Thursday, January 17

Di Mana Sudah Budaya Membaca MAHASISWA?



Merujuk kepada situasi mahasiswa kini yang begitu tandus peratusan pembacaan selama berada alam pengajian begitu membimbangkan. Ia memperlihatkan jati diri budaya keilmuan yang begitu rendah. Apatah lagi, jika dibandingkan pula dengan negara yang dilihat tidak setanding dari segi kemajuannya dengan Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, berdasarkan satu kajian, jumlah buku yang dibaca oleh pelajar Australia ialah 180 buah, Indonesia (94 buah), India (130 buah), Thailand (56 buah) dan Brunei (26 buah). Namun, mahasiswa Malaysia hanyalah berjumlah 12 buah buku selama tiga tahun pengajian.
Tambahan pula, menurut kajian yang sama, didapati bahawa jumlah buku yang dibeli oleh pelajar Australia ialah 160 buah, Indonesia (43 buah), Thailand (31 buah), India (75 buah) dan Brunei (15 buah), berbanding Malaysia sekadar berjumlah empat buah untuk tiga tahun pengajian (enam semester).
Berdasarkan pendapat ilmuwan, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud, budaya ilmu dan tamadun yang lahir darinya adalah berkait rapat dengan sistem nilai (aksiologi), pandangan alam (world view) dan idealisme sesebuah sistem sosial dan individu yang berada di dalamnya. Timbul persoalan, adakah pembinaan budaya intelektual dan paradigma pemikiran masyarakat di Malaysia sudah pincang dan merudum menyembah bumi?
Kebimbangan ini timbul tatkala memikirkan bagaimana bangsa Yunani suatu ketika dahulu diliputi pemikiran dan kepercayaan bahawa kecantikan adalah merujuk kepada tubuh badan yang tiada seurat benang. Justeru, tidak hairanlah segala lukisan dan seni ukir akan merujuk ke arah itu. Malah, meskipun mereka memiliki ahli falsafah seperti Socrates mahupun Aristotle, yang memiliki pelbagai idea melangit namun, lihatlah bagaimana Will Durant dalam The Story of Civilization menggambarkan kehidupan mereka yang terdiri daripada ahli fikir:
"Kami mempunyai institusi pelacuran kelas tinggi (courtesans) untuk keseronokan, gundik untuk kesihatan harian tubuh badan"
Segala tindakan adalah berdasarkan corak pemikiran yang tidak dipandu dengan neraca kebenaran sudah pasti mudah terjerumus di dalam kancah kesalahan. Kita tidak hairan sebenarnya kerana Tamadun Yunani meskipun hebat tetapi kemungkaran yang berlaku adalah disebabkan tiada panduan Kitab Suci. Mereka hanya memiliki pemikir yang bukan terpelihara daripada kesalahan. Logikkah Malaysia menjadi sedemikian?
Berdasarkan senario yang berlaku di Malaysia berdasarkan kajian tersebut, salahkah ditafsirkan ia adalah petanda bahawa corak pemikiran masyarakat Malaysia sukar diubah atau salah cara dalam mengubah? Adakah corak pemikiran sebelum kedatangan Islam seperti Animisme, Dinamisme, Megi Religi masih wujud dan sukar diubah atau dipisahkan dari pola pemikiran masyarakat Malaysia? Jika bukan begitu, jenis apakah pandangan hidup atau pandangan alam di kalangan penuntut ilmu di Malaysia?
Saya tertarik kaedah pembacaan seorang tokoh iaitu Dr. Fadzilah Kamsah yang pernah mengatakan bahawa beliau membeli buku setiap minggu untuk dihayati dan difahami. Cuba fikirkan juga bagaimana al-Biruni masih bertanyakan soal keilmuan meskipun ketika beliau sakit. Bahkan seorang ulama, al-Jahiz telah meninggal dunia akibat tertimbus oleh timbunan buku-bukunya. Ibn Rusydi pula lebih mengujakan lantaran seumur hidup hanya 2 hari beliau meninggalkan ilmu iaitu pada hari kematian bapa dan hari pernikahannya.

Tahap pembacaan yang luas merupakan antara indikator batu loncatan untuk mengembalikan kesedaran kelimuan dan tradisi idealisme yang mencapah. Jika ini tidak dicapai, bilakah akan muncul saat masyarakat membudayakan tradisi tersebut. Kita sedar bahawa, budaya ilmu bukan sekadar memahami sesuatu bidang semata-mata, malah lebih penting menjelmakan sifat keilmuan yang multi-disciplinary (pelbagai bidang) dan inter-disciplinary (rentas bidang). Tetapi, adakah ini mampu dicapai jika hendak dibandingkan dengan kajian bancian pembacaan tersebut?
Ingatlah ungkapan Tokoh Sarjana Muslim, Nabi Muhammad s.a.w: "Sesungguhnya orang berilmu (ulama) di bumi umpama bintang-bintang sebagai panduan di kala kegelapan daratan dan lautan". (Riwayat Ahmad). Keilmuan merupakan salah satu dari kewajipan agama. Menurut Syed Ali Tantawi dalam Mauqifuna Min al-Hadarah al-Gharbiyyah: "Majoriti kaum Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian dengan kewajipan agama, mereka berada di belakang umat-umat yang lain. Mereka menjadi hujah bagi musuh-musuh"
Majoriti masyarakat Malaysia adalah Melayu-Islam. Berdasarkan justifikasi awal, kelemahan kini adalah disebabkan jarak antara pengamalan kepercayaan hidup yang dianuti dengan cara hidup yang begitu jauh. Jadi, binalah konsep Tauhidic Worldview yang menitikberatkan soal proses keilmuan dan realisasi Integrated Knowledge. Tumpuan sudah pasti akan terfokus kepada pelajar universiti. Apatah lagi, kerajaan akan mengumumkan institusi pengajian tinggi (IPT) yang bakal merintis status Universiti Apex yang diperkenalkan sebagai landasan pantas untuk menjadi universiti bertaraf dunia, pertengahan tahun depan.

Myikhwanfiideen 08..

No comments: