|Bismillahi la quwwata Illa BillaH|
Alhamdulillah.. Proses pilihan raya kampus bagi sesi 2009 telah berjalan seperti tahun-tahun yang sudah. Dan hari ini adalah tarikh keramat penentu kepada kerajaan kampus yang bakal diumumkan nanti.. Dan harapnya juga setiap warga kampus khasnya mahasiswa telah menjalankan kewajipan masing-masing.. Ya, memilih pemimpin adalah tanggungjawab dan amanah yang wajib dilaksanakan oleh setiap komuniti yang bernama manusia apatah lagi jika konteks kewajipan itu dipandang dari skop agama (cara hidup)!
|Islam dan Politik|
Dua kalimah ini meskipun saya datangkan dengan konotasi perkataan ‘dan’ bukanlah bermakna ia terpisah dan terasing antara satu sama lain. Bahkan! saya menyangkal sama-sekali idea dan lidah golongan sekular yang meracuni pemikiran umat islam sehingga kita sendiri terpengaruh untuk menerima pakai ideologi pengasingan ini!
Bila kita jejaki secara halus akan strategi dan kaedah licik yang diguna pakai oleh para orientalis barat dalam menggagaskan idea sesat ini, maka kita akan lihat bahawa mereka dengan sengaja membubuhkan perencah-perencah tambahan kepada Islam seperti Islam Siasi (politik), Islam Sufi, Islam radikal dan bermacam-macam lagi agihan-agihan yang mereka datangkan seolah-olah Islam ini terbahagi kepada berbagai-bagai pecahan! Sedangkan apa yang kita terima daripada Nabi tercinta hanyalah agama yang satu dan ianya agama yang mencakupi seluruh aspek kehidupan (syumul) mahupun tindakan manusiawi dan juga dipanggil dengan nama yang satu iaitu Islam!
Tuntasnya setiap kali kita membaca Quran, maka sudah pasti kita akan bertemu dengan lautan ayat-ayat Politik samada kita sedar ataupun kita jahil akan maqasid (tujuan) ayat tersebut.. Lihat sahajalah untaian firman Allah dalam Surah al-Ma’idah seperti berikut:
Al-Ma’idah 5:44 ;
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang engkar.
Ayat seterusnya, Al-Ma’idah 5:45 ;
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Dan lagi ayat seterusnya, Al-Ma’idah 5:47 ;
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
Lalu atas alasan dan kelayakan apa yang kita ada untuk memisahkan antara politik dengan deen (agama) yang syumul ini iaitu Islam?? Sedangkan tidak akan terlaksana suatu hukum melainkan dengan institusi Kerajaan. Dan Kerajaan tidak akan bergolek secara percuma melainkan dengan kemenangan kuasa politik!
Izinkan saya menguntumkan semula kata-kata Hujjatul Islam iaitu Al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang masyhur iaitu Ihya’ ‘Ulum al-Din;
Sesungguhnya dunia merupakan ladang bagi akhirat. Agama tidak akan sempurna kecuali dengan dunia. Kerajaan dan agama adalah saudara kembar. Agama merupakan asas, pemerintahan adalah pengawalnya. Perkara yang tiada asas pasti akan runtuh dan perkara yang tidak mempunyai pengawal pasti akan binasa!
|Politik sihat, pastinya politikal akan matang|
Selepas bicara panjang kita tadi yang seputar akan perkara fundamental (asas) bagi seorang muslim untuk menjawab persoalan mengapa kita perlu berpolitik... Maka selaku Mahasiswa, saya berpendapat bahawa PRK adalah medan tamrin (latihan) bagi setiap ‘Mahasiswa’ ataupun ‘kelompok Mahasiswa’ yang ada untuk menguji sejauh mana kemampuan mereka bagi mengetengahkan Idealisme serta wacana masing-masing agar dapat meraih kedudukan di dalam kerajaan kampus dan seterusnya memimpin warga kampus yang lain.
Proses PRK juga merupakan pentas pertandingan yang sewajarnya dapat mengasah potensi dan juga bakat yang ada kerana Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah landasan terbaik untuk tujuan penggalakkan dan penyemaian semangat leadershipme, activisme, serta budaya kesukarelawanan.
Saudara,
Kita hidup dalam dunia yang mengamalkan sistem demokrasi.. Dan persoalan adakah demokrasi boleh diterima pakai dalam Islam sering menjadi perbahasan umum para cendikiawan serta cerdik pandai Dunia Islam. Dan, saya tidaklah juga bermaksud untuk meneruskan perbahasan dalam entry kali ini kerana jawaban terhadap persoalan tersebut bisa saudara ketemu sendiri dalam buku karangan Al-Fadhil Shiekh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (Buku beliau yang bertajuk Fiqh Daulah (bernegara) dalam bab Islam dan Demokrasi).
Saya cuma mahu berkongsi rasa dan kecewa...
Saya adalah Mahasiswa tahun empat dan sinonimnya saya juga antara mahasiswa yang telah melalui proses PRK sebanyak 4 kali. Maknanya saya pernah menjadi saksi kepada PRK yang berlangsung di kampus sepanjang empat tahun pengajian di Universiti atau gedung Ilmu yang menempatkan cerdik pandai yang mana mereka sepatutnya berfikir lalu bertindak berdasarkan asas keilmuan serta keintelektualan yang ada pada diri masing-masing.
Malangnya..
Saban tahun bila tiba musim PRK, apa yang berlaku adalah sebaliknya! PRK adalah medan ‘ketakutan’ sesetengah Mahasiswa. Medan ‘memburu’ bagi sesetengah pihak.. Medan ‘menghukum’ bagi sesetengah orang! Saya bertanya.. Di mana sebenarnya entiti demokrasi yang anda laung-laungkan?? Layakkah anda menjenamakan diri anda sebagai pengamal demokrasi yang sejati ataupun mengguna pakai nama intelek Universiti jika ugutan tak berasas seperti “Aku buang engkau dari kolej!” keluar dari mulut anda?? Dan berapa ramai si tukang pengintip dihantar dalam setiap rapat umum yang dianjurkan oleh Mahasiswa??
Saya berani berdebat jika ada yang mengatakan bahawa benda ini adalah tuduhan liar! Dan, Insya Allah saya boleh bawakan juga bukti-bukti pasti dalam bentuk audio dan seumpamanya!!
Kesannya...
Lahirlah golongan politikal-politikal muda dari dunia kampus yang hanya ‘dicaturkan’ dan tiada daya mampu ‘mencaturkan’.. Jauh sekali untuk menegakkan Idealisme kemahasiswaan apatah lagi kenegaraan! Bahkan! Mereka mendokong aspirasi tanpa ada kemampuan membuat inspirasi sendiri.. Lihat sahajalah sejak demokrasi kampus dicabuli, kita boleh bilang dengan jari berapa ramai ahli MPP dulu yang hari ini menerajui kepimpinan peringkat negara ataupun menjadi sarjana rujukan ummah!
Inilah kesannya apabila ada golongan dalam dunia varsiti yang menunjukkan peri-laku kencing berdiri dan sudah semestinya tabiat buruk ini menular sehinggalah ramai anak buahnya yang lain kencing berlari.. Masakan tidak, budaya ampuisme dan lobisme berakar umbi sehingga usaha murni penggubal-penggubal dasar KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) untuk melahirkan modal Insan tidak kesampaian asbab si pelaksananya yang mabuk kepinginkan jawatan!
Saya yakin dan cukup percaya bahawa modal Insan yang berminda kelas pertama serta mempunyai kematangan berpolitik tidak akan terbentuk dalam suasana sedemikian rupa! Dan, kita jangan menangisi apa yang kita perbuat pada hari ini.. Mencantas dan bukannya memotivasi.. Memenjara dan bukannya membebaskan.. Jika ini amalan kita, maka jangan impikan satu hari nanti kita akan ada lagi pemimpin yang mempunyai idealisme baru, wacana yang segar, ketrampilan unggul, mahupun keberanian mengetengahkan pendapat!
|Together to be a first class University|
Ya... Kita dalam rangka usaha melakar suatu impian yang sudah semestinya memerlukan komitmen setiap warga kampus yang ada bermula dari Majlis Canselerinya, para pensyarah, Mahasiswa dan staff-staff sokongan yang ada..
Bila kita perincikan kerangka idea unggul ini, kita akan dipertemukan dengan suatu titik kefahaman dimana kata kunci first class university tidaklah hanya merangkumi penarafan nilai akademia, pengiktirafan akreditasi, mahupun penganugerahan standard ISO dan seumpamanya.. Sebenarnya apa yang paling mustahak dari yang mustahak ialah sejauh mana kualiti para graduan yang dilahirkan dari Universiti.. Kualiti yang dimaksudkan pula bukan hanya keupayaan utnuk memenuhi keperluan pasaran kerjaya bahkan kualiti yang kita inginkan ialah kemahiran Insaniah dan nilai keintelektualan!
Maka disinilah sepatutnya nilai martabat perbezaan produk Universiti dengan bukan Universiti.. Intelektual bukan hanya Inteligensia!
Saya tertarik dengan cetusan pandangan dari tokoh tersohor alam Melayu, Syed Muhammad Naquib al-Attas mengenai gagasan sebenar Universiti;
“...Universiti bukan hanya pada bangunannya, bukan hanya kenyataan zahirnya. Sesungguhnya, dalam sejarah Universiti manapun pengajar atau gurunya dan yang belajar daripada mereka adalah unsur utama kewujudan Universiti...”
Maknanya disini, untuk menghasilkan para graduan yang berkualitas semestinya perlu bermula dengan seorang pendidik yang matang dari segi ilmunya serta bersikap praktisme akan nilai keilmuan yang ada padanya dan seterusnya mewariskan kepada para mahasiswa yang ada melalui proses transaksi tradisi keilmuan...
Alhamdulillah Universiti kita dikurniakan seorang Naib Canselor yang baru pada tahun lepas.. Dan, bila membaca karya-karya penulisan beliau samada yang berbentuk buku ataupun blog, maka ia cukup menyenangkan kerana idea dan anjakan paradigma yang cuba dibawa melalui pengamatan saya amat bertepatan dengan manifestasi sebenar gagasan sesebuah Universiti yang semakin hari semakin dipinggirkan...
Pilihan raya kampus misalannya turut memainkan peranan dan justisfikasi nilaian taraf kemajuan sebenar sesebuah Universiti.. Ini kerana kemajuan ilmu yang sebenar ataupun dalam erti kata yang lain iaitu first class standard adalah tersurat menerusi kualiti jiwa, daya minda, aspirasi mahupun inspirasi, cara hidup dinamika dan integriti kemahiran yang dibangunkan dalam komuniti akademik termasuklah para Mahasiswa.. Apa yang kita harapkan ialah, bermula dari pacuan orang nombor satu Universiti iaitu Ayahanda NC sendiri akan dapat mengembalikan semula sinar kewibawaan sumur ilmu ini di semua peringkat samada peringkat lokal mahupun global!
|Suburkan demokrasi Kampus|
Diperingkat kami pula sebagai anak-anak kepada keluarga besar Varsiti, apa yang diharapkan ialah agar hak kemahasiswaan diberikan ruang dan nafas yang secukupnya..
Kalau boleh budaya berwacana, debat ilmiah, dan kebebasan beridealisme dirancakkan serta disuburkan lagi. Dan, konotasi negatif yang sering membunuh potensi Mahasiswa seperti ugutan mahupun ancaman yang datang dari kelompok un-behaviour sepatutnya tidak lagi kedengaran pada era millenium ketiga ini! Apatah lagi dalam suasana kita ingin mengagendakan produksi Modal Insan seperti yang diseru oleh kerajaan..
PRK yang berlansung pada tahun ini menyaksikan lahirnya kelompok pro-MAHASISWA yang memperjuangkan kebebasan bersuara, keberanian berwacana dan ianya menjadi trigger penting dalam usaha memurnikan semula demokrasi kampus yang sudah mati. Dan, sepatutnya langkah ini dibanggakan oleh semua pihak termasukah pentadbiran Universiti kerana bagi saya usaha menghidupkan demokrasi kampus adalah lebih utama berbanding kemenangan menduduki legasi kepimpinan Mahasiswa!
Apalah kiranya kemenangan kalau para pengundi buta terhadap manifiesto yang dibawa..
Apalah kiranya kemenangan kalau mengundi hanya atas dasar nilaian muka dan wajah..
Apalah kiranya kemenangan kalau rakyat mahasiswa rasa mengundi tiada apa.. Tidak mengundi pun tiada apa.. Dan MPP itu sendiri tiada apa..
Sedangkan nenek saya dikampung yang tidak tahu membaca pun tahu mengapa dia perlu mengundi si fulan?, apa matlamat dia mengundi?, dan kenapa si fulan mesti menang? Tapi sayangnya kelompok yang kononnya terdiri dari para intelek iaitu Mahasiswa tidak dapat menjawab persoalan-persoalan seperti ini setiap kali PRK! Inilah kemelut yang berpanjangan dan tidak akan berakhir jikalau tiada inisiatif dari pihak yang rasa bertanggungjawab!
Pagi tadi semasa proses membuang undi, terkejut juga dengan kehadiran orang nombor satu Fakulti iaitu Prof Dekan! Kelihatan Prof Dekan ke hulu dan ke hilir berkempen agar Mahasiswa turun mengundi supaya peratusan angka bilangan yang mengundi meningkat selepas rekod buruk tahun lepas dimana fakulti Elektrik menduduki tempat kedua tercorot!
Nah! Janganlah menuding jari lagi kepada Mahasiswa bila berdepan isu seperti ini.. Seperti yang saya katakan tadi.. Mahasiswa rasa mengundi tiada apa.. Tidak mengundi pun tiada apa.. Dan MPP itu sendiri tiada apa.. Itulah penyebab utama barah sikap yang tercanai akibat didikan sistem kerana masalah pukal ini berpunca dari satu virus iaitu sistem yang berpenyakit! Dan apa yang menggerunkan ialah barah sikap ini jika tidak diubati secepat mungkin pasti akan melahirkan sebuah masyarakat yang berorientasikan fahaman pragmatisme (keindividualistikan) selepas suatu tempoh evolusi yang panjang!
|Citra Mahasiswa abad Millenium|
Rasa sedih meninggalkan kampus tanpa ada kejayaan merungkai cengkaman birokrasi dan belenggu kepartisan seolah merenggut jiwa dan semangat kemahasiswaan.. Kapankah lagi? Kapankah lagi? Kapankah lagi?
Cuma apa yang saya ingin kongsikan ialah, Mahasiswa abad millenium adalah amat berbeza berbanding sebelumnya samada dari sudut latar akademianya, sosio budayanya, dan pengaruh persekitaran yang ada.. Oleh sebab itu golongan senior (golongan dewasa kini) perlu melayan dan memahami secara terperinci kehendak dan gelojak emosi serta potensi bakat yang mereka ada untuk dibangunkan..
Ini bukan suatu tuntutan citra yang bersandarkan faham liberalisme.. Ini kerana liberalisme dari perspektif barat adalah kebebasan mutlak tanpa sempadan dan melampaui etika norma insan sehinggakan atas nama hak kemanusiaan mereka sanggup telanjang di khalayak umum! Tetapi kebebasan yang kita mahukan ialah berlandaskan nilaian hamba kepada tuhan yang esa serta dipandu oleh kebenaran wahyuNya sebagaimana taatnya matahari pada paksinya, dan patuhnya bintang pada orbitnya...
Firman Tuhan;
"Matahari tidak akan mengejar bulan, dan tidak pula malam mendahului siang. Masing-masing beredar (patuh) pada garis peredarannya." (Yasin:40)
Al-Faqir ila Rabbihi...
4 comments:
salam ziarah.
tulisan yang hebat. ya, setuju. demokrasi itu akan lebih bererti di mana2 sahaja malah dalam apa jua sekalipun, peranan demokrasi itu sendiri tidak lari dari prinsip islam. malah sangat berkait rapat dengan politik dan islam. tapi mahasiswa sekarang tidak mengambil peduli tentang politik apatah lagi politik di universiti. kdg2, mereka cuma mengundi yang cantik2 dan ganteng2 saja. biasa dah. heh
baca bacaan seperti ini kdg2 mampu membuka minda saya dan mampu berfikiran dgn lebih luas lagi. teruskan menulis..
wassalam.
A`salam...
Alhmdlllh Sang Murabbi,begitu bernas kata2 sang murabbi,mahasiswa dan mahasiswi skrg bkn shja tidak mempedulikan ttg pilihan raya ini malah kebanyakkan mereka tidak cakna isu-isu persekitaran mereka sehinggkan mereka tidak sedar ada "BOM(kempen)" berlaku dengan tempat mereka.Heran tul.Tambahan lagi Sang Murabbi pihak atasan dan shbt2 kita yang tidak sehaluan dgn kita menggunakan bnyk kaedah untuk menghalang kebangkitan Mahasiswa dan Mahasiswi skrg.huhu
syabas dia atas kesudian ust zul membicarakan isu-isu mahasiswa di alam kampus..
dunia remaja merupakan dunia yang masih awal n belum matang bagi mata sesetengah pihak tapi bagi zaman rasulullah,remaja merupakan sayu aset yang tidak ternilai untuk menjadi agen penyebaran agama Allah..
Sheikh albanna pernah menklasifikasikan bahawa kebangkitan sesebuah umat atau tamadun dengan adanya lima peringkat..peringkat yang pertama dimana berlaku penindasan bagi sesuatu kaum atau bangsa..disini,sudah banyak berlaku khususnya di palestin.malah,ada golongon umat islam sendiri yang menjadi duri dalam daging.
peringkat yang kedua,dimana akan lahirlah seorang pemimpin yang berwibawa yang mana membawa dan mengetuai dalam menghapuskan golongan-golongan yang menindas seterusnya menjadi masterplan untuk bertindak melemahkan golongan ini.
namun persoalan nya,diperingkat yang kedua ini masih belum wujud dan masih ternanti-nanti siapakah yang mampu membawa serta mengalas tanggungjawab tersebut..
setelkan dulu peringkat yang kedua baru akan dijelaskan peringkat yang seterusnya..wallahu'alam.
Shukran atas ulasan dan komen sahabat2...
Ya, the time will coming... But, we dont know WHEN..?
Post a Comment