Tuesday, March 30

Ukhuwwah: "Nil mulai kering kerana Mesir yang sudah berubah"


Assalamualaikum wbkth….

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Selalu orang menyebut tentang Ukhuwwah. Apa itu ukhuwwah? Kenapa perlu berukhuwwah? Dan kadang-kadang orang bertanya, mana ukhuwwah anda?

[Ukhuwwah=Persaudaraan Islam]

Setiap orang ada persepsi dan prinsip sendiri tentang ukhuwwah. Ada orang cukuplah kita melempar senyuman ikhlas itulah takat ukhuwwah baginya. Tak meminta yang lebih. Ada sahabat perlu kepada kunjungan ziarah barulah jiwanya terasa siraman ukhuwwah. Dan pelbagai lagi.

Lain orang lain mahunya. Cuma, betulkah itu yang dikatakan ukhuwwah?

Sehingga saya berjumpa buku tulisan As-Syeikh Ustaz Abdullah Nasih Ulwan. Beliau menulis suatu kitab yang bertajuk: Al-Ukhuwwah Al-Islamiyyah. Insya Allah mungkin boleh kita koreksi sedikit. Moga-moga rasa cinta dan manis berkasih sesama sahabat pada jalan ini kelak akan berpanjangan. Insya Allah!

Firman Allah SWT:

“Kalau engkau belanjakan apa yang ada di bumi semuanya pun engkau tidak dapat menyatukan antara hati-hati mereka, tetapi Allalah yang menyatukan anatara mereka.”—Al-Anfal: 63.

Al-Ukhuwwah Fillah. Iaitu persaudaraan kerana Allah SWT, adalah anugerah kudus sebagai suluhan Rabbani dan nikmat Ilahiyyah. Allah mencampakkan nikmat ini kepada hati-hati mereka yang ikhlas, suci dan penuh dengan ketakwaan.

Ukhuwwah, iman dan takwa adalah adik beradik kembar yang tidak boleh dipisahkan. Tanpa iman tidak akan benar takwa. Tanpa ukhuwwah tidak akan sempurna iman. Tanpa iman maka sia-sialah ukhuwwah. Seperti mana yang ditegaskan oleh baginda Nabi SAW dalam satu hadisnya:

“Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah ia mencintai (menyayangi) saudara segamanya yang lain seperti mana ia mencintai dirinya sendiri”.

Namun, apa syarat yang menjadi petanda bahawa kita sudah berukhuwwah?

Pesan As-Syiekh kepada para pejuang serta pendokong agama Allah SWT ini. Agar menghidupkan hati bagi mengingati syarat serta sarana yang sepatutnya kita jadikan kayu ukur akan apa yang kita sebut sebagai ukhuwwah fillah abadan abada!

1. Asasnya adalah Iman dan Takwa

2. Kuncinya adalah Ikhlas

3. Rantai pengikatnya adalah Tanggungjawab!

(Tanggungjawab bukan hanya spesifik terhadap individu. Bahkan tanggungjawab secara umum buat Jemaah. Sebagaimana pengajaran Kisah Kaab Ibnu Malik yang ‘terlalai’ untuk menunaikan tanggungjawabnya.)

Insya Allah jika ketiga-tiga syarat ini dipenuhi maka benarlah bahawa kita sedang berukhuwwah!

Dalam sirah (Hadis Bukhari dan Muslim) dikisahkan dua orang sahabat Nabi:

Rasulullah melarang permainan Khazaf (melontar batu dengan telunjuk dan ibu jari), kerana permainan begitu tidak boleh membunuh binatang buruan sebaliknya hanya membutakan mata dan merosakkan gigi (berbahaya kepada orang lain).

Ibnu Maghfil menegur seorang sahabatnya: “Kenapa engkau masih bermain Khazaf?”

Sahabatnya tidak mempedulikan dan masih mengulangi perbuatan yang sama.

Lantas Ibnu Maghfil berkata: “Sesungguhnya aku diberitahu bahawa Rasulullah melarang perbuatan ini. Engkau masih mengulanginya juga. Maka, aku tidak akan bercakap denganmu mulai dari sekarang!”

Ya. Hakikatnya begitulah semangat ukhuwwah sesama sahabat Nabi SAW. Mereka bertemu kerana Allah. Berkasih kerana Allah. Dan juga berpisah hatta walu sekecil-kecil perkara jua kerana Allah dan Rasulnya!

Moga kita semua dapat mencontohi mereka. Insya Allah.

Wallahu a’lam.

No comments: