Tuesday, November 6
Mantanani: Harapan anak Pulau
Sepatutnya program korban pada hari kedua Aidil Adha itu berlangsung di Pulau Banggi, Kudat.
Saya (wakil PSS) dan rakan-rakan Yayasan Amal dijadualkan untuk bermalam di sana dan menyembelih 2 ekor lembu korban yang akan disedekahkan kepada para fakir miskin.
Tapi, Allah lebih mengetahui yang terbaik. Jadual berubah, dari Pulau Banggi, Kudat, saya menuju ke Pulau Mantanani, Kota Belud. Kali ini bersama dengan rakan-rakan Muslim Care dan juga pegawai JAKIM serta JHEAINS.
Turut serta dalam rombongan ini beberapa orang anak muda Persatuan Siswazah Sabah (PSS).
Dengar kata (sebelum ke pulau), kami akan menumbangkan 3 ekor lembu untuk program yang julung-julung kali diadakan di situ.
Saya membuat congakan, kalau 3 ekor lembu, campur waktu untuk melapah daging dan membuat edaran, sekuang-kurangnya kami hanya akan dapat berlepas pulang dari pulau sebelum pukul 6 petang. Silap haribulan, kena tidur dekat Pulau!
Alhamdulillah perjalanan ke Pulau pada pagi tersebut sedikit teruji dengan bot yang mengalami kerosakan enjin. Terpaksa menunggu bot alternatif dari pulau beberapa jam, sebelum kembali semula ke jeti perlepasan.
Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan masa menunggu tersebut untuk berjumpa dengan orang-orang kampung. Sarapan bersama di warung dan seterusnya berbincang isu-isu dakwah serta lokal yang berkaitan.
Ya. Ziarah santai sebenarnya punya kesan yang lebih mendalam berbanding program formal yang dianjurkan.
Pukul 10.30 pagi, kami mula bertolak dari jeti ke pulau. Bot yang dinaiki agak besar dan kebimbangan saya dengan lambungan ombak lenyap begitu sahaja. Turut serta dalam bot beberapa orang kampung yang ingin menunaikan hajat ke pulau. Anak kecil mereka (sekitar umur anak saya, Ahmad Yassin) dibiarkan sahaja kepanasan dibawah terik mentari yang menggigit kulit. Kagum! Anak-anak mereka seolah sudah kebal dengan cahaya terik suria tengah hari tersebut... Kalau anak bandar, demamlah jawabnya.
Bunyi deru bot yang memecah keheningan lautan biru sekali-sekala dipecahkan dengan bunyi rakan-rakan bersembang sesama mereka. Saya ambil kesempatan itu untuk berbual dengan pegawai JHEAINS yang sudah 5 tahun menginfakkan masanya berulang-alik dari tanah besar ke pulau.
"Wah... Kira laut ni mainan hidup abang lah kan.." Puji saya. Menghargai usahanya.
"Ndak lah bah.. Sikit-sikit saja." Dia menidakkan dengan loghat Sabah sambil menggeleng-geleng kepala. Merendah diri benar abang ini.
Kami berbual sambil mata dilemparkan pada pulau yang sayup-sayup semakin membesar di hadapan.
Antara masalah di pulau yang memerlukan NGO Islam turun ialah, masalah pembelajaran. Anak-anak pulau memerlukan motivasi untuk mereka bersemangat dalam meraih kejayaan terutamanya di alam persekolahan rendah. Ibu-bapa juga perlu diberikan suntikan motivasi kerana merekalah sumber inspirasi utama anak-anak di rumah. Ujarnya pada saya panjang lebar.
Alhamdulillah... Saya doakan abang ini sentiasa dapat diberi kemudahan untuk meneruskan khidmat. Kita sebagai NGO, sekerap mana sahaja yang kita boleh lakukan untuk turun padang. Itu fakta pahit yang tetap kena telan.
15 minit sebelum tiba di Pulau, beberapa kawanan ikan yang 'terbang' melayang-layang sdi sekeliling bot seolah-olah menyambut ketibaan rombongan kami dengan riang. Saya terkejut! Ini pengalaman pertama saya melihat ikan terbang. Boleh rasanya team National Geographic datang membuat kajian!
"Masya Allah! Jernihnya air..." Jerit beberapa ahli rombongan.
Saya melihat ke bawah. Kelihatan air laut yang tenang dan jernih hingga menampakkan dasarnya. Pemandangan hidrologi yang belum terusik dengan tangan kasar pembangunan.
Bot kami berlabuh.
Seluruh penduduk kampung berbaris ditepi jeti menyambut ketibaan rombongan kami. Macam sambut YB lah pula!
Tentatif kami di pulau ini dimulakan dengan taklimat sepanjang sehari program dan sedikit sumbangan kepada fakir misikin. Sejurus selepas itu, 2 ekor lembu ditumbangkan sebagai ibadah korban yang mana seekor lagi terlepas dan masih dicari oleh penduduk kampung. Ini adalah program korban yang pertama di pulau ini! Kata seorang penduduk kampung.
Ya. Anak-anak muda mereka tidak pernah melihat sendiri apa itu ibadah korban sebenarnya? Mereka hanya mendengar dari lidah para pendakwah yang datang. Jadi program seperti ini sekurang-kurangnya memberi pengalaman kepada anak-anak muda pulau menghayati syiar ibadah korban tesebut. Selain kaum ibu dan bapa mempertautkan lagi ukhuwwah dengan melaksanakan ibadah ini bersama-sama.
Selesai semuanya, kami selamat pulang semula ke tanah besar sebelum maghrib menjelang.
Suara anak pulau yang mengharap kedatangan kami semula ke sana masih terngiang-ngiang...
Insha Allah adik!
P/s-Gambar-gambar penuh di Pulau boleh lawati album Fb saya. Syukran
Friday, November 2
Jihad: Di saat kita lelah...

"Saya agak kecewalah.. Kita minta datang awal mesyuarat kadang-kadang tak datang." Keluh ketua.
"Jangan kata nak datang, langsung tak mesej makluman pun ada.." Tambah beliau.
"Macam manalah keadaan kita kalau begini...?"
Semua senyap.
"Kita buat sistem dendalah. Macam mana?" Saya mengajukan cadangan.
"Sistem denda ni dah banyak kali kita cadangkan. Dah diminitkan pun dalam mesyuarat"
"Tapi tak pernah jadi..." Balas ketua.
"Erm... Saya rasalah ia bukan sebab perlu denda atau hukuman. Mereka ni pun bukan orang lain. Mereka sahabat-sahabat kita juga." Seorang rakan lain mencelah.
"Saya rasa ia faktor pengisian jiwa. Perjuangan ini ada pasang surutnya. Ada masa kita lelah. Ada masa kita mengah."
"Cuba kita fikirkan sejenak, sejauh mana pengisian yang kita buat, dan kita bandingkan dengan berapa banyak gerak kerja yang kita lakukan?" Tambahnya lagi. Kemas.
Lontaran yang baik. Lantunan yang memuhasabahkan.
Tatkala sibuk kita menghayunkan langkah, boleh jadi kita terlupa memperkemaskan kuda-kuda.
Di saat kita lelah dan mengah. Kita sebenarnya di ambang alpa.
Usrah. Mukhayyam. Ijtimak. Mahabbah!
Cantik dan tersusun dizikirkan dengan mulut. Tapi belum tentu seindah gubahannya pada 'real' suasana.
Salah siapa? Tepuk dada.. Mari bermuhasabah!
ANTARA: RASIONAL vs HAK vs JIHAD
Pernahkah kita renung seketika.
Pelik rasanya bila kita lihat ada rakan lain yang bersungguh-sungguh dalam perjuangan. Atas nama sebuah rasional, atas nama sebuah kebebasan hak asasi manusia.
Mereka sanggup bergadai masa, tenaga, wang ringgit, dan kadang kala keintiman keluarga atas semangat ingin menatijahkan perjuangan yang mereka percaya. Malah, sayugia jauh lebih giat sebahagian mereka dari sebilangan kita.
Apakah tuntutan Rasional dan Hak itu jauh melebihi tuntutan Jihad dari sebuah kaca mata?
Atau... Apakah mereka tak pernah kenal erti lelah dan mengah sebagaimana seorang insan biasa?
Seorang Amilin yang percaya erti Jihad dalam kamus sebuah Risalah Ta'alim Al-Banna sebenarnya jauh lebih hebat momentumnya dari seorang penganut sosialis yang menghafal erti Hak dan Rasional dari kamus pustaka John Locke di Wrington.
Semestinya!
Kerana Jihad itu ia bersaudara dengan soal; Dosa atau Pahala.
Salam Jumaat!
Wednesday, March 28
Lambaian bumi Sakura
Insha Allah esok saya akan ke sana untuk permohonan VISA bagi memasuki negeri matahari terbit itu.
Tambah pula mujahid saya, Ahmad Yassin Nasrullah mungkin tidak akan mengekor Abinya buat masa terdekat ini.
‘Abang… Saya percaya apa yang abang buat, apapun keputusan abang, sayang tetap setuju dan redha. Sebab sayang tahu, abang pergi bukan saja-saja nak pergi ke sana. Tapi abang nak dapatkan sesuatu yang lebih “berharga” dari segulung skrol phd..’
Begitu juga rakan-rakan yang sudah menadah kitab di Germany, di New Zealand, Australia, United Kingdom, USA dan etc. Moga anda balik dan berkongsi dengan 1001 kebaikan for our nation... Not only for a scroll of phd.
Friday, January 27
A step just began..

Alhamdulillah…
Kelmarin saya menerima sepucuk surat dari IEM (Institute of Engineers Malaysia).
Katanya, permohonan untuk keahlian saya dalam IEM sudah diluluskan. Dan insha Allah bermula tahun ini gelaran ENGR. (Engineer) sudah boleh dipakai secara rasminya.
Sebenarnya, nakdapat title ENGR. bagi seorang siswazah kejuruteraan ini memang mudah. Daftar sahaja dalam BEM (Board of Engineers Malaysia) dan tunggu kelulusan mereka. Kemudian bila dah lulus, daftar ke IEM untuk dapat title ENGR. Walaupun begitu, ia masih tertakluk kepada beberapa syarat tertentu.
ENGR – Gelaran ini sebenarnya tidak ada apa-apa kelebihan. Hanya untuk ‘membangkitkan’ semangat bagi mendapatkan gelaran IR. (INGENIEUR - Professional Engineer). Yang ni barulah mencabar!
Ada apa dengan gelaran?
Bagi saya, soal gelaran professional samada ENGR, IR, atau DR tidak membawa apa-apa makna bahkan menimbulkan dosa jika niat kita adalah takjub dan riak semata.
Tapi dari satu sisi lain, gelaran professional ini amat bermakna untuk tujuan dakwah. Percaya atau tidak, manusia akan melihat dengan siapa dia bercakap. Dengan siapa dia berbicara.. Itu adalah fitrah!
Itulah antara hikmah mengapa Rasulullah SAW yang tercinta dikurniakan gelaran Al-Amin sebelum diangkat menjadi Rasul. Ini dinamakan sebagai ‘Proses pembinaan SISTEM KEPERCAYAAN’.
Saya mungkin bercakap dalam sisi profesion saya sebagai Jurutera.
Mungkin ada di kalangan sahabat mempunyai sisi profesion yang lain seperti Doktor perubatan, perundangan, pensyarah, guru, dan lain-lain lagi.
Ya, mari kita teruskan apa sahaja usaha dan pulangan yang positif demi ilmu dan dakwah mengikut sisi serta kapasiti masing-masing.
Kita bina kepercayaan manusia untuk menyampaikan kalam suci ini.
Yang benar,
ENGR. Mohamad Zul Hilmey Makmud
(50167)