Wednesday, March 31

Coklat, Mentega dan Susu.


--Hanyalah sekadar hiasan mata--

Ia mungkin suatu perkara biasa apabila kita menyaksikan pelajar-pelajar Universiti berkumpul sesama etnik masing-masing. Fenomena biasa di alam kampus atau di bangku sekolah dengan alasan mereka lebih selesa berinteraksi sesama mereka. Melayu dengan melayu. Cina dengan rakan Cinanya. Begitu juga kaum india.

Ketika saya menulis ini pun, pemandangan itu berada di depan mata...

Pelajar India berbual sesama rakan dari kaumnya dengan bahasa Tamil. Tidak jauh dari tempat duduk mereka, ada kumpulan pelajar Cina yang bersembang dengan bahasa mandarinnya. Dan tidak ketinggalan pelajar Melayu bersama kawan-kawan yang juga Melayu. Bahkan, bila kita tinjau di dalam kelas, mereka akan memilih tempat duduk yang bersebelahan dengan pelajar dari etniknya sendiri.

Itu belum termasuk kumpulan kerja kursus, assignment, dan lain-lain hal lagi...

Fenomena seperti ini berlaku di dalam dunia akademia. Alam yang 100% penduduknya terdiri dari mereka yang terpelajar. Pun begitu kita masih risau seolah-olah ‘polarisasi perkauman’ itu masih wujud. Dan sememangnya kerisauan seperti ini adalah berasas. Kalau di dalam dunia yang penuh dengan manusia terdidik seperti itu masih berlaku suasana polarisasi, bagaimana yang di luar sana?

Yang jelas ialah... Polarisasi kaum atau bahasa mudahnya magnet kekutuban kaum sejenis ini bukan berpunca atau bermula di Universiti. Puncanya dari masyarakat universal yang terdiri dari pecahan tiga kaum terbesar di Malaysia. Inilah kenyataannya.

Gagasan 1 Malaysia kepada coklat, mentega dan susu.

Hemat saya... Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri turut bermaksud untuk menanggapi serta menjernihkan keadaan yang saya maksudkan.

Cuma apa yang paling utama ialah, realiti transformasi dari polarisasi kepada satu magnet penyatuan bukan kerja yang mudah. Ia proses yang sewajarnya berlaku setapak demi setapak. Slogan seperti 1 Malaysia sebenarnya mesti mengambil kira usaha yang telah dirintis oleh gagasan yang sebelumnya. Bukan hanya pementasan idea yang tidak ‘berakar banir’.

Secara khusus, hubungan kaum dalam masyarakat majmuk di dalam negara ini belum lagi mencapai tahap keeratan yang sebenar. Yang kelihatan erat mahupun harmonis seperti yang dibangga-banggakan hanyalah pada lahiriahnya sahaja. Pada kulitnya. Ataupun sekadar lakonan penyedap hati pemimpin kaum di depan kaca televisyen umpamanya.

Saya tertarik dengan kata-kata Presiden negara China, Jiang Zemin (walaupun kata-kata beliau merujuk perkara lain). Izin untuk dikongsi:

“Tunggu sehinga air pasang itu surut dan lihatlah siapa yang tidak memakai seluar!”—Presiden China, Jiang Zemin.

Secara majoritinya, memang tidak salah kalau dikatakan bahawa kaum-kaum ini cuma berpura-pura mesra antara satu sama lain. Tetapi masing-masing di dalam hati wujud rasa iri hati, tidak senang, tidak selesa, malah rasa benci membenci yang kadang sukar dibendung dan kadang-kala diterjemah dalam bentuk keganasan sosial.

Bertambah parah lagi kalau ada kaum yang merasakan mereka ‘terjepit’. Maaf untuk saya sebutkan di sini umpamanya kaum India yang berasa terpinggir dari arus nasional sedangkan bagi mereka dua bangsa yang lain iaitu Melayu telah mendominasi sektor politik dan kaum Cina dengan kekuasaan sektor ekonominya.

Tuntas. Ia menjadi faktor penjejas kepada perpaduan sebenar yang diimpikan selama ini...

Coklat, Mentega dan Susu. Mustahilkah untuk sebati?

Maaf. Saya tidak bermaksud untuk rasis di sini. Apa yang saya nak utarakan ialah situasi semasa polarisasi yang dinilai berdasarkan warna kulit yang ada. Di tambah pula dengan perbezaan ideolog serta bahasa di kalangan tiga kelompok bangsa yang terbesar di negara ini. Apakah ia satu kemustahilan untuk mencapai tahap perpaduan yang unggul? Atau sebati seperti yang saya perkatakan...

Dasar kolonialisme terhadap negara ini membentuk nasionalisme berorientasikan etnik. Ini fakta yang termaktub!

Apabila orang putih meninggalkan negara ini pada 1957, serpihan ‘dasar pecah perintah’ peninggalan British menjadikan ia sebuah negara yang terbahagi kepada semangat etnik. Cina menguasai bidang perdagangan yang sebelum daripadanya perlombongan bijih timah. Melayu kepada bidang pertanian serta perikanan. Dan kaum India sebilangan besar mereka menjadi buruh di ladang-ladang getah.

Sehinggalah berlaku peristiwa berdarah pada tahun 1969! Akhirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula diperkenalkan.

Itu sejarah....

Tetapi dewasa ini pada kiraan saya, polarisasi yang berlaku amat berbeza dengan sejarah silam yang dahulu. Maksudnya, polarisasi yang berlaku bukan hanya semata-mata simptom perbezaan tingkatan ekonomi. Bukan. Kerana jurang antara kaum Melayu, Cina, dan India ketika ini tidaklah jauh sangat dari sudut ruang pandang ekonomikalinya. Maka, apakah sebenarnya lagi yang menjadi kemustahilan kepada proses perpaduan ini?

Diagnosis penyakit yang BAHARU secara telus perlu dilakukan. Kerana penyakit seperti ini dibimbangi menjadi barah yang lebih besar. Metod pengubatan penyakit masyarakat perlu kepada pengubatan politik (political will). Kerana dari sistem politiklah yang akan menentukan segala-galanya...

Dasar kebangsaan..

Dasar perundangan..

Dasar ekonomi..

Dasar pendidikan..

Dan semua dasar yang berkait dengan negara serta masyarakat!

Coklat, mentega, dan susu. Mulakan dengan 1 Bahasa!

Apabila Mahathir memerintah bermula pada tahun 1981, beliau meneruskan usaha DEB bagi mengembalikan kekayaan kepada etnik Melayu dan Bumiputra. Pada masa yang sama, beliau menggunakan dengan baik kemasukan modal Jepun (Dasar Pandang Ke Timur) bagi memupuk semangat kebangsaan yang mengatasi semangat sempadan bangsa.Termasuklah slogan Wawasan 2020.

Cuma apa yang Mahathir ‘terlupa’, perubahan dasar pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Inggeris adalah bertentangan dengan dasar ‘Japan Incorporation’ yang beliau gagaskan iaitu bangsa Jepun boleh maju di tangan sendiri dan bahasa mulut sendiri. Sedangkan bahasa Malaysia bukan sekadar bahasa komunikasi ilmu bahkan ianya modal komoditi utama perpaduan yang tidak sepatutnya dipinggirkan.

Dan yang terkini... Pemulihan perpaduan diteruskan sekali lagi dengan terlancarnya Gagasan 1 Malaysia. Kempen yang telah pun dilancarkan di mana-mana di seluruh negara. Tetapi, apa yang agak malang ialah gagasan 1 Malaysia ini banyak mengumpuk pada slogan dan bukan kepada suatu bahan yang menjadi teras kepada titik penyatu paduan yang boleh memberikan impak yang jelas.

Bahkan kita bimbangi gagasan yang pada mulanya bertujuan murni untuk memperbaiki semangat perpaduan akan menjadi ubat yang ‘tidak tepat’ ataupun terlebih dos! Ia suatu yang merugikan. Kita bukan nak membuat ‘kuih’ dengan ‘coklat’, ‘mentega’ dan ‘susu’!

Saya tertanya-tanya...

Mengapa kita tidak kembali kepada bahasa Malaysia seperti yang pernah dinyatakan di dalam laporan penuh Penyata Rahman Talib?

Kerana percaya ataupun tidak...

Dalam negara ini masih lagi ada penduduk yang tidak boleh berbahasa Malaysia! Jadi bagaimana untuk mencapai perpaduan kalau berinteraksi untuk satu bahasa yang sama pun tidak boleh? Walhal ketika ini (jikalau dasar kebangsaan yang menyentuh Bahasa Malaysia dilaksanakan secara serius sebelum ini) sepatutnya Bahasa Malaysia sudah menjadi ‘lingua franca’ yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Ya konklusinya kita akan akur bahawa... Sebelum kepada penyeragaman ideolog sebagai prinsip asas manusia untuk menunjukkan siapa mereka dan menyatukan mereka kepada satu payung, ia tidak akan lari kepada soal yang pertama iaitu bahasa. Itulah mungkin salah satu hikmah mengapa Allah SWT turunkan wahyu hanya dengan bahasa Arab sahaja!

No comments: