Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Friday, September 17

Raja adil, Raja 'disembah'


BIARKAN GAMBAR MENCERITAKAN SEGALANYA….

SUMBER: ‘Topeng Perak Unmasked’

Photo 1: Tuanku Faris berada dihadapan sebelah kanan Tuan Guru Menteri Besar ketika para makmum mula bersalaman dengan Tuanku dan para pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan sebaik selesai solat sunat selepas solat Jumaat...

Photo 2: Menyedari Tuan Guru Menteri Besar berada agak terkebelakang, dengan segera Tuanku Faris memanggil Tuan Guru Menteri Besar agar bersama dengan Baginda dihadapan agar mudah para makmum bersalaman dengan mereka... “Tok Guru mari dok sebeloh kito sini”, kata Tuanku Faris kepada Tuan Guru Menteri Besar...

*Tuan Guru pada mulanya memberi laluan kepada Tuanku Faris kerana menghormati Baginda Sultan.

Photo 3: Tuanku Faris memberikan laluan kepada Tuan Guru Menteri Besar supaya berada bersama Baginda di hadapan...

Photo 4: “Sebeloh ni Tok Guru”, kata Tuanku Faris kepada Tuan Guru Menteri Besar sambil Baginda Tuanku Faris dan yang lainnya mempersilakan Tuan Guru kehadapan…

Photo 5: Gabungan 3 posisi penting dalam pentadbiran Negeri Kelantan... Tuanku Sultan Kelantan Tengku Faris Petra, Imam Besar Masjid Muhammadi dan juga Tuan Guru Menteri Besar Kelantan...



Gabungan terbaik yang wajib dijadikan contoh di Negara Malaysia... Sultan yang berjiwa rakyat & mementingkan agama dalam urusan harian dan juga Ulama yang menjadikan Al-Qur'an dan Sunnah sebagai rujukan dalam pentadbiran Negeri dan kehidupan harian..

Photo 6: Para makmum beratur mengikut giliran untuk beramah mesra dengan 3 orang penting dalam Negeri Kelantan...

p/s:-RAJA, ULAMA, dan UMARA’ adalah Trio peneraju yang akan memandu rakyat menuju kecemerlangan Akhirat dan Dunia.

Moga keserasian Fikrah yang terjalin akan sentiasa kekal sampai bila-bila… Ameen!

-Tahniah buat seluruh rakyat Kelantan atas pemasyhuran Sultan yang baharu-

Saturday, August 28

Kita diambang merdeka? (2)



Menanti.... Bilakah kemerdekaan yang sebenar?

Kita diambang merdeka (1) -->[link]

Yang masih empunya hati perimanusia kan terasa dirobek.

Dan pastinya yang punya iman kan menggigil dengan luapan amarah.

‘Industri pelacuran’ yang memerangkap makhluk Tuhan bernama wanita!

Mengapa gejala ini kian membarah?

Sekali lagi soalnya, diambang merdeka haruskah kita terus-menerus begini??

Tidakkah kita malu mengaku sebagai sebuah negara yang merdeka tapi walhal di sana masih ada kes penjualan dan pemasaran manusia?

Bukannya sedikit... Bahkan mengikut perangkaan PBB (Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu), tahun lepas negara kita tersenarai dalam tangga ‘top-ten list’! Saya fikir amat peliklah mereka yang tidak berasa akan dahsyatnya.

Pagi tadi siapa yang berkesempatan membuka Buletin Pagi TV3, tersedia sebuah laporan khusus gadis bawah umur yang dipaksa menjadi ‘pelacur kelas pertengahan’. Malaysia pun sudah mempunyai kelas-kelas tersendiri untuk pelacur sekarang ini. Dahsyat!

Aishah (bukan nama sebenar), tampil dengan imej (sensored) bertudung litup.

Pertama kali melihatnya, saya tersentak.

Masakan gadis sebaik ini juga menjual diri??

(Maaf. Saya tidak tahu apakah imejnya sebelum dan selepas peristiwa itu sama. Itu tidak pasti)

Apa yang pastinya ialah Aishah antara gadis yang diperangkap menjadi pelacur. Dia adalah gadis yang berkelahiran darah Malaysia serta beragama Islam. Anak kandung jati dan tulen negara ini. Bukannya warga Indonesia atau warga Nepal!

Menurut Aishah, mereka dipelawa bekerja di suatu tempat yang hanya dikenali sebagai firma perkhidmatan. Oleh kerana desakan kewangan, dia dan seorang temannya menerima tawaran kerja tersebut.

Malangnya sesampai di tempat yang dijanjikan, rupanya pekerjaan yang dijanjikan oleh firma palsu tersebut adalah khidmat seksual! Maka bermulalah titik hitam dua orang gadis bawah umur tadi dan seangkatan dengannya yang lain.

Menurut Aishah lagi, mereka tidak punya peluang melarikan diri.

Sendikit itu mengawal setiap pergerakan wanita-wanita yang mereka ‘bela’.

Mujurlah OPS dari Unit Jenayah Polis Bukit Aman menyelamatkan Aishah dan rakannya.

‘Aishah, bukan mereka yang menyelamatkan kamu. Tapi Allahlah sebenarnya yang mengeluarkan kamu dari lembah hina itu...’

Nastaghfirullah al’aziim.... Terlalu tragis!

Ya... Diambang merdeka kini, itulah tragedi benar yang sedang berlaku.

WANITA. BERERTIKAH KEMERDEKAAN INI BUATNYA?

Sebelum kebangkitan manusia agung iaitu Nabi Muhammad SAW, masyarakat di seluruh pelosok dunia ketika itu memberi pelbagai nilaian yang salah buat makhluk Allah bernama wanita.

Wanita dizalimi dan diperdagangkan sewenang-wenangnya.

Di negara India umpamanya pernah berlaku, wanita dibakar hidup-hidup setelah kematian suami kerana menganggap hak hidup bagi seorang isteri telah pun tamat. Berdasarkan catatan sejarah, sehingga tahun 1885, sebanyak 8000 nyawa anak-anak perempuan India dibunuh setiap tahun dek kerana kepercayaan karut ini.

“Perempuan Hindu tidak boleh bersuami lain setelah kematian suaminya. Kalau suaminya mati dibakar, maka isterinya harus turut dibakar hidup-hidup.”—Catatan kitab Manu.

Sarjawan Kong Hu Tju, turut mencatitkan perihal wanita Tionghua suatu ketika dulu.

Di tanah besar Tiongkok iaitu 580 SM, para isteri orang-orang besar ketika itu akan dipakaikan celana daripada besi di celah pahanya hingga ke pusat dan kemudian dikunci dengan besi oleh suaminya sepanjang ditinggalkan.

Bayangkanlah keadaan para wanita bila diperlakukan sedemikian rupa!

Begitu juga di Parsi, tanah Arab semasa Jahiliyyah dan tanah Eropah, wanita hanya layak menjadi tempat melempiaskan hawa nafsu sang lelaki.

Ketika Arab Jahiliyyah, seorang bayi perempuan yang lahir akan di tanam hidup-hidup dan tidak layak hidup di dunia. Perempuan yang ada dijadikan tempat pemuas nafsu. Dan perempuan yang ditinggalkan oleh suaminya akan diasingkan dari kelompok manusia dan mesti memakai pakaian yang paling buruk.

Setelah setahun, seekor kambing atau keldai akan dibawa kepada wanita ini dan barulah ia dianggap ‘suci’ selepas itu.

Harga diri wanita terlalu rendah dan kadang-kala ia lebih rendah dari maruah seekor binatang.

Sehingga akhirnya datanglah Islam membawa cahaya pembebasan lantas menyuluhi para wanita yang mendambakan ‘kemerdekaan’!

Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan dengan tidak ada sesuatu apa yang mereka kerjakan, maka sungguh mereka menanggung dosa derhaka yang nyata!”—Surah Al-Ahzab ayat 58

Baginda Nabi SAW mendidik manusia terutamanya kaum lelaki akan nilai ‘sebenar’ bagi seorang wanita.

Sejarah dunia turut mengiktiraf bahawa Islamlah yang akhirnya berjaya melenyapkan mitos ‘kuno’ dahulu kala yang menyebabkan penderitaan kepada kaum wanita selama ribuan tahun.

Pesan Nabi SAW:

“Bahawa sesungguhnya orang-orang perempuan itu adalah saudara bagi orang-orang lelaki.”—Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, dan Tarmizi.

Pernah dengar tak satu untaian sirah?

Datang seorang Arab Badwi berkata kepada Rasulullah. “Ya Rasulullah... Izinkan daku berzina.” Nabi menegahnya. Dia meminta semula dan berkeras ingin melaksanakan maksiat tersebut. Berkali-kali Nabi menegah. Arab Badwi terebut berkeras juga.

Akhirnya Nabi SAW berkata, “Mahukah anda jika ada orang lain berzina dengan saudara perempuan kandung anda??”. Pertanyaan Rasulullah yang mengandungi tegahan psikologi itu menyebabkan si Arab Badwi terdiam. Lantas dia membatalkan niat jahatnya.

Subhanallah.... Indahnya Islam. Setiap wanita yang ada adalah bagaikan saudara sekandung kita. Sanggupkah jika mereka dizalimi didepan mata??

Wanita. Peliharalah kesucian dan harga dirinya

Saya tertarik dengan madah pujangga seorang sasterawan berbangsa Jerman yang mengakui ‘kemerdekaan’ maruah wanita setelah datangnya naungan Islam. Ungkapnya;

Di tengah-tengah gelap kebodohan Eropah....

Tiba-tiba kita dikejutkan,

Penghulu Islam (Nabi Muhammad) pertama-tama manusia yang berkata....

Syurga di bawah telapak kaki ibu!

***

Sempena ambang kemerdekaan. Ingin saya bertanya;

Wahai kaum ibu dan wahai kaum putriku....

Merdekakah kalian jikalau di sana masih ada kaum namanya wanita dibelenggu ‘hina’??

-----------------------------------------

Saya juga sering diserbu rasa pelik dan musykil.

Sering kelihatan di kaca tv akan peristiwa serbuan rumah-rumah urut, balai-balai pelacuran, disko-daska, dan segala macam.

Tapi...

Hanya gadis-gadis dan wanita-wanita itu sahaja yang sering tertangkap.

Pengurus? Tauke? Dalang? Dan yang sekaki dengannya sering ke mana menghilang?

Terlepas atau dilepaskan..???

Wallahu a’lam!!

p/s:- Minta maaf. Saya gerammm.

Saturday, April 3

Hijau

Hujan.

Rasanya bumi Skudai hampir setiap petang dicurahi hujan dari langit.

Alhamdulillah… Bukti rahmat Tuhan yang melimpah ruah buat para hambaNya. Tinggal lagi mereka mahu bersyukur ataupun tidak.

Saya masih menggenggam buku The Islamic Threat: Myth or Reality tulisan John L. Eposito yang diterbitkan oleh Oxford University. Tulisan ini diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB).

“Sebenarnya dulu kami memang duduk bawah Dewan Bahasa dan Pustaka. Tapi sekarang nie dah pisah dah. Kita dah tubuhkan syarikat yang baru. Khusus buat terjemahan buku-buku yang terpilih.”

Terang Pegawai ITNMB kepada saya ketika PBKAL seminggu yang lepas.

Agak sukar juga membaca buku-buku heavy seperti ini dalam bahasa Melayu. Maksud yang dibawa kadang kala lari dari teks asal yang sebenar. Tapi untuk orang seperti saya, memadailah. Daripada tak faham langsung... Terima kasih ITNMB!

William Pfaff dalam artikelnya yang disiarkan melalui The New Yorker menyebutkan:

“Ramai orang berpendapat bahawa peperangan antara komunisme dengan Barat akan digantikan dengan peperangan antara Barat dengan Islam.”

Fundamentalis Islam dilihat sebagai ancaman kepada Barat.

Kumpulan seperti al-Jihad, Jundullah, Hizbullah, sering merisaukan dunia Barat dan menambahkan lagi imiginasi media mereka bahawa kebangkitan Islam berpotensi untuk membawa bencana kepada dunia.

Dari sudut lain, beberapa gerakan Islam yang bersikap moderate berjaya beradaptasi dengan sistem demokrasi yang diguna pakai. Apakah mereka juga masih menjadi ancaman?

Maaf. Saya masih belum berjaya mengkhatamkan buku ini. Insya Allah on the way!

Tersenyum seketika bila membaca nota sisipan yang ditulis oleh Patrick J. Buchanan, “Is Islam an Enemy of the United State?”.

“Kalau sebelum ini kita takut kepada ancaman merah (lambang Komunisme). Sekarang ini pula kita berdepan dengan ancaman hijau!”

Merah adalah simbol Barat kepada ideologi Komunisme. Dan hijau untuk Islam.

Tidaklah pelik kalau masih ada orang yang takut dengan hijau...

Siapa takut warna hijau? Angkat keyboard sekarang!

Wednesday, March 31

Coklat, Mentega dan Susu.


--Hanyalah sekadar hiasan mata--

Ia mungkin suatu perkara biasa apabila kita menyaksikan pelajar-pelajar Universiti berkumpul sesama etnik masing-masing. Fenomena biasa di alam kampus atau di bangku sekolah dengan alasan mereka lebih selesa berinteraksi sesama mereka. Melayu dengan melayu. Cina dengan rakan Cinanya. Begitu juga kaum india.

Ketika saya menulis ini pun, pemandangan itu berada di depan mata...

Pelajar India berbual sesama rakan dari kaumnya dengan bahasa Tamil. Tidak jauh dari tempat duduk mereka, ada kumpulan pelajar Cina yang bersembang dengan bahasa mandarinnya. Dan tidak ketinggalan pelajar Melayu bersama kawan-kawan yang juga Melayu. Bahkan, bila kita tinjau di dalam kelas, mereka akan memilih tempat duduk yang bersebelahan dengan pelajar dari etniknya sendiri.

Itu belum termasuk kumpulan kerja kursus, assignment, dan lain-lain hal lagi...

Fenomena seperti ini berlaku di dalam dunia akademia. Alam yang 100% penduduknya terdiri dari mereka yang terpelajar. Pun begitu kita masih risau seolah-olah ‘polarisasi perkauman’ itu masih wujud. Dan sememangnya kerisauan seperti ini adalah berasas. Kalau di dalam dunia yang penuh dengan manusia terdidik seperti itu masih berlaku suasana polarisasi, bagaimana yang di luar sana?

Yang jelas ialah... Polarisasi kaum atau bahasa mudahnya magnet kekutuban kaum sejenis ini bukan berpunca atau bermula di Universiti. Puncanya dari masyarakat universal yang terdiri dari pecahan tiga kaum terbesar di Malaysia. Inilah kenyataannya.

Gagasan 1 Malaysia kepada coklat, mentega dan susu.

Hemat saya... Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri turut bermaksud untuk menanggapi serta menjernihkan keadaan yang saya maksudkan.

Cuma apa yang paling utama ialah, realiti transformasi dari polarisasi kepada satu magnet penyatuan bukan kerja yang mudah. Ia proses yang sewajarnya berlaku setapak demi setapak. Slogan seperti 1 Malaysia sebenarnya mesti mengambil kira usaha yang telah dirintis oleh gagasan yang sebelumnya. Bukan hanya pementasan idea yang tidak ‘berakar banir’.

Secara khusus, hubungan kaum dalam masyarakat majmuk di dalam negara ini belum lagi mencapai tahap keeratan yang sebenar. Yang kelihatan erat mahupun harmonis seperti yang dibangga-banggakan hanyalah pada lahiriahnya sahaja. Pada kulitnya. Ataupun sekadar lakonan penyedap hati pemimpin kaum di depan kaca televisyen umpamanya.

Saya tertarik dengan kata-kata Presiden negara China, Jiang Zemin (walaupun kata-kata beliau merujuk perkara lain). Izin untuk dikongsi:

“Tunggu sehinga air pasang itu surut dan lihatlah siapa yang tidak memakai seluar!”—Presiden China, Jiang Zemin.

Secara majoritinya, memang tidak salah kalau dikatakan bahawa kaum-kaum ini cuma berpura-pura mesra antara satu sama lain. Tetapi masing-masing di dalam hati wujud rasa iri hati, tidak senang, tidak selesa, malah rasa benci membenci yang kadang sukar dibendung dan kadang-kala diterjemah dalam bentuk keganasan sosial.

Bertambah parah lagi kalau ada kaum yang merasakan mereka ‘terjepit’. Maaf untuk saya sebutkan di sini umpamanya kaum India yang berasa terpinggir dari arus nasional sedangkan bagi mereka dua bangsa yang lain iaitu Melayu telah mendominasi sektor politik dan kaum Cina dengan kekuasaan sektor ekonominya.

Tuntas. Ia menjadi faktor penjejas kepada perpaduan sebenar yang diimpikan selama ini...

Coklat, Mentega dan Susu. Mustahilkah untuk sebati?

Maaf. Saya tidak bermaksud untuk rasis di sini. Apa yang saya nak utarakan ialah situasi semasa polarisasi yang dinilai berdasarkan warna kulit yang ada. Di tambah pula dengan perbezaan ideolog serta bahasa di kalangan tiga kelompok bangsa yang terbesar di negara ini. Apakah ia satu kemustahilan untuk mencapai tahap perpaduan yang unggul? Atau sebati seperti yang saya perkatakan...

Dasar kolonialisme terhadap negara ini membentuk nasionalisme berorientasikan etnik. Ini fakta yang termaktub!

Apabila orang putih meninggalkan negara ini pada 1957, serpihan ‘dasar pecah perintah’ peninggalan British menjadikan ia sebuah negara yang terbahagi kepada semangat etnik. Cina menguasai bidang perdagangan yang sebelum daripadanya perlombongan bijih timah. Melayu kepada bidang pertanian serta perikanan. Dan kaum India sebilangan besar mereka menjadi buruh di ladang-ladang getah.

Sehinggalah berlaku peristiwa berdarah pada tahun 1969! Akhirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula diperkenalkan.

Itu sejarah....

Tetapi dewasa ini pada kiraan saya, polarisasi yang berlaku amat berbeza dengan sejarah silam yang dahulu. Maksudnya, polarisasi yang berlaku bukan hanya semata-mata simptom perbezaan tingkatan ekonomi. Bukan. Kerana jurang antara kaum Melayu, Cina, dan India ketika ini tidaklah jauh sangat dari sudut ruang pandang ekonomikalinya. Maka, apakah sebenarnya lagi yang menjadi kemustahilan kepada proses perpaduan ini?

Diagnosis penyakit yang BAHARU secara telus perlu dilakukan. Kerana penyakit seperti ini dibimbangi menjadi barah yang lebih besar. Metod pengubatan penyakit masyarakat perlu kepada pengubatan politik (political will). Kerana dari sistem politiklah yang akan menentukan segala-galanya...

Dasar kebangsaan..

Dasar perundangan..

Dasar ekonomi..

Dasar pendidikan..

Dan semua dasar yang berkait dengan negara serta masyarakat!

Coklat, mentega, dan susu. Mulakan dengan 1 Bahasa!

Apabila Mahathir memerintah bermula pada tahun 1981, beliau meneruskan usaha DEB bagi mengembalikan kekayaan kepada etnik Melayu dan Bumiputra. Pada masa yang sama, beliau menggunakan dengan baik kemasukan modal Jepun (Dasar Pandang Ke Timur) bagi memupuk semangat kebangsaan yang mengatasi semangat sempadan bangsa.Termasuklah slogan Wawasan 2020.

Cuma apa yang Mahathir ‘terlupa’, perubahan dasar pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Inggeris adalah bertentangan dengan dasar ‘Japan Incorporation’ yang beliau gagaskan iaitu bangsa Jepun boleh maju di tangan sendiri dan bahasa mulut sendiri. Sedangkan bahasa Malaysia bukan sekadar bahasa komunikasi ilmu bahkan ianya modal komoditi utama perpaduan yang tidak sepatutnya dipinggirkan.

Dan yang terkini... Pemulihan perpaduan diteruskan sekali lagi dengan terlancarnya Gagasan 1 Malaysia. Kempen yang telah pun dilancarkan di mana-mana di seluruh negara. Tetapi, apa yang agak malang ialah gagasan 1 Malaysia ini banyak mengumpuk pada slogan dan bukan kepada suatu bahan yang menjadi teras kepada titik penyatu paduan yang boleh memberikan impak yang jelas.

Bahkan kita bimbangi gagasan yang pada mulanya bertujuan murni untuk memperbaiki semangat perpaduan akan menjadi ubat yang ‘tidak tepat’ ataupun terlebih dos! Ia suatu yang merugikan. Kita bukan nak membuat ‘kuih’ dengan ‘coklat’, ‘mentega’ dan ‘susu’!

Saya tertanya-tanya...

Mengapa kita tidak kembali kepada bahasa Malaysia seperti yang pernah dinyatakan di dalam laporan penuh Penyata Rahman Talib?

Kerana percaya ataupun tidak...

Dalam negara ini masih lagi ada penduduk yang tidak boleh berbahasa Malaysia! Jadi bagaimana untuk mencapai perpaduan kalau berinteraksi untuk satu bahasa yang sama pun tidak boleh? Walhal ketika ini (jikalau dasar kebangsaan yang menyentuh Bahasa Malaysia dilaksanakan secara serius sebelum ini) sepatutnya Bahasa Malaysia sudah menjadi ‘lingua franca’ yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Ya konklusinya kita akan akur bahawa... Sebelum kepada penyeragaman ideolog sebagai prinsip asas manusia untuk menunjukkan siapa mereka dan menyatukan mereka kepada satu payung, ia tidak akan lari kepada soal yang pertama iaitu bahasa. Itulah mungkin salah satu hikmah mengapa Allah SWT turunkan wahyu hanya dengan bahasa Arab sahaja!