Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Wednesday, March 31

Coklat, Mentega dan Susu.


--Hanyalah sekadar hiasan mata--

Ia mungkin suatu perkara biasa apabila kita menyaksikan pelajar-pelajar Universiti berkumpul sesama etnik masing-masing. Fenomena biasa di alam kampus atau di bangku sekolah dengan alasan mereka lebih selesa berinteraksi sesama mereka. Melayu dengan melayu. Cina dengan rakan Cinanya. Begitu juga kaum india.

Ketika saya menulis ini pun, pemandangan itu berada di depan mata...

Pelajar India berbual sesama rakan dari kaumnya dengan bahasa Tamil. Tidak jauh dari tempat duduk mereka, ada kumpulan pelajar Cina yang bersembang dengan bahasa mandarinnya. Dan tidak ketinggalan pelajar Melayu bersama kawan-kawan yang juga Melayu. Bahkan, bila kita tinjau di dalam kelas, mereka akan memilih tempat duduk yang bersebelahan dengan pelajar dari etniknya sendiri.

Itu belum termasuk kumpulan kerja kursus, assignment, dan lain-lain hal lagi...

Fenomena seperti ini berlaku di dalam dunia akademia. Alam yang 100% penduduknya terdiri dari mereka yang terpelajar. Pun begitu kita masih risau seolah-olah ‘polarisasi perkauman’ itu masih wujud. Dan sememangnya kerisauan seperti ini adalah berasas. Kalau di dalam dunia yang penuh dengan manusia terdidik seperti itu masih berlaku suasana polarisasi, bagaimana yang di luar sana?

Yang jelas ialah... Polarisasi kaum atau bahasa mudahnya magnet kekutuban kaum sejenis ini bukan berpunca atau bermula di Universiti. Puncanya dari masyarakat universal yang terdiri dari pecahan tiga kaum terbesar di Malaysia. Inilah kenyataannya.

Gagasan 1 Malaysia kepada coklat, mentega dan susu.

Hemat saya... Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri turut bermaksud untuk menanggapi serta menjernihkan keadaan yang saya maksudkan.

Cuma apa yang paling utama ialah, realiti transformasi dari polarisasi kepada satu magnet penyatuan bukan kerja yang mudah. Ia proses yang sewajarnya berlaku setapak demi setapak. Slogan seperti 1 Malaysia sebenarnya mesti mengambil kira usaha yang telah dirintis oleh gagasan yang sebelumnya. Bukan hanya pementasan idea yang tidak ‘berakar banir’.

Secara khusus, hubungan kaum dalam masyarakat majmuk di dalam negara ini belum lagi mencapai tahap keeratan yang sebenar. Yang kelihatan erat mahupun harmonis seperti yang dibangga-banggakan hanyalah pada lahiriahnya sahaja. Pada kulitnya. Ataupun sekadar lakonan penyedap hati pemimpin kaum di depan kaca televisyen umpamanya.

Saya tertarik dengan kata-kata Presiden negara China, Jiang Zemin (walaupun kata-kata beliau merujuk perkara lain). Izin untuk dikongsi:

“Tunggu sehinga air pasang itu surut dan lihatlah siapa yang tidak memakai seluar!”—Presiden China, Jiang Zemin.

Secara majoritinya, memang tidak salah kalau dikatakan bahawa kaum-kaum ini cuma berpura-pura mesra antara satu sama lain. Tetapi masing-masing di dalam hati wujud rasa iri hati, tidak senang, tidak selesa, malah rasa benci membenci yang kadang sukar dibendung dan kadang-kala diterjemah dalam bentuk keganasan sosial.

Bertambah parah lagi kalau ada kaum yang merasakan mereka ‘terjepit’. Maaf untuk saya sebutkan di sini umpamanya kaum India yang berasa terpinggir dari arus nasional sedangkan bagi mereka dua bangsa yang lain iaitu Melayu telah mendominasi sektor politik dan kaum Cina dengan kekuasaan sektor ekonominya.

Tuntas. Ia menjadi faktor penjejas kepada perpaduan sebenar yang diimpikan selama ini...

Coklat, Mentega dan Susu. Mustahilkah untuk sebati?

Maaf. Saya tidak bermaksud untuk rasis di sini. Apa yang saya nak utarakan ialah situasi semasa polarisasi yang dinilai berdasarkan warna kulit yang ada. Di tambah pula dengan perbezaan ideolog serta bahasa di kalangan tiga kelompok bangsa yang terbesar di negara ini. Apakah ia satu kemustahilan untuk mencapai tahap perpaduan yang unggul? Atau sebati seperti yang saya perkatakan...

Dasar kolonialisme terhadap negara ini membentuk nasionalisme berorientasikan etnik. Ini fakta yang termaktub!

Apabila orang putih meninggalkan negara ini pada 1957, serpihan ‘dasar pecah perintah’ peninggalan British menjadikan ia sebuah negara yang terbahagi kepada semangat etnik. Cina menguasai bidang perdagangan yang sebelum daripadanya perlombongan bijih timah. Melayu kepada bidang pertanian serta perikanan. Dan kaum India sebilangan besar mereka menjadi buruh di ladang-ladang getah.

Sehinggalah berlaku peristiwa berdarah pada tahun 1969! Akhirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula diperkenalkan.

Itu sejarah....

Tetapi dewasa ini pada kiraan saya, polarisasi yang berlaku amat berbeza dengan sejarah silam yang dahulu. Maksudnya, polarisasi yang berlaku bukan hanya semata-mata simptom perbezaan tingkatan ekonomi. Bukan. Kerana jurang antara kaum Melayu, Cina, dan India ketika ini tidaklah jauh sangat dari sudut ruang pandang ekonomikalinya. Maka, apakah sebenarnya lagi yang menjadi kemustahilan kepada proses perpaduan ini?

Diagnosis penyakit yang BAHARU secara telus perlu dilakukan. Kerana penyakit seperti ini dibimbangi menjadi barah yang lebih besar. Metod pengubatan penyakit masyarakat perlu kepada pengubatan politik (political will). Kerana dari sistem politiklah yang akan menentukan segala-galanya...

Dasar kebangsaan..

Dasar perundangan..

Dasar ekonomi..

Dasar pendidikan..

Dan semua dasar yang berkait dengan negara serta masyarakat!

Coklat, mentega, dan susu. Mulakan dengan 1 Bahasa!

Apabila Mahathir memerintah bermula pada tahun 1981, beliau meneruskan usaha DEB bagi mengembalikan kekayaan kepada etnik Melayu dan Bumiputra. Pada masa yang sama, beliau menggunakan dengan baik kemasukan modal Jepun (Dasar Pandang Ke Timur) bagi memupuk semangat kebangsaan yang mengatasi semangat sempadan bangsa.Termasuklah slogan Wawasan 2020.

Cuma apa yang Mahathir ‘terlupa’, perubahan dasar pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Inggeris adalah bertentangan dengan dasar ‘Japan Incorporation’ yang beliau gagaskan iaitu bangsa Jepun boleh maju di tangan sendiri dan bahasa mulut sendiri. Sedangkan bahasa Malaysia bukan sekadar bahasa komunikasi ilmu bahkan ianya modal komoditi utama perpaduan yang tidak sepatutnya dipinggirkan.

Dan yang terkini... Pemulihan perpaduan diteruskan sekali lagi dengan terlancarnya Gagasan 1 Malaysia. Kempen yang telah pun dilancarkan di mana-mana di seluruh negara. Tetapi, apa yang agak malang ialah gagasan 1 Malaysia ini banyak mengumpuk pada slogan dan bukan kepada suatu bahan yang menjadi teras kepada titik penyatu paduan yang boleh memberikan impak yang jelas.

Bahkan kita bimbangi gagasan yang pada mulanya bertujuan murni untuk memperbaiki semangat perpaduan akan menjadi ubat yang ‘tidak tepat’ ataupun terlebih dos! Ia suatu yang merugikan. Kita bukan nak membuat ‘kuih’ dengan ‘coklat’, ‘mentega’ dan ‘susu’!

Saya tertanya-tanya...

Mengapa kita tidak kembali kepada bahasa Malaysia seperti yang pernah dinyatakan di dalam laporan penuh Penyata Rahman Talib?

Kerana percaya ataupun tidak...

Dalam negara ini masih lagi ada penduduk yang tidak boleh berbahasa Malaysia! Jadi bagaimana untuk mencapai perpaduan kalau berinteraksi untuk satu bahasa yang sama pun tidak boleh? Walhal ketika ini (jikalau dasar kebangsaan yang menyentuh Bahasa Malaysia dilaksanakan secara serius sebelum ini) sepatutnya Bahasa Malaysia sudah menjadi ‘lingua franca’ yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Ya konklusinya kita akan akur bahawa... Sebelum kepada penyeragaman ideolog sebagai prinsip asas manusia untuk menunjukkan siapa mereka dan menyatukan mereka kepada satu payung, ia tidak akan lari kepada soal yang pertama iaitu bahasa. Itulah mungkin salah satu hikmah mengapa Allah SWT turunkan wahyu hanya dengan bahasa Arab sahaja!

Friday, February 26

'Hadiah' sempena MaulidurrasuL


Salam Maulidurrasul 1431 Hijrah!

Selalunya bila tiba sambutan Maulidurrasul, di sana-sini akan diadakan program dan sambutan sebagai tanda meraikannya. Tidak ketinggalan juga penganugerahan tokoh Maulidurrasul sebagai pelengkap kepada acara sambutan tahunan..

Dan saya mencadangkan Dr. Najmuddin (dalam bahasa Turki; Necmettin) Erbakan sebagai tokoh Maulidurrasul sesi 1431 H!

Beliau antara tokoh yang saya kagumi abad ini.—Tokoh "JURUTERA MANUSIAWI" yang hebat!

-Dr Najmuddin (Necmettin) Erbakan-

Dr Najmuddin Erbakan dilahirkan pada 29 Oktober 1926 di bandar Sinop berdekatan dengan Laut Hitam. Beliau berasal dari keluarga yang cintakan Islam serta mengambil berat soal pendidikan Islam kepada anak-anak.

Tahun 1948, beliau belajar di peringkat pengajian tinggi di Universiti Istanbul dalam jurusan Kejuruteraan. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (master) dan doktor Falsafah (pHD) di University of Applied Sciences, Germany. Bidang pemfokusan beliau ialah Termodynamic dan Atom.

Sejurus menamatkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan, beliau bertanding atas tiket Parti ‘Nizam al-Watani’ di Bandar Quwineh. Beliau menang dan menjadi ahli parlimen termuda ketika itu!

Malangnya, oleh kerana sistem sekularisme yang melampau di Turki, beliau telah dihalang untuk berpolitik serta terlibat dengan kerajaan campuran. Beliau dituduh sebagai penentang keras sistem Sekularisme. Ini menyebabkan beliau menubuhkan satu parti baharu yang benar-benar berteraskan ajaran Islam yang dianamakan Parti as-Salaamat.

Tahun 1971, pihak rejim kuasa tentera Turki mula mengenal pasti beberapa tokoh Islamik yang terkenal dan mereka semua dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya umum dan Parti ‘Nizam al-Watani’ turut diharamkan!

Tahun 1973...

Parti as-Salaamat yang baru telah bergabung dengan Parti Rakyat Turki dan kemudian menang pilihan raya pada tahun tersebut. Kerajaan campuran dibentuk dan Dr Najmuddin Erbakan menjawat Naib Perdana Menteri dan merangkap portfolio di tujuh buah kementerian; Kementerian Dalam Negeri, Undang-Undang, Perdagangan, Kastam, Pertanian, Perindustrian dan Pemakanan.

Malangnya sekali lagi kerajaan campuran ini hanya dapat bertahan selama 7 bulan. Ia digulingkan oleh kuasa tentera yang terlalu taksub dengan fahaman Sekularis.

Ketabahan beliau tidak pernah padam...

Pada 1977, Dr Najmuddin Erbakan sekali lagi muncul dalam pilhan raya. Kali ini parti beliau bergabung dengan Parti Gerakan serta Parti Keadilan dan kemudiannya memenangi pilihan raya umum buat kali yang ketiga. Namun, kedengkian kuasa tentera tetap seperti sebelum ini. Beliau dituduh sebagai penentang dasar-dasar Kamal Attartuk yang dianggap oleh kebanyakan rakyat sebagai Bapa Permodenan Turki!

Kali ini nasib beliau semakin teruk. Bukan sekadar dibatalkan kemenangan, bahkan beliau dipenjara selama empat tahun iaitu bermula pada 1981 hinggalah akhir 1985.

Dr Najmuddin yang bersemangat kental tidak pernah kenal erti putus asa dalam perjuangan... 1986, sejurus keluar dari penjara beliau kemudiannya menubuhkan parti Refah. Parti ini pantas menarik golongan anak-anak muda terpelajar yang terdiri dari Mahasiswa dan Mahasiswi di pusat-pusat pengajian tinggi. Anak-anak muda yang berkesedaran bahawa sistem Sekular gagal menangani isu-isu umat Islam memilih Parti Refah sebagai medium baru untuk melaksanakan Islam di tengah-tengah masyarakat.

Perlembagaaan Turki yang tidak membenarkan sekali-kali terma politik Islam menyebabkan Refah memilih metodologi wajah gerakan cakna rakyat dan gerakan kebajikan. Natijahnya sangat baik. Refah diterima secara meluas di bumi Turki!

Antara aktiviti Parti Refah ialah:

1. Berimejkan progresif dengan menentang rasuah serta penyelewengan

2. Pembasmian buta huruf serta pelancaran kempen celik Quran

3. Bantuan berterusan kepada rumah-rumah anak yatim serta ibu tunggal

4. Menyediakan generasi pelapis kepimpinan di seluruh kampus-kampus yang ada

5. Mengutip zakat dan kemudian menyalurkannya kepada sekolah-sekolah Islam

6. Meniupkan kembali nostalgia kejayaan silam Khilafah Uthmaniyyah

Selama 10 tahun membina kekuatan... Akhirnya beliau nekad untuk bertanding sekali lagi dalam pilihan raya umum Turki. Parti Refah tanpa sokongan kekuatan dari parti-parti lain telah menang besar dalam pilhan raya tersebut dan Dr Najmuddin Erbakan dipilih sebagai Perdana Menteri Turki!

Walaubagaimanapun, kebencian golongan sekularisme yang ditaja oleh dunia Eropah tidak pernah berhenti. Sembilan bulan selepas kemenangan, beliau sekali lagi digulingkan secara paksa untuk kali yang ke-3!

Tapi, apa yang membanggakan ialah... Dalam tempoh sesingkat itu, Erbakan mampu menjayakan beberapa agenda besar antaranya ialah:

1. Gagasan ekonomi yang praktis. Buktinya KDNK negara Turki meningkat di sepanjang kepimpinannya sehingga masyarakat Turki ternanti-nanti pemimpin sepertinya selepas itu.

2. Proses Islamisasi masyarakat. Kemunculan beliau dalam arena politik membuka mata rakyat Turki yang selama ini dibutakan dengan dasar-dasar Sekularis ciptaan Attartuk.

Bahkan, kemenangan AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan Turki) yang memerintah sekarang ini sedikit sebanyak hasil dari cetusan perjuangan Dr Najmuddin Erabakan.

Selepas penggulingan itu, beliau dikenakan hukuman penjara dan sekaligus parti Refah diharamkan!

Kesimpulannya... Dr Najmuddin Erbakan:

1. Pelajar Kejuruteraan

2. Pensyarah Kejuruteraan

3. Saintis dan Pengkaji

4. Tokoh masyarakat serta Pemikir Umat

5. Daie iaitu Pendakwah

6. Menteri di Tujuh Kementerian

7. Pernah menjawat Naib Perdana Menteri

8. Perdana Menteri (1996)

9. Meringkuk di penjara selama 4 tahun + 2 tahun

10. Revolusioneer dan Intelektual sekaligus!


myikhwanfiideen:-

Insya Allah... Nantikan sekali lagi ‘Prof. Ir Dr Najmuddin Erbakan’ yang kedua. Untuk pusingan abad 2010!

Wednesday, February 24

Kuantum "Idolisasi IslamiK".


Kuantum ini bukan 'Idealisme layang-layang'. Ia hukum yang terbumi di tangan masing-masing...

Apabila anda membaca media-media tempatan khususnya akhbar-akhbar yang ada, pasti anda akan bertemu suatu ‘ruangan khas’ yang mengetengahkan artis-artisan tempatan atau luar negara... Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk ‘mempromosi’ artis-artisan tadi kepada sidang pembaca. Khasnya anak muda! Untuk menjadi idol mereka..

Dibukalah segala cerita...

Asal-usul artis. Siapa ‘pakwe’? Siapa ‘makwe’? Bila nak kahwin.. Kenapa jatuh cinta? Semuanya dibongkar dan diceritakan... Sampaikan bilangan kasut sekalipun ada disebut dalam ruangan tersebut! Cuma yang peliknya, keputusan SPM atau STPM jarang-jarang pula disebut.. Tidak perlu dinyatakan mengapa, kerana sebabnya sudah diketahui umum..

(saya teringat kata-kata Ust Ismail Musytari, Pensyarah Fakulti Tamadun Islam. “Jangan sesekali membawa akhbar di dalam Masjid. Sebabnya, ruangan artis yang ‘menayangkan’ gambar-gambar TIDAK SENONOH!”)

Bila kita sebut pasal anak muda...

Anak muda tidak lari dari mahukan idol depan mata... Anak muda hari ini mengalami ‘vakumisasi idol’ atau bahasa mudahnya ketandusan teladan yang boleh diikuti serta dicontohi. Mereka mahukan ‘contoh yang hidup’. Yang boleh dibelek-belek kisahnya.. Yang boleh diminta autografnya.. Yang boleh ditampal gambarnya.. Boleh disentuh dan boleh dilihat dengan mata kepala sendiri!—Itu fitrah anak muda!

Tuntas, media mengambil ‘kesempatan’ serta peluang besar ini untuk melumayankan keuntungannya. Dunia liberalisasi kapitalisme!

Dengan bantuan media, artis dijadikan sebagai bahan pelaris jualan mereka.. Artis-artisan diberikan ruangan khusus di dada-dada akhbar dan majalah-majalah hiburan. Cerita hidup mereka dijual, dijaja merata tempat, disensasikan, dan segala macam strategi tidak kira 'boleh' atau 'tidak boleh'. 'Sopan' ataupun 'biadap'.. Sekali lagi, dunia liberalisasi kapitalisme!

Oleh kerana, zaman ini adalah zaman yang saya katakan sebagai ‘vakumisasi idol’.. Maka proses promosi dan upaya menjadikan artisan sebagai idol tadi berlaku dengan cepat.. Anak muda dengan jiwa ghairahnya meraih serta mengisi jiwa mereka dengan teladan-teladan yang dijual oleh media massa. Mereka ‘membeli’ idol-idol mereka tanpa membuat pertimbangan ilmu dan iman. Akhirnya, KUASA HEDONISME menjadi dominan dalam zaman vakumisasi ini!

Disebalik tirai....

Jutaan bahkan billionan untung dicekup oleh media-media prima mahupun bukan prima atas pelaburan mereka menaja idol-idol yang telah disensasikan.. Lihat sahajalah kepada program yang dipanggil Akademi Fantasia, berapakah jumlah sms yang dikirim untuk mengundi sosok tubuh yang bernama ‘Mawi World’ ?? Begitu juga kepada akhbar tempatan, siapa yang lebih ‘canggih’ cerita artisannya nescaya jualan merekalah yang melambung naik..

Inilah kisah BENAR sebalik tabir yang jarang dibongkar kepada umum!

Noktah.

‘Vakumisasi idol’ ini tidak akan habis dengan cerita-cerita ‘mengapa’ dan ‘kenapa’... Betul? Kalau kita sekadar bercakap sebab dan musabab, saya kira entry ini takkan habis. Justeru, yang paling utama sekarang ialah, persoalan ‘BAGAIMANA’.. Bagaimana untuk mengatasi kelompangan atau lohong besar proses ‘vakumisasi idol’ terutama kepada anak-anak muda dan remaja?

Anda mesti menjadi Idol!—Ke arah pelan ‘Idolisasi Islamik’.

“Haih.. Kenapa pula aku?”—Respon yang mungkin kedengaran.

Andalah... Kalau bukan Anda, siapa lagi??

Maksud saya begini...

Idol yang saya maksudkan bukanlah suatu idea melangit yang tidak berpijak di bumi nyata. Pelan ‘Idolisasi Islamik’ bagi merobah zaman ‘vakumisasi idol’ dewasa ini adalah pelan bertindak yang anda sendiri boleh mulakan sejurus sahaja anda selesai membaca entry ini! Menjadi idol islamik dengan memulakan pada diri sendiri. Berubah menjadi contoh kepada diri kita sendiri sebelum meyakinkan orang lain dengan kapasita kendiri..

“Tegakkan Islam dalam diri kamu.. Nescaya Islam tertegak pada diri orang lain”

“Semua kamu adalah Pemimpin (teladan) dan kamu bertanggungjawab ke atas apa yang kamu pimpin.”

Ok. Bagaimana caranya? Apa silibus atau kurikulum yang mahu diguna pakai?

Silibusnya sudah lama dirungkai, dibentang, dibahas, serta diperkatakan.. Iaitu ambillah Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan. Baginda adalah teladan utama yang menjadi sumber rujukan ulung dalam menjayakan pelan ‘Idolisasi Islamik’ ini. Peranan kita sekarang ialah menggarap dan menjiwai segala silibus dari baginda.

Supaya anak-anak muda boleh melihat dengan kepala sendiri serta boleh menyentuh dengan tangan akan idola baru mereka. Raikan fitrah mereka!

Saya tertarik dengan Teori Kuantum Mekanik..

Saya kira apabila semua golongan ‘sedar’ hari ini berusaha untuk menjayakan kempen ini, insya Allah terpadamlah zaman ‘vakumisasi idol’ yang berlaku. Terlaksana suatu momentum kuantum idol islamik yang baru dan tertutuplah lohong-lohong kekosongan dengan ‘Qudwah Hasanah’ yang punya akhlak Islami sebenar.

Jayakan Kuantum ‘Idolisasi Islamik’ dengan SAYA, ANDA, KAMI, dan KITA sebagai Idol!

Monday, February 22

Mahasiswakah atau Pelajar?


Ke arah Pencerahan sebuah Visi 'Tamadun Mahasiswa'..

Saya tidak pasti tanggal sebenar bilakah KPT (Kementerian Pengajian TInggi) telah menukar singkatan nama MPM (Majlis Perwakilan Pelajar) ke MPP (Majlis Perwakilan Pelajar)? Tapi apa yang pasti, hari ini ‘term’ panggilan MPP itu telah dicanang-canang di kebanyakan kampus oleh Hal Ehwal Pelajar sendiri. Petanda ia sudah menjadi panggilan yang rasmi...

Dalam kesibukan orang memperdebat nama MPP atau MPM, yang mana satu lebih sesuai... Hakikatnya, kebanyakan mahasiswa yang ada di Universiti samada IPTA mahupun IPTS sebenarnya tidak mengambil ‘cakna’. Bilangan mereka yang kisah jauh dan terlalu sedikit berbanding yang tak kisah. Bagi kebanyakan mahasiswa, apa sahaja nama yang diguna pakai sekalipun ia tidak menjejaskan premis hidup mereka. Jangankan nama, MPM itu sendiri sekalipun ia seolah tiada apa bagi mahasiswa yang ada...

Ada MPM, ok.. Tiada MPM, pun ok. “Lagi best” kata mereka kerana tidak perlu bersusah-susah untuk keluar mengundi..

Mutakhir kini, ‘Tamadun Mahasiswa’ realitinya memberikan gambaran sebuah tamadun intelek yang berdepan suatu pasca kemerosotan kualiti perwatakan sebagai golongan ilmuan. Sambil berdepan dengan cabaran globalisasi kuning, budaya pragmatisme dan gaya hidup hedonistik mempercepatkan lagi proses yang diistilahkan sebagai ‘the death of positive values’! Bahkan pemikiran anak muda harapan nusa bangsa ini, telah berjaya ‘diprogramkan’ sehingga upaya pentaksiran mereka telah menjadi kabur serta digelapkan oleh unsur-unsur materialistik.

Dalam suatu kajian umum, purata keseluruhan mahasiswa yang aktif dalam kokurikulum iaitu mengambil tahu dunia kampus serta isu masalah masyarakat luar ialah hanya 40 peratus. Statistik ini hanya merujuk kepada mereka yang ‘mengambil tahu’. Belum diambil kira bilangan yang betul-betul terlibat dengan persatuan atau kelab-kelab kebajikan di dalam kampus varsiti. Kemungkinan besar, peratusan itu pastinya lebih rendah lagi..

Teringat suatu ketika dahulu, seorang dekan fakulti sanggup turun padang berkempen kepada mahasiswa supaya turun mengundi ketika pilihan raya kampus.. Tidak disangka seorang mahasiswa bertanya, “Dato’, apa yang kami dapat kalau mengundi?”. Jawab dekan ini, “Bukankah fakulti sudah sediakan cabutan tiket bertuah?”. Ya, inilah antara dialog yang sangat mengecewakan di dalam sebuah sumur ilmu yang menjadi tempat tinggal kelompok ‘Tamadun mahasiswa’.

Bahkan, ada sebilangan IPT yang terpaksa membuat peraturan memotong markah pelajar jika tidak turun mengundi. Penyakit tiada cakna yang tidak boleh ditepis lagi bagi seorang mahasiswa atau hari ini hanya layak digelar ‘pelajar sekolah’!

Prof Zaini Ujang, dalam buku beliau yang bertajuk “Universiti Mendukung Tradisi Keintelektualan” menyebutkan bahawa terbitnya suatu penyakit intelektual baru di abad ke-21 yang beliau namakan sebagai “Penyakit Diploma/Ijazah”. Penyakit ini merujuk kepada sebahagian besar mahasiswa hari ini yang sekadar mahu belajar semata-mata kerana pekerjaan.

Exam oriented and not Educational oriented!

Mahasiswa tidak lagi mahu meneroka khazanah ilmu yang ada di taman varsiti dan tidak lebih dari hanya mahukan segulung ijazah cuma. Paradigma seperti inilah yang bersarang pada diri mahasiswa sehingga menjadikan ‘tamadun mahasiswa’ ini tandus serta gersang dengan amalan penerokaan ilmu pengetahuan serta pengembangan budaya penghayatan ilmu.

Suasana kesuraman jelas kelihatan dengan kehadiran mahasiswa yang tidak memberangsangkan ke seminar-seminar yang bersifat ilmiah. Pelajar yang hadir lebih bersifat ‘tukiang tadah’ serta tidak mampu membuat analisa sendiri, apalagi mahu menghayati ilmu yang dicurahkan secara praktikal. Malah, skop pembacaan mahasiswa rata-ratanya hanya tertumpu bidang pengajiannya sahaja. Budaya berdialog, berdiskusi, berwacana tentang isu-isu serta bahan-bahan antarabangsa jauh sekali dilihat..

Apa yang nyata ialah, hiburan berbentuk elektronik ataupun bukan elektronik semakin rancak. Bahkan, mahasiswa yang sudah separuh umur masih terlalu taksub dengan cerita-cerita khayalan yang diimport dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Taiwan, Jepun dan semestinya Korea!

Justeru, pimpinan kampus yang ada sekarang ini haruslah menyedari akan peri pentingnya mengembalikan mahasiswa kepada natijah kehidupan yang asli.. Iaitu menjadikan taman ilmu di seluruh negara yang ada akan dihuni oleh sebuah ‘Tamadun mahasiswa’ yang sarat dengan pakar-pakar cendikia bukan hanya pada TEORI semata bahkan PRAKTIKAL sekaligus. Pelan yang integratif ini semestinya perlu didokong oleh semua pimpinan mahasiswa secara seiring dan serentak. Bersatu hati untuk membuat perubahan secara total atau besar-besaran!

Prof Ismail Faruqi, seorang tokoh pemikir terkenal pada abad 80-an mengungkapkan suatu kalimat keramat dalam bukunya; “The Person with role that relevant to us here is the person with a cause. The person with cause is a person who has vision”.—Ismail Faruqi, Youth and Developement Society.

‘Tamadun Mahasiswa’ adalah suatu gagasan yang sangat besar dan kejayaannya amat bergantung kepada sejauh mana komitmen seluruh ‘bangsa’ masyarakat kampus ayang ada. Ia terdasar kepada semangat koloboratif antara ‘bangsa pendidik’, ‘bangsa pentadbir’, ‘bangsa mahasiswa’, serta ‘bangsa kakitangan bukan akademik’ yang tinggal di alam varsiti ini.

Agak malang serta menyedihkan sekali, gagasan murni ini tidak dapat direalisasikan kerana semangat kerjasama serta komitmen yang diberikan oleh pihak-pihak yang saya sebutkan tadi belum mencapai tahap optima yang sepatutnya. Walhal, mengharapkan semata-mata mahasiswa sahaja untuk berubah takkan berjaya jika dalam masa yang sama ruang yang diberi hanya sebesar ‘kepompong rama-rama’..

Visi ‘Tamadun mahasiswa’ yang masih gagal dihayati sepenuhnya oleh semua ‘bangsa’ yang ada..

Mungkin juga kerana ada pihak yang belum bersedia membuka ruang kepada pelajar IPT untuk berubah menjadi mahasiswa..