Saturday, December 26

Proglemano: Dakwah.. Jadikan ia mudah.

“Saya tak tahu nak cakap apa lagi.. Saya dah kehabisan idea.”—Adik peserta itu menggaru-garu kepala lututnya yang tidak gatal. Rakan-rakannya yang lain tersenyum.

“Saya rasa nak habiskan setakat di sini sahaja.” Semacam tampak dia dah berputus asa. Sesi pagi itu ialah setiap peserta diminta tampil ke hadapan untuk bercakap sesuatu mengenai Islam.

Ada yang boleh bertutur dengan lancar.. Ada yang punya idea mencurah-curah. Dan tidak kurang juga yang masih kekok seperti adik seorang ini..

-Gambar Hiasan-. Mengajak manusia, biarlah dengan bahasa yang selari dengan kefahaman akalnya..

“Bang, saya tiada ilmu nak cakap tentang Islam.”—Peserta tadi meluahkan masalahnya setelah selesai sesi pada pagi itu. Kini, hanya kami berdua sahaja. Sengaja saya mengambil masa yang lebih ‘privacy’ untuk mendekati adik-adik ini. Biar mereka merasa tidak malu untuk berkongsi masalah. Berbanding apabila kita bertanya secara ‘direct’ di depan rakan-rakan mereka yang lain.

“Kenapa pula tiada ilmu?”—Saya menyoal lagi.

“Betul bang. Saya bukan pelajar sekolah agama.. Apalah yang saya ada..”

“Kamu ada kalimah syahadah. Lailaha illallah, itu pun Ilmu!”. Balas saya ringkas dan padat.

Adik tadi terlopong seketika..

“Ya dik. Ilmu itu sebenarnya dah ada di dalam diri kita.. Tinggal lagi kaedah bagaimana untuk kita nak sampaikan kepada manusia..”

Lailaha illallah.. Ini juga ilmu dakwah!

“Dan siapa lagi yang paling baik kalimatnya di sisi Allah SWT kalau bukan mereka yang menyeru dan mengajak kepada jalan Allah...”—Al-Quran.

Setiap dari kita sebagai hambanya yang beriman kepada Allah dan cintakan RasulNya tidak seorang pun yang terlepas dari tanggungjawab untuk berdakwah. Iaitu dalam konteks yang umumi, mengajak manusia kepada jalan KEBAIKAN dan mencegah mereka pada jalan KEROSAKAN.

Dan, setinggi-tinggi kalimat dakwah di sisi Allah SWT ialah seruan ta’abbud yang terkandung dalam lafaz lailaha illallah, Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah!

Bukankah kalimat yang agung itu sudah terpasak dan terbumi di dalam jiwa kita yang dibaluti oleh nilai-nilai keimanan? Maka, secara tidak langsung sebenarnya ilmu tentang apa yang kita mahu sampaikan kepada manusia sejagat sebenarnya telah lama ada sejak dari kita mengenal apa itu Islam. Tuntas, inilah juga maudhu’ (tajuk) yang akan kita gunakan untuk menyeru manusia keliling!

Cuma, persoalannya sekarang ialah bagaimana kita nak berdakwah? Maksud saya, bahan dakwah sudah tersedia tinggal lagi bagaimana untuk kita menyampaikan kepada orang lain mengikut KREATIVITI kita masing-masing. Kreativiti itulah yang dinamakan seni berdakwah!

Berdakwah dan SENI berdakwah.

Firman Allah SWT:

“Serulah kamu di jalan Tuhan engkau dengan berhikmah serta dengan petunjuk-petunjuk yang baik lagi benar..”—Al-Quran.

Ulama terkenal iaitu, Dr. Said Al-Qahtani menerangkan perihal ‘berhikmah’ sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas dengan membahagaikannya kepada dua jenis.

Pertama, hikmah yang bermaksud TEORITIKAL. Iaitu, kemampuan untuk melihat sesuatu peristiwa ataupun perkara dan kemudian mampu membuat hubungkait sebab dan akibatnya, baik buruknya, serta hukum yang dikeluarkan daripadanya..

Kedua, hikmah yang bermaksud PRAKTIKALITI. Iaitu, kemampuan seorang da’ie untuk mengaplikasikan ilmu yang sedia ada pada masa yang tepat dan dengan menggunakan kaedah yang paling sesuai.

Maka, pada perihal ‘kaedah yang paling sesuai’ inilah yang akan merujuk kepada namanya SENI dalam berdakwah. Hakikatnya, setiap orang dikurniakan oleh Allah SWT kemampuan dan sifat kreativiti masing-masing yang unik. Inilah yang membezakan setiap dari para da’ie. Masing-masing punyai SENI tersendiri.

“Hmm.. Kalau begitu, kira orang yang melukis kartun untuk tujuan kefahaman Islam dikira mereka pun berdakwah jugalah kan?”—Soalan tercetus setelah lama termenung.

Cat Steven@Yusuf Islam. Beliau ada SENI tersendiri dalam berdakwah.

“Ha’ah.. Itulah seni dia dalam berdakwah.”

“Yang penting matlamat apa yang dia nak capai.. Kalau untuk kebaikan Islam dan manusia, insya Allah itupun dikira sebagai berdakwah.”. Saya cuba menerangkan konsep dakwah dalam konteks yang paling ‘ringan’ untuk tahap pemikiran adik-adik seawal alam persekolahan menengah.

Percayalah,

Dakwah ini mudah.. Tidak susah.

Dakwah ini boleh dibuat oleh siapa sahaja..

Hatta menunjukkan akhlak mulia, ini pun suatu dakwah.—Dakwah bil haal!

Harapan kita agar biarlah mereka generasi baharu teruja untuk melakukan dakwah!

No comments: