Friday, February 12

yang namanya seni...


-Renungi.. Fahami.. Dan Hayati..


Malam ini.. Tidak seperti malam-malam yang pernah dilalui. Malam ini terasa amat panjang dirasakan. Usai mesyuarat di satu tempat, saya biarkan semua sahabat-sahabat pulang dahulu. Saya mahukan masa yang ‘privacy’. Ingin bersendirian sebentar.

Malam ini seperti mahu meluahkan sesuatu. Bukan bermaksud ingin membangkitkan apa yang dikuburkan. Bagi saya mudah sahaja, apa yang dah lepas.. Lepas lah.. Usah dikenang-kenang. Fahami hajat saya, bukan mahu mengungkit tapi ingin memberi sedikit nasihat dan perkongsian. Moga anda semua faham. Paling penting, kita sama-sama faham.

Pertama, apa yang kita lalui ini masih secebis.. Masih sedikit dan tak usah dibangga-bangga. Kalau kita rasa diri kita sudah banyak berkorban untuk sesuatu tapi tidak. Belum lagi. Kerana kita masih menyumbang dan bukan berkorban. Kita insan yang masih tak layak. Maka, tanda pejuang yang paling lemah ialah bilamana airmatanya gugur kerana manusia.. Sepatutnya airmata tadi dicatu hanyasanya khas kerana Allah SWT!

Kedua, lelaki mahupun perempuan kedua-duanya perlu seiring. Kaum lelaki jangan terlalu laju melangkah ke depan dan meninggalkan kaum perempuan terkontang-kanting sendirian. Tapi, jangan pula perempuan berlagak memandai-mandai menolak terus kelibat kaum lelaki. Seimbangkan dan seiringkan langkah.. Itu yang terbaik.

Ketiga, lelaki... Buang ego di dalam diri.. Buang rasa ‘tak kisah’ di dalam hati.. Jadilah ketua yang baik dan mampu menyatukan manusia hatta golongan sayap kiri perjuangan. Lelaki, adillah dalam menilai kemampuan anak buah. Berusahalah untuk memberi mereka peluang dan lapangan untuk maju setapak demi setapak. Jangan terburu-buru memberi perintah. Dan jangan tergesa-gesa menjatuhkan hukuman. Gunakan deria hati sekali-sekala walaupun mungkin niat dan tujuan anda memang betul.

Keempat, perempuan... Jangan terlalu manja. Usah sering mengikut kata hati lantas beremosional. Buka mata untuk berfikir secara rasional. Berusahalah untuk berdikari dan ‘independent’ dalam apa jua segi. Bukan asyik mengharap dan mahukan belaian yang berpanjangan.. Dalam masa yang sama, jadilah ‘check and balance’ yang berani memberikan teguran. Berterus-teranglah kerana anda punya jiwa seni yang memang sukar untuk ditafsir. Anda sahaja yang mampu mentafsir!

Kelima, perjuangan ini masih panjang. Noktah.

Keenam, pelayaran selepas ini mungkin agak berubah iklimnya.. Kalau dulu kita belayar bersendirian tetapi akan datang pasti hadir nakhodah lain yang menjadi peneman. Silap percaturan, bukan kebaikan yang kita dapat tapi perpecahan yang berlaku. Si nakhodah pertama mahu ke kiri dan si nakhodah kedua pula mahu ke kanan? Alih-alih, kapal ini karam!

Ketujuh, guna peta yang sama. Pengumuman:-

“Kepada semua nakhodah dan timbalan nakhodah, sila guna peta yang sama untuk belayar.. Tujuannya, untuk mengelakkan anda semua sesat atau bergaduh sesama sendiri dan bahayanya nanti kepada anak-anak kapal yang tidak berdosa. Gunakan peta ini, peta Fikrah yang diasaskan pada ‘Tauhid Perjuangan’!”..

Kelapan. Banyakkan ‘USAHASAMA’ dan ‘KERJASAMA’. Banyakkan BERLAPANG DADA. Banyakkan KREATIVITI dan INOVASI. RASIONAL dan bukan EMOSIONAL. Lelaki berfikir jauh di 'sebalik cermin' tetapi perempuan hanya gemar menatap wajahnya di 'depan cermin'.

Kesembilan. Muhasabah harian perlu dipergiat. Contohi Saidina Umar Al-Khatab. Bacalah dalam kitab Sirah.. Jangan tunggu ‘sesak’ baru nak keluarkan. Jangan tunggu dada sendat barulah nak muntahkan. Selalunya ‘muntah’ yang sekaligus tak efektif dari sudut psikologi. Luahkan perlahan-lahan serta berterusan...

Kesepuluh, antara yang terpenting. Bersedialah ‘MEMBERI’ bila-bila masa anda diminta.. Iaitu berusaha untuk berdaya dan bukan berdalih. Sebabnya, siapakah anda dan dimanakah anda berada selagi mana anda mahu berjuang anda pasti akan ketemu situasi ini.. Kalau kaum perempuan, bersedialah menjadi ‘ENGKAULAH IBU DAN ENGKAULAH JUGA AYAH.. 2 dalam 1!’. Hari ini anda tak faham tapi esok lusa fahamlah anda maksudnya...

Jam sudah menunjukkan 1.07 pagi. Saya masih bersendirian.

Orang lalu lalang semakin jarang dan tempat ini menjadi seram. Saya mohon untuk balik.

Terima kasih.. Terima kasih teguran maya itu. Mohon maaf kalaulah betul saya yang menjadi penyebabnya. Atas kemaafan ini saya minta anda juga berfikir apa yang saya cuba sampaikan...

.........Noktahkan disini..............

3 comments:

Sunah Sakura said...

salam wrt...

jakallah atas nasihat dan pandangan yang begitu panjang (kalau dibandingkan dengan teguran maya tersebut)..panjang, namun begitu bermakna..segala-galanya yang dikupas alhamdulillah boleh dihadam dengan sebaik-baiknya..

kemaafan turut dipohon andai keterlupaan menghasilkan tekanan yang menyebabkan perkara ini berlaku...

insya'ALLAH..setapak demi setapak...

isma said...
This comment has been removed by the author.
isma said...

Assalamualaikum.

Perkongsian yang sangat bagus. Semuanya dibumikan dengan baik. Seni itu subjektif. Masing-masing punya cara tersendiri dalam membuat penaksiran. Teruskan menulis. Semoga berjaya.