Friday, March 21

Ikhtilat...


Seorang yang menggelarkan dirinya YANG JAHIL meminta saya untuk menulis artikel berkaitan ikhtilat dalam gerak kerja. Saya ada bertanyakan satu persoalan yang harus kita fikirkan bersama. Apakah yang dimaksudkan dengan masalah hati.

Masalah hati dalam perbincangan ini bukan merujuk kepada hati yang tidak bersih sehingga melahirkan maksiat seperti mengumpat, mencela, dan juga merosakkan harta benda. Tetapi maksiat hati dalam ruangan ini merujuk kepada suatu dimensi perhubungan antara dua gender yang berbeza.

Lelaki dengan perempuan merupakan ciptaan Allah yang dijadikan untuk hidup bersama. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan dengan tujuan untuk menampung. Lelaki mungkin ada kebijaksanaan akal 9/10 tetapi perempuan memiliki prestasi emosi 9/10. dengan emosilah perempuan jarang sekali terlibat dengan perkara-perkara negatif seperti rasuah dan berat tulang.

Akal tinggi yang dimiliki lelaki akan menuntuni perempuan, maaf, lebih baik jika kita gunakan istilah wanita, manakala dengan emosi wanita yang baik itulah mereka menampung kekurangan lelaki. Antara keduanya ada satu magnet yang boleh mendekatkan antara keduanya.

Allah SWT mengizinkan magnet itu mencantumkan kedua-dua gender ini apabila tiba masanya. Lalu dengan magnet inilah lelaki menaruh perasaan kepada wanita dan wanita menaruh perasaan kepada lelaki. Ia sangat adil dan sangat indah apatah lagi kalau kekuatan magnet itu digunakan dengan cara yang baik dan berkesan.

“Akhi, ana cukup berkenan dengan si Ani tu. Dia seorang muslimah yang solehah. Kami pernah bekerja bersama-sama dalam satu program lama dahulu”.

Ah, bolehkah si Yusri ini (bukan nama sebenar) menaruh hati kepada si Ani yang pernah bekerja dengan beliau? Jika kita katakan salah, maka kita tidak bersikap adil kerana kita telah menafikan kuasa dan pengaruh magnet yang telah dibekalkan oleh Allah kepada kita.

Dengan kuasa magnet itulah Abang Naim berkahwin dengan Kak Suhaila. Maka apakah kedua-duanya salah kerana masing-masing ada perasaan semasa bekerja bersama-sama. Pastinya tidak sama sekali.

Lalu, bagaimana dengan maksud ikhtilat yang ingin kita bicarakan. Apakah si wanita yang bercakap dengan suara yang sangat perlahan sehingga dengar-dengar sahaja, memaksa si lelaki menumpukan sepenuh perhatian untuk mendengar bait-bait katanya? Ah, kalau sampai begitu, masakan kita mampu mencari pengganti Rafidah Aziz dan Shahrizat Jalil mahupun Nurul Izzah.

Apakah ikhtilat itu, si lelaki langsung tidak akan memandang wanita dengan matlamat menundukkan pandangan? Lalu jadilah seperti seorang kawan saya yang menundukkan pandangan ketika melintasi saya sehingga hampir terlanggar tiang.

Apakah ikhtilat itu, program harus diasingkan antara lelaki dengan perempuan supaya kian terjaga. Kalau begitu, maka saya dapat merasakan percambahan idea tidak akan berkembang. Idea lelaki dengan wanita pasti ada banyak bezanya, apatah lagi si wanita sangat halus dan teliti kerjanya sedangkan si lelaki pula hanya bersahaja.
Lalu, apakah ikhtilat itu? Saya sengaja mengemukakan beberapa persoalan terlebih dahulu agar difahami dengan baik secara realitas. Maaf, tulisan saya ada bercampur sedikit dengan bahasa Indonesia.

Saya dapat merasakan ikhtilat itu adalah baik lelaki atau wanita, masing-masing tidak melayan perasaan sehingga melarutkan diri dalam lemas kesenangan. Mereka jadi tidak tenang dan gumam, tidak melakukan apa-apa gerak kerja, ataupun jika dilakukan itu pun kerana si dia.

Si lelaki tidak akan berjalan berdekatan si wanita, begiru juga tidak akan berjalan belakang si wanita. Ini sangat pantang. Jika mahu berjalan bersebelahan sekalipun, ia mesti dalam jarak yang jauh untuk menjaga.

Si wanita tidak akan keterlaluan dalam melembutkan suara sehingga mampu menggoda dan meransang, dan tidak menunjukkan aksi-aksi yang boleh menimbulkan rasa yang kurang baik dalam hati wanita.

Kedua-duanya tidak akan tenggelam dalam percintaan sehingga bahasa SAYANG menguasai menyebabkan hidup tidak tenang dan tenteram. Ikhtilat dengan tidak berada berdekatan seperti berhadapan dengan secara dekat semasa mengadakan mesyuarat apatah lagi berpegangan tangan dan berjalan di waktu malam.

Ikhtilat adalah SAD ZARAIE, satu kaedah pencegahan sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini berdasarkan slogan JANGAN SEKALI KAMU DEKATI ZINA. Kenapa perlu si lelaki sentiasa bertemu si wanita atas alasan rindu dan sayang seolah-olah mereka tidak punya masa untuk mencurahkan rindu kepada Tuhan yang Maha Esa dan untuk perjuangan. Kenapa dihabiskan duit si dia terlalu banyak sedangkan duit untuk perjangan langsung tidak dihulurkan.

Saya mengingatkan kepada yang asyik bercinta. Bercinta harus, tetapi lemas haram. Bercinta harus, tetapi sekiranya anda makin hilang fungsi sebagai hamba, maka ia haram. Berhubungan dengan wanita, atau dengan lelaki, adalah dengan tujuan untuk saling lengkap-melengkapi dan untuk memudahkan urusan. Jika magnet itu teransang, maka salurlah dengan cara yang paling baik.

Kata BUDAK U, kahwinlah…

Nukilan: Ustaz Dzulkhairi (PRES. GAMIS 07/08)

No comments: