Wednesday, June 16

Marilah menangis sesaat...


Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

Hati menangis sama bila melihat gambar ini. Kesedihan seorang ulama turut dirasai.

Ya, kalaulah Tok Guru tercinta menangis kerana takutkan mati dan bimbang tempat apa yang Allah sediakan di barzakh nanti, saya semestinya menangis lebih dari itu lagi. Apalah kiranya amalan yang cuma sekangkang bayi ini mampu menjamin dari diazab oleh Allah Ta’ala kelak??

Masanya pasti tiba...

Jantung yang berdegup ketika ini, pasti menemui saat ia berhenti untuk selama-lamanya. Ketika itulah Sakratul Maut datang menjemput. Malaikat maut tak perlu permit untuk memaksa roh kita keluar dari jasad kerana permit itu telah pun kita ‘tanda-tangani’ di hadapan Allah SWT dahulu!

“Marilah... Mari beriman sesaat”—Abdullah bin Rawahah RA

Itulah kata-kata penuh hikmah seorang pujangga besar Islam. Beliau memimpin tangan Abu Darda’ RA sambil berkata, “Marilah... Mari beriman sesaat”. Walaupun keduanya adalah orang yang selalu ingat kepada Allah, tetapi masih saling mengingatkan antara satu sama lain. Mudah-mudahan kita ‘berbudaya’ seperti mereka...

Imam Ahmad Ibn Hambal didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki itu pun berkata;

“Apakah hukum bersyair?”

“Syair tentang apa?”—Jawab Imam Ahmad

Lelaki tersebut mendendangkan sebuah syair:

“Apabila Tuhan bertanya kepadaku,

Apakah engkau tidak malu bermaksiat kepada-Ku?

Engkau cuba sembunyikan dosa dari makhluk-Ku,

Tapi akhirnya engkau datang jua kepada-Ku dengan maksiat tadi,

Apakah engkau tidak malu?”

Imam Ahamd tidak menjawab. Beliau terus lari masuk ke dalam rumah. Lelaki tadi terpinga-pinga. Apabila ia merapatkan diri ke rumah Imam Ahmad, ia terdengar sang Imam mengulang-ulang syair tadi sambil menangis...

Pernah tak merasa pelik? Kenapa ye orang-orang Soleh dahulu selalu asyik menangis. Bandingkan dengan kita sekarang, mana lagi banyak? Menangis ke ketawa?

Ya.. Kita lebih banyak ketawa daripada menangis. Kalau menangis sekalipun kerana sebab lain. Jarang sangat kita menangis kerana Allah SWT. Terlalu jarang!

Orang-orang Soleh dahulu menangis kerana takut apabila mereka melakukan maksiat walau sebesar zarah sekalipun bimbang-bimbang ia akan ‘mencalarkan’ hubungan cinta mereka dengan Allah SWT!

Hari ini... Saya menyeru pada diri, “Marilah... Mari menangis sesaat”.

Mari kita kenang dosa-dosa lampau dan berfikir sama apakah Allah SWT sudah menerima taubat yang telah kita buat? Kerana masanya pasti tiba... Maut tidak akan menunggu umur kita seperti Allahyarham Ustaz Hassan Shukri barulah ia datang menjengah ke rumah.

Sungguh! Amat rugi hidup seorang lelaki yang tidak pernah menangis kerana Allah SWT.

No comments: