Wednesday, January 7

MAHASISWA PRIHATIN DERITA PALESTIN


Kenyataan rasmi dari GAMIS JOHOR:

Mohamad Zul Hilmey Bin Makmud,

GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS),

Cawangan Negeri JOHOR.



Peluru demi peluru dibedil ke arah penduduk Gaza oleh puak rejim zionis. Liga Arab sibuk mahukan pertemuan damai antara kumpulan Hamas dan Fatah. OIC diam seribu bahasa, memandang tanpa rasa simpati. PBB apatah lagi. Amerika Syarikat dengan gahnya menyokong tindakan Israel ke atas Gaza dengan syarat sasaran hanya diletakkan pada pejuang-pejuang kumpulan Hamas, tetapi hakikatnya keseluruhan penduduk Gaza, para remaja, orang tua, kanak-kanak, dan kaum wanita menjadi mangsa hamburan mortar. Israel dengan bongkaknya, bersama peralatan perang yang tercanggih terus mengganas ke atas penduduk Gaza yang hanya mempertahankan diri dan menyerang balas dengan bersenjatakan roket buatan sendiri! Satu pertempuran yang tidak adil, tetapi dunia hanya membisu. Begitulah situasi semasa yang berlaku ke atas penduduk Gaza di atas kekejaman puak Zionis. Persoalannya, di manakah peranan kita dalam membantu rakyat Palestin, terutamanya penduduk Gaza yang jelas tertindas dan teraniaya di tanah air sendiri?

Malang sungguh rakyat Palestin. Di mana harga nyawa mereka? Darah mereka begitu murah untuk tumpah di bumi sendiri. Sayu hati apabila melihat mayat-mayat yang bergelimpangan di merata tempat. Amat memalukan, apabila akhbar berbahasa Arab bertarikh 20 November 2008 telah melaporkan Majlis Kesatuan Ekonomi Arab di bawah Liga Arab sibuk membelanjakan 50 juta dolar semata-mata untuk projek membela penyu laut, sedangkan rakyat Palestin di Gaza kebuluran, dihimpit kesengsaraan serta penderitaan. Adakah nyawa penyu laut tersebut lebih bernilai dari nyawa saudara mereka di bumi Gaza? Siapakah yang harus bertanggungjawab?

Oleh itu, kami mahasiswa yang cakna terhadap isu ini merakam sepenuh rasa simpati terhadap musibah yang menimpa rakyat Palestin. Kami sekeras-kerasnya membantah kekejaman regim haram Zionis Israel yang meragut nyawa saudara-saudara kita di tanah Gaza sekaligus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan gerakan Hamas bagi menentang regim haram Zionis Israel laknatullah!

Sebagai membantah kezaliman Israel itu, mahasiswa menyeru OIC bangkit daripada hanya berpeluk tubuh memandang kekejaman. Bangkitlah negara-negara Islam daripada hanya menyaksikan kesengsaraan mereka. Bangkitlah Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu daripada tunduk kepada Amerika Syarikat dan Israel. Sedarlah, sehingga ke hari ini, lebih dari 1900 orang rakyat Palestin cedera parah dan lebih 400 orang telah meninggal dunia akibat daripada penindasan kejam Zionis Israel. Ayuh, bangkitlah pejuang-pejuang Allah! Berangkatlah ke medan jihad, bersama-sama kita membantu saudara-saudara Palestin yang kini diseksa oleh tentera Yahudi.

Selain itu, mahasiswa sebulat suara menggesa kerajaan Malaysia untuk mengemukakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap kekejaman ini dengan segera membawa isu ini ke peringkat Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM). Mahasiswa mendesak agar isu ini dipandang serius serta tindakan drastik harus diambil bagi mengecam kekejaman Zionis Israel laknatullah dari terus berlarutan.

Mahasiswa juga menyeru kerajaan Malaysia agar segera mengadakan perbincangan damai dengan Duta Amerika Syarikat bagi menyatakan bantahan seluruh rakyat Malaysia terhadap kekejaman Israel. Mahasiswa membantah sokongan membuta tuli Amerika terhadap jenayah kemanusiaan Zionis Israel. Selain itu, mahasiswa turut membantah sepenuhnya sokongan yang diberikan oleh kerajaan Mesir terhadap kekejaman ini. Sedarlah bahawa telah banyak nyawa terkorban melibatkan insan-insan lemah, kanak-kanak dan orang-orang yang tidak berdosa. Salurkanlah bantuan dari luar kepada penduduk Gaza. Janganlah menyeksa mereka lagi, hentikan kekejaman!

Dengan lantang, mahasiswa memohon seluruh rakyat Malaysia, khususnya kerajaan Malaysia, agar prihatin terhadap isu penindasan rakyat Palestin ini. Mahasiswa turut menyarankan agar kerajaan Malaysia dan ahli parlimen bersidang bagi merungkai penyelesaian untuk segera menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan bagi mengurangkan penderitaan umat Islam di Gaza. Sebagai rakyat Malaysia yang amat sensitif terhadap keganasan serta prihatin akan isu Palestin ini, marilah kita bersama-sama memboikot barang-barang yang menjurus kepada keuntungan Yahudi. Ayuhlah kita bersama-sama berganding bahu membantu saudara-saudara kita yang amat memerlukan bantuan di saat ini. Jika bukan kita yang membantu mereka, siapa lagi?

Firman Allah : “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat ”

(al-Hujurat: 10)


HIDUP KEAMANAN! HANCUR KEZALIMAN!

sumber:http://gamisjohor.blogspot.com/

No comments: