Saturday, June 12

kerana dia ku tolak syurga??


KERANA CINTA ORANG SANGGUP BERBUAT APA SAJA

Sudah lama saya tidak menulis. Ada saja kesibukan yang menghambat. Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT kerana dengan sibuk itulah kita akan mampu mengurus masa dengan baik.

Pagi ini saya ke library untuk mencari network internet yang baik. Saya perlu memuat turun sejumlah software yang dibeli dari National Instrument di USA secara online. Kesempatan inilah yang saya guna untuk menulis seketika..

Kelmarin saya amat terkilan.

Setiap pagi bila saya tiba ke office for Post-Garduate Student, seperti biasa saya akan switch ON notebook. Selepas itu barulah saya akan membancuh air serta menyapu planta ke roti untuk sarapan pagi. Sementara mengambil sarapan, sudah menjadi rutin saya untuk membaca news secara online dan melihat info status rakan-rakan melalui laman Facebook.

Terkejut!

Pagi kelmarin saya terlihat satu gambar yang sangat-sangat tidak menyenangkan hati. Gambar itu dipaparkan secara sukarela oleh tuan punya diri di laman sosial yang jutaan ramai penggunanya. Gambar seorang bekas pelajar SMK (A) yang tidak menutup aurat. Sudahlah tidak menutup aurat, dia ‘mengucup’ (maaf saya sebutkan perkataan yang kurang senonoh) kekasihnya tanpa segan silu!

Amat mendukacitakan... Wanita ini adalah pelajar junior yang saya kenali sejak sekian lama. Wanita yang ketika menjadi pelajar, terkenal dengan budi bicara yang baik. Terpancar kesantunan akhlak melalui pakaian, gaya penampilan, dan sebagainya. Bukan dia seorang yang saya maksudkan, tetapi ada segelintir putra-putri yang pernah duduk di sekolah itu. Trademark yang hanya tinggal kenangan...

Pagi itu saya tidak dapat menahan sabar.

Kalau sebelum ini saya hanya mengetap bibir apabila melihat gambar-gambar profile tanpa hijab di kepala ditayangkan sesuka hati.. Tapi, pagi kelmarin lain ceritanya. Saya dengan keras meminta adik junior ini ‘delete’ gambar yang kurang senonoh itu. Bagi saya, masing-masing ada hak. Jika sesuatu perkara sudah ditayangkan secara umum, maka orang umum juga punya hak untuk menegur. Ketika itu sudah tiada isu peribadi atau tidak.

Alhamdulillah... Gambar itu lesap di sebelah petangnya.

Saya menarik nafas panjang... Kerana cinta, orang boleh berubah sekelip mata!

“Awak memanglah... Orang baik. Orang baik takkan jatuh cinta.”

“Kami ni macam nilah. Dah tak boleh nak tinggal... Bila dah sayang..”

Saya masih ingat. Pelbagai alasan diucapkan oleh beberapa orang rakan apabila ditanya kenapa memilih untuk ber-couple. Dah lah couple, ke hulu dan ke hilir membonceng di atas motosikal. Bayangkan, nak ke supermarket berdua, ke kedai makan untuk tengah hari berdua, beli barang nak berdua, tengok wayang berdua, nak isi borang biasiswa pun nak berdua, kira dah jadi macam suami-isteri lah. Cuma tak akad nikah sahaja!

Siapa kata ada manusia yang tak jatuh cinta?

Allah SWT sudah menciptakan manusia sebegitu rupa. Boleh jatuh cinta. Kerana dengan tarikan cinta itulah manusia akan mencari pasangan hidupnya dan seterusnya berkembang biak di dunia ini. Maka cinta itu sebenarnya rahmat! Tapi perlu diingat, Allah SWT juga mengizinkan kepada Iblis Laknatullah supaya cinta itu menjadi bahan ujian kepada manusia. Dan ketika manusia berjaya diperdaya oleh Iblis, maka saksikanlah cinta itu sudah tidak menjadi rahmat bahkan ia bertukar menjadi azab!

Isunya sekarang bukan kerana saya orang baik. Atau sesiapa sahaja yang menolak couple itu sudah menjadi ukuran yang dia seorang yang baik. Sebaliknya yang bercouple itu ‘jahat’... Tidak.. Jauh sekali dari itu.

Tetapi apa yang kita inginkan ialah ‘budaya bercinta’ yang penuh integriti. Integriti dalam konteks amanah pada Allah dan ikut sunnah Rasulullah. Iaitu bercinta hanya setelah selesai melafazkan nikah!

“Macam mana pula tu.. Habis kita tak akan kenal lah bakal pasangan kita?”

Sebelum kita jawab soalan ini. Pernah tak kita lontarkan dalam diri kita, sudahkah kita jatuh cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya? Pernah tak kita serius untuk berusaha megenali Allah dan Rasul-Nya agar cinta kita kepada kedua-Nya semakin bertambah-tambah? Muhasabah pada diri masing-masing termasuklah saya.

Perlu kita ingat, ‘budaya cinta’ yang ada integriti ialah, cinta kepada makhluk datang setelah cinta pada yang Khaliq! Bukan cinta pada makhluk dahulu, barulah selepas itu kita nak kejar cinta Khaliq... Kalau ‘budaya cinta’ yang kedua inilah yang kita pilih, maka cinta kita tidak akan ke mana.. Rasa cinta tadi akan saban hari pudar dan menjadi kusam. Sehingga satu masa kebosanan sudah ke maksima maka ketika itulah cinta yang pada mulanya dulu ibaratkan bunga tetapi kini sudah menjadi sampah. Masa itulah cinta dikeronyokkan, dihina, diludah, dan kemudian dicampakkan di tong sampah! Lihatlah contoh yang berlaku kepada para artisan.

Kita nak jadi begitu? Tidak... Nau’zubillah.

Kita kena yakin... Ikatan cinta ini adalah anugerah Allah SWT. Dialah yang akan meniupkan rasa zauk (perasaan tak berbelah bagi) kepada setiap pasangan yang dah berkahwin untuk saling cinta mencintai. Begitu juga cinta seorang anak kepada kedua ibu-bapa, adalah kerana anugerah istimewa dari Allah SWT. Usaha manusia untuk saling bertukar hadiah, sms kata-kata cinta atau sebagainya, itu hanya usaha makhluk. Yang hakikat sebenarnya Allah lah yang akan menentukan degup jantung serta hitam putih hati para hambaNya.

Cuba kita guna logik akal sebentar...

Jika anda seorang majikan, mahukah anda memberikan bonus kepada seorang pekerja anda walhal dia tidak mematuhi budaya kerja yang anda tetapkan? Tentu tidak bukan? Begitu juga logik yang seterusnya. Padankah Allah mengurniakan cinta kepada dua orang pasangan yang berkahwin tanpa melalui syariat yang diredhaiNya? Juga tidak bukan? Walaupun Allah itu maha Pemberi dan Pengasih, tetapi kewajiban kita sebagai hambaNya untuk terus berusaha menurut apa yang diperintahkanNya...

Saya teringat kata-kata Ustaz Saiful Islam dalam salah satu tulisannya, anak muda hari ini termasuk saya tidak akan dapat faham bahasa yang berbunga-bunga. Bila kita nak menegur sesuatu atau nak menerangkan sesuatu, kita perlu menyebutkan satu-persatu. Biar jelas dan terang. Dengan itu barulah mereka akan faham.

Baik...

Bagi pendapat saya, ada beberapa perkara yang perlu untuk kita nilai bersama ketika berdepan dengan namanya cinta. Samada yang kita pilih cinta yang akhirnya membawa kepada rahmat ataupun cinta yang menuju kepada azab!

1. Muhasabah cinta Khaliq sebelum mencintai makhluq

Itulah maksud yang saya nak bawa. Iaitu sebelum kita ‘berani’ untuk mencintai makhluq, biarlah kita koreksi sejauh mana cinta kita pada yang Khaliq (Sang Pencipta) sejujur-jujurnya. Mengapa? Kerana nilai cinta kepada makhluq itu nanti akan bergantung kepada nilai cinta kita kepada Allah SWT.

Cinta kepada Khaliq ini juga akan membantu kita untuk mendefinasi siapa sebenarnya yang kita boleh cintai nanti. Layakkah lelaki ini mencintai kita atau sebaliknya layakkah wanita itu menerima cinta kita?

2. Cinta tidak bersalah, tetapi salahnya pada manusia yang bercinta

Cinta itu fitrah dari Allah SWT. Terpulang kepada penerimanya untuk bagaimana menguruskan cinta. Sedangkan budaya cinta yang ada integriti ialah mereka yang hanya bercinta setelah lafaz halal melalui nikah. Ini sahaja jalan yang ada. Dan, tiada jalan pintas atau jalan ‘kecemasan’ yang boleh digunakan selain dari bernikah.

“Habis kalau tak kenal bagaimana untuk bernikah?”—Saya pernah diajukan soalan ini untuk yang ke berapa kali. Dah tak ingat... Terlalu banyak kebimbangan barangkali.

“Apakah hanya jalan bercouple yang ada untuk kita nak kenal seseorang?” Skema yang sering saya gunakan sebagai jawaban.

Nak kenal lebih rapat untuk mengetahui keserasian?Atau sekadar ingin menguji kesetiaan dan sebagainya? Yakinlah bila anda sudah melakukan muhasabah cinta kepada Khaliq sebelum itu, anda tidak perlu bimbang semuanya tadi. Cara berfikir, sifat manusia, tindakan, respon, kata-kata yang diungkapkan serta 90% dari hal-ehwal dalaman manusia adalah semuanya terzahir daripada sejauh mana seseorang mencintai Khaliqnya.

Cukuplah dengan itu...

3. Jangan dek kerana cinta, sangup menolak syurga

Orang yang yakin kepada janji Allah SWT tidak perlu membujuk rayu agar diberikan peluang cinta dari mana-mana makhluk. Kerana bagi mereka, apalah ertinya mendapat cinta manusia sedangkan cinta Allah terpaksa dikorbankan. Dalam diri mereka tiada rasa kecewa, gundah-gulana, atau perasaan takut kehilangan jodoh kerana nikmat bercinta dengan Allah itu lebih indah dari segala-galanya.

Mereka bercinta kepada makhluk sekalipun adalah dek kerana itu adalah perintah Allah SWT dan sunnah rasulNya.

Jadi, amatlah sedih tak terhingga jika ada yang sanggup membuang hijab yang menutupi tubuh kerana ingin meraih cinta manusia. Bukan hanya membuang hijab, bahkan ada yang sanggup megorbankan maruah kerana semata-mata mahu membuktikan sebuah cinta makhluk yang penuh dengan ilusi dan tipu daya syaitan.

Apakah hanya kerana dia, kita sanggup menolak syurga?

Renung dan fikir-fikirkan... Juga saya tujukan untuk diri sendiri!

p/s-Khusus kepada adik-adik yang masih belajar di bangku sekolah. Tumpukanlah cinta anda sepenuh hati kepada alam di mana anda berada. Cintailah Allah, cintailah Nabi, buku-buku pelajaran, guru-guru anda, serta seterusnya kejayaan anda dalam setiap siri peperiksaan. Jangan sekali-kali mencuba-cuba untuk jatuh cinta kerana ia akan menggagalkan anda untuk terus maju ke hadapan. Jika anda cinta seseorang dan anda dicintai sekalipun anda tidak layak lagi untuk bercinta kerana anda masih ada tugas serta misi yang besar. Maka, mengapa perlu membazir masa?? Sudah banyak kali pengalaman saya saksikan orang jatuh cinta, tapi akhirnya tidak sampai ke mana. Hilang fokus pelajaran dan si dia hilang sekaligus. Bila dewasa barulah sesal datang... Ketika itu nasi sudah menjadi bubur. Wallahu a’lam.

No comments: