Wednesday, December 23

Revisit: Di persimpangan jalan...

Firman Allah SWT di dalam kitab yang Agung:

“maka Dia mengilhamkan kepadanya (dua jalan); kejahatan dan ketakwaan. Sungguh! Beruntung orang yang menyucikannya (jiwa). Dan sungguh! Rugilah orang yang mengotorinya.”—Surah Al-Syams.


Fahami setiap baris dan makna yang tertera pada sebarang tanda jalan kehidupan.. Moga kita tidak disesatkan.

Hidup di dunia ini adalah kembara.. kembara sang hamba. Perjalanan yang cuma sementara untuk merebut bekalan menuju Allah swt. Malang, oleh kerana seronok sangat ‘berjalan-jalan’ di dunia yang fana, ada manusia terus terlupa.

Setiap manusia dibentangkan kepadanya jalan-jalan.. Antara jalan yang HAK ataupun jalan yang BATHIL.. Terpulang kepada daya usaha manusia, nak pilih yang mana satu? Allah swt dengan sifat penyayangNya memberikan ‘option’ kepada insan untuk membuat pilihan..

Antara dua jalan.. Yang mana satu?

Yang mana satu pilihan hati.. Oh silap! Jangan pilih dengan hati.. Pilihlah dengan iman. Hati yang polos memang sifatnya nakkan yang indah-indah belaka.. Tapi hati yang beriman tidak begitu.. Hati yang beriman akan cuba menekuni segala kriteria yang memenuhi keinginan Allah swt. Walaupun jalan itu payah.. Kelam.. Ataupun penuh liku.

Cuba kita tenung-tenung seketika.. Bila Allah swt katakan, “Beruntunglah” ataupun “Rugilah”.. Apakah maksud sebenarnya ‘untung’ atau ‘rugi’ di situ? Boleh tak kita nampak dengan mata kasar?

Tidak.. Sekali-kali tidak..

Untung dan rugi itu adalah RAHSIA yang dihijab Allah swt.. Dia sahaja yang berhak mengetahui segalanya. Melainkan apa yang diizinkan olehNya untuk terzahir.

Jalan takwa yang membawa untung.

Pernah terjumpa satu keluarga.

Anak ada dua belas orang. Ibu tak bekerja. Ayah hanya pemotong rumput Dewan Bandaraya.. Tapi, anak-anak subhanallah.. Empat orang dah ke Azhar untuk belajar jurusan agama termasuk yang ke Shobra, tahfiz Quran. Yang lain masih menuntut di IPTA tempatan dalam jurusan medikal, kejuruteraan, dan sains. Dan, mereka semua adalah pelajar-pelajar soleh-solehah dan pintar belaka.

Percaya? Hanya dengan upah potong rumput, RM25 sehari tapi cukup untuk menyekolahkan anak-anak seramai 12 orang. Mungkin ada yang geleng kepala.. Mana boleh.. Tapi, itulah.. Jalan takwa yang dipilih oleh sang ayah untuk dipakai oleh ahli keluarga telah membuahkan hasil..

Dan akhirnya mereka berbahagia sebab ‘keuntungan’ sebenar bukanlah materialisme.. Tapi, barakah dari Allah swt.

Jalan keji yang akhirnya merugikan..

Pernah juga terjumpa satu keluarga.

Banglo ada dua biji. Kereta Mercedes dan BMW tersadai di tepi.. Setiap kali cuti, tiada tempat yang dikunjung melainkan Paris ataupun Kota London. Tapi malang, anak-anak tunggang-langgang.. Pengajian tak sampai ke mana.. Akhlak apatah lagi. Pantang disko dan pub dibuka waktu malam, merekalah pengunjung yang pertama.. Na’uzubillah..

Silapnya mungkin pada si ayah.. Allah swt dah menghamparkan dua pilihan. Nak guna jalan TAKWA atau KEJI untuk menyara keluarga? Sayangnya, jalan keji juga yang dipilih.

So, anak semakin hari makin bertambah “kurang-ajarnya”.. Isteri pula bertambah “biadapnya”. Suami yang dulu kuat, dah semakin tua dengan penyakit yang bermacam-macam.. Duit dalam bank semakin surut. Habis untuk membiayai kos-kos rawatan termasuk yang di ‘songlap’ oleh anak sendiri..

Inikah yang dikatakan ‘untung’ dan ‘kaya’ di mata manusia?

Banyakkan berdoa.

Mata kita ialah mata kasar. Tika membuat pilihan, tak semua benda mampu kita teropong dengan mata yang ada.. Tak semua benda juga mampu kita perhalusi dengan iman yang hanya setebal kulit bawang ini!

Maka, bila tiba di satu persimpangan dalam jutaan ‘simpang-simpang hidup’ yang masih menunggu di depan sana.. Apa yang kita boleh buat ialah, buatlah pilihan dengan ‘hati yang Beriman’. Bukan dengan ‘hati yang Polos’.

At the same time,, Berdoalah kepada yang Maha Tahu. Yang maha tahu apa yang ada di setiap simpang yang dibentang.. Dialah Allah swt. Dialah yang tahu, simpang itu “beruntunglah” ataupun “rugilah” buat si pemilihnya..

Berdoalah..

Berdoa..

Berdoalah..

Dan terus-terusan berdoa.

Sampai bila nak berdoa? Jawabannya; Berdoalah sampai mulut dan hati dah tak boleh digerakkan untuk berdoa.

Moga kita tak tersalah pilih..Ameen.


2 comments:

Promosi elaiemae2015 said...

salam tuan.ana mohon diberi kebenaran sebarkan artikel ini..banyak pengajaran.rugi kalau xdisebarkan..syukran

myikhwanfiideen said...

Walaikumussalam..

Sahabat mayaku.. Silakan tuan. Moga ada manfaatnya utk sy dan semua..

Cuma, mohon maaf sbb tulisan tu agak kechik.. ana x pasti knp bila click pd artikel dia jd camtu..