Thursday, July 24

Renungan Bersama--SIRI 1

Assalamaualaikum warahmatullah..

Syukur kita panjatkan kepada Allah kerana masih lagi dikurniakan subsidi nyawa untuk meneruskan kehidupan ini bagi tujuan mengabdikan diri kepadaNya.. Selawat dan salam kita titipkan ke atas junjungan kekasih Allah iaitu Muhammad Pesuruh Allah..

Sahabat-sahabat yang dimuliakan..

Di kesempatan ini saya ambil peluang untuk mencoret sesuiatu yang mungkin Insya Allah kita mendapat manfaat daripadanya.. Secara jujurnya kita cuba ambil satu masa un
tuk sama-sama kita koreksi diri tentang tahap TAQWA kita kepada Allah SWT.

Kita cuba bersikap jujur terhadap diri dari dasar hati yang dalam dengan menginsafi segala pengkhianatan yang pernah kita lakukan terhadap lautan nikmat Allah sedangkan betapa sedikit pula ketaatan kita kepadaNya. Dalam keadaan begini, amat wajar untuk kita mengajukan persoalan kepada diri kenapa hati kita menjadi begitu keras sekali, seakan-akan kerlipan kebenaran tidak pernah bertapak di lubuk hati kita.

Inilah akibatnya jika hati tidak sudah mengenal TAQWA!!


Rasanya tidak layak diri ini mengharapkan keindahan dan kebaikan, di mana pada masa yang sama kita sering menghadirkan kejelekan dan kemaksiatan!
Rasanya tak layak kita memohon keampunan ketika mana di waktu lain kita hadirkan kederhakaan!
Rasanya tak layak kita disebut hamba pilihan kerana perintha dan larangan tidak jua kita agungkan!

Taqwa itu ibarat anak kunci...

Sahabat mahupun kerabat sekalian..

Saya pernah mendengar Naqib saya (warga Yaman) Shiekh 'Aid
il iaitu seorang penuntut pHD. bidang Elektrik, membacakan beberapa potongan ayat daripada Surah Al-Qiyamah ketika bersama dalam Halaqohnya(Islamic discussion). Apa yang menyentuh sanubari saya ialah, beliau menangis dan meratap lantaran penghayatan yang begitu mendalam ketika menerangkan maksud ayat tersebut kepada kami sehingga seluruh ahli halaqoh juga menangis bersama..

"Wajah-wajah orang kafir ketika itu (hari kiamat) muram(24) Mereka yakin bahawa mereka akan dikenakan malapetaka siksaan yang maha dahsyat(25) Tidak! apabila nyawa sudah berada di kerongkong(26) Dan katakanlah kepada manusia, "siapa yang dapat menyembuhkan kamu?"(27) Dan ketika itulah mereka yakin bahawa itulah waktu penamat kehidupan(28) Maka bertaut betis kiri dan kanan (lantaran kesakitan sakratulmaut) (29)"—Surah Al-Qiaymah

Ayat ini cukup menggoncang jiwa..
Ayat ini amat besar makna dan mesejnya..
Ayat ini juga adalah ancaman bagi mereka yang tidak pernah memikirkan persoalan TAQWA ketika mana nyawa masih dikandung badan!!

Mari kita renungkan sebuah madah dari Tok Guru.. Hati siapa yang tak terusik bila melihat seseorang yang begitu Tawadhu'...

Soalan: Ada orang kata taqwa itu ada dalam hati. Tidak perlu ditunjuk?

Tok Guru Nik Aziz: Yalah, sungguhpun taqwa itu letaknya dalam hati dan hati itu berada di dalam, tidak nampak; tetapi kesan ataupun tinggalan kerja-kerja taqwa itu tetap masih boleh dilihat,dirasa dan dikesan kehadirannya. Sekiranya tak nampak, bahkan kesan-kesan yang dialami masyarakat adalah sebaliknya, jenayah sampai boleh meningkat 45% misalnya; maka taqwa itu tidak sudah duduk di hati. Tidak dipentingkan akan 'ada' ataupun 'tiadanya'. Kita asyik cuba membaiki manusia dengan mengetatkan undang-undang, beli dan pasang CCTV, perbesarkan pasukan polis menjadi 60 000 kekuatan, bina lebih banyak balai polis, perbanyakkan penjara dan pusat serenti, macam-macam lagilah; sedangkan hati manusia itu tidak disediakan 'brek', maka macam mana kita nak 'stop' segala pertbuatan fasya' dan mungkar?

Soalan: maksud Tok Guru?

Tok Guru Nik Aziz: maksud saya, TAQWA. 'brek' itu adalah TAQWA. Apa yang saya nak sampaikan adalah kepentingan TAQWA. Mencari jawapan di luar daripada itu, maka jawapannya; tidak jumpa jalanlah. Berjalan dengan tiada 'brek'. Maka sesorang itu akan 'sesat' dan 'berlanggar'. Kita kena ingat benda 'sesat' ini bukan hanya di tengah hutan. Dalam bandar dan di tengah siang pun orang boleh 'sesat'.

Soalan: Boleh Tok guru kaitkan antara TAQWA dengan Syurga dan Neraka?

Tok Guru Nik Aziz: Begini, anak kunci pintu syurga itu ialah TAQWA. Dalam pengertian lain, jika saya boleh umpamakan TAQWA itu sebagi roh ataupun perasaan takut ataupun lebih tepat, BERINGAT dengan kehadiran Allah yang sentiasa maha memerhatikan kita dalam segenap keadaan tidur mahupun jaga. Perasaan dan kesedaran inilah yang mampu menghantar seseorang kepada syurga berkat segala amal ikhlasnya. Soal syurga dan neraka ini bukan projek orang itu orang ini ataupun kerajaan itu kerajaan ini. Sekiranya kedua-duanya ini adalah projek kerajaan, memanglah tiada masalah untuk dipinda ataupun dibatalkan. Tapi, ini adalah projek Allah SWT. Inilah hakikatnya. Mahu tidak mahu kita kena tunduk kepadanya. Tunduk inilah TAQWA. TAQWA jenis ini sahajalah yang akan membawa sesiapa jua ke syurga. Inilah hubungan antara TAQWA dengan Syurga dan Neraka.

Soalan: Maksud Tok Guru, hanya dengan TAQWA sahaja sesorang itu boleh ditentukan sama ada mulia ataupun hina?

Tok Guru Nik Aziz: Ya, ya. Mesti begitu. jika tidak, saya cukup-cukup takut orang yang diberi gelaran di dunia umpamanya dengan pangkat Yang Amat Berhormat tahu-tahu di akhirat kelak, gelaran itu menjadi terbalik. Daripada al-Aziz menjadi yang Amat Hina, daripada Yang Amat Setia menjadi Yang Amat Derhaka. Daripada Yang Amat Arif menjadi Yang Amat Bodoh lagi buta mata hati. Daripada Yang Amat Berbahagia menjadi Yang Amat Berdukacita.

Moga sifat TAQWA tersemat di hati!

Itulah pengharapan yang sepatutnya kita damba bersama sebagai seorang hambaNya. Maka oleh itu, segala gerak-geri dan juga tingkah kita hendaklah menjurus ke arahnya.. Dan dalam kesibukan sebagai seorang pelajar universiti, janganlah juga kita lupa untuk memantapkan dan mencantikkan singgahsana TAQWA dalam lubuk sanubari kita!! Insya Allah wa ma'assalaamah!

No comments: