Thursday, January 29

Selamat berprogram !

________________________________

"KEM TAUTAN UKHUWWAH & INDUKSI"

ALUMNI 'IRFAAN, KML

30/31 Jan 2009

HuLu LanGaT, SeLanGoR

________________________________


Assalamualaikum wbkth...


Segala puja dan syukur kita panjatkan ke-hadrat Allah SWT selaku yang maha Esa.Tidak lupa juga selawat dan salam kita titipkan buat Habibullah (kekasih Allah) iaitu Rasul SAW tercinta. Begitu juga buat para Sahabat Baginda,ahli keluarga, dan seterusnya buat para anbiya, syuhadah, dan seluruh kaum muslimin dan muslimat yang masih terus berjuang bagi menegakkan kalimah tahuhid di muka bumi Allah ini..


Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum..


Selamat datang dan selamat bertemu saya ucapkan buat sahabat-sahabat mantan 'Irfaan yang sudi meluangkan masa anda semata-mata untuk menghadirkan diri ke program kita pada hari ini. Saya sangat bersyukur dan gembira dengan nikmat pertemuan yang dikurniakan oleh Allah SWT pada kita semua hari ini. Ini kerana untuk pengetahuan sahabat-sahabat semua, program seperti ini sebenarnya sudah lama kita rancang untuk dibuat.. Cuma Allah belum lagi memberikan keizinan mahupun kesempatan sebelum ini.


Kita adalah satu keluarga


Adik-beradikku dalam Islam,

Izinkan untuk saya mengutip sekuntum firman Allah SWT yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang mukmin (lelaki dan perempuan) itu bersaudara maka perbaikilah hubungan (silahturrahmi) antara keduanya.”

Inilah asas ikatan kita sebagai suatu keluarga besar iaitu asas akidah melalui terjemahan landasan taqwa dan hiasan akhlak. Apatah lagi kita yang diterapkan dengan fikrah perjuangan dan diikat dengan prinsip wehdatul fikri wa wehdatul ‘amal. Oleh yang demikian dalam alumni Irfaan ini, saya ingin mengingatkan semula bahawa tidak kira siapa kita, batch yang keberapa, atau apa kelayakan yang kita ada, semuanya WAJIB memelihara ikatan ukhuwwah agar agenda gerak kerja bagi menjayakan misi Alumni ini dapat dicapai.. Insya Allah

Berbicara tentang the bond of Family ini, saya suka untuk mengajak sahabat-sahabat yang ada agar melakukan flashback semula suasana dahulu iaitu semasa kita masih berada di alam Matrikulasi. Banyak agenda yang kita jayakan bersama bak kata orang kita senang senyum bersama dan kita susah menangis bersama. Tuntasnya ketika itu kita semua laksana ibarat keluarga yang besar yang melakukan misi dakwah dan islah peringkat lokaliti di mana kita berada iaitu sekitar ruang lingkup Matrikulasi. Maka,ikatan serta semangat yang disemai suatu masa dahulu sewajibnya terus diteruskan apatah lagi cabaran yang mendatang serta tanggungjawab yang terbeban bila berada di alam kampus adalah lebih besar dan berat sebenarnya.


Menjayakan Misi Alumni


Adik-beradikku keluarga Irfaan,

Berbicara sekitar apa itu Alumni kemungkinan kadang-kadang mengundang banyak persoalan-persoalan di peringkat anda semua.. Mungkin, itu hanya andaian saya. Kenapa perlu ada Alumni? Apa fungsi Alumni? Apa beza pula Alumni Irfaan dengan Alumni KML?

Sebenarnya adik-beradikku semua, persoalan-persoalan seperti ini tidak salah kerana ia sememangnya dituntut agar kita yang duduk dalam organisasi seperti ini boleh mendapat suatu tasawwur (overview) yang jelas. Ini penting kerana ia laksana batu asas bagi memastikan setiap anggota keluarga yang ada boleh menjayakan misi-misi yang menjadi matlamat bagi Alumni Irfaan ini.

Adik-beradikku semua,

Sebagaimana Luqman Al-Hakim pernah menuturkan suatu rangkap nasihat buat anaknya, maka izinkan untuk saya mengutip mutiara nasihat dari beliau tersebut buat mencerahkan lagi hala-tuju kita semua. Firman Allah,

“(maka berkata Luqman) Wahai anakku dirikanlah solat dan suruhlah orang (memperbuat) yang ma’aruf, dan laranglah yang munkar, serta sabarlah atas cubaan yang menimpa engkau. Sesungguhnya demikian itulah pekerjaan yang diperintahkan” Surah Luqman: 17

Lantaran itulah sebenarnya matlamat utama organisasi Alumni Irfaan ini ditubuhkan. Berdirinya ia adalah semata-mata atas tuntutan keperluan dakwah dan islah mahupun Tarbiyyah bagi melahirkan kader-kader bukan sahaja bermula di alam kampus tapi sewajarnya sudah bermula di alam Matrikulasi itu sendiri. Sebab itu fungsi alumni amat penting bagi membantu adik-adik di sana dalam apa jua bentuk sokongan samaada bantuan material ataupun tenaga insaniah yang kita ada.

Alhamdulillah walaupun dalam keadaan organisasi yang masih belum stabil sepenuhnya, kita sudah memulakan beberapa peringkat perancangan seperti penyusunan bahan-bahan tarbiyyah dan juga pemantauan kebajikan adik-adik yang berada di IPTA/IPTS mahupun adik-adik yang berada di Matrikulasi.


Aktifkan budaya PEDULISME


Adik-beradikku,

Sesungguhnya saya amat takut kepada suatu petaka senyap tapi amat berbahaya iaitu apabila matinya budaya pedulisme dalam diri setiap mantan penggerak Irfaan. Kalau dulu bukan main lagi kita bersemangat dan bertindak dalam apa jua agenda mahupun program surau yang diadakan. Tapi, kini semuanya hanyalah tinggal kenangan seolah-olah misi dakwah yang kita jalankan ketika di matrik dulu hanyalah pelengkap kepada takwim. Buktinya kerana kita tidak mampu menjawab persoalan-persoalan seperti ini;

Sejauh mana proses follow-up saudara baru yang telah masuk Islam ketika di KML dahulu?

Sejauh mana kita peduli akan situasi rakan-rakan seperjuangan dalam Irfaan dahulu?

Dan jauh sekali saya kira untuk menjawab persoalan ini...

Sejauh mana sumbangan kita untuk proses dakwah adik-adik di Matrik sekarang?

Ya. Saya sendiri tidak mempunyai jawaban yang kukuh untuk persoalan-persoalan di atas. Lalu, apakah kita mahu tunggu dan lihat sahaja tanpa ada susulan tindakan yang konkrit bagi menjawab persoalan tadi? Tidak, wahai adik beradikku sekalian.. Kita tidak akan tunggu dan lihat sebab masakan sagu hadir sendiri tanpa dipecahkan kulitnya! Oleh yang demikian, itu sebab kita semua hadir ke sini kerana saya melihat program liqo’ (pertemuan) seperti ini insya Allah sebagai langkah pertama bagi menekan punat untuk mengaktifkan budaya pedulisme di kalangan kita semua. Tuntasnya, jika budaya pedulisme ini tidak aktif dalam diri setiap kita maka sudah pasti perancangan hanya tinggal di atas kertas dan misi hanya berkubur dalam mimpi!


Selamat berprogram, moga kita bersua kembali...


Abang, akak, dan adik-adik yang dikasihi,

Sebelum saya sampai kepada noktah kata-kata, maka sekali lagi saya mewakili jawatankuasa penganjur program mengucapkan SELAMAT BERPROGRAM kepada semua ahli keluarga Irfaan yang hadir dari seluruh pelusuk semenanjung. Begitu juga buat ahli-ahli alumni Irfaan yang berada di Sabah dan Sarawak yang tidak dapat bersama kita secara jasadnya pada hari ini tetapi saya yakin ruh mereka sedang bersama kita.

Kepada penyumbang dana mahu pun tenaga bagi menjayakan program ini, saya hanya mampu mengalunkan sepotong ayat quran buat penghargaan kepada anda semua;

“Sesungguhnya Allah membeli daripada Mukminin akan jiwa raga mereka dan harta benda mereka dengan bayaran syurga buat mereka. Mereka berperang di jalan Allah; mereka membunuh dan juga mereka terbunuh...” Surah Taubah: 111

Akhir kalam, ingatlah bahawa perbezaan antara seorang muslim dengan seorang kafir itu bukanlah kerana seorang itu bernama Abdullah dan seorang lagi bernama Johnny, ataupun seorang itu berkhitan dan seorang lagi tidak, atau seorang itu memakan babi dan seorang lagi tidak.. Tapi, sesungguhnya beza antara keduanya tadi ialah seorang muslim bermakna ia adalah individu yang mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangannya manakala seorang kafir pula adalah individu yang engkar akan perintahNya bahkan melanggar segala batas larangan Allah..

Moga kita semua menjadi muslim yang sebenar lalu bersedia menerima segala taklifan yang diwariskan kepada kita melalui nabiNya yang tercinta.. Insya Allah..


Wallahu a’lam.. Siiru ‘ala barokatillah!


myikhwanfiideen
JK Koordinasi Alumni 'Irfaan
Sesi 2008/2009

1 comment:

Azizul bin Julirin said...

salam bang..
moga sihat dan sejahtera hendaknya.. rindu rasanya hati terkenangkan memori bersama sahabat-sahabat bergerak kerja ketika sama-sama bernaung di bawah payung Irfan. moga program2 seperti ini akan memberikan manafaat kepada alumni2 Irfan di perantauan. yang lebih penting daripada itu adalah gerak kerja kita yang seterusnya.. gambateh kudasai!!

p/s: teringat kata2 abg dulu yang lebih kurang camni,' kita bukan pengurus dakwah tetapi kita adalah daie yang turun ke medan'