Showing posts with label lifestyle. Show all posts
Showing posts with label lifestyle. Show all posts

Sunday, October 26

Pena tumpul?

Sudah begitu lama jemari ini tidak menginjak keyboard.

Posting yang terakhir pada 28 Disember 2012. Sudah hampir 2 tahun!

Banyak yang ingin dikongsi sepanjang tempoh itu. Tetapi masa membatasinya. Kesibukan harian membelit tangan akhirnya pena menjadi tumpul buat sementara.

Apapun, teruskan perjuangan!

Salam Maal Hijrah 1436h!

 

Friday, December 28

Membina sistem kepercayaan anak

"Ahmad, sebut Allah.." Ujar saya kepada anak kecil yang baru usianya setahun.

"Aallaaah, Allaaah, Allaaaah.." 

Menyebut kalimat 'Allah' agak panjang, jelas, dan menggayakan mulut agar dia boleh menangkap bunyi serta aksi mulut saya. 

Allah, Allah, Allah.

Alhamdulillah dia boleh berzikir dengan kalimat Allah tersebut. Cuma yang lucunya kadang-kadang tersasul dengan perkataan. 'Abah', 'Apa', dll. :) Ada juga ketikanya, dalam tandas pun nak sebut kalimat suci itu walhal makruh kalau ikut hukumnya.

Itulah dia keletah anak.

Anak kecil yang baru nak mengenal alam yang penuh cabaran  ini.

Bila merenung air muka mereka, sebagai ibu bapa, akan terbit dua jenis perasaan. Yang pertama, gembira dan nikmat akan pemberian Allah yang tiada tolok bandingnya. Yang kedua, akan ada perasaan gerun. Apakah kita sebagai ibu dan ayah mampu mendidik mereka hingga ke titian Jannah?

Saya pernah menulis kebimbangan ini sewaktu bujang dahulu. Anak, Amanah yang akan di tanya.. (link)

MEMBINA SISTEM KEPERCAYAAN ANAK.



Membina sebuah bongkah ais yang hebat dan gagah memerlukan sebuah proses yang panjang. Begitu juga sistem kepercayaan anak. Yang menjadi bekalan iman di hari dewasa kelak.

Ia bermula sejak dari anak itu memberikan respon terhadap alam. Sejak dia mengenal bunyi, cahaya, dan perasaan.

Kadang ada perasaan ragu, mengajar mereka sebutan seperti Allah dan sebagainya, betulkah dia faham sebutan tersebut seperti mana kita memahaminya dan mengimaninya?
 

Sudah tentu jawabannya tidak.

Tetapi percayalah bahawa ia merupakan sebahagian daripada permulaan sebuah proses pembinaan sistem kepercayaan anak. Bongkah ais yang hari ini kita nampak gah, sebenarnya terbit dari sebuah proses yang pada suatu ketika dulu hanyalah gumpalan-gumpalan kecil yang orang menganggapnya remeh.

Sebab itulah setiap elemen penerapan sistem kepercayaan anak (keimanan) jangan dipandang ringan.

Apa yang mereka tutur.

Apa yang mereka lihat.

Dan apa yang mereka dengar..

Mestilah diupayakan untuk menjurus kepada objektif pembinaan sistem kepercayaan yang berlandaskan pegangan Quran dan Sunnah.

VIRUS DAJJAL


"Keputusan-keputusan harian kita, merupakan jelmaan perisian dalaman diri yang menjadi sasaran serangan Dajjal, dan Surah al-Kahf pula melindungi perisian itu daripada serangan tersebut."-Abu SaiF

Membaca tulisan Abu Saif dalam laman sesawangnya tentang 'serangan Dajjal terhadap perisian iman' membawa kita berfikir sejenak, apakah virus itu berkemungkinan wujud di dalam rumah kita sendiri?

Ini yang menggusarkan.

Bukan bermaksud mengambil keputusan menghumbankannya ke laut. Cuma berusaha memberi perhatian terhadap kandungan dan moral yang ingin di sampaikan oleh salah sebuah alat media tersebut. 

Kerana ketika mana sang anak melalui proses pembinaan sistem kepercayaan kritikal seawal usia mereka yang mana  upaya pertimbangan baik-buruknya hanya 'sekepal' tangan,  bimbang-bimbang ketika itulah virus Dajjal mencurahkan asidnya tanpa sedar.

Alhamdulillah. Hari ini nursery, pusat-pusat asuhan dll. telah mempunyai modul islamik tanpa hanya mengharapkan sang televisyen menghiburkan anak-anak semakin mudah untuk didapati.

Tinggal lagi pilihan di tangan kita sebagai ibu bapa.

Ya Allah, kami tiada upaya mendidik melainkan dengan wahyuMu dan ketentuanMu. 

Bantulah kami ya Allah. 

Bimbinglah kami agar kami jua dapat membimbing anak-anak kami ke jalanMu yang lurus.

Friday, September 17

CANTIK. Antara yang luar dan dalam


CANTIK. Yang bagaimana?

Untuk kelihatan lebih cantik, bukan sedikit orang yang sanggup melakukan apa saja…

Kerana mahu kelihatan cantiklah, ada orang sanggup merungkai tudung yang bertahun-tahun diikat pada kepala kerana menyangka rambut hitam itulah yang akan menyerlahkan kecantikan.

Itulah bahayanya bila definisi kecantikan hanya tertakluk pada luaran. Tidak disertakan bersama formula kecantikan dalaman.

Cantik. Yang bagaimana sebenarnya?

Ramai orang hanya menilai dengan mata. Tidak disertakan dengan mata hati.

Kerana itulah ramai orang juga tertipu dek mata kepala sendiri.

Indahnya suatu penilaian yang disertakan dengan mata hati. Kerana mata hati tidak pernah menipu. Apatah lagi mata hati yang diselimuti oleh gebar keimanan dan ketakwaan!

Pastinya yang lebih cantik itu ialah yang cantik dalaman. Bukan luaran semata-mata.

Kecantikan luaran hanyalah pada kulit yang akan berkedut. Pada pipi yang akan keronyok. Pada gigi yang akan tertanggal. Dan serba-serbi luaran fizikal manusia yang akan membusuk dan kemudian dimakan jua oleh tanah dan ulat.

Tapi kecantikan dalaman ia terletak pada PRINSIP, GAYA BERFIKIR, dan AKHLAK. Ia sesekali tidak akan menua bahkan semakin menawan dengan lanjutnya suatu usia.

Kecantikan dalaman hanya boleh disedari oleh mata hati yang melihat dengan iman. Tidak pada mata kepala yang hanya menilai dengan nafsu.

Kecantikan yang asli adalah kecantikan dalaman.

Manakala kecantikan luaran hanyalah ‘bonus’ yang DIUJIKAN oleh Allah SWT.

Awaslah para wanita yang punya kecantikan luaran. Ia boleh jadi ujian yang melekakan ataupun untung yang menambahkan lagi keinsafan.

Allah SWT sudah memberi peringatan akannya;

“Jika kamu bersyukur maka Aku akan tambahkan lagi nikmat padamu. Tapi jika kamu engkar, sesungguhnya azabKu amatlah pedih!”

Dan bersyukurlah para wanita yang tidak diuji dengan kecantikan luaran.

Kuranglah beban ujian untuk anda. Bersyukurlah kerana anda sudah ada kecantikan dalaman. Manakala kecantikan luaran itu tidak akan membawa apa-apa makna disisi Allah SWT jika tidak hadirnya akan kecantikan dalaman.

Allah ‘menilai’ yang dalam dan bukannya pada yang luar.

Bagi wanita yang hanya ada kecantikan luaran;

Andalah manusia yang paling hodoh tanpa sedar. Berhentilah menipu mata yang menonton secara percuma lakonan wajah yang tidak akan ke mana...

Kecantikan luaran yang tidak dihiasi dengan kecantikan dalaman ibaratkan sebuah cawan emas yang tidak boleh berfungsi sebagai alat kepada empunyanya untuk meminum air. Hanya menjadi perhiasan rumah yang menunggu masa untuk dihuni sawang!

Bagi wanita yang merasa cuma ada kecantikan dalaman;

Usahlah merendah diri. Antara Allah dan manusia, siapakah yang kita mahu jadikan sebagai Panel ‘penilai prestasi kecantikan diri’? Tentulah Allah!

Ayuh bangunkan lagi kecantikan dalaman agar ia sekaligus menghiasi penampilan luaran.

Bagi wanita yang punya kecantikan luaran dan sekaligus dalaman;

Sentiasalah bermuhasabah dengan ayat di atas tadi. Teruslah bermujahadah moga-moga ‘ujian’ kecantikan yang diberikan oleh Allah itu juga akan menjadi salah-satu untung pelaburan di akhirat sana...

Ingatlah, mereka yang selamat di negeri dunia dan negara akhirat ialah mereka-mereka yang membungkus rapi kecantikan dan tidak memperagakan secara percuma kepada para mata-mata Syaitan!

Tuesday, August 17

Facebook: Sekadar pendapatku


SEKADAR HIASAN.

Saya membuka laman Yahoo pagi ini… 17 Ogos 2010.

Terpampang berita yang amat ‘kurang ajar’ bagi umat Islam seluruh dunia.

Menambahkan lagi penghinaan buat umat yang sudah lama dizalimi ini...

Seorang bekas askar wanita Israel mengirimkan gambarnya memakai sut tentera tersenyum di depan tiga warga Palestina yang diikat sambil mata ditutup.

Melalui laman sosial Facebook, askar wanita itu berkongsi komen dengan kawan-kawannya...

Antara yang disebutkan;

“Awak nampak seksi seperti itu” Komen dari kawannya.

“Saya fikir mereka ada Facebook!” Jawab askar tersebut. Tambahnya lagi, “Saya mahu ‘Tag’ dia (warga Palestina) dalam gambar ini.”

Komen penghinaan yang benar-benar menyayat hati!!

Sengaja saya tak paparkan gambar yang dimaksudkan. Maklumat lanjut, lawat link ini --> [link]

---------------------------------------------------

Berita di atas kebetulan berlaku ketika saya ingin menulis sesuatu tentang Facebook.

Beberapa hari lalu ada orang menyapa;

“Aik? Dah tak jumpa kat Facebook. Enta quit kah?” Tanya seorang sahabat.

Saya mengangguk.

Facebook.

Laman sosial yang paling ‘meletup’ zaman ini.

Hari ini, anda mungkin dianggap ‘kuno’ jika tidak mempunyai ID Facebook.

Saya akui bahawa saya juga menggunakan teknologi komunikasi itu.

Sampailah satu ketika saya rasa seoalah-olah berada di satu bilik maya yang penuh dengan ribuan manusia dalam satu masa.

Manusia yang hadir sudah tidak kekeruan lagi. Pelbagai karenah, ideologi, niat, identiti yang dizahirkan dengan cakap-cakap.

Huru-hara jadinya bilik sekecil itu!

Saya lemas... Rimas.

Mula asalnya ingin bercakap sesuatu perkara yang penting. Ingin mengingatkan dan berkongsi suatu benda bermanfaat.

Tetapi, huru-hara menenggelamkan kesemua itu....

Lalu saya terfikir, mengapa masih duduk dalam bilik kecil ini?

“Habis enta tak setuju lah berdakwah secara maya?”. Tanya sahabat ini. Dahinya berkerut.

Kenapa pula saya tidak bersetuju?

Teruskanlah....

Moga-moga manfaat agama boleh dikongsi kepada semua orang. Saya tabik mereka yang boleh memanfaatkan laman sosial seperti itu!

Cuma sahabatku, ada beberapa perkara yang kita jangan alpa.

Antaranya soal masa.

Pernahkah kita menghitung antara masa kita menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk iman dengan masa yang digunakan bagi namanya hanya perbualan kosong atau sembang?

Hitunglah sebelum Allah sendiri yang menghitung buat kita.....

Saya membaca sebuah buku Kisah Imam Hassan Al-Banna.

Manusia abad kontemporari yang tidak pernah meninggalkan suatu tempat pun di Kaherah melainkan semua dikunjungi.

Kunjungan dakwah dan Islah namanya.

Termasuklah disko dan pub.

Mungkin sebalik kisah agung itu kita terlupa tentang prinsip.

Prinsip Al-Banna! Bukan main pakat-pakat redah begitu saja....

-------------------------------------------

Blog?

Alhamdulillah blog ini masih bernafas....

Saya pun tak pasti. Macam-macam jenis nafas dari blog kembarasanghamba ini.

Dari gambar-gambar program, catatan kembara, sehinggalah ke cerpen. Semua ada.

Saya rasa dengan blog saya lebih tenang... Damai.

Dalam istilah modennya, kita lebih berautoriti untuk memonopoli ruang maya.

Orang datang hanya lalu-lalang. Kalaupun ada yang sudi, mereka akan duduk sebentar. Melepas lelah sambil-sambil mendengar celoteh dari saya.

Dan sekalung terima kasih buat orang-orang yang Ikhlas lagi jujur.

Mereka yang sering mengangkat tangan membetulkan celotehku.

Terima kasih....

Wednesday, August 11

Mencari yang sedap!



Anak siapa ni? A real Imam Muda

“Eh.. Awalnya bazaar Ramadhan kat Taman kita ni.” Kata Sham.

Sahabat saya yang juga tutor UNIMAS itu terkejut. Apa tidaknya pukul 11 pagi bazaar dah mula beroperasi di sekitar perumahan tempat kami berenam tinggal.

Apa yang menariknya ketika waktu seawal itu sudah ada pelanggan yang mula berkeliaran mencari juadah! Demam bazaar barangkali.

“Jadi petang ni nak pergi bazaar mana?” Uji Faiz.

“Enta ni.... Zuhur pun belum tapi hati dah teringat waktu berbuka.” Kata Sham dengan nada mengusik.

“Betul. Baru nak cakap.” Saya menambah. Faiz tersengih.

Di sana-sini bazaar tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Pemandangan biasa setiap kali bulan ramadhan bertandang. Cuma agak mendukacitakan kadang-kadang pesta makanan lebih mendapat tempat di hati orang berbanding pesta ibadah.

Semalam...

“Enta nak tarawih mana malam ni?” Tanya Sham pendek.

“Kat masjid taman jelah. Ustaz Khairul dah takde.” Jawabku.

Teringat kepada ustaz Khairul Zaman. Imam muda di Masjid Sultan Ismail UTM suatu ketika dahulu yang juga berkelulusan qiraat di Kaherah, Mesir. Ketika ramadhan lepas kami serumah antara makmum beliau yang setia walaupun jarak antara rumah sewa dengan masjid universiti agak jauh.

“Alhamdulillah... Yang ni pun sedap juga.” Hatiku berbisik selepas solat tarawih.

“Malam esok kita solat di Taman U pula..” Cadang Sham.

“Dengar-dengar bacaan imamnya pun sedap.” Tambahnya lagi.

Mencari yang sedap! Eh. Macam juadah pula.

Macam-macam gelagat orang di bulan ramadhan. Macam-macam keinginan manusia di bulan yang mulia ini.

Kalau kita berpuasa dengan perut maka apa yang kita dapat ialah hanya nikmat sedap pada perut ketika berbuka.

Tapi kalau kita tambahkan lagi level puasa ke seluruh anggota tubuh badan termasuk pancaindera dan hati maka pelbagai nikmat akan kita rasai saat berbuka puasa.

Bukan hanya perut yang mahu meminta juadah yang sedap-sedap tetapi telinga turut teringin untuk ‘berbuka’ denggan alunan bacaan yang indah-indah...

Selamat berbuka....

Wednesday, July 7

Bukan kerana bola



"Etes-vous comme le football?" (Are you like football?)-->Zinadine Yazid Zidane

Anda minat bola?

Jarang sekali seorang lelaki berkata tidak jika diajukan soalan sebegini. Walaupun dia berjawatan ‘kaki bangku’ sekalipun. Bola tetap dihati. Pandai sepak bola atau tidak itu cerita lain...

“Aih! Apa yang istimewa sangat dengan bola nih??” Barangkali itulah rungutan seorang isteri bila melihat mata suaminya ‘melekat’ di kaca televisyen. Si isteri meluat tapi suami buat-buat tak tahu...

Apalagi jika musim WC...

Suami sanggup bangun malam semata-mata mahu melihat Kaka atau Messi beraksi. Tapi kalau malam-malam biasa bila si Isteri minta tolong buatkan susu untuk anak, jangankan nak bangun malah tambah berdengkur! Hehe.. Kesian!

Apa yang istimewa dengan bola??

Ada siliberiti?

80% Setuju... Kita tengoklah iklan-iklan di Eropah. Mereka menggunakan pemain-pemain bola untuk melariskan barang-barang jualan. Contoh di Malaysia, iklan minyak rambut Bylcream yang mengupah Christiano Ronaldo. Caltex sebelum ini menggunakan David Beckham. Dan ramai lagi...

Ada skil?

90% setuju...

Manusia meminati manusia lain tidak semuanya kerana wajah atau rupa paras yang ada. Kajian mendapati kebanyakan mereka yang berjaya dan terkenal di dunia ini adalah kerana kemahiran ‘internal’ dan bukannya ‘external’ kapasiti.

Kalau dalam bola, mereka yang menjadi lagenda seperti Pele dan Maradona taklah sekacak mana pun. Tapi skil yang ada menyebabkan ramai yang menggilai mereka di serata dunia.

Ok. Apa lagi yang istimewa dengan bola?

Eh, sebelum tu... Saya menulis bukan untuk menggalakkan anda menonton bola. Atau meminati sehingga tahap menggilai bola. Tidak. Tengoklah sekali sekala apa salahnya. Lagipun daripada anak-anak muda menonton akademi, juara lagu, atau mentor di kaca televisyen itu, kan lebih baik menonton bola??

WC 2010!

Saya akui saya adalah penggemar bola. Tapi taklah sampai ke tahap ‘penggila bola’. Saya hanya menonton skuad-skuad pilihan seperti Brazil dan Argentina. Tapi akhirnya kedua-dua skuad pilihan ini tersungkur sebelum tiba ke separuh akhir!

Itulah bola... Bola itu bulat!-->Bola memang bulat tapi hidup kita tidaklah hanya sebesar bola... Ingat tue!

Kalau anda nak tahu sepanjang WC 2010 ini ada seorang anak muda yang mencuri tumpuan media... Dia tidak lain dan tidak bukan ialah Mesut Ozil. Pemain berjersi No.8 dari skuad Jerman yang meranapkan skuad pilihan Argentina di suku akhir.

Saya rela Argentina dikecewakan oleh Jerman kerana mereka ada Ozil.

Mesut Ozil

Ada apa dengan Mesut Ozil?

Kalau lensa media Eropah tidak lekang memberi fokus x10 kepada anak muda ini kerana potensi serta skil yang ada pada dia tapi bagi kita bukanlah itu yang paling istimewa. Isu yang paling berharga ialah kerana Mesut Ozil adalah seorang Islam!

Beliau baru berumur 21 tahun tetapi sudah mempunyai bakat yang luar biasa. Ozil telah membantu Jerman pada tahun lalu untuk menjuarai kejohanan UEFA bawah 21 tahun. Sebelum WC 10, anak muda berdarah Turkey ini menjadi sandaran negara Jerman untuk skuad B17, B19, dan B21 mereka.

Ya... Kadang-kadang kita terlepas pandang bahawa di sana ramai lagi pemain-pemain bola sepak yang hebat dan beragama Islam.

Anda kenal Ibrahim Affellay?

Ibrahim Affellay

Beliau dianggap antara pemain yang berbakat dalam skuad Belanda. Beliau menyarung jersi untuk kelab PSV Eindhoven sehingga mendapat penghargaan Eredivisie sebagai pemain terbaik 2007/2008. Ibrahim selalu menghabiskan bacaan Quran di bilik persalinan sebelum melangkah kaki ke padang. Hinggalah beliau dipilih sebagai ‘Moslim van het jaar’ iaitu Muslim Teladan di Belanda (Netherlands)!

Sulley Muntari. Pernah dengar nama ini?

Sulley Muntari

Beliau merupakan pemain Inter Milan. Kelab terkemuka Itali dalam liga Seria-A. Ketika ada tokoh politik di Itali mengatakan puasa di bulan ramadhan akan membantutkan aktiviti rakyatnya, Muntari yang berpuasa ketika itu tetap melangkah ke padang.

Aksi cemerlangnya membuktikan bahawa dakwaan itu salah sama sekali. Bahkan beliau menyumbat gol sambil mengisyaratkan huruf ‘C’ (bintang) sebagai tanda keislamannya. Allahu Akbar!

Juga masih ingat bila Nicolas Anelka menyarungkan baju dalam yang bertulis ‘Free Gaza!’ ketika saingan EPL tahun lepas? Ketika beliau meledak gol untuk Chelsea, Anelka mengisyaratkan jarinya kepada baju tersebut sebagai tanda sokongan kepada masyrakat Palestina.

Samir Nasir sedang berdoa sebelum saingan kelayakan WC 2010

Ramai lagi sebenarnya. Termasuklah bintang-bintang Perancis seperti Frank Ribery, Zinadine Yazid Zidane, Terry Henry, dan anak muda Nasri serta bintang-bintang di kelab gergasi lain seperti Yaya Toure di Barcelona!

Tambahan...

A Canadian Muslim girl Football Player.. I forgot her names..

Tahun 2007 dahulu ada satu isu hangat di Kanada. Seorang remaja perempuan berumur 11 tahun yang bermain di salah sebuah kelab di Montreal diarahkan untuk membuka hijab. Tetapi beliau membantah dan berjuang untuk mengekalkan pakaian menutup auratnya ketika beraksi di atas padang. Subhanallah... Dalam bola sepak pun ada perjuangan sebenarnya!

Itulah keistimewaan bola bila mata dan hati pandai menilai... Wallahu a’lam!

p/s-->Kepada para wanita yang tidak suka lelaki meminati bola, lepas ini harap boleh ber’husnu zhon’... Bagilah peluang kepada mereka. Kepada lelaki, Insya Allah lepas bangun tengok bola boleh teruskan untuk Qiamullail. Huhu... (maaf. Tiada kaitan dengan hidup atau yang dah tiada)