Monday, February 22

Mahasiswakah atau Pelajar?


Ke arah Pencerahan sebuah Visi 'Tamadun Mahasiswa'..

Saya tidak pasti tanggal sebenar bilakah KPT (Kementerian Pengajian TInggi) telah menukar singkatan nama MPM (Majlis Perwakilan Pelajar) ke MPP (Majlis Perwakilan Pelajar)? Tapi apa yang pasti, hari ini ‘term’ panggilan MPP itu telah dicanang-canang di kebanyakan kampus oleh Hal Ehwal Pelajar sendiri. Petanda ia sudah menjadi panggilan yang rasmi...

Dalam kesibukan orang memperdebat nama MPP atau MPM, yang mana satu lebih sesuai... Hakikatnya, kebanyakan mahasiswa yang ada di Universiti samada IPTA mahupun IPTS sebenarnya tidak mengambil ‘cakna’. Bilangan mereka yang kisah jauh dan terlalu sedikit berbanding yang tak kisah. Bagi kebanyakan mahasiswa, apa sahaja nama yang diguna pakai sekalipun ia tidak menjejaskan premis hidup mereka. Jangankan nama, MPM itu sendiri sekalipun ia seolah tiada apa bagi mahasiswa yang ada...

Ada MPM, ok.. Tiada MPM, pun ok. “Lagi best” kata mereka kerana tidak perlu bersusah-susah untuk keluar mengundi..

Mutakhir kini, ‘Tamadun Mahasiswa’ realitinya memberikan gambaran sebuah tamadun intelek yang berdepan suatu pasca kemerosotan kualiti perwatakan sebagai golongan ilmuan. Sambil berdepan dengan cabaran globalisasi kuning, budaya pragmatisme dan gaya hidup hedonistik mempercepatkan lagi proses yang diistilahkan sebagai ‘the death of positive values’! Bahkan pemikiran anak muda harapan nusa bangsa ini, telah berjaya ‘diprogramkan’ sehingga upaya pentaksiran mereka telah menjadi kabur serta digelapkan oleh unsur-unsur materialistik.

Dalam suatu kajian umum, purata keseluruhan mahasiswa yang aktif dalam kokurikulum iaitu mengambil tahu dunia kampus serta isu masalah masyarakat luar ialah hanya 40 peratus. Statistik ini hanya merujuk kepada mereka yang ‘mengambil tahu’. Belum diambil kira bilangan yang betul-betul terlibat dengan persatuan atau kelab-kelab kebajikan di dalam kampus varsiti. Kemungkinan besar, peratusan itu pastinya lebih rendah lagi..

Teringat suatu ketika dahulu, seorang dekan fakulti sanggup turun padang berkempen kepada mahasiswa supaya turun mengundi ketika pilihan raya kampus.. Tidak disangka seorang mahasiswa bertanya, “Dato’, apa yang kami dapat kalau mengundi?”. Jawab dekan ini, “Bukankah fakulti sudah sediakan cabutan tiket bertuah?”. Ya, inilah antara dialog yang sangat mengecewakan di dalam sebuah sumur ilmu yang menjadi tempat tinggal kelompok ‘Tamadun mahasiswa’.

Bahkan, ada sebilangan IPT yang terpaksa membuat peraturan memotong markah pelajar jika tidak turun mengundi. Penyakit tiada cakna yang tidak boleh ditepis lagi bagi seorang mahasiswa atau hari ini hanya layak digelar ‘pelajar sekolah’!

Prof Zaini Ujang, dalam buku beliau yang bertajuk “Universiti Mendukung Tradisi Keintelektualan” menyebutkan bahawa terbitnya suatu penyakit intelektual baru di abad ke-21 yang beliau namakan sebagai “Penyakit Diploma/Ijazah”. Penyakit ini merujuk kepada sebahagian besar mahasiswa hari ini yang sekadar mahu belajar semata-mata kerana pekerjaan.

Exam oriented and not Educational oriented!

Mahasiswa tidak lagi mahu meneroka khazanah ilmu yang ada di taman varsiti dan tidak lebih dari hanya mahukan segulung ijazah cuma. Paradigma seperti inilah yang bersarang pada diri mahasiswa sehingga menjadikan ‘tamadun mahasiswa’ ini tandus serta gersang dengan amalan penerokaan ilmu pengetahuan serta pengembangan budaya penghayatan ilmu.

Suasana kesuraman jelas kelihatan dengan kehadiran mahasiswa yang tidak memberangsangkan ke seminar-seminar yang bersifat ilmiah. Pelajar yang hadir lebih bersifat ‘tukiang tadah’ serta tidak mampu membuat analisa sendiri, apalagi mahu menghayati ilmu yang dicurahkan secara praktikal. Malah, skop pembacaan mahasiswa rata-ratanya hanya tertumpu bidang pengajiannya sahaja. Budaya berdialog, berdiskusi, berwacana tentang isu-isu serta bahan-bahan antarabangsa jauh sekali dilihat..

Apa yang nyata ialah, hiburan berbentuk elektronik ataupun bukan elektronik semakin rancak. Bahkan, mahasiswa yang sudah separuh umur masih terlalu taksub dengan cerita-cerita khayalan yang diimport dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Taiwan, Jepun dan semestinya Korea!

Justeru, pimpinan kampus yang ada sekarang ini haruslah menyedari akan peri pentingnya mengembalikan mahasiswa kepada natijah kehidupan yang asli.. Iaitu menjadikan taman ilmu di seluruh negara yang ada akan dihuni oleh sebuah ‘Tamadun mahasiswa’ yang sarat dengan pakar-pakar cendikia bukan hanya pada TEORI semata bahkan PRAKTIKAL sekaligus. Pelan yang integratif ini semestinya perlu didokong oleh semua pimpinan mahasiswa secara seiring dan serentak. Bersatu hati untuk membuat perubahan secara total atau besar-besaran!

Prof Ismail Faruqi, seorang tokoh pemikir terkenal pada abad 80-an mengungkapkan suatu kalimat keramat dalam bukunya; “The Person with role that relevant to us here is the person with a cause. The person with cause is a person who has vision”.—Ismail Faruqi, Youth and Developement Society.

‘Tamadun Mahasiswa’ adalah suatu gagasan yang sangat besar dan kejayaannya amat bergantung kepada sejauh mana komitmen seluruh ‘bangsa’ masyarakat kampus ayang ada. Ia terdasar kepada semangat koloboratif antara ‘bangsa pendidik’, ‘bangsa pentadbir’, ‘bangsa mahasiswa’, serta ‘bangsa kakitangan bukan akademik’ yang tinggal di alam varsiti ini.

Agak malang serta menyedihkan sekali, gagasan murni ini tidak dapat direalisasikan kerana semangat kerjasama serta komitmen yang diberikan oleh pihak-pihak yang saya sebutkan tadi belum mencapai tahap optima yang sepatutnya. Walhal, mengharapkan semata-mata mahasiswa sahaja untuk berubah takkan berjaya jika dalam masa yang sama ruang yang diberi hanya sebesar ‘kepompong rama-rama’..

Visi ‘Tamadun mahasiswa’ yang masih gagal dihayati sepenuhnya oleh semua ‘bangsa’ yang ada..

Mungkin juga kerana ada pihak yang belum bersedia membuka ruang kepada pelajar IPT untuk berubah menjadi mahasiswa..

2 comments:

treasurer said...

ya betul..ana bersetuju dgn statement anta tntg mahasiswa skrg sudah tidak cakna dgn MPP..ada @ x itu tak mengganggu hidup diorg,test diorg mahupun tidur diorg..itu survey dr sahabat2 satu course dgn ana..adakah MPP skrg tidak menjaga kebajikan mahasiswa @ MPP kurang bisa dlm 'menjuarai' sesuatu isu?

myikhwanfiideen said...

syukran Tuan Pengerusi Jwtnkuasa Kolej... Terima kasih atas pendapat anda..

Jwbnnya satu je.. Sbb, MPP kali ini tdk lebih dr 'Pengawas Sekolah'.