Saturday, December 5

Dari penjara kepada massa.

Figura massa: Malcolm X atau El-Hajj Malik El-Shabazz

Antara kata-kata keramat:

“You're not to be so blind with patriotism that you can't face reality. Wrong is wrong, no matter who does it or says it.”. Maksud: Anda tidak seharusnya dibutakan dengan semangat patriotisme sehingga tidak menyedari kenyataan. Apa yang salah itu adalah salah, tidak kira siapa yang melakukan atau mengatakannya.Malcolm X

Beberapa pengkisahan tentangnya:

The Autobiography of Malcolm X dikarang oleh Alex Haley antara 1964 dan 1965, berdasarkan temuramah dengan beliau sebelum beliau terbunuh (dengan epilog selepas itu), dan diterbitkan pada 1972. Buku ini telah diberi penghormatan oleh majalah Time sebagai satu daripada 10 buku bukan fiksyen terpenting pada abad ke-20!

Malcolm X Speaks: Selected Speeches and Statements

Filem Malcolm X dikeluarkan pada 1992, dan diarah oleh pengarah kulit hitam kontroversial iaitu Spike Lee. Filem ini dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Denzel Washington sebagai Malcolm dan Angela Bassett sebagai Betty dan Al Freeman Jr. sebagai Elijah Muhammad.

-Malcolm X bersama Peninju terkenal, Muhammed Ali-

Pada 2002 filem “Ali”, mengenai peninju hebat Muhammed Ali, juga menunjukkan Malcolm X, yang dilakonkan oleh Mario Van Peebles.

Siapa sebenarnya Malcolm X?

Malcolm X, lahir (19 Mei 1925 - 21 Februari 1965)—juga dikenali sebagai: El-Hajj Malik El-Shabazz), pengasas Muslim Mosque, Inc. dan Organization of Afro-American Unity (Organisasi Perpaduan Afro-Amerika) dan juga pada suatu ketika menjadi jurucakap pada kumpulan Nation of Islam. Beliau dibunuh pada Februari 1965. Semasa hayatnya, Malcolm X dikenali sebagai seorang ketua gerakan nasionalisme kulit hitam yang terkemuka di Amerika Syarikat.

Dia dilahirkan sebagai Malcolm Little di Omaha, Nebraska. Ayahnya, Earl, seorang paderi Baptist yang lantang dan penyokong kepada Marcus Garvey, telah dibunuh di Lansing, Michigan pada 1931.

Zaman remaja yang ‘sukar’.

Malcom kemudiannya telah berhenti dari sekolah menengah, dan berpindah ke Boston untuk tinggal dengan kakak tirinya. Dia telah mendapat kerja sebagai pengilat kasut di sebuah kelab malam Lindy Hop. Dalam autobiografinya, Malcolm berkata dia pernah mengilat kasut Duke Ellington dan beberapa pemuzik kulit hitam yang terkenal.

-Kehidupan awal Malcolm X sering 'diwatakkan' dalam filem-filem latar ganas-

Setelah beberapa ketika, dia berpindah ke Harlem, New York, di mana dia mula terlibat di dalam pengedaran dadah haram, berjudi, pelacuran, memeras ugut, dan merompak (dirujuk secara menyeluruh oleh Malcom sebagai hustling); dia juga sanggup berlakon gila untuk mengelakkan dari dihantar menyertai kerahan tenaga Perang Dunia II.

Malcolm telah ditahan pada 12 Januari, 1946 pada umur 20 tahun dan telah dipenjarakan selama lapan hingga sepuluh tahun atas kesalahan memecah masuk, membawa senjata api, dan merompak. Dia mendapat gelaran "Setan" di Penjara Negeri Charlestown disebabkan sifatnya yang suka menyumpah seranah terutamanya terhadap Tuhan dan Bible.

Bertemu sinar-sinar awal kehidupan.

Pada 1948, keluarganya memeluk ajaran Islam. Saudara lelakinya Reginald telah menulis surat meminta dia menyertai Nation of Islam. Jadi Malcolm mula mempelajari ajaran Elijah Muhammad dengan gigihnya dan telah mula mengembangkan pemikiran inteleknya.

-Malcolm X sedang memberikan pidato. (Gambar lakonan semula oleh Denzel Washington)-

Kakaknya Ella telah menolong memindahkannya ke koloni penjara berkawalan rendah di Norfolk, Massachusetts di mana dia telah mula minat membaca dan menemui kebenaran di dalam ajaran Elijah Muhammad dan Nation of Islam dalam sejarah dan falsafah. Beliau juga menyertai debat mingguan di koloni penjara itu.

Beliau telah menyalin seluruh kamus daripada perpustakaan di situ dalam usahanya menambahkan pengetahuan dan memperbaiki tulisannya.

Pertama kali Malcolm mengenali Elijah Muhammad ialah semasa beliau berada di penjara dimana beliau surat-menyurat dengan pemimpin tersebut. Dalam usaha mempertingkatkan ilmunya sendiri, beliau menulis kepada Elijah setiap hari.

Selepas dibebaskan dari penjara pada 7 Ogos 1952, beliau membeli beg suitcase, sepasang kaca mata, dan sebuah jam tangan, iaitu barang-barang yang paling kerap digunakan dalam kehidupannya.

Malcolm kemudian berjumpa dengan Elijah Muhammad di Chicago. Di sinilah dia menerima tanda X, yang bermaksud menolak nama perhambaannya, dan oleh kerana tiada nama Islam Afrika-Amerika.

Nama yang semakin dikenali.

Pada 1953, Malcolm meninggalkan kakak tirinya Ella di Boston untuk tinggal bersama dengan Elijah Muhammad di Chicago. Beliau kemudiaanya kembali ke Boston dan menjadi Ketua Minister Kuil Nombor 11 Nation of Islam.

Kegiatannya yang aktif sebagai pemimpin di kuil tersebut telah membawanya untuk membuka lebih banyak kuil di seluruh negara, dimana beliau seringkali menjadi Minister. Khutbahnya yang memukau serta berinspirasi dan personalitinya yang bersih, menyebabkan beliau naik pangkat dengan cepat sekali. Akhirnya beliau telah menjadi orang nombor dua kepada pemimpin Nation of Islam iaitu Elijah Muhammad.

-Elijah Muhammad, orang yang bertanggungjawab mengaku 'utusan Tuhan'-

Sewaktu Malcolm berusaha keras untuk gerakan ini, beliau kerap mendengar desas-desus mengenai skandal Elijah Muhammad dengan beberapa setiausahanya. Penzinaan adalah ditolak oleh ajaran Nation of Islam. Pada mulanya beliau tidak percaya dengan tohmahan ini. Tetapi selepas disiasat beliau dapati kebenarannya. Malah Elijah Muhammad sendiri mengaku melakukan zina tetapi berkata ia adalah dibenarkan kerana dia adalah "Pesuruh Tuhan".

Walaupun begitu, kepercayaan beliau kepada Elijah Muhammad tidak pernah goyah. Pada 1963, selepas pembunuhan Presiden John F. Kennedy, Malcolm telah memberi satu khutbah. Selepas khutbah tersebut, beliau diminta memberi komen mengenai pembunuhan Kennedy. Beliau dengan sinis berkata ini adalah kes "AYAM PULANG KE REBAN." (chickens coming home to roost)—keganasan yang Kennedy gagal tangani akhirnya telah "memakan dirinya sendiri".

Komen ini telah mendapat reaksi yang hebat oleh rakyat Amerika yang rata-rata menyanjungi Presiden Kennedy dan Nation of Islam terpaksa mengumumkan hukuman terhadap Malcolm X. Akibatnya, beliau telah diharamkan untuk memberi khutbah selama enam bulan dan beliaupun mematuhi perintah ini.

-Buku: "The Autobiography of Malcolm X"-

Setahun kemudian, Malcolm mula berganding bahu dengan karyawan kulit hitam terkenal Alex Haley dalam penulisan buku "The Autobiography of Malcolm X". Beliau juga mengumumkan perpisahannya dengan Nation of Islam, dan menubuhkan gerakan yang lain iaitu Muslim Mosque, Inc. Namun, beliau tetap mengikuti ajaran Nation of Islam. Pada April tahun yang sama, beliau membuat ucapannya yang terkenal iaitu “Mengundi atau Peluru” (Ballot or Bullet).

Ibadat haji yang menunjuk jalan sebenar.

Malcolm mula mendekati beberapa Islam orthodox, yang mengalakkanya mendalami Islam yang sebenarnya. Beliau kemudian membuat keputusan untuk mengerjakan Haji.

Pada musim bunga 1964, Malcolm berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa JFK ke Arab Saudi untuk mengerjakan Haji di Mekah. Perjalanan ini telah mengubahkan hidup beliau. Ikatan persaudaraan yang beliau saksikan di Baitullah telah mengubah kepercayaannya selama ini bahawa perhubungan antara kaum adalah mustahil. Beliau juga mula sedar tentang kepalsuan Nation of Islam.

Beliau berkata:

"Perjalanan haji telah membuka pemikiran saya dengan menganugerahkan pandangan baru selama dua bulan di tanah suci.. Saya melihat hal yang tidak pernah saya lihat selama 39 tahun hidup di Amerika Syarikat. Saya melihat semua ras dan warna kulit bersaudara dan beribadah kepada satu Tuhan tanpa menyekutukannya. Benar pada masa lalu saya bersikap benci pada semua orang kulit putih namun saya tidak merasa bersalah dengan sikap itu lagi karena sekarang saya tahu bahawa ada orang kulit putih yang ikhlas dan mahu bersaudara dengan orang kulit hitam.

Kebenaran Islam telah menunjukkan kepada saya bahwa kebencian membabi buta kepada semua orang putih adalah sikap yang salah seperti halnya jika sikap yang sama dilakukan orang kulit putih terhadap orang kulit hitam".

Sebaik sahaja pulang ke negaranya, beliau terus memeluk agama Islam semula dan menukarkan namanya kepada - El-Hajj Malik El-Shabazz dan menubuhkan Organisasi Persatuan Afro-Amerika Organization of Afro-American Unity. Disana beliau berkhutbah mengenai toleransi terhadap bangsa lain dan juga nasionalisme kulit hitam.

Dendam yang diunjuk dengan butir peluru.

Ketegangan meningkat antara Malcolm dan Nation of Islam. Perintah diberi oleh anggota Nation untuk membunuh Malcolm. Pada 14 Februari, 1965 rumahnya di New York dibaling dengan bom api oleh Nation of Islam, tetapi Malcolm dan keluarganya terselamat.

Seminggu kemudian pada 12 Februari, di Audubon Ballroom, Manhattan, Malcolm baru sahaja memulakan ucapannya apabila kekecohan berlaku dalam himpunan 400 orang. Seorang lelaki menjerit, "Get your hands off my pockets! Don't be messin' with my pockets!". Sewaktu pengawal peribadi beliau berlari kearah kekacauan tersebut, seorang kulit hitam meluru kehadapan dan menembak Malcolm di dadanya. Dua orang lagi yang bersenjatakan pistol melepaskan tembakan ke arah beliau.

-Kubur Malcolm X di Ferncliff Cemetery, Hartsdale, New York-

Malcolm X dikebumikan di Ferncliff Cemetery di Hartsdale, New York. Tiga lelaki ditahan atas tuduhan membunuh dan kesemuanya adalah ahli Nation of Islam iaitu Talmadge Hayer, Norman 3X Butler, dan Thomas 15X Johnson. Suatu memo FBI telah mendedahkan penglibatan agensi itu, dengan mengadakan perselisihan antara kedua gerakan itu yang berakhir dengan pembunuhan Malcolm X. Peranan FBI tidak begitu jelas. Walaupun begitu, adalah diketahui bahawa salah seorang pengawal peribadi beliau merupakan pegawai polis NYPD yang berpangkalan dengan FBI.

Rujukan:

  • The Official Web Site of Malcolm X
  • Malcolm X : A Research Site
  • Malcolm-x.org

1 comment:

Sunah Sakura said...

salam. tahniah, penulisan biografi yang berjaya membuatkan saya membaca satu per satu patah perkataan sehingga habis..Malcolm X, sentiasa dikenang..