang, semangat bahu-membahu, semangat ukhuwah, daya eksistensi, dan cita idealisme!
Wahai adik-beradik GAMIS yang dikasihi sekalian!
SOROTAN AKSI GAMIS. LENSA DI BUMI SELATAN
1. Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia ataupun akronimnya GAMIS sebenarnya sudah lama bertapak di bumi selatan. Sejarah kebangkitan mahasiswa dalam ‘Buku Potret Perjuangan Mahasiswa’ membuktikan bahawa gerakan pelajar khususnya mahasiswa Islam di bumi selatan telah pun menjadi nadi utama ‘check and balance’ kepada isu-isu yang berlaku samada di dalam kampus ataupun di luar kampus.
2. Malangnya setelah berlaku suatu tragedi, Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) ini seolah-olah mendapat tamparan hebat. Bukan di bumi Johor sahaja bahkan impaknya ke seluruh negara. Hingga menyebabkan Gerakan Mahasiswa Islam SeMalaysia hampir lumpuh. Di bumi Selatan, selepas tragedi itu, GAMIS seolah-olah sudah tidak wujud sama sekali. GAMIS zon selatan ketika itu hanya sekadar nama dan sudah tidak ada denyut gerakan yang tersendiri. Hanya menunggu arahan serta program dari GAMIS Pusat.
3. Tahun 2008, skala perubahan terbesar dalam struktur GAMS berlaku tika kepimpinan Ustaz Dzulkhairi iaitu dengan mendaftarkan GAMIS sebagai NGO. GAMIS dengan nama barunya Gabungan Anak Muda Islam SeMalaysia mula mempamerkan fungsinya pada masyarakat keliling. Iaitu bukan hanya bertumpu dengan soal kemahasiswaan atau kepelajaran kerana dengan kekuatan Pendokong serta Pro-GAMIS yang ada, GAMIS Pusat telah berjaya menganjurkan beberapa program kemasyarakatan terbesar yang membuka banyak mata di dalam negara. Antaranya ialah Rejuvenasi Pendidikan Islam serta Konsert Antara Dunia anjuran GAMIS.
4. Pada tahun yang sama juga, struktur ‘GAMIS Negeri’ mula diperkenalkan melalui paksi ketujuh dalam ucapan Muktamar beliau (Ustaz Dzulhairi).
“Kita mahukan GAMIS negeri yang tidak mandul teori dan praktikal…
Kita mahukan GAMIS negeri yang tidak kering dengan aksi yang memukau
lensa…
Kita mahukan GAMIS negeri yang berani melawan ketakdiran sejarah…
Kita mahukan GAMIS negeri yang mampu menjadi mekanik kepada
usaha-usaha tarbiah, siasah, dan dakwah…
Kita mahukan GAMIS negeri yang tidak membeku dalam warisan silam…
Kita mahukan GAMIS negeri yang mampu mempamerkan visual Islamik yang
kontemporari…”—Ustaz Dzulkhairi (MUKTAMAR GAMIS Kali-18)
Sayugia, dari titik inilah GAMIS Negeri Johor mula ditubuhkan dibawah kepimpinan saudara Mohamad Zul Hilmey bin Makmud bersama barisan Majlis Tertinggi dari tiga kampus yang mewakili tiga ketumbukan terbesar mahasiswa Islam yang ada. Berbekalkan sarana Visi dan Misi serta implikasi positif hasil bergeraknya GAMIS Pusat sebagai NGO, GAMIS Johor mula menapak sedikit demi sedikit bagi memobilasikan semula kesepaduan gerakan mahasiswa Islam diperingkat negeri Johor khasnya.
5. Namun demikian, denyutan nadi GAMIS Johor yang kita mahukan bukanlah berbentuk irama yang ‘sekali-sekala’ ataupun bermusim. Kita tidak mahu juga GAMIS negeri Johor hanya bergantung harap dengan GAMIS Pusat untuk membawa isu atau menyuarakan cadangan dan pendapat di peringkat kebangsaan apatah lagi kalau isu tadi adalah isu setempat (isu negeri Johor). Sedangkan kita tahu bahawa kekuatan dan kesepaduan gerakan tidak akan dapat dicapai bilamana adik-beradik GAMIS diperingkat negeri masih dengan gaya ‘berpeluk tubuhnya’.
6. Maka, impian setiap tahun gerakan ini ialah ingin membentuk fenomena organisasi yang mampu mengadaptasi, berubah, berkembang dan mengubah dirinya sebagai respon kepada keperluan, keinginan dan aspirasi manusia di dalam mahupun di luar negeri Johor. Dalam erti kata lain menjadikan Visi serta Misi GAMIS di negeri Johor khasnya sentiasa relevan untuk setiap zaman. Namun demikian, harapan dan usaha ke arah ini takkan dapat direalisasikan sepenuhnya jika adik beradik GAMIS sendiri masih tak tahu atau masih tak ambil peduli akan Visi serta Misi GAMIS Johor.
7. Tuntas, Muktamar kita kali ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memperkenalkan GAMIS secara dekat dan terus kepada seluruh ahli keluarga GAMIS yang berada di bumi Johor ini. Biarlah hari ini kita pecahkan tembok ‘kesangkaran’ kampus bagi mengangkat tema serta wawasan kita bersama iaitu “Bersama GAMIS Memmipin Ummah”! Justeru, bagi merealisasikan agar lensa aksi gerakan mahasiswa kembali menyoroti semula georafi negeri zon ‘igloo’ ini, izinkan untuk saya merumuskan 3 gagasan utama yang ingin dibawa oleh GAMIS Negeri Johor:
GAGASAN TARBIYYAH: MELAHIRKAN ‘NEGARAWAN TARBIYYAH’
8. Persoalan tarbiah tidak pernah lekang daripada perbincangan kita sebagai ahli gerakan Islam. Saban tahun kita pasti akan tercari-cari formula acuan bagi menghasilkan produk kader-kader yang berkualiti mengikut edaran sezaman. Pada masa yang sama, gagasan melahirkan NEGARAWAN TARBIYAH ini merupakan suatu kreativitasi dan inovasi idea yang realistik dalam memenuhi keperluan semasa ummah. Ingat, kita bukan gerakan politik tetapi kita adalah gerakan yang lebih syumul dari gerakan politik. Izinkan saya untuk berkongsi suatu kata-kata:
“POLITICIANS think for the next election, but the STATESMAN think for the next generation”
9. Dahulu semasa awal penubuhan Jemaah Induk sebagai sebuah gerakan Islam, kita mentarbiyah ahli untuk menjadikan mereka pimpinan Jamaah serta mampu untuk diketengahkan di dalam masyarakat. Kemudian awal 80an, kita berusaha untuk mentarbiyah ahli kita untuk diserap masuk dalam sektor-sektor awam dan kerajaan untuk berperanan dan mencorakkan sektor yang diceburi dengan wangian Islam. Dan kini, kita sepatutnya sudah memasuki tahap yang ketiga iaitu kita perlu mentarbiyah, mendidik Jundi, membentuk Qiyadi supaya mampu untuk memegang tampuk pemerintahan Negara Malaysia. Nah! Inilah dia gagasan NEGARAWAN TARBIYYAH yang dimaksudkan.
10. Konsep NEGARAWAN TARBIYAH ini merupakan satu lontaran idea kepada satu permasalahan yang wujud pada hari ini, iaitu krisis kepimpinan. Memandangkan mahasiswa hari ini pasti sebilangan besarnya adalah merupakan barisan pelapis kepimpinan negara Malaysia suatu masa nanti, maka ianya dirasakan satu konsep yang perlu dipraktikkan secara serius bermula dari sekarang, iaitu ketika berada di alam kampus supaya negarawan yang dilahirkan ini mampu memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan. Oleh itu, saya menggariskan tiga elemen terpenting yang perlu dibangunkan oleh setiap individu gerakan Islam khususnya ahli keluarga GAMIS dalam merealisasikan gagasan ini:
Elemen Pertama: Semangat Keimanan yang Kuat (Ghirah Qawiyyah)
11. Rasulullah SAW mendidik para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman mereka, sentiasa bersedia untuk berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Apabila Islam berhajat kepada kerja dakwah, maka tampillah para da'i yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Islam melalui lisan dan contoh yang baik. Apabila Islam memerlukan pengorbanan harta benda, maka tampillah sahabat yang mempunyai harta kekayaan menyerahkan harta benda mereka kepada Rasulullah SAW dengan penuh keredhaan tanpa bakhil, seperti Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Osman Ibn Affan dan Abdul Rahman al-'Auf. Rasuluilah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya iman itu boleb lusuh seperti lusuhnya pakaian, maka bendaklah kamu memobon doa kepada Allah SWT supaya diperbaharui keimanan itu di dalam jiwa kamu.' (HR Al Hakim dan At Tabrani)
Elemen Kedua: Menajamkan Daya Keintelektualan
"Belajar di universiti bukan jaminan seseorang boleh menjadi intelektual... seorang intelektual itu adalah seorang pemikir yang sentiasa berfikir dan mengembangkan [serta] menyumbangkan ideanya untuk kesejahteraan masyarakat. Dia juga adalah seorang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji, menganalisis, merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia, terutama masyarakat di mana dia hadir khususnya dan di peringkat global amnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu. Lebih daripada itu, seorang intelektual juga adalah seorang yang kenal akan kebenaran dan berani pula memperjuangkan kebenaran itu, meski bagaimanapun tekanan dan ancaman yang dihadapinya, terutama sekali kebenaran, kemajuan, dan kebebasan untuk rakyat."—Sharif Syaari.
12. Inilah merupakan salah satu modal terbesar yang harus dimiliki oleh generasi keluarga GAMIS kita pada hari ini. Menurut Jalaludin Rahmat, intelektual adalah gabungan dari ilmuan, teknokrat dan moralis. Secara jelasnya, modal intelektual mutlak yang dimiliki adalah sebagai satu medium untuk membaca dan menganalisa fenomena yang terjadi di sekeliling kita. Semakin banyak mahasiswa ataupun anak muda Islam mengkaji wacana-wacana sosial maka semakin peka dan tinggi pembacaannya tentang keadaan yang terjadi pada hari ini.
Elemen Ketiga: Mengamalkan Budaya Kerja Cemerlang
13. Kita juga tidak mahu budaya kerja kita hanya berpaksikan sistem konvensional atau tradisi lama. Apalah kiranya cita-cita yang melangit tinggi jikalau kaedah dan metodologi kearah merealisasikan impian tadi adalah masih kabur dan tidak jelas. Dengan sebeb itulah, strategi pengurusan bermatlamat (MBO) telah mula kita praktikkan pada siri kepimpinan GAMIS Johor kali ini melalui penetapan Visi serta Misi GAMIS Negeri agar setiap gagasan yang dicipta di atas kertas mampu divisualisasikan dalam dunia yang nyata. Terutamanya gagasan terpenting yang kita ketengahkan iaitu gagasan ‘NEGARAWAN TARBIYYAH’.
GAGASAN SIASAH: MEMOBILASI ISU SETEMPAT DAN NASIONAL
14. Negara dan negeri ini tidakkan lari dengan pelbagai isu. Dan kita sebagai anak muda yang berperanan mestilah membuat gerakan serta respon bagi memperbetulkan serta memberikan teguran pada setiap kepincangan sosial yang dipaparkan sebagai isu di mana-mana dada media massa. Atas dasar agama Islam sebagai agama nasihat, GAMIS Johor sepatutnya tidak gentar dan takut untuk memperjuangkan yang hak kerana inilah budaya politik nilai (value political movement) yang sebenar dan kuasa moral (moral force) yang merentasi politik kekuasaan. Menyokong kebenaran dan menolak kebobrokan.
15. Tahukah kita betapa banyak isu yang ada terutamanya isu yang berkait dengan Mahasiswa? Pernahkah kita mendengar Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (WPI)? Dan pernahkah kita merasa kisah untuk bertanya kepada pihak yang berwajib sejauh mana jaminan mereka untuk memastikan ribuan mahasiswa di negeri Johor diberikan peluang pekerjaan yang selayaknya dalam sektor pelaburan jutaan ringgit ini? Nah, inilah antara isu setempat yang memerlukan kajian teliti lagi mendalam oleh GAMIS Negeri Johor bagi membawa aspirasi dan citra Mahasiswa sekitar yang kadang-kalanya masih dibuai tidur yang lena.
16. Namun, saya sekali lagi tegaskan bahawa agenda siasah kita bukannya berbentuk ikut-ikutan (reactor) semata-mata tapi apa yang kita mahukan dalam gagasan kedua ini ialah ahli GAMIS yang mampu memimpin (initiator) dan membobilasi sendiri isu berdasarkan kaca mata Mahasiswa yang merupakan anak muda Islam. Biarkan kita bergerak seperti air, memberikan kritikan yang wajar dalam masa yang sama mampu mencadang secara profilik. Biarlah orang kata kita ais beku, tapi hakikatnya kita adalah air yang menunggu masa untuk mengalir. Yakinlah, air yang sudah dipanaskan pasti akan mencairkan walau sebesar mana sekalipun ‘igloo’ yang cuba menghalang! Takbir!
18. Dalam memastikan kejayaan gagasan yang kedua ini, perlu juga untuk saya menyentuh sedikit akan peranan muslimat ataupun golongan mahasiswi/beliawanis khususnya mereka yang bergelar sebagai srikandi-srikandi GAMIS. Bahkan bukan sedikit isu-isu yang berbentuk khususiyyat tentang kewanitaan yang berlaku dan tercetus serta memerlukan respon balas dari pihak muslimat sendiri. Dengan sebab itulah, mahasiswi yang menjadi ahli srikandi GAMIS seharusnya tergolong sebagai mahasiswi yang berkarisma, yang lantang memberi respon dan pandangan, serta mampu menjadi ikon kepada mahasiswi lain di kampus.
19. Mereka bukanlah mahasiswi yang bergantung kepada mahasiswa, tetapi mereka adalah srikandi yang boleh berpencak ke hadapan tanpa perlu berharap sepenuhnya kepada kelibat mahasiswa. Gerakan mahasiswi yang kini kelihatan semakin lemah dalam mengharungi arus perdana perjuangan harus dibangunkan agar mampu menggegarkan pentas wacana kampus. Menjadi srikandi yang lebih proaktif dalam membentuk ikon terbaik di kalangan mereka, sekaligus memmpin sendiri golongan mahasiswi yang menyumbang ‘Human Resources’ terbesar di mana-mana kampus.
GAGASAN DAKWAH: GERAKAN DU’AT DI JALUR KEBAJIKAN
20. Dakwah yang kita maksudkan adalah menarik masyarakat Islam masa sekarang yang kian gersang dengan mata air Islam kepada dunia Islam yang sebenar. Perjuangan untuk memindahkan manusia daripada satu dimensi kehidupan kepada satu dimensi kehidupan yang lebih baik menuntut kepada kesungguhan dan komitmen yang tinggi dan upaya yang berterusan tanpa rasa lemah dan mudah berputus asa.
“Gerakan dakwah berteraskan kebajikan perlu diwujudkan. Gerakan dakwah semata-mata dakwah tanpa menitik beratkan soal kebajikan tidak akan memberi makna yang besar. Sudah banyak kali gerakan dakwah tanpa selera kebajikan yang berkonsepkan edaran-edaran risalah, ceramah-ceramah dan nadwah-nadwah, turun ke surau dan sebagainya tidak memberikan impak yang besar terhadap gerakan dakwah itu sendiri. Namun, ia bertukar sebaliknya apabila gerakan dakwah mula mengambil kira soal kebajikan kerana lumrah manusia sukakan orang yang mengambil berat terhadap mereka.”—Ustaz Dzulkhairi (Mantan Presiden GAMIS)
21. Hakikatnya, manusia lebih rasa tersentuh dengan aspek-aspek kebajikan yang boleh diterapkan dengan setiap siri-siri dakwah yang diaturkan. Mengambil berat dan melihat kepada sudut-sudut nilai kemanusiaan itu juga penting dalam menyampaikan kemuliaan Islam. Program seperti khidmat masyarakat, gotong-royong, ziarah menziarahi perlu dipergiatkan lagi dalam agenda dakwah kita. Dan sebenarnya inilah jua yang kita cuba praktiskan di dalam gerakan GAMIS Negeri Johor.
22. Para du’at khususnya anak beranak GAMIS tidak boleh bersifat memilih bulu terhadap mad’unya. Golongan ‘untapped market’ seperti mat rempit, mat lepak dan segala yang berkaitan perlu didekati dan diberi peluang termasuklah pelajar-pelajar yang bermasalah di sekolah-sekolah sekitar negeri Johor. Terimalah mad’u seadanya. Jangan mengambil jalan mudah untuk berdakwah kerana sesungguhnya jalan dakwah itu sukar dan jauh. Hayatilah Firman Allah ini dalam surah At-taubah ayat 42 yang bermaksud:
“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, Pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.”
23. Sifat Alamiyyah Islam juga terbukti tidak mengira ras, bangsa, dan warna kulit. Disebabkan itulah Islam sesuai untuk sesiapa sahaja, tinggal lagi bagaimana metod kita mengajak umat yang belum lagi Islam untuk kembali kepada fitrah agama iaitu Islam. Masyarakat ‘non–muslim’ bukanlah golongan yang boleh dianak-tirikan oleh para du’at. Mereka berhak mendapat hak mereka sebagai ‘non-muslim’ iaitu berupa pengenalan, penerapan serta penghayatan keindahan Islam itu sendiri. Inilah gambaran holistik tentang ‘social engineering’ yang dilaksanakan oleh anak-anak GAMIS melalui misi gagasan berdakwah di jalur kebajikan!
GAGASAN BAHARU. GAMIS DALAM MENCORAK MASSA
24. Dimensi perjuangan Islam yang sejati akan sentiasa merubah mengikut tarian masa dan zaman. Koleksi kisah perjuangan menyaksikan rantaian yang bertali arus ini sentiasa disambung secara dinamika demi memastikan survival dakwah terlaksana zaman berzaman. Potret kegemilangan Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) dalam cerminan dekad menyaksikan platform GAMIS selaku medium mahasiswa Islam berpencak mampu membekalkan produk berkhasiat untuk membawa anjakan pembaharuan dalam sistem kehidupan masyarakat.
25. Namun, persepsi dan harapan menjulang daripada masyarakat yang inginkan cendiakawan Islam universiti menjadi tempat bergantung harap kian menghakis. Dilema yang menyaksikan kepincangan yang berlaku dalam melahirkan para du’at yang berkualiti dikalangan mahasiswa menjadi kebimbangan pelbagai pihak. Justeru, gagasan baru GAMIS Johor yang dibentangkan tadi adalah untuk menyemai semula saluran-saluran yang terbaik dalam mencorak massa hari ini, di samping platform yang sama dapat dijadikan taman latihan bagi ahli-ahli GAMIS.
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”.—Surah An-Nahl: 125
26. Justeru, dari asas yang sama inilah dijadikan tapak binaan semula organisasi GAMIS Johor ini. Elemen hikmah dalam tindakan tidak sesekali dipandang sepi. Penstrukturan kembali organisasi ini pada Visi serta Misinya adalah jelas bertujuan untuk memastikan kesinambungan Gerakan Mahasiswa Islam terus menaungi bumi Johor ini. Saya yakin dan percaya serta bersesuaian dengan tema muktamar “Bersama GAMIS Memimpin Ummah”, GAMIS Johor akan terus kekal menjadi wadah utama Gerakan Mahasiswa Islam untuk bersama masyarakat, baik cendiakawan di kampus mahupun rakyat marhean di sekitarnya. Takbir!
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
No comments:
Post a Comment