Sunday, March 14

sekuntum Makrifat...(siri 2)


Siri 1 [link]

Kereta satria hitam meluncur tenang di atas jalan raya hitam legam… Sekali-sekala mengelak lubang-lubang yang ‘tersedia’ menunggu mangsanya…

Nawar khusyuk membelek kepingan nota usrah yang disediakan. Malam ni antara malam-malam yang penting untuk anak-anak usrahnya. Hujung semester nanti akan ada program yang wajib mereka hadiri. Tanggungjawab seorang Naqib untuk menghabiskan silibus. Itu semestinya amanah. Amanah dari Allah!—Bisik hati Nawar.

[Naqib=moderator usrah]

Nasir mengelamun. Hanyut melayan stereng kereta. Fikirannya menerawang ke belakang.

Zaman sekolah....

Dia dan Nawar dari sekolah yang sama. Sekolah elit yang terkenal di ibu kota. Siapa yang tidak kenal Sekolah Menengah Berasrama Penuh Ibnu Nafis? Saban tahun ia mengungguli senarai sekolah top rangking samada untuk keputusan PMR, SPM, ataupun STPM!

Sejak dari bangku sekolah itulah dia kenal Nawar. Sikap dan ketegasan Nawar bukanlah benda yang baru baginya. Bila menyentuh soal prinsip agama, Nawar takkan ada kompromi. Pernah satu ketika Nawar bertekak dengan seorang guru semata-mata kerana guru tadi tidak membenarkannya keluar solat dhuha untuk seketika.

Dia dengan Nawar? Oh... Jauh beza...

Nawar dengan dunia dia. Nasir pula dengan dunianya sendiri!

Bukan Nawar tak pernah mengajak dia. Entah dah berapa ribu kali Nawar tawarkan macam-macam supaya kakinya menjejak surau sekolah untuk agenda usrah. Tapi, sayang... Dia tak minat! Hujung minggu sahaja, dia akan bazirkan duit yang diberikan oleh mamanya (Datin Zarina) ke shopping complex sekitar ibu kota.

Ya.... Dia inginkan ketenangan. Dia inginkan pengisian...

Pusat-pusat ‘gaming world’ itulah yang bisa mengisi jiwanya yang kosong....

Panggung wayang itulah sumber ketenangan baginya...

Itulah dia. Itulah minatnya bagi remaja yang bernama Nasir!

Zaman Universiti...

Tapi, sungguh Allah SWT masih sayangkannya. Tidak disangka-sangka, Allah mentakdirkan dia dan Nawar masuk ke IPTA yang sama. Ya Allah... Nawar lagi? Menyampah betullah!—Hatinya memberontak.

Selama empat tahun itulah dia bertahan dengan ‘tazkirah’ dan ‘teguran’ Nawar. Pantang sahaja dia cuba mendekati mana-mana siswi, Nawar akan datang menegur. Hidup dalam Universiti dirasakan seperti dalam ‘penjara’!

Tiada kebebasan... Tiada keseronokan... Itu tak boleh ini tak boleh! Habis apa yang boleh??

Tapi.... Yang peliknya ialah, semakin hari dia semakin suka ditegur oleh Nawar. Rasa seronok pula dengar tazkirah Nawar setiap hari. Sebab itulah ketika bercadang untuk menyambung pengajian dalam pasca-siswazah, dia sanggup duduk serumah dengan sepupunya Nawar walhal kalau dia tak nak ibunya bukan tahu pun. Apakah itu petanda hidayah Allah sudah semakin hampir?

Subhanallah.... Maha suci engkau Tuhan.—Spontan hati Nasir melantunkan pujian kepada Rabbinya.

Dan akhirnya, malam itulah yang merobah segala-galanya.. Ya, malam itulah dia rasa seperti seorang pendosa yang terlalu kepingin akan ampunan Tuhannya. Terima kasih ya Allah kerana menerima hambamu ini untuk kembali melangkahi jalan-jalan benar menuju redhaMu!

Beberapa titik air mata Nasir jatuh bercucuran... Cepat-cepat dia menyeka dengan lengan baju. Mungkin rasa malu jika dilihat oleh sepupunya Nawar.

“Sir, kenapa dengan kau?”—Nawar tersedar.

“Takde... Mata masuk habuk.”

Kereta masih meluncur... Kali ini meluncur dengan tenang. Tidak seperti hari-hari yang sebelumnya.....

***

“Amacam usrah tadi? Ok?”—Tanya Nawar sebaik punggungnya dihenyak dalam perut Satria.

“Ok.. Kenapa pula tak ok..”. Mata Nasir lekat kepada Ikhwan dan Fikri yang masih melambai-lambai Naqib mereka, Nawar. Seronok betul budak-budak tue....

“Seronok sakan diorang tu ye?”.

“Siapa?”

“Adik-adik tulah.”. Tangan Nasir membalas lambaian Ikhwan, Fikri dan lain-lain. Mereka adalah sahabat-sahabat yang melayaninya seperti adik-beradik dalam usrah tadi.

“Oh.. Mestilah. Dalam usrah kita akan pupuk ukhuwwah. Ukhuwwah itulah yang membuahkan kasih-sayang. Kasih-sayang kerana Allah SWT.”

..Usrah bukan semata-mata pengisian. Tapi, usrah juga sewajarnya mampu menyemai ikatan kasih dan sayang...

[ukhuwwah=ikatan persaudaran atas dasar 1 akidah]

Nasir diam. Mengakui kata-kata Nawar. Iyelah... Dia tak pernah lihat lagi sepupunya itu bercinta dengan siapa-siapa. Bayangkan sejak dari sekolah menengah lagi Nasir tetap Nasir yang seorang sehingga kini. Bukan tiada mahasiswi yang menaruh harapan dengan Nawar. Tapi Nawar tak pernah terpikat dengan siapa-siapa. Hebat!

“Kau tak pernah bosan ke? Rasa keseorangan ke... Lonely ke?”—Tanya Nasir dengan Nawar, 3 tahun lepas.

“Datanglah usrah... Kau akan tahu jawabannya.”. Pendek saja jawaban Nasir. Datang usrah? Ada apa dengan usrah?

Hari ini baru dia tahu apa itu usrah. Oh, rupanya inilah rahsia jawaban yang Nawar maksudkan. Ukhuwwah. Ya, dalam usrah ada ukhuwwah. Ukhuwwah itulah yang mengisi kekosongan seorang anak muda yang mahukan teman dalam hidupnya. Teman special yang bukan seorang, bahkan terlalu ramai. Teman yang ‘faham’ lagi ‘ikhlas’ untuk berkasih-sayang. Subhanallah!

Nawar memulas punat radio. Mencari stesen radio IKIM. Lagu nasyid dari kumpulan Brothers, teman sejati kebetulan sedang ke udara...

Nasir semakin larut... Larut dengan wajah-wajah ‘kekasih-kekasih’ barunya dalam usrah. Oh, indahnya sebuah ukhuwwahfillah!

***

Trutt trutt truttt....

Truttt trutt truttt.....

Siapa pula yang sms tengah-tengah malam buta nie?—Hati Nasir menggerutu tidak senang.

‘Sorry. I minta maaf hari tu. i marahkn you tanpa sbb. Sori ye.. Bila you free?’—Sms dari Syima! Nak jawab ke tidak? Sedangkan hati Nasir masih ada sedikit rindu yang bersisa....

“Kalau Syima call kau, takyah layan.. Ingat, Allah akan uji hambanya. Sama ada betul-betul berubah atau sebaliknya.”—Telinga Nasir terngiang-ngiang akan pesanan Nawar tempoh hari.

‘Maaf. Sy dah ade ‘kekasih’ lain. Tq’. Sejurus sms dibalas, ibu jari Nasir terus menekan punat off. Biarlah sampai di sini sahaja. Usah mencari aku lagi.

Ya Allah... Jangan engkau uji dengan apa yang aku tidak sanggupi. Kasihanilah aku ya Allah... Tetapkanlah imanku pada jalanMu yang satu ini...

Nasir terus sujud tanpa henti-henti... Subuh yang sejuk sampai ke sum-sum tulang itu menambahkan lagi rasa getar dan takutnya kepada yang Khaliq!

Lantas, Syima terus tenggelam dari kenangan............

***

Sudah beberapa bulan berlalu.

Kesibukan semakin dirasai oleh pelajar-pelajar pasca Siswazah. Nawar dan Nasir tak terkecuali. Nawar apatah lagi. Minggu lepas dia mendapat tawaran untuk menyambung phd ke Tokyo University di negara matahari terbit, Jepun. Walaupun begitu usrah tetap berjalan. Pernah satu ketika dia meminta Nasir mengendalikan usrah. Nasir mengelak. Segan katanya..

[phd=pasca Doktoral]

“Apa yang nak disegankan...?”—Ujar Nawar ketika mereka pulang dari kuliah yang sama.

“Aku bukan macam kau... Aku ni jahil. Kau tahu juga kan macam mana history hidup aku.”. Nasir menolak.

“Kenapa dengan history hidup kau?”. Standard Nawar. Dia suka berikan soalan yang ‘menguji’.

“Aku dulu kan couple.. Hidup tak tentu arah. Jahil.. Then, macam-macam lagi. Orang macam ni kau nak suruh jadi Naqib?”. Jawab Nasir sambil membeliakkan matanya... haha. Nawar ketawa.

“Kau dengan Saidina Umar masa beliau zaman jahiliyyah mana lagi teruk? Kau ada bunuh orang? Kau ada tanam bayi hidup-hidup? Aku suruh jadi Naqib je. Bukan suruh jadi Kahlifah.”

Nasir tergamam. Aduh! Mati hujah lagi aku.

“Okla.. Okla... Tapi, dengan satu syarat.. Boleh?”

“Syarat pula... Syarat ape?”

“Kau tak payah datang usrah. Aku malu kalau kau ade!”

“Haha... Boleh pula macam tu. Ok, aku setuju. Aku datang juga tapi lewat sket. Ada benda nak diuruskan malam ni.”

Alhamdulillah.... Malam itu adalah malam pertama bagi Nasir menjadi Naqib. Mulutnya fasih berkata-kata tanpa tersekat-sekat. Adik-adik usrah yang hadir semuanya berpuas hati dengan pengisian yang diberikan oleh Nasir. Ayat-ayat quran yang digunakan sebagai dalil semuanya dapat diterjemahkan dengan baik dan difahami dengan mudah oleh adik-adik usrah. Berkat keikhlasan!

‘Apa yang utama ialah kita ikhlas. Kita jadi naqib bukan untuk menunjuk-nunjuk dengan orang yang kita ini ‘alim atau cerdik agama. Tapi, apa yang kita nak bawa ialah perkongsian. Kita kongsikan apa yang kita tahu mudah-mudahan mereka menerima dan kita juga akan menjadi lebih baik..’.—Pesan Nawar beberapa hari lepas. Ya, ikhlaslah kunci segala-galanya.

Selesai sesi usrah. Nawar pun datang.. Wajahnya ada sedikit rasa cemas!

“Nasir, mari sini sat.”—Nawar memanggil Nasir yang keasyikan bersembang dengan Ikhwan.

“Sir, Syima accident! Dia ada kat ICU sekarang.”

Inna lillahi wainna ilaihi raaji’uun... Macam mana boleh accident?”

“Entalah... Pegawai HEP yang bagi tahu. Kata pegawai tadi, dia asyik sebut nama kau. Itu yang doktor suruh cari, siapa Nasir. Kebetulan pegawai tue kenal yang kau sepupu aku.”

“Habis tu macam mana sekarang?”

“Tenang. Jap lagi ikut aku pergi hospital ye. Dah habis usrah belum?”

“Dah..”

“Ok. Bagi tahu adik-adik, suruh diorang doakan saudari kita tu. Mudah-mudahan Allah selamatkan dia..”. Nasir bingkas mendapatkan group usrahnya. Sementalah Nawar pula mengangkat takbir solat hajat untuk memohon ‘sesuatu’ dari Allah ‘azza wajalla. Dialah Tuhan dan kepada Dialah juga segala permohonan!

--Insya Allah, bersambung--

2 comments:

.::ikhwanshafz::. said...

salam tuan..
subhanALLAH..
mabruk tuan..
cantik flow crita nie..
nmpak sngt transformasi si nasir tu..
huhu..
bila nak wat novel tuan..?

Mustal said...

salam..

macam tau jak sapa nawar tue..