Monday, October 19

Oh, anakku Sazali...

Pernah tengok tak filem nie?


Ceritanya bermula.. Seorang anak yang membesar sebagai Hasan, tidak mendapat pendidikan daripada mak ayah.. Terpaksa bertungkus lumus bekerja sebagai pengayuh perahu tambang.. Hidup dalam serba kesusahan..

Hasan, membesar dengan hobinya bermain biola.. Malamnya pasti dihabiskan dengan menggesek biola di tepi sungai.. Di temani oleh anak dara yang bernama, Mahani.. Mereka “berkawan” sejak dari kecil sehinggalah kebesar.

Hinggalah satu ketika, Mahani dilamar oleh orang kaya.. Lalu, Hasan (watak lakonan Tan Sri P. Ramlee) bersama Mahani kahwin lari ke Singapura.. Pergi tanpa redha mak ayah.. Mereka menyangka, itulah episod bahagia sebuah rumah-tangga.

Bahagia bukan boleh dilihat oleh mata.. Awalnya, mungkin Ya. Kami bahagia..

Mahani mula mengandung dan akhirnya melahirkan seorang anak lelaki yang dipanggil dengan nama Sazali. Sayang, Mahani (ibu kepada Sazali) meninggal semasa melahirkan anak lelakinya tadi. Maka, tinggallah hanya seorang iaitu Hasan sebagai ayah tunggal yang mengasuh dan membesarkan si Sazali.

Silapnya.. Hasan memandang bahawa pendidikan itu sekadar memberikan kesenangan kepada anak. Mungkin, pengalaman silamnya yang hidup sebagai pengayuh perahu tambang serta hidup dalam kesempitan menyebabkan Hasan mahukan Sazali mengalami pengalaman tumbu-besaran yang berbeza.. Lantas, segala kemewahan ditabur secara berlebihan kepada Sazali..

Sazali membesar dengan mata dan hati yang buta.. Mula pandai menipu, membuli, bercakap bohong, dan lain-lain.. Hinggalah ke alam dewasa.. Sazali telah berani merosakkan sepupunya sendiri.. Sazali sudah melampau!

Nah, ketika ini Hasan mula sedar.. Sazali sepatutnya diajar! Tapi, apakan daya.. Nasi sudah menjadi bubur. Melentur buluh mestilah dari rebungnya!

“Ini semua adalah salah bapa sendiri!!”—Ingat lagi tak kata-kata Sazali pada ayahnya??

Tamat. Sekadar imbasan seketika ceritera “ANAKKU SAZALI”.. Kisah yang mengangkat nama Tan Sri P. Ramlee sebagai aktor terbaik Asia ketika itu.. Pada tahun bila? Saya dah lupa..

Persoalan. Mengapa begitu Sazali? Kenapa engkau jadi begitu?

Tiada redha dan restu..


Hasan dan Mahani memang berkawan sejak dari kecil lagi.. Bermula dengan “kawan” sahaja, hinggalah kepada “cinta”. Di tepi sungailah mereka mengadu asmara sambil ditemani oleh biola di waktu malam. Mahani kemudian dilamar orang dan dia meminta kepada Hasan untuk lari bersama ke Singapura.. Kononnya, tak sanggup hidup tanpa Hasan?

Renungan.

-Hubungan yang tidak diredhai oleh Allah dan tiada restu Ibu dan Ayah tidak akan sampai ke matlamat “BAHAGIA”. Walaupun ada orang cakap; “Ok ape.. Kami bahagia sekarang.. Rumah besar, kereta banyak, anak-anak senang.. Bukankah itu bahagia?”. Jawaban; “Yup.. Mungkin awak bahagia di dunia.. Tapi, bahagia yang sebenar juga pada akhirat.. Hidup yang kekal abadi.”

-Satu lagi.. Hasan tidak akan berani melarikan Mahani kalau bukan Mahani ‘yang minta sendiri’. Sebenarnya, banyak kes sosial yang berlaku disebabkan perbuatan perempuan itu sendiri. Iyelah, yang kau pergi layan mamat tue kat tepi bus stop tengah malam buat ape? Nak cari nahas?? So.. Kepada perempuan, jagalah aurat dan peribadi. Insya Allah, pasti Allah akan jaga kamu.

Kasih yang tersilap.

Sazali dibesarkan oleh ayahnya bersama tukang gaji. Sejak kecil, apa sahaja kemahuan yang dipingin oleh Sazali semuanya akan diberikan oleh sang Ayah. Terlalu sayang dan kasih yang melampau.. Sehingga, Hasan ‘terpaksa’ menipu di depan anaknya Sazali. Ingat tak part bila Sazali sembunyikan anak patung sepupunya? Ini yang dinamakan sebagai kasih yang tersilap.

Renungan.

-Saya meminjam konsep yang pernah disebut oleh Ust. Hasrizal dalam blognya; Antara ‘SYARIATULLAH’ dan ‘SUNNAHTULLAH’. Syariat Allah “menjanjikan” anak-anak yang baik buat ibu bapa yang baik-baik.. Tetapi, Sunnatullah “menetapkan” anak-anak yang baik hanya-sanya melalui sistem pendidikan yang baik. So, antara syariatullah dan sunnahtullah tadi bukanlah bermaksud ia perkara yang saling berlawanan.. Bahkan, keduanya adalah ‘pra-syarat’ yang saling melengkapi.

Tak bolehlah duduk 24 jam kat masjid kemudian tinggalkan anak-anak kat rumah tanpa didikan. Hanya mengharap doa serta amalan kepada Allah swt. Hopefully, anak-anak akan jadi soleh dan solehah macam kita yang duduk bertafakur dalam masjid! Tidak.. Proses pendidikan yang bersistematik adalah pelengkap kepada doa dan tawakkal seorang ayah mahupun ibu.

-Saya teringat, ketika Nabi saw berumur sekitar 6-7 tahun.. Allah swt mengutuskan Malaikat untuk membedah dada baginda dan kemudian hatinya dicuci oleh Malaikat. Rasa-rasalah kan, apa pengajaran daripada Sirah ini?

Pendapat saya.. Sebab, pada fasa inilah kanak-kanak akan mula mencontohi perangai dan tingkah-laku keliling dengan ‘serius’ (apa sahaja yang dilihat, akan diingat dan kemudian dilakonkan semula). Sebab itulah Allah swt membedah dan mencuci hati Nabi supaya baginda tidak sesekali terpengaruh dengan jahiliyyah sekeliling ketika usia itu hinggalah alam dewasa.

-Berbalik kepada kisah Anakku Sazali, fitrah seorang ayah sememangnya sayang dengan anak tambah-tambah lagi Sazali yang tidak beribu. Tapi, silapnya ialah kasih tadi disalur dengan ‘membabi-buta’. Kasih bukan bermakna, bila anak berbohong lalu jambulnya diusap-usap.. “Bagus nak.. Bagus”. Atau, bila disuruh solat, “Ayah.. Penatlah hari ini..”. Kemudian si ayah jawab; “Oh.. tidak apa nak.. Tak perlu lah solat.. Kamu kan penat..”. Itu bukan kasih! Itu kasih yang tersilap.. Tiada peranan Ayah yang hadir, maka Ibrahim Pendeklah yang muncul sebagai guru serta ikon teladan yang salah buat Sazali.

Ku bagi Intan, kau balas dengan kaca?

Maka akhirnya Sazali menjadi samseng.. Ketua sindiket di Singapura (dalam cerita).

Punyalah kasih Hasan pada anaknya Sazali (tengok part Hasan tengah dodoikan Sazali dengan lagu ‘anakku sazali’).. Tapi, oh.. Ku bagi intan ketika kecilmu, kaca yang kau balas diwaktu besarmu.. Sakit tak? Memang sakit.. Pedihnya bukan pada badan yang bertungkus-lumus berpuluh tahun membesarkan anak, tapi pedihnya pada ulu hati yang kecewa melihat perilaku “kurang ajar” yang dibalas oleh anak.

Renungan.

-Kepada para anak..

Marilah anak berdozen-dozen.. Ibu dan ayah pasti sanggup menjaganya.. Bukan jaga sahaja, bermula dengan kesakitan melahirkan, kemudian menyusukan, kemudian membesarkan (itu tak sebut lagi pasang pampers, basuh berak, buat susu waktu malam-malam buta, dll yang ‘memenatkan’), mendidik, mengasuh, dan sebagainya sehinggalah anak dewasa. Tapi... Kenapa? Dan kenapa?

Bila anak-anak yang berdozen-dozen tadi dewasa dan sudah berkeluarga, tiba-tiba hairannya mereka tidak sanggup menjaga kedua orang tua yang sudah sememangnya tua. Boleh pula berbisik dengan isterinya; “Hmm.. Orang tua nie bila la nak mampus ek?”. Astaghfirullah al-aziim.

-Kepada para ayah pula..

Ada kawan yang mengadu sebab mak ayah kecewa dengan life dia yang tak seberapa (kerja yang biasa dan gaji yang cukup-cukup makan). Kesian sahabat ini.. Hidup dia tak tenteram walhal dia seorang yang istiqamah dengan ugama.

Apakah selesa anak jadi jutawan dengan gaji yang ‘berikat-ikat’ tapi dengan perangai yang meluat orang bila tengok..?

Cukuplah dia tak meminta-minta dengan orang.. Kemudian menjadi qurrata a’yun (penyejuk mata orang yang memandang), anak seperti ini sudah memadai untuk disyukuri.. Apapun kemampuannya memberi, alhamdulillah terimalah dengan hati yang lapang. Tak mampu beri material, cukuplah dengan Do’a.. Bahkan do’a anak soleh itu laaagi bernilai dari intan permata!

Ini semua salah bapa!


Tercengang seketika Hasan mendengar kata-kata Sazali anaknya. Memori diimbas.. Sebagai bapa, apa sebenarnya yang dibuat sejak dari kecil sehingga menjadi bapa.. Kenapa mesti salah bapa??

Pengalaman tidak belajar ilmu agama kerana disibuk dengan mengetip biola itukah yang menyebabkan Sazali begini?

Pengalaman membelakang larangan ugama agar teruna dan dara tidak becintan-cintan apatah lagi mengadu asmara di waktu malam.. Itukah yang menyebabkan Sazali begini?

Pengalaman tidak patuh ibu dan ayah kemudian kahwin lari ke Singapura kononnya mahu pilihan hati sendiri.. Itukah yang menyebabkan Sazali begini?

Pengalaman mencari nafkah yang belum tentu halal atau haramnya kemudian diberi makan pada anak dalam kandungan mungkinkah itu yang menyebabkan Sazali begini?

Pengalaman terlalu sibuk dengan urusan sendiri lantas terabai tanggungjawab mendidik anak, itukah yang menyebabkan Sazali begini?

Pengalaman.. dan pengalaman lampau terlintas semula di hati.. Apa yang berlaku selama ini sehinggalah anak melafaz satu kalimat yang “maha”.. “Ini semua salah Bapa!!”.

Tamat.

Sekadar contengan dari saya. Tiada kaitan watak hidup atau mati. Juga secuma menulis setelah hati diusik oleh satu peristiwa anak-beranak di depan pagar sekolah. Si ayah menyoal anak yang diam seribu bahasa; “Kenapa buat macam nie? Kenapa tergamak conteng arang muka daddy ngan mummy??”.. Ibu hanya mampu mengelap air-mata terus-terusan.. Iya, nasi sudah menjadi bubur. Takpe, boleh ‘masak semula’ (beli beras baru, then masak la nasi dengan sukatan yang betul. Jangan menjadi bubur semula).

Thanks a lot untuk Tan Sri P. Ramlee and the gang.. Filem yang boleh jadi salah satu bahan kajian bagi sesiapa yang nak buat MASTER akan datang.. Tajuk cadangan saya; “PENDIDIKAN SEORANG ANAK: Antara era awal merdeka dengan pasca moden. Satu penelitian berdasarkan tradisi serta sosio-budaya alam Melayu.”

1 comment:

Anonymous said...

tringat anak Sezali.kekeke

Blog Archive